TITAH PERUTUSAN
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN, SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
SEMPENA MENYAMBUT
AWAL TAHUN MASIHI 2025
Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillaahir Rahmaanir Raheem
Alhamdulillah Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.
Alhamdulillah, Beta bersyukur ke hadhrat Allah Subhanahu Wata’ala, di atas limpah rahmat-Nya mengizinkan kita untuk melangkah ke tahun Masihi 2025.
Semoga tahun baru ini akan lebih mendorong kita untuk sama-sama menggalas amanah dengan penuh dedikasi dan komitmen demi mencapai perubahan lebih bermakna bagi diri sendiri, keluarga, masyarakat dan negara.
Untuk itu, mengekalkan perpaduan adalah penting, kerana perpaduan merupakan kunci pembangunan, dimana setiap lapisan masyarakat jika kekal bersatu, hidup harmoni, saling hormat menghormati dan bekerjasama, maka segala cabaran akan dapat ditangani dengan baik.
Ditambah lagi dengan pegangan ugama yang kuat, akan memastikan Brunei Darussalam menjadi sebuah negara yang aman, makmur dan kekal merdeka lagi berdaulat.
Adapun pendokong negara itu ialah rakyat terutama para belia. Merekalah harapan masa depan yang dikehendaki untuk terus menimba ilmu dan kemahiran. Bagi mereka terbuka banyak peluang, maka rebutlah peluang itu.
Menyentuh mengenai ekonomi Negara, ianya Alhamdulillah, masih sahaja berdayatahan sekalipun berhadapan dengan ketidaktentuan situasi global.
Pihak International Monetary Fund (IMF), Bank Pembangunan Asia (ADB) dan Asean+3 Macroeconomic Research Office (AMRO) telah meramalkan pertumbuhan ekonomi negara pada tahun 2025 masing-masing sebanyak 2.5 peratus; 2.8 peratus dan 2.9 peratus. Jangkaan ini adalah hasil daripada peningkatan dalam pengeluaran sektor hiliran.
Dalam masa yang sama, langkah Kerajaan untuk mempelbagaikan ekonomi Negara, khususnya dalam Sektor Bukan Minyak dan Gas telah menunjukkan trend yang positif.
Sehubungan itu, Kerajaan Beta juga akan terus memberikan tumpuan kepada beberapa aspek penting, khususnya mempertingkatkan lagi usaha bagi menarik lebih banyak Pelaburan Langsung Asing (FDI) yang berkualiti dan berimpak besar kepada Negara ini.
Dalam pada itu juga, perniagaan tempatan, khasnya Perusahaan mikro, kecil dan sederhana (MSMEs) akan terus dibantu dan diperkukuhkan untuk membolehkan mereka memanfaatkan peluang perniagaan yang dihasilkan daripada Pelaburan Langsung Asing (FDI) ini dan juga untuk menembusi pasaran serantau dan antarabangsa.
Fokus juga akan diberikan kepada meningkatkan pembangunan sumber manusia tempatan melalui pendidikan dan Latihan kemahiran yang sejajar dengan keperluan industri.
Di arena antarabangsa pula, Negara Brunei Darussalam akan tetap berpegang kepada dasar luarnya yang menekankan keseimbangan dalam menimbangkan kepentingan serantau dan pembangunan ekonomi.
Keahlian dan penglibatan aktif Negara dalam pertubuhan serantau dan antarabangsa seperti ASEAN dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), adalah mencerminkan komitmen dan sokongan berterusan kita terhadap Kerjasama multilateralisme, dan menanai perundangan antarabangsa.
Natijahnya, peluang untuk berkembang dan bekerjasama dengan negara-negara jiran adalah terbuka luas. Tinggal saja lagi kita diperlukan untuk lebih bijak mengambil peluang ini dengan sebaiknya, disamping tetap mengekalkan nilai-nilai Melayu Islam Beraja yang menjadi teras kepada pembangunan negara.
Agenda utama ialah untuk terus mempertingkatkan daya saing negara, dengan menekankan kepentingan pembangunan yang inklusif dan mampan dengan kerjasama erat pelbagai pihak yang berkepentingan dikalangan sektor swasta, pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan dan masyarakat amnya.
Kita juga menghargai peranan penting warga emas dan golongan yang kurang berkemampuan, yang menjadikan kita berkewajipan untuk memastikan kebajikan mereka sentiasa terpelihara, selaras dengan pendekatan: Tidak ada sesiapapun yang dibiarkan tercicir dalam pembangunan negara.
Akhirnya, Beta ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua peringkat warga perkhidmatan awam, Angkatan Bersenjata Diraja Brunei, Pasukan Polis Diraja Brunei, pasukan-pasukan beruniform yang lain, termasuk mereka yang berkhidmat di sektor swasta dan badan-badan bukan Kerajaan (NGOs), di atas komitmen dan usaha gigih mereka melaksanakan tugas dan tanggungjawab masing-masing sepanjang tahun 2024.
Demikian juga di kesempatan ini, Beta sukacita merakamkan penghargaan kepada negara-negara sahabat dan pertubuhan-pertubuhan antarabangsa di atas kerjasama mereka mengeratkan lagi hubungan dengan Negara Brunei Darussalam.
Selamat Tahun Baru Masihi 2025 kepada seluruh rakyat dan penduduk di Negara ini, termasuk mereka yang berada di luar negara. Semoga Allah Subhanahu Wata’ala memberkati kita semua dan mengurniakan kepada Negara Brunei Darussalam keamanan, kesejahteraan, kemakmuran dan keselamatan yang berpanjangan. Amin.
Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
***
