TITAH
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN, SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM.
SEMPENA SAMBUTAN
NUZUL AL-QUR’AN
BAGI TAHUN 1443H / 2022M
Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillaahir Rahmaanir Raheem
Alhamdulillah Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.
Alhamdulillah, bersyukur kita ke hadhrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana dengan limpah rahmat dan izin-Nya jua, dapatlah kita meraikan lagi Sambutan Nuzul Al-Qur’an yang kita sambut pada setiap tahun.
Ada dua motif sambutan ini diadakan, pertama sebagai memperingati detik bersejarah turunnya Al-Qur’an itu sendiri kepada Nabi dan Rasul akhir zaman, Sayyidina Muhammad Shallallahu ‘Alaihi Wasallam, dan kedua untuk mengulang-ulang pengenalan dan pemahaman kita terhadap Kitab Suci Al-Qur’an sebagai ianya suluh atau pedoman untuk kita di dunia ini.
Kita jangan sekali-kali lupa, bahawa Al-Quran adalah penunjuk jalan yang paling lurus untuk diikuti, dan bahkan sebagai penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman.
Kerana itu Al-Qur’an mustahak dibaca dan difahami segala pengajarannya. Bagi kita yang melakukan ini, tidak diragukan lagi akan beroleh petunjuk dan keberkatan daripadanya.
Keberkatan bukanlah remeh, tetapi sesuatu yang agung lagi istimewa. Oleh itu adalah rugi jika kita terlepas peluang untuk merebutnya. Cara merebut keberkatan itu tidak lain ialah dengan membaca dan memanfa’atkan segala isi pengajaran Al-Qur’an itu.
Sebab itulah, Beta tanpa jemu-jemu menggalakkan supaya Al-Qur’an dipelajari, meliputi belajar membaca, menghafaz mahupun menggali pengajaran daripadanya.
Al-Qur’an adalah aset kekal untuk dimanfa’atkan ketika di atas dunia, bahkan berkatnya pula akan menyusul kita sehingga ke akhirat.
Inilah hebatnya Al-Qur’an itu selaku “Perlembagaan Lengkap” untuk kita umat Islam. Ia bukan digubal oleh siapa-siapa, melainkan datangnya daripada Allah Subhanahu Wata’ala sendiri.
Kita orang-orang beriman wajib meyakini, bahawa dengan berpegang kepada Al-Qur’an itu, melalui pembacaan, pemahaman, penghayatan dan pengamalan, akan dapat menghuraikan segala perkara yang kusut dan menyuluh segala kegelapan, berdasarkan firman Allah sendiri dalam Surah An-Nisa Ayat 174 yang tafsirnya: “Kami telah menurunkan kepada kamu cahaya (Al-Qur’an) yang menerangi (segalanya)”.
Ini telah memberi isyarat, bahawa apa jua yang bersifat kusut atau gelap akan dapat dihurai dan disuluh oleh Al-Qur’an, termasuk jika bencana wabak kita anggap sebagai satu musibah yang menyeret kita kepada kegelapan hidup, maka Al-Qur’an adalah mampu untuk mengeluarkan kita daripada kegelapan tersebut dengan membacanya banyak-banyak secara berterusan.
Maka bersukut dengan bulan Ramadhan yang mulia ini, iaitu bulan yang diturunkan Al-Qur’an, marilah kita sama-sama menjadikan amalan membaca Al-Qur’an itu sebagai rutin harian kita, sama ada dalam bulan Ramadhan sendiri mahupun diluar Ramadhan.
Insya Allah, dengan berbuat demikian itu, kita akan memperolehi banyak kebaikan berupa ketenangan jiwa, kesihatan, kegembiraan, kebijaksanaan, petunjuk dan ‘inayah Allah serta perlindungan-Nya. Sementara di akhirat pula, Al-Qur’an yang kita baca di dunia ini akan tampil memberikan syafa’at kepada kita, sebagaimana gambaran dari sebuah Hadith riwayat Muslim, bahawa Nabi Shallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda, maksudnya:
“Bacalah Al-Qur’an, kerana ia akan datang pada Hari Kiamat untuk memberikan syafa’at kepada pembacanya”.
Mudah-mudahan Hadis ini menjadi motivasi yang berkesan kepada kita bagi menjadikan Al-Qur’an itu sebagai teman rapat sehingga ke akhir hayat.
Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
