Titah KDYMM Bersempena Sambutan Hari Belia Kebangsaan Kali Ke-20, 2025
TITAH
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN, SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
BERSEMPENA
SAMBUTAN HARI BELIA KEBANGSAAAN
KALI KE-20, 2025
TEMA: ‘BELIA SIAGA MASA DEPAN’
PADA HARI SABTU
22 SAFAR 1447 / 16 OGOS 2025
BERTEMPAT
PUSAT PERSIDANGAN ANTARABANGSA,
NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillaahir Rahmaanir Raheem
Alhamdulillah Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.
Beta bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala, di atas limpah rahmat-Nya kerana dapat bersama-sama menghadiri Perhimpunan Hari Belia Kebangsaan Kali ke-20 pada pagi ini.
Generasi belia masa kini memiliki semangat dan potensi kepimpinan yang tinggi. Transformasi positif yang ditunjukkan oleh golongan belia memberi gambaran jelas bahawa mereka sanggup menggalas tanggungjawab yang berat selaku pemimpin. Perkara ini penting dalam merealisasikan aspirasi Wawasan Brunei 2035.
Kerajaan Beta sentiasa komited dalam memperkasa belia dan menyediakan persekitaran yang kondusif untuk mereka berkembang.
Bagi mencapai Wawasan Brunei 2035 yang semakin mendekat, para belia turut memainkan peranan penting sebagai Pemacu Transformasi Ekonomi. Beta gembira melihat terdapatnya perubahan ‘mindset’ di kalangan belia dimana belia sekarang sudah berani beralih dari pencari kerja kepada pencipta peluang pekerjaan, dengan meneroka bidang keusahawanan dan perniagaan.
Dalam Bidang Keusahawanan, Beta sedia menyedari bahawa antara cabaran utama yang dihadapi ialah kesukaran mendapatkan pinjaman kewangan (access to funding) bagi memulakan perniagaan. Situasi ini lebih dirasakan oleh golongan belia yang tidak mempunyai rekod prestasi perniagaan dan sumber cagaran (collateral).
Maka kearah ini, Beta sukacita memaklumkan bahawa satu skim pembiayaan mikro patuh-syarak telah diwujudkan, khusus bagi usahawan belia, hasil kolaborasi strategik di antara Kementerian Kebudayaan Belia dan Sukan dan Bank Usahawan Berhad. Skim ini dinamakan ‘BizBelia’ dan memberikan peluang kepada pengusaha-pengusaha belia tempatan untuk mendapatkan sumber kewangan daripada institusi kewangan tempatan. Inisiatif ini diharapkan akan dapat merangsang pertumbuhan dan perkembangan perusahaan belia tempatan dan menjadi teladan kepada institusi-institusi kewangan lain ke arah memudah cara penglibatan lebih ramai para usahawan belia.
Beta menaruh harapan yang tinggi bagi inisiatif ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh golongan belia di negara ini dalam sama-sama meningkatkan pertumbuhan ekonomi negara. Beta turut menaruh keyakinan dengan adanya bimbingan serta dokongan yang padu dari pihak-pihak yang berkenaan, para usahawan belia kita akan mampu menyerlah bukan saja di peringkat kebangsaan malah peringkat antarabangsa.
Namun dalam masa yang sama, Beta turut menzahirkan kebimbangan terhadap Eksploitasi Golongan Belia oleh sindiket-sindiket jenayah yang menawarkan ganjaran lumayan. Beta difahamkan adanya penglibatan beberapa belia tempatan dalam kegiatan penyeludupan dadah rentas sempadan yang didalangi oleh kumpulan pengedaran dadah antarabangsa. Beta juga amat prihatin akan perkembangan di negara jiran di mana terdapat sebilangan golongan belia yang menjadi mangsa sindiket penipuan pekerjaan di luar negara.
Gejala ini bukan sahaja mengancam masa depan belia tetapi juga keselamatan dan keharmonian masyarakat. Usaha membanteras sindiket berkenaan wajar diperkukuh melalui pendekatan menyeluruh, meliputi pendidikan serta kesedaran, penguatkuasaan undang-undang, dan sokongan para komuniti.
Para belia sendiri wajar diseru untuk memperkukuh jati diri melalui ilmu ugama serta nilai Melayu Islam Beraja demi mempertahankan masa depan yang cemerlang dan bermartabat.
Belia juga wajar diseru supaya sedia bekerjasama dengan semua golongan masyarakat termasuk warga emas demi sama-sama mencorakkan masa depan negara yang harmoni.
Akhirnya, bersempena Sambutan Hari Belia Kebangsaan ini, Beta tidak lupa mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada semua golongan belia di negara ini atas komitmen mereka untuk sama-sama membangun dan memajukan negara.
Beta amat menghargai segala usaha dan sumbangan golongan belia dalam pelbagai bidang. Sesungguhnya, belia adalah tonggak harapan bagi masa depan yang gemilang.
Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
***
