TITAH
PERUTUSAN KHAS
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA SULTAN
HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN,
SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN,
SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
BERKENAAN JANGKITAN WABAK COVID-19
Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
Bismillaahir Rahmaanir Raheem.
Alhamdulillahi Rabbil ‘Alameen, Wabihie Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Waddeen, Wassalatu Wassalamu ‘Ala Asyrafil Mursaleen, Sayyidina Muhammadin, Wa’ala Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.
Rakyat Beta yang dikasihi!
Dalam perutusan khas Beta baru-baru ini, Beta telah menyebut beberapa usaha Kerajaan Beta dalam membendung penularan COVID-19.
Sehingga kini, negara masih saja terus menangani wabak COVID-19 sejak ianya disahkan wujud dan positif pada 9hb Mac yang lalu. Namun Alhamdulillah, kita dapat menghadapinya dengan penuh sabar dan bersepadu.
Walau begitu, dengan amat dukacita, seorang pesakit telah berpulang ke Rahmatullah, semoga rohnya di tempatkan bersama-sama dengan orang-orang yang beriman.
Untuk keperluan, kita telahpun membina Makmal Virologi Kebangsaan. Makmal ini banyak membantu, khasnya bagi Kementerian Kesihatan mempertingkatkan lagi keupayaan penganalisaan dan mampu untuk mengeluarkan cepat keputusan ujian.
Kerajaan Beta juga telah membuat pelaburan dalam penggunaan Artificial Intelligence, supaya orang ramai dapat membantu Kementerian Kesihatan bagi melaksanakan penjagaan kesihatan secara sistematik.
Dalam situasi sekarang, Beta turut memahami bahawa banyak peniaga, termasuk Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) atau mereka yang berniaga sendiri telah turut terkesan oleh COVID-19. Kerana itu Kerajaan Beta melalui Kementerian Kewangan dan Ekonomi dan dengan kerjasama institusi-institusi yang berkaitan, termasuk Autoriti Monetari Brunei Darussalam (AMBD) telah memperkenalkan beberapa Pakej Stimulus Ekonomi membantu mereka ini, supaya dapat meneruskan perniagaan masing-masing.
Bagi tujuan kebajikan juga, Beta telahpun menitahkan Kementerian-Kementerian yang berkenaan untuk bekerjasama dalam membangun Sistem Kebajikan Negara (SKN) yang akan dilancarkan dalam bulan Julai, insya Allah. Beta sedia memahami, baik sebelum mahupun sesudah tularnya wabak COVID-19, terdapat ramai di kalangan masyarakat yang masih memerlukan bantuan dari pihak Kerajaan. Maka insya Allah, sistem ini nanti akan memudahkan pemohon-pemohon untuk membuat permohonan kepada Kerajaan.
Sebagai sebuah komuniti, orang-orang Brunei telah menunjukkan sikap pemedulian yang terpuji dengan menghulurkan sumbangan-sumbangan berupa apa saja untuk membantu Kementerian Kesihatan menangani wabak COVID-19. Dalam hubungan ini, bagi kemudahan orang ramai menyalurkan sumbangan-sumbangan mereka, maka Beta telah memperkenankan bagi diwujudkan satu dana, yang diberi nama COVID-19 Relief Fund. Sumbangan-sumbangan akan digunakan untuk keperluan perubatan menangani wabak.
Beta dengan tulus ikhlas merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih diatas sumbangan tenaga dan buah fikiran yang dihulurkan oleh semua pihak, termasuk orang-orang persendirian dalam membantu Kerajaan Beta menghadap detik-detik yang mencabar ini. Terutama kepada para barisan hadapan, termasuk sukarelawan (volunteers) yang telah bekerja siang dan malam untuk membantu merawat para pesakit COVID-19 dan mereka yang menjalani kuarantin. Sumbangan mereka ini amat Beta hargai.
Beta turut memahami, betapa beratnya bebanan para petugas barisan hadapan. Kalau orang lain merasa bosan duduk di rumah, tetapi mereka sering-sering melihat jam, bilakah boleh balik ke rumah. Di rumah, ada anak-anak sedang menunggu dan rindu.
Itu baru dari segi emosi, belum lagi risiko selaku petugas barisan hadapan. Mereka ini cuma dibekalkan dengan Personal Protective Equipment (PPE) dan prosedur arahan standard (SOP) sebagai perisai, di mana selainnya, hanya do’a saja yang mampu dirafa’kan.
Bagi menghargai jasa dan bakti mereka ini, Beta melihat, mereka sangatlah wajar untuk disangkuti dengan ‘elaun khas’ sebanyak $400 (Empat ratus ringgit) sebulan, khusus kepada para doktor, jururawat, parademik, pemandu, ambulan, sukarelawan, pembersih, penjaga keselamatan dan kesemua mereka yang bertugas dengan Kementerian Kesihatan khususnya di Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha, Pusat Pengasingan Kebangsaan Tutong dan di pusat-pusat kuarantin yang dikhaskan oleh Kerajaan Beta. Pemberian elaun khas ini akan berjalan bermula bulan Mac 2020 dan akan dilanjutkan sehingga berakhirnya wabak COVID-19 di negara ini.
Juga tidak lupa dirakamkan setinggi-tinggi ucapan terima kasih kepada Pasukan Polis Diraja Brunei, Angkatan Bersenjata Diraja Brunei, Pusat Bencana Kebangsaan, Krew dan Juruterbang Royal Brunei, pihak pengurusan dan kakitangan dari Syarikat-Syarikat Brunei Shell Joint Venture (BSJV), Syarikat-Syarikat Yang Berkaitan Dengan Kerajaan (GLCs), Syarikat-Syarikat Pelaburan Langsung Asing atau Foreign Direct Investments (FDI), Syarikat-Syarikat Telekomunikasi, Syarikat-Syarikat Swasta dan Agensi-Agensi Kerajaan yang lain mengikut bidang dan kepakaran masing-masing dalam sama-sama membantu Kerajaan Beta menangani cabaran pada masa ini. Jasa yang mereka curahkan kepada keluarga pesakit dan kepada negara khususnya tidaklah dapat digambarkan. Beta berdo’a semoga Allah memberkati mereka dengan kebahagian di dunia dan di akhirat.
Sementara itu akan turut dibantu, ialah golongan yang terjejas pendapatan akibat COVID-19 dari kalangan penamu, penjual di pasar, pemandu teksi dan pemandu motor tambang. Bantuan ini akan diuruskan oleh Majlis Ugama Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama.
Sebagai tanda ihsan dan belas kasihan, dalam keadaan sekarang, elok juga rasanya kalau para pemilik premis-premis sewa, seperti kedai-kedai seumpamanya, menimbangkan untuk turut meringankan beban penyewa-penyewa yang terjejas perniagaan mereka, dengan membebaskan atau mengurangkan kadar sewa untuk beberapa waktu sehingga wabak ini berakhir. Kalau ini dapat dibuat, maka tidak syak lagi, ia adalah satu sedekah yang imbalannya adalah pahala.
Beta di sini ingin menekankan, supaya semua orang janganlah lari dari tanggungjawab, termasuk tanggungjawab mematuhi arahan dan undang-undang. Baru-baru ini, ada berlaku kejadian, sekumpulan orang mengadakan pesta hiburan bertempat di sebuah hotel yang menjadi lokasi pengasingan diri.
Mengapa ini boleh berlaku? Bagaimana orang-orang ini melihat COVID-19? Dalam masa kita banyak berdo’a, tetapi mereka, melanggar arahan dengan berkumpul dan berpesta.
Beta berharap, pihak berwajib akan menangani kes ini dengan setegas-tegasnya. Kita jadikan ia pengajaran untuk semua.
Melalui kesempatan ini, Beta ingin menganjurkan supaya kita sama-sama melazimkan diri membaca Surah Yaseen selain surah-surah yang lain dalam al-Qur’an, kerana Yaseen fadhilatnya sangat banyak untuk keselamatan kita di dunia dan di akhirat. Insya Allah, dengan berkat Yaseen juga, COVID-19 akan berundur meninggalkan kita dan negara.
Untuk akhirnya, Beta mengajak, supaya kita sama-sama berdoa’a:
Ya Allah, hanya Engkau jua tempat kami berlindung, maka lindungilah kami, dari bahaya COVID-19, dari serangan dan jangkitannya. Jika wabak ini bersebab dari dosa-dosa manusia, maka Engkau ampunkanlah. Sesungguhnya, hanya Engkau jua Yang Maha berhak untuk memberikan pengampunan. Ameen Ya Rabbal ‘Alameen.
Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
