TITAH
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN, SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
SEMPENA
SAMBUTAN ISRA’ DAN MI’RAJ
PERINGKAT NEGARA
TAHUN 1446H / 2025M
Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillaahir Rahmaanir Raheem
Alhamdulillah Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.
Alhamdulillah, bersyukur kita kehadhrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana dengan izin-Nya jua, dapatlah kita berkumpul lagi untuk memperingati peristiwa agung Isra’ dan Mi’raj Nabi Muhammad Shallallahu ‘Alaihi Wasallam.
Beta mengambil maklum, tema sambutan Isra’ dan Mi’raj pada tahun ini berbunyi ‘Sembahyang Mencerdaskan Minda’.
Minda yang cerdas adalah merupakan alat bermanfaat yang dapat mengatasi pelbagai masalah berpandukan Maqasid Syariah iaitu memelihara ugama, nyawa, akal, keturunan dan harta.
Kunci kesempurnaan sembahyang ialah khusyu’ dengan memelihara rukun serta tertibnya. Khusyu’ boleh dicapai dengan adanya minda yang sihat. Tanpa minda yang sihat, tidak boleh diharapkan sembahyang akan khusyu’. Manakala tertib dalam sembahyang mengajarkan disiplin diri.
Khusyu’ dalam sembahyang menjadi tanda kejayaan orang-orang beriman, sebagaimana Allah Subhanahu Wata’ala berfirman dalam Surah al-Mu’minun ayat 1 hingga 2 tafsirnya: “Sesungguhnya berjayalah orang-orang beriman, (iaitu) orang-orang yang khusyu’ dalam sembahyang mereka.
Demikian peranan minda yang sihat mencetuskan Khusyu’ dalam sembahyang. Oleh itu, sekalian kita perlu memelihara minda supaya tetap sihat. Cara memelihara itu satu-satunya ialah dengan melakukan sembahyang. Kerana bukankah sembahyang itu membawa ketenangan?
Hati dan minda orang sembahyang tidak ke mana-mana, melainkan hanya kepada Allah semata-mata, menjadikan hati dan minda orang sembahyang itu pasti bersih, tenang dan sihat.
Dengan mendalami hikmah setiap pergerakan dan bacaan dalam sembahyang, minda akan menjadi terlatih untuk menghindari gangguan, apa jua jenis gangguan, yang boleh menjerumuskan kita kepada pelbagai kerosakan.
Demikian, hanya minda yang sihat dan cerdas sahaja, akan mampu untuk membuat pertimbangan, mana perkara baik dan mana pula perkara buruk, atau mana perkara lurus dan mana pula perkara salah.
Maka dalam hubungan ini, kepentingan minda yang sihat adalah segala-galanya. Oleh itu, Beta ingin mengingatkan supaya kesihatan mental terus dijaga, bukan setakat merawatnya dengan rawatan biasa yang sedia ada, tetapi Beta juga mahu, supaya rawatan bersepadu, iaitu rawatan cara Islam turut juga sama-sama diperkenalkan.
Sejajar dengan ini, minda yang sihat akan setentunya dapat memelihara ugama dan menepis sebarang percubaan untuk memperalatkan dan menyalah-gunakan Agama Islam khususnya untuk kepentingan peribadi.
Baru-baru ini, kita digemparkan dengan berita mengenai Global Ikhwan Services and Business Holdings Sdn Bhd (GISBH) yang telah diharamkan kerana terbabit dengan jenayah ke atas kanak-kanak dan mengamalkan amalan terpesong. Alhamdulillah, percubaan GISBH untuk bertapak di Negara ini telah berjaya dipatahkan.
Maka sayugia Beta mengingatkan supaya janganlah leka dan janganlah memandang ringan perkara ini. Ibarat penyakit berjangkit, mesti ia dicegah dan ditolak tanpa sebarang tolak ansur. Kerana jika tidak, ia akan menganggu keharmonian masyarakat dan bahkan mengancam keselamatan.
Oleh itu, Beta ingin menyarankan supaya kita sentiasa ingat dan menanamkan dalam minda kita bahawa pegangan ugama yang kita amalkan selama ini adalah berdasarkan aliran Ahli Sunnah Waljamaah dan ini hendaklah terus diperkukuhkan, dipegang erat sampai bila-bila dan dijadikan sebagai kubu atau benteng pertahanan dari sebarang bentuk aliran lain demi memelihara keselamatan masyarakat kita.
Beta ingin menyeru semua golongan dan peringkat lapisan masyarakat yang menganut Agama Islam di negara ini untuk terus mendokong dan mengamalkan aliran ini sebagai pegangan hidup. Dengan pegangan ini, Insya Allah kita dan negara akan terus dilimpahi rahmat, aman makmur, sejahtera dan selamat di dunia dan akhirat.
Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
***
