TITAH
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN,
SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM

BERSEMPENA
UPACARA PERBARISAN TAMAT LATIHAN
PROGRAM KHIDMAT BAKTI NEGARA
PENGAMBILAN KESEPULUH

PADA HARI RABU
26 REJAB 1442 / 10 MAC 2021 

BERTEMPAT
KEM LATIHAN PROGRAM KHIDMAT BAKTI
NEGARA, KAMPONG BATU APOI,
DAERAH TEMBURONG

 

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillaahir Rahmaanir Raheem

Alhamdulillahi Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Dengan perasaan gembira, kita berkewajipan untuk merafa’kan syukur ke hadhrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana mengizinkan kita dapat sama-sama menyaksikan Upacara Perbarisan Tamat Latihan Program Khidmat Bakti Negara Pengambilan Ke-10 pada pagi ini.

Beta tidak lupa mengucapkan tahniah kepada semua 247 orang pelatih PKBN Pengambilan Ke-10 di atas kecekalan mereka mengikuti latihan selama 3 bulan dengan penuh semangat dan sabar.

Beta melihat, inilah contoh modal insan yang berkualiti. Mereka gigih dan berani tampil untuk berbakti. Mereka benar-benar membawa imej yang baik selaku bangsa dan negara merdeka, yang tidak mahu duduk diam tanpa berkhidmat. Syabas para belia.

Inilah antara ciri signifikan negara merdeka, yang mampu melahirkan generasi pelapis yang boleh diharap. Dan inilah juga matlamat yang mahu kita capai dari Program Khidmat Bakti Negara, supaya para belia memahami erti sebenar bernegara dan berbangsa. Manakala para belia memahami ini, maka itulah ketikanya mereka layak dinobat sebagai wira.

Sebagai bukti awal dapat dilihat, dari lebih 200 orang alumni PKBN telahpun tampil menjadi Sukarelawan Belia bagi sama-sama membantu menangani wabak koronavirus. Ini tidak syak lagi merupakan penanda aras, bahawa generasi belia kita sudahpun bersedia untuk memikul tanggungjawab yang besar.

Dengan PKBN bertambah matang, maka harapan negara juga semakin besar untuk melihat generasi belia kita berupaya untuk menjadi pemimpin masyarakat serta sekaligus menjadi perintis kepada kemajuan negara.

Dalam pada itu, sebagai prasyarat untuk menjadi belia pemimpin yang baik lagi hebat, maka para belia, tidak boleh tidak, mesti memiliki keperibadian dan ‘jati diri’ yang teguh.

Untuk akhirnya, Beta mengambil kesempatan disini, untuk mengucapkan sekali lagi tahniah kepada para pelatih PKBN Pengambilan Ke-10 yang akan menamatkan latihan mereka pada pagi ini. Kejayaan mereka, tentu saja dari hasil titik peluh masing-masing, serta kerjasama padu daripada pelbagai pihak, khasnya para jurulatih dan tenaga pengajar, dan juga berkat doa para ibu bapa dan penjaga masing-masing.

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalaamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.