TITAH PERUTUSAN
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN,
 SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
 
SEMPENA
TAHUN BARU HIJRAH 1443
 
 

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillaahir Rahmaanir Raheem

Alhamdulillah Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyrafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Peluang untuk menyambut Tahun Baru Hijrah adalah peluang yang sangat berharga, kerana dengan peluang ini, dapatlah kita menikmati suasana tahun baru yang penuh dengan hikmah.

Kita bukan sahaja melangkah ke tahun baru, tetapi juga dapat mengambil pengajaran daripadanya.

Tahun Hijrah adalah merujuk kepada sejarah hijrah Nabi kita Sayyidina Muhammad Shallallahu ‘Alaihi Wasallam. Sejarah ini tiada duanya. Ia berlaku dengan perintah Allah untuk menyelamatkan akidah umat.

Melalui hijrah, pelbagai iktibar atau pengajaran dapat dikenal pasti, seperti bagaimana Allah memberikan pertolongan-Nya yang luar biasa kepada Nabi Muhammad Shallallahu ‘Alaihi Wasallam dengan menghantar makhluk-makhluk yang lemah, iaitu labah-labah, burung merpati dan pohon kayu sebagai bala tentera-Nya bagi melindungi Nabi Shallallahu ‘Alaihi Wasallam.

Ini tidak syak lagi adalah satu ‘iktibar tertinggi’, iaitu betapa Allah dengan kuasa-Nya mampu untuk melakukan apa saja yang dikehendaki-Nya, termasuk menggagalkan semua usaha dan rancangan musuh untuk menangkap dan membunuh Nabi dan Rasul-Nya, Sayyidina Muhammad Shallallahu ‘Alaihi Wasallam.

Tidakkah ini bukti nyata mengenai kekuasaan Allah? Dia tidak menghantar singa atau gajah untuk memusnahkan musuh, tetapi hanya menghantar labah-labah dan burung merpati, dua makhluk yang sangat lemah untuk mengelirukan musuh dan sekaligus menggagalkan niat jahat mereka.

Inilah antara pengajaran besar daripada peristiwa hijrah, selaku ianya petunjuk daripada Allah yang mengandungi rahsia besar atau hikmah.

Di antara rahsia atau hikmah itu di sini ialah ‘peringatan’, supaya kita jangan meremehkan makhluk-makhluk, yang dilihat sebagai kecil dan lemah, tetapi di sisi Allah, ia boleh dikerah untuk jadi tentera yang gagah bagi mengajar makhluk-makhluk yang kuat. Contoh makhluk yang kecil dan lemah itu ialah seperti bakteria dan bahkan lebih kecil lagi daripada bakteria ialah virus yang mampu untuk mencetuskan penyakit-penyakit berjangkit.

Dengan merujuk kepada hikmah, bukankah umat manusia sekarang ini sedang berhadapan dengan ancaman virus, sehingga setakat perutusan ini dilakar, korban wabak bawaan virus di seluruh dunia sudah melimpasi 4 juta jiwa.

Jadi di manakah kekuatan manusia berbanding dengan virus, makhluk yang sangat halus lagi lemah itu? Di sini, kita juga boleh belajar dari sejarah Namrud, Penguasa yang melontarkan Nabi Ibrahim ‘Alaihissalam ke dalam api yang bernyala-nyala, di mana Penguasa yang kejam lagi gagah ini telah ditakdirkan mati di tangan seekor nyamuk yang diutus oleh Allah sebagai tentera-Nya.

Begitulah, jika Allah berkehendak, makhluk yang lemah boleh sahaja memusnahkan atau mengharu-birukan makhluk yang kuat dan gagah.

Demikian antara iktibar yang boleh diambil daripada sejarah hijrah.

Apabila kita benar-benar menghayati rahsia atau hikmah pengajaran seperti ini, nescaya akan datanglah keinsafan, bahawa tiada satu kuasapun yang dapat mengatasi kuasa Allah.

Dalam kehidupan, menyedari dan mengakui kekuasaan Allah adalah sangat-sangat dituntut. Kerana dengan cara ini, sifat kehambaan kita akan bertambah-tambah subur, menjadikan kita akan terpanggil untuk sentiasa merendah diri kepada Allah, bukan seperti umat-umat terdahulu yang rata-rata menyombongkan diri tidak mahu mengakui kekuasaan Allah, yang natijahnya, menjadikan mereka berkubur satu demi satu.

Impak baik orang yang merendah diri dengan Allah, akan menjadikan orang itu seorang yang saleh yang sentiasa tunduk mentaati perintah dan suruhan Allah.

Inilah yang kita mahukan bagi umat Negara Brunei Darussalam, dan jika ini berlaku, maka insya Allah, kita dan negara ini akan selamat dan makmur, sebagaimana janji Allah dalam surah Al-A’raf ayat 96, tafsirnya:

“Sekiranya penduduk sebuah negeri itu beriman dan bertakwa, tentu sahaja Kami bukakan untuk mereka (pintu-pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya (yang turun) dari langit dan (keluar) dari bumi.”

Akhirnya, Beta dan keluarga Beta dengan tulus ikhlas mengucapkan Selamat Menyambut Tahun Baru Hijrah 1443 kepada selurus lapisan rakyat dan penduduk di negara ini.

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.