Titah KDYMM Sempena Sambutan Maulud Nabi Muhammad SAW Bagi Tahun 1447H / 2025M

TITAH PERUTUSAN

KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN, SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM

SEMPENA SAMBUTAN MAULUD NABI MUHAMMAD
SHALLALLAHU ‘ALAIHI WASALLAM

BAGI TAHUN 1447H / 2025M

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillaahir Rahmaanir Raheem​

Alhamdulillah Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Alhamdulillah, Beta merafa’kan syukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana dengan limpah rahmatNya jua, dapatlah kita meraikan lagi peristiwa agung kelahiran Nabi Muhammad Shallallahu ‘Alaihi Wasallam, bagi Tahun 1447 Hijrah.

Tema Sambutan Maulud Nabi Muhammad Shallallahu ‘Alaihi Wasallam Peringkat Negara bagi tahun ini ialah: “Rasulullah ​Shallallahu ‘Alaihi Wasallam Teladan Keluarga Sakinah, Mawaddah Warahmah” adalah merupakan satu pengajaran penting dalam memperkasa institusi kekeluargaan dan pendidikan rohani umat Islam. Keluarga yang dibangun berdasarkan keimanan, ketaqwaan dan cinta kepada Allah Subhanahu Wata’ala akan membentuk kepada keluarga yang penuh dengan ketenangan, kasih sayang dan rahmat. Rasulullah sebagai suami, ayah dan ketua keluarga, telah mengajarkan bagaimana mewujudkan ketenangan, kasih sayang dan belas kasihan dalam rumah tangga.

Peranan Rasulullah adalah bermula selaku pendidik dan pembina keluarga. Baginda mengajarkan sifat ihsan atau kasih sayang, adil dan bertanggungjawab. Kita semua mempunyai tanggungjawab sebagaimana ianya berungkap dalam sebuah Hadits Baginda riwayat Al-Bukhari dan Muslim bermaksud: “Setiap daripada kamu adalah pemimpin, dan setiap daripada kamu akan dipertanggungjawabkan terhadap yang dipimpinnya.”

Pada hemat Beta, contoh ini yang perlu kita ikut untuk membina dan mendidik anak-anak menjadi insan yang berakhlak mulia dan jauh dari gejala-gejala buruk seperti buli yang sering kita dengar ketika ini. Ingin Beta tegaskan, perkara seperti ini jangan sampai berlaku di Brunei. Beta tidak mahu adanya di kalangan belia-belia, pelajar-pelajar dan kanak-kanak sekolah di bawah umur di negara ini yang terjerumus, terpengaruh atau terikut-ikut dengan sebarang gejala buruk dan salah laku. Ini bukan budaya Brunei, budaya kita bersumber dari ajaran Rasullulah yang lurus lagi sempurna.

Oleh itu, Beta menyarankan kepada Kementerian Pendidikan dan semua Institusi-Institusi Pengajian awam dan swasta, supaya memperketatkan pemantauan serta meningkatkan pendidikan akhlak kepada para pelajar sejak dari peringkat rendah lagi hingga ke peringkat tinggi.

Alhamdulillah, Beta mengambil maklum bahawa Kementerian Hal Ehwal Ugama dengan usahasama Kementerian Kesihatan dan Kementerian Kebudayaan Belia dan Sukan, serta Majlis AIDS Brunei Darussalam, telah sama-sama berganding bahu untuk manganjurkan satu Program Perkhemahan Remaja Active and Admirable, Charismatic and Excellent (A.C.E) yang dinamakan “Husnul Khuluqi” iaitu satu program remaja di negara ini menjadi muslim sejati melalui aktiviti yang berorientasikan Tarbiyyah Islamiah.

Beta yakin, jika usaha untuk membentuk peribadi muslim seperti ini diserapkan dalam sistem pendidikan negara, maka gejala-gejala sosial di negara ini akan dapat dibendung dan terus terkawal. Selain itu, negara juga akan mudah melahirkan generasi muda, yang bukan sahaja berilmu dan berkemahiran, malahan juga berakhlak mulia.

Beta ingin menyeru semua lapisan masyarakat di Negara Brunei Darussalam merenung kasih sayang Rasulullah yang tulus, kesabaran yang dimilikinya dan keadilan yang diperjuangkannya untuk sama-sama dicontohi dengan mendalam dan dipraktikkan dengan bersungguh-sungguh.​

Untuk akhirnya, Beta berdo’a semoga Allah Subhanahu Wata’ala mengurniakan keberkatan dan perlindungan kepada Negara Brunei Darussalam yang kita cintai ini. Semoga kita semua dapat meneladani Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam dalam setiap aspek kehidupan untuk mencapai kebahagiaan dan keberkatan dunia akhirat.
​​​​
​Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalmu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.​

* * *​​​