TITAH

KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN, SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
 
SEMPENA
UPACARA ISTIADAT PERBARISAN
BAGI MAJLIS ISTIADAT PENGANUGERAHAN BENDERA PANJI-PANJI PERIBADI KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
 
PADA
HARI SABTU, 18 Januari 2025

  

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillaahir Rahmaanir Raheem

         Alhamdulillah Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Alhamdulillah, syukur kehadhrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana dengan limpah rahmat-Nya jua dapatlah kita sama-sama berkumpul dalam Upacara Istiadat Perbarisan Bagi Majlis Istiadat Penganugerahan Bendera Panji-Panji Peribadi Beta.

Penganugerahan ini adalah pengiktirafan Beta kepada seluruh pegawai dan anggota Pasukan Polis Diraja Brunei di atas khidmat jasa bakti, penat lelah, komitmen serta dedikasi yang telah ditunjukkan dalam memikul dan melaksanakan tanggungjawab yang telah diamanahkan sebagai sebuah agensi penguatkuasaan undang-undang yang utama di negara ini.

Mengimbas kembali semasa Majlis Sambutan Hari Polis yang Ke 86 Tahun dimana Beta telah menganugerahkan penukaran kepala atau tampuk panji-panji Pasukan Polis. Penganugerahan tersebut telah meletakkan Pasukan Polis di satu kedudukan yang berprestij sebagai sebuah organisasi yang memainkan peranan penting dalam menjaga dan memelihara kedaulatan, keselamatan dan kesejahteraan seluruh rakyat di negara ini dari sebarang bentuk ancaman keselamatan.

Penganugerahan Panji-Panji Peribadi Beta ini mempunyai signifikannya tersendiri. Ianya bukan sekadar lambang atau hiasan semata-mata tetapi membawa makna yang amat mendalam yang mencerminkan betapa tinggi amanat dan kepercayaan Beta terhadap pasukan Polis. Dengan pengibaran bendera Panji-Panji Peribadi Beta di setiap upacara perbarisan akan melambangkan kesetiaan yang tidak berbelah bahagi Pasukan Polis kepada Raja, Negara dan Agama. Setiap pegawai dan anggota Pasukan Polis bertanggungjawab untuk menanai dan mempertahankan nilai panji-panji yang melambangkan Keberanian, Disiplin dan juga Kecekapan dalam memikul tugas dan menjalankan tanggungjawab yang diamanahkan.

Pada 28hb., Oktober, 2024 yang lalu, Beta telah memperkenankan bagi pelancaran Buku Pelan Strategik Pasukan Polis Diraja Brunei yang bertema “PASUKAN UNTUK MASA DEPAN” bersempena penubuhan Pasukan Polis yang ke-100 tahun. Buku pelan strategik tersebut juga menjelaskan Strategi Teras Pasukan yang tertumpu kepada lima (5) aspek penting iaitu; Struktur Prestasi, Pengurusan Sumber, Penggunaan Teknologi, Latihan dan Kerjasama Pasukan Polis dan orang awam.

Buku Pelan Strategik ini memberikan panduan secara holistik dalam menghadapi cabaran semasa dan masa hadapan. Dengan penekanan kepada peningkatan keupayaan siasatan siber dan pengukuhan hubungan dengan masyarakat, pasukan Polis berada di landasan yang kukuh untuk terus memainkan peranan penting dalam memastikan keselamatan, keamanan, dan kesejahteraan negara.

Beta berharap buku pelan strategik Pasukan Polis ini akan dijadikan sebagai satu manifesto untuk Pasukan Polis terus berkembang maju dengan lebih terarah. Ianya meliputi semua aspek termasuk kepimpinan, meningkatkan profesionalisme, memantapkan urustadbir pasukan dan terus membina keupayaan pasukan bersama rakan-rakan strategik di dalam dan di luar negara dalam membanteras sebarang bentuk kegiatan jenayah yang boleh mengancam keselamatan negara.

Dalam kesempatan ini, Beta ingin melihat competency framework yang Beta perkenankan digunakan bagi semua peringkat Pasukan Polis untuk mendapatkan kemahiran-kemahiran dan kepakaran-kepakaran dalam bidang kepolisian.

Competency framework ini juga akan dapat membantu dalam menyusun atur dan melancarkan succession planning serta penstrukturan semula Pasukan Polis sebagai sebuah organisasi.

Tahun ini, genaplah usia Pasukan Polis menjangkau 104 tahun. Beta ingin melihat Pasukan Polis menujukan kematangan dari segi perlaksanaan amanah dan tugasnya serta bermuhasabah diri dan bertekad untuk terus meningkatkan profesionalisme dalam Pasukan Polis.

Sebagai sebuah agensi penguatkuasaan yang utama di negara ini, Beta ingin mengulangi lagi seruan sebelum ini agar semua pegawai dan anggota Pasukan Polis untuk sentiasa menunjukkan etika kerja yang baik, berdisiplin, berintegriti dan Professional dalam menjalankan tugas dan tanggungjawab yang diamanatkan.

Tindakan yang berlandaskan kejujuran, ketelusan dan tanggungjawab akan memastikan kepercayaan masyarakat negara ini terhadap pasukan Polis  terus utuh. Disiplin yang kukuh bukan sahaja membentuk keperibadian pegawai dan anggota Pasukan Polis yang cemerlang, tetapi juga menjadi benteng pertahanan kepada cabaran moral dan etika.

Akhirnya, Beta ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan terima kasih kepada semua pegawai dan anggota Pasukan Polis yang telah menyumbangkan tenaga dan buah fikiran dalam menjayakan Upacara Istiadat Penganugerahan Panji-Panji Peribadi Beta.

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

***