Titah KDYMM Sempena Majlis Konvokesyen Kali Ke-13 Universiti Teknologi Brunei (UTB)
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah
Majlis Konvokesyen Kali Ke-13
Universiti Teknologi Brunei
(UTB)
Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillaahir Rahmaanir Raheem
Alhamdulillah Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.
Beta bersyukur kehadrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana dapat hadir ke Majlis Konvokesyen Universiti Teknologi Brunei (UTB) Kali Ke-13 pada hari ini.
Di kesempatan ini, Beta terlebih dahulu mengucapkan setinggi-tinggi tahniah dan syabas kepada para graduan di atas kejayaan mereka menamatkan pengajian masing-masing. Semoga jadi pemangkin kepada kecemerlangan di masa akan datang. Ucapan tahniah juga Beta tujukan kepada ibu bapa dan penjaga serta tenaga pengajar yang secara konsisten telah mendorong para graduan sehingga beroleh kejayaan.
Pada Majlis Konvokesyen UTB Kali Ke-8 yang berlangsung pada 16hb., November, 2020, Beta telah melancarkan Majlis Penulisan Mushaf UTB dan menzahirkan titah bahawa Mushaf ini akan menjadi kepala dalam setiap perarakan Majlis Konvokesyen UTB. Ini menandakan bahawa UTB tidak ketinggalan dalam memertabatkan Mushaf sebagai “lambang ilmu yang tidak ada tolok bandingnya.” Alhamdulillah, pada hari ini, buat julung kalinya, Mushaf UTB tulisan tangan telah dijulang dan diarak sebagai mengetuai perarakan Majlis Konvokesyen pada pagi ini.
Beta ucapkan syabas kepada kejayaan ini.
Beta ingin merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada UTB atas penampilan sulung dalam kedudukan Dunia Times Higher Education 2025 yang berprestij. Sementara itu, kedudukan terkini dalam QS World University Ranking 2026 menunjukkan bahawa UTB kini berada pada tangga ke-9 di kalangan Universiti Kejuruteraan dan Teknologi di ASEAN. Syabas atas pencapaian ini.
Beta gembira mengetahui bahawa prestasi Institusi Pengajian Tinggi di negara ini dalam kedudukan ranking dunia adalah selaras dengan aspirasi ke arah mencapai sasaran matlamat Wawasan Brunei 2035 berlandaskan kepada konsep Melayu Islam Beraja.
Beta berharap usaha institusi-institusi pengajian tinggi untuk memberi impak di persada global dapat diteruskan.
Beta ingin mengingatkan kepada UTB untuk bukan sahaja memfokuskan kepada pencapaian akademik sahaja bahkan meningkatkan kemudahan-kemudahan pengajaran dan pembelajaran bagi para tenaga pengajar dan penuntut UTB.
Menyentuh mengenai inovasi, pada hemat Beta, UTB telah mecapai kematangan dengan kurikulum pembelajaran dan penyelidikan dan telah berhasil memberi impak signifikan kepada budaya inovasi.
Dalam peringkat kebangsaan dan ASEAN, UTB telah berjaya memajukan pemikiran inovatif melalui penganjuran Pertandingan CIPTA Duli Pengiran Muda Mahkota selama dua (2) dekad. Pertandingan CIPTA berfungsi sebagai platform untuk mengetengahkan idea-idea bernas yang mampu memberikan impak signifikan dan menjadi sebahagian daripada gerakan inovasi global.
Inovasi yang Beta maksudkan di sini adalah penyelesaian teknologi global melalui kecerdasan buatan (A.I), teknologi iklim dan teknologi mendalam atau deep tech untuk memacu kemampanan dan membentuk semula hala tuju industri.
Beta berharap agar semua pihak akan dapat bersama-sama mendokong usaha ke arah memastikan budaya inovasi ini boleh menyumbang kepada perkembangan ekonomi yang mampan dalam menjana peluang pekerjaan kepada graduan-graduan tempatan.
Beta turut difahamkan bahawa UTB mempunyai kerjasama yang rapat bersama industri melalui penyelidikan dan inovasi dalam kampus seperti projek Solar Farm dan projek Electric Vehicles (EV) serta Stesen Pengecasan EV.Makmal-makmal yang sedia ada dalam kampus iaitu Huawei ICT Academy, CISCO Networking Academy, AI Machinery Lab dan Sand Retention Innovation Lab juga menyokong pembangunan UTB sebagai sebuah hab inovasi.
Kerjasama yang terjalin antara UTB dan industri adalah merupakan peluang untuk membangun inisiatif serta keupayaan penyelidikan dan inovasi. Beta menasihatkan supaya UTB, bersama institusi pengajian tinggi yang lain, terus bekerjasama dengan pihak-pihak berkepentingan melalui platform inovasi negara yang sedia ada.
Beta juga ingin menyeru kepada graduan-graduan untuk menggunakan ilmu yang ada khususnya dengan kepesatan teknologi dan kecerdasan buatan (A.I) untuk meneroka industri-industri baru khususnya industri digital dan kreatif untuk mempelbagaikan lagi ekonomi dan membukakan lebih banyak peluang-peluang pekerjaan atau keusahawanan.
Sebelum mengakhiri titah ini, Beta menyeru semua pihak, lebih-lebih lagi kepada pihak pengurusan pendidikan supaya budaya dan amalan yang baik dikukuhkan. Budaya dan amalan yang baik itu adalah yang diajarkan oleh Islam iaitu berlaku ihsan kepada sesama sendiri dan bahkan kepada sesiapa sahaja di luar kalangan kita. Dengan adanya budaya dan amalan yang baik ini, apa-apa pun gejala yang kurang sihat tidak akan bertapak di negara ini umpamanya gejala penyalahgunaan dadah dan gejala buli dalam apa jua bentuk sekalipun.
Akhirnya, Beta merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua warga Universiti Teknologi Brunei, yang merangkumi Ahli-Ahli Majlis dan Senat, Naib Canselor, Pegawai-Pegawai Utama, ahli akademik, pegawai dan kakitangan atas segala sumbangan dan perkhidmatan mereka. Beta berdo’a semoga Allah Subhanahu Wata’ala akan memberkati segala usaha kita dan mengurniakan ganjaran yang berlipat ganda.
Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Waramatullahi Wabarakatuh.
* * *
