TITAH
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN, SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
SEMPENA
UPACARA SOVEREIGN’S PARADE
PENGAMBILAN KE DUA PULUH TIGA
SEKOLAH PEGAWAI KADET,
AKADEMI PERTAHANAN
ANGKATAN BERSENJATA DIRAJA BRUNEI
PADA HARI KHAMIS
23 REJAB 1446 / 18 JANUARI 2025
BERTEMPAT
PADANG KAWAD AKADEMI PERTAHANAN
ANGKATAN BERSENJATA DIRAJA BRUNEI
KAMPUNG TANAH JAMBU
Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillaahir Rahmaanir Raheem
Alhamdulillah Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.
Beta bersyukur ke hadhrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana dengan izin dan rahmat-Nya jua, dapatlah kita sama-sama hadir pada pagi yang permai ini untuk menyaksikan Upacara Sovereign’s Parade Pengambilan Ke Dua Puluh Tiga (23).
Dengan rasa amat gembira, Beta ingin mengucapkan setinggi-tinggi tahniah dan syabas kepada Pegawai-Pegawai Kadet di atas persembahan perbarisan mereka sebentar tadi. Ianya jelas mempamerkan mutu disiplin yang tinggi dan semangat keperwiraan serta regimentasi berpasukan yang berkesan.
Beta mengambil maklum, seramai 52 orang Pegawai Kadet dari pengambilan ke-23 ini telah berjaya menamatkan latihan Pegawai Kadet selama 48 minggu termasuk seorang Pegawai Kadet dari Angkatan Tentera Malaysia. Beta juga gembira difahamkan bahawa seorang Pegawai Kadet yang mengikuti pengambilan ini adalah penerima Biasiswa Pemerintah Tertinggi Angkatan Bersenjata Diraja Brunei dengan lepasan Ijazah Sarjana Muda Perubatan dan Pembedahan telah menamatkan latihan dan sekarang bertugas selaku Pegawai Perubatan di Khidmat Perubatan dan Kesihatan Tentera Darat Diraja Brunei.
Setakat ini, Beta turut berbangga, kerana Sekolah Pegawai Kadet secara keseluruhannya telah berjaya melahirkan seramai 862 orang Pegawai Tentera yang berwibawa yang terdiri daripada 859 Pegawai Kadet tempatan, dua orang Pegawai dari Malaysia dan seorang Pegawai Kadet dari Republik Singapura. Pencapaian yang membanggakan ini menjadi bukti jelas bahawa Sekolah Pegawai Kadet telah mencapai taraf yang tinggi sehingga turut diiktiraf oleh negara-negara sahabat. Penyertaan baharu dari Republik Indonesia dan Kerajaan Thailand pula bagi Pengambilan Ke-24 nanti akan menaikkan lagi profil Sekolah Pegawai Kadet selaku Pusat Kecemerlangan Latihan Pegawai Kadet. Syabas Beta ucapkan kepada Sekolah Pegawai Kadet Angkatan Bersenjata Diraja Brunei.
Beta berkeyakinan melalui Pemodenan Pendidikan Tentera Profesional Angkatan Bersenjata Diraja Brunei dan Penubuhan Fakulti Pengajian Tentera di Akademi Pertahanan melalui Memorandum Persefahaman di antara Kementerian Pertahanan dan Universiti Brunei Darussalam (UBD) akan membawa kepada pengembangan lebih berkesan, efisien dan sentiasa relevan dengan peredaran masa.
Manakala, Fakulti Pengajian Tentera itu pula akan mendokong hasrat negara ke arah pembelajaran sepanjang hayat dengan menghasilkan pegawai-pegawai Angkatan Bersenjata Diraja Brunei yang berkemahiran dan berpendidikan tinggi menepati antara matlamat Wawasan Brunei 2035.
Namun pada hemat Beta, pendidikan tinggi sahaja belumlah memadai. Tetapi Angkatan Bersenjata Diraja Brunei juga perlu mendedahkan para anggotanya kepada penglibatan dalam operasi-operasi yang kompleks seperti Operasi Bersepadu dengan agensi-agensi Keselamatan Negara Brunei Darussalam, Operasi Bantuan Kemanusiaan dan Pemulihan Bencana (HADR) seperti Operasi Badai Taduh yang belum lama ini disertai di Republik Filipina dan Independent Decommissioning Body, Verification, Monitoring and Assistance Team (IDB VMAT) di Republik Filipina serta Misi Operasi Bantuan Keamanan, Pasukan Interim Bangsa-Bangsa Bersatu di Lebanon (UNIFIL).
Beta mahu penglibatan seperti ini dipertingkatkan, supaya Angkatan Bersenjata Diraja Brunei dapat terus meningkatkan tahap profesionalisme dalam memelihara keselamatan dan kedaulatan Negara, di samping turut memberikan sumbangan bernilai kepada negara luar dan antarabangsa.
Akhirnya, Beta sukacita merakamkan ucapan terima kasih dan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh warga Akademi Pertahanan, khususnya kepada Komandan Akademi Pertahanan, Pegawai Pemerintah, Pegawai-Pegawai, Colour Sergeant, School Sergeant Major, Jurulatih dan Kakitangan Sekolah Pegawai Kadet di atas pengorbanan dan dedikasi mereka dalam melatih dan mendidik Pegawai-Pegawai Kadet dan menjayakan Upacara Sovereign’s Parade pada pagi ini.
Ucapan terima kasih dan penghargaan juga, Beta tujukan kepada para ibu bapa, penjaga serta ahli keluarga di atas suntikan semangat, bimbingan dan sokongan yang berterusan sehingga mereka berjaya mengharungi latihan yang sangat bermakna dan mencabar ini. Kepada semua Penerima Anugerah, Beta ucapkan tahniah dan syabas.
Dengan merafakkan syukur ke hadhrat Allah Subhanahu Wata’ala dan dengan berkat kalimah “Bismillahir Rahmanir Rahim”, maka Beta dengan sukacita mengurniakan Tauliah kepada Lima Puluh Dua (52) orang Pegawai Kadet, Pengambilan Kedua Puluh Tiga (23).
Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
***
