TITAH PERUTUSAN
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN, SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
SEMPENA
TAHUN BARU HIJRAH 1446
Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillaahir Rahmaanir Raheem
Alhamdulillah Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.
Kita bersyukur ke hadhrat Allah Subhanahu Wata’ala, kerana dengan limpah rahmat-Nya jua, dapatlah kita menyambut llal Hijrah 1446 dalam suasana aman yang diberkati.
Beta berharap semoga tahun 1446 Hijrah ini akan memberikan semangat baru untuk kita menjalani kehidupan berbakti.
Peristiwa Hijrah Nabi Muhammad Shallallahu ‘Alaihi Wasallam tidak ada harga untuk disebut melainkan, ianya membawa mesej pengajaran yang termahal dalam sejarah. Ia dilihat sebagai pembuka pintu rahmat bagi umat. Dengannya, Islam mula bebas tersebar tanpa sekatan. Itulah Keberkatan hijrah.
Ia merupakan pembawa perubahan lebih bererti kepada kehidupan umat Islam khasnya dan kepada alam sejagat ‘amnya. Konsep hijrah tidak hanya sekali berlaku, tetapi berterusan berlaku, sebagaimana maksud Hadits Nabi Shallallahu ‘Alaihi Wasallam, riwayat Abu Daud:
“Dari Muawiyah Radhiallahu ‘Anhu dia berkata: Aku telah mendengar Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda: Hijrah itu tidak akan berhenti sehingga tertutupnya peluang taubat, dan peluang taubat pula tidak akan tertutup sehingga matahari terbit dari tempat terbenamnya.”
Tema Sambutan pada tahun ini berbunyi: ‘Memelihara Akal’. Tema ini bagus, kerana akal menentukan kesempurnaan hidup. Manakala akal sihat, maka sihatlah hidup, dan manakala akal rosak, maka rosaklah hidup.
Konsep memelihara akal dapat dihubungkan dengan hukum pengharaman benda-benda yang memabukkan. Manusia manakala mabuk, bererti akalnya sedang bermasalah. Orang yang mabuk, sama ada mabuk kerana arak atau ganja atau dadah, semua itu menjadi alamat bahawa akal orang yang mabuk itu adalah rosak. Kerana itu Ugama Islam sangat bertegas mengharamkan benda-benda yang memabukkan.
Menyebut tentang akal, ia juga berkaitan dengan mental. Pada akhir-akhir ini, kesihatan mental banyak diperkatakan. Maka sehubungan itu usaha-usaha, bersepadu Kerajaan Beta dalam menangani isu-isu kesihatan mental yang semakin meningkat dan membimbangkan, amatlah dialu-alukan. Beta difahamkan, kira-kira seramai 11,000 orang lebih, yang terdiri daripada kanak-kanak hingga dewasa adalah sedang menerima rawatan Perkhidmatan Psikiatri dan psikologi klinikal di Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha.
Oleh itu, usaha-usaha yang sedia ada perlu dipertingkatkan lagi, supaya isu ini dapat ditangani dengan lebih berkesan. Beta mahu, program kesihatan mental secara saintifik dan kerohanian hendaklah diaktifkan melalui pendidikan, terutama pendidikan ugama dan dakwah secara berterusan. Inilah antara konsep hijrah, iaitu untuk mengubah atau membaiki perkara-perkara negatif kepada positif.
Di sinilah paksi amalan melalui penghijrahan. Maksud Beta, penghijrahan itu elok dilakukan secara bersama, sebagai cara hidup, untuk memperolehi perubahan-perubahan terbaik dalam kehidupan.
Akhirnya, Beta dan keluarga Beta dengan amat sukacita mengucapkan Selamat Menyambut Ilal Hijrah 1446 kepada seluruh lapisan masyarakat di negara ini, dengan harapan semoga Allah Subhanahu Wata’ala akan melimpahkan rahmat-Nya kepada kita semua berupa keamanan, kesihatan, kesejahteraan dan kemakmuran. Amin Ya Rabbal ‘Alamin.
Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
***
