TITAH PERUTUSAN KHAS
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN,
 SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
 
TAHUN 1443H/2021M
 
 

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillaahir Rahmaanir Raheem

Alhamdulillah Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyrafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Dengan bertawakal dan merendah diri kepada Allah, Beta terpanggil untuk menyampaikan perutusan ini, bersabit dengan perkembangan terbaharu Pandemik Koronavirus di negara kita.

Selama lebih setahun, Brunei Darussalam telah dapat menikmati keadaan selamat (sunyi) daripada jangkitan. Alhamdulillah, kita tidak lupa bersyukur kehadhrat Allah Subhanahu Wata’ala di atas nikmat ini. Kerana kita sedar, bahawa tidak akan berlaku sesuatu itu, kalau bukan dengan izin dan kehendak Allah jua.

Maka demikian itulah yang sudah terjadi ke atas Brunei. Namun pada 7hb Ogos 2021, kita tiba-tiba dikejutkan oleh jangkitan tempatan, yang membabitkan 7 individu. Jangkitan ini meningkat pada hari-hari berikutnya, yang tentu saja menambahkan kebimbangan.

Tetapi kita selaku umat yang berakidah, tetap sahaja menaruh harapan, bahawa Allah akan memperkenankan do’a kita untuk membersihkan semula bumi Darussalam ini daripada wabak koronavirus, insya Allah.

Selaku umat yang berakidah kita memahami, bahawa tiada turun sesuatu bala, melainkan hanya kerana dosa jua, dan tiada berundur bala itu, kecuali dengan taubat atau istighfar sahaja.

Ini, dari sejak lama lagi telahpun diisyaratkan oleh Allah, sebagaimana firman-Nya dalam Surah Hud, ayat 52 tafsirnya:

“Wahai kaumku! Mintalah ampun kepada Tuhan kamu, kemudian kembalilah ta’at kepada-Nya, supaya Dia menghantarkan kepada kamu hujan yang lebat (yakni rahmat), dan akan menambahkan lagi kekuatan kamu di samping kekuatan yang sedia ada, dan janganlah kamu membelakangi suruhanKu dengan terus melakukan dosa.”

Inilah antara ayat istighfar, yang menggalakkan kita supaya bertaubat, dan manakala taubat itu telah berlaku, maka Allah pun berjanji akan menurunkan rahmat-Nya, termasuk insya Allah, dengan menarik balik bala bencana dan penyakit, bahkan akan menambahkan lagi kekuatan kita yang sedia ada. Adapun kekuatan itu di sini, boleh saja disebut sebagai kesihatan, kemakmuran dan keselamatan, insya Allah.

Kita selaku hamba Allah, janganlah malu mengaku berdosa dan berat untuk bertaubat. Kita tidak tahu, berapa banyakkah dosa kita, sama ada yang dilakukan secara sedar atau tidak sedar, semua itu pembasuhnya, hanyalah satu sahaja, iaitu istighfar atau taubat.

Kalau membasuh tangan dengan air atau sanitizer, tetapi membasuh dosa adalah dengan istighfar dan taubat.

Maka marilah, sama-sama kita munajat mengikhlaskan diri dan merafa’kan tangan ke langit berdo’a:

“Ya Allah, ya Tuhan kami, kiranya kami ini sudah terlanjur mengkufuri nikmat-Mu dengan kelakuan-kelakuan kami yang Engkau tidak redhai, maka Engkau ampunkanlah kami, dan kasihanilah kami dengan menarik balik wabak koronavirus daripada negara kami. Ya Allah mohon, supaya Engkau bersihkan negara kami ini daripada wabak sebersih-bersihnya. Amin. Wahasbunallahu Wani’malwakeel, Walahaula Walaa Qowwata Illa Billahil ‘Aliyyil ‘Azeem. Walhamdu Lillahi Rabbil ‘Aalameen.

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.