TITAH
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI 
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN,
SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
SEMPENA SAMBUTAN
NUZUL AL-QUR’AN BAGI TAHUN
1442H/2021M
Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillaahir Rahmaanir Raheem
Alhamdulillahi Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.
Beta bersyukur ke hadhrat Allah Subhanahu Wata’ala, kerana dapat pula bersama-sama menyambut Nuzul al-Qur’an.
Kita memperingati Nuzul al-Qur’an adalah sebagai merujuk kepada surah al-Baqarah, ayat 185, tafsirnya:
“(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah pada) bulan Ramadhan yang diturunkan padanya al-Qur’an sebagai petunjuk kepada manusia dan sebagai keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk itu dan menjelaskan perbezaan antara yang benar dan yang salah.”
Kitab suci al-Qur’an adalah mukjizat teragong Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam, yang kekal terpelihara hingga ke akhir zaman. Terpelihara itu di sini ialah, terpelihara dari mengalami kemusnahan, sebagaimana janji Allah sendiri dalam surah al-Hijr, ayat 9, tafsirnya: 
“Sesungguhnya, Kamilah yang menurunkan al-Qur’an, dan Kamilah juga yang memelihara dan menjaganya (daripada sebarang perubahan, penyelewengan, penambahan dan sebagainya).”
Pemeliharaan Allah terhadap al-Qur’an tidak syak lagi, supaya kita umat Islam dapat terus memanfa’atkannya sebagai bacaan dan panduan hidup. Dengan membacanya sahajapun, kita sudah dapat mengaut pahala, apatah lagi kalau sekali gus menjadikannya sebagai panduan dan undang-undang.
Inilah keramat al-Qur’an itu, menjanjikan segala kebajikan. Kerana itu, Beta bersyukur, Kerajaan Beta tanpa kendur-kendurnya dapat mengusahakan secara berterusan pembudayaan membaca al-Qur’an dikalangan rakyat dan penduduk melalui pelbagai aktiviti pembelajaran dan lain-lain kegiatan.
Beta sangat gembira, bulan Ramadhan dimeriahkan dengan bertadarus al-Qur’an di masjid-masjid, surau-surau dan balai-balai ibadat, dan tidak terkecuali juga di rumah-rumah bagi mereka yang tidak mempunyai kesempatan untuk ke masjid.
Manfa’at membaca al-Qur’an bukan sahaja diraih oleh pembaca-pembacanya, malahan juga keberkatannya akan turut tumpah kepada negara dengan memperolehi keamanan, keselamatan dan insya Allah kemakmuran.
Mengapakah Beta katakan demikian itu? Kerana bukankah al-Qur’an itu penawar dan rahmat? Jika dibaca, tentu sahaja impaknya boleh membawa kepada kesembuhan dan kebahagiaan.
Sebab itulah, untuk menolak wabakpun, kita membanyakkan zikir, di mana kepala zikir adalah al-Qur’an.
Insya Allah, dengan menjadikan zikir dan al-Qur’an itu sebagai amalan dan pegangan, maka Brunei Darussalam dengan izin Allah, akan menjadi sebuah negara yang benar-benar selamat dan sihat serta aman sejahtera di bawah payung pemeliharaan Allah Subhanahu Wata’ala.
Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.