Titah Perutusan KDYMM Sempena Menyambut Awal Bulan Ramadhan Bagi Tahun 1446H / 2025M
TITAH PERUTUSAN
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN, SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
SEMPENA
MENYAMBUT AWAL BULAN
RAMADHAN BAGI TAHUN 1446H / 2025M
Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillaahir Rahmaanir Raheem
Alhamdulillah Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.
Rakyat Beta yang berugama Islam yang Beta kasihi, marilah kita bersama-sama mengalu-alukan kehadiran Ramadhan. Ramadhan adalah penghulu segala bulan. Darjatnya sangat tinggi di sisi Allah Subhanahu Wata’ala. Di dalamnya Al-Qur’an diturunkan.
Kelebihan Ramadhan sangat istimewa, sebagaimana hadith-hadith Nabi Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wasallam memberitahu, di antaranya baginda bersabda, maksudnya:
“Bulan Ramadhan ke bulan Ramadhan, hari Juma’at ke hari Juma’at, dan satu sembahyang ke sembahyang yang lain adalah penebus dosa di antara keduanya, selama mana segala dosa besar dijauhi”.
Bersabda lagi baginda, maksudnya:
“Bulan Ramadhan adalah bulan Sabar, dan ganjaran dari kesabaran itu adalah masuk syurga”.
Seterusnya Nabi Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda lagi, maksudnya:
“Awal Ramadhan ialah rahmat, ditengah-tengahnya pengampunan, dan di akhirnya bebas dari api neraka”.
Dengan mengetahui kelebihan-kelebihan ini, semua kita, tentu sahaja akan bertambah sayang kepada Ramadhan, dan tanda sayang kita itu, kita akan menghiasinya dengan ibadat-ibadat, selain ibadat puasa sendiri.
Terdapat riwayat menyebut, bahawa semua pintu langit dan pintu syurga dibuka pada bulan Ramadhan, manakala pintu-pintu neraka pula ditutup dan semua iblis serta syaitan dirantai, supaya mereka tidak dapat mengacau kita Umat Islam yang sedang berpuasa.
Riwayat lain juga menyebut bahawa siapa yang menghampiri diri kepada Allah Subhanahu Wata’ala, dengan satu sembahyang dalam bulan Ramadhan, adalah sama imbangannya dengan tujuh puluh (70) sembahyang pada lain-lain bulan. Dan satu sembahyang sunat, sama imbangannya dengan satu sembahyang fardhu.
Demikian, hebatnya kelebihan Ramadhan. Oleh itu, Beta berharap, kita umat Islam, janganlah mengabaikan kelebihan ini dan memanfaatkan peluang yang cuma didapat, sekali sahaja dalam setahun dengan melakukan ibadat-ibadat seperti bertadarus Al-Qur’an, Sembahyang Tarawih, Qiamullail, sedekah dan lain-lain.
Menyentuh mengenai ibadat Qiamullail, iaitu amalan sunat yang dikerjakan pada waktu malam bagi merapatkan diri kepada Allah Subhanahu Wata’ala. Pada hemat Beta, kita selaku umat Islam perlu terus berusaha untuk menghidupkan malam-malam di bulan Ramadhan melalui amalan Qiamullail yang dilakukan secara bersendirian atau berjemaah sama ada dengan keluarga masing-masing atau di Masjid dan Surau. Dalam hal ini, Beta amat menghargai usaha berterusan oleh pihak-pihak berkenaan untuk mengadakan Ibadat Qiamullail secara berjemaah di Masjid-Masjid, di Surau-Surau di seluruh Negara, lebih-lebih lagi pada sepuluh (10) malam terakhir di bulan Ramadhan.
Terutama yang mahu dipelihara ialah ibadat puasa sendiri. Sebulan penuh kita berpuasa, hendaklah sebulan penuh juga puasa kita diterima.
Bagaimanakah caranya untuk puasa diterima?
Berkata ulama: “Janganlah membuat dosa dan hindari segala perkara yang boleh merosakkan puasa”, sebagaimana peringatan telah diberikan oleh Nabi Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wasallam. Maksudnya:
“Puasa itu adalah pendinding. Maka manakala seorang kamu berpuasa, hendaklah dia tidak bercakap kotor, tidak berlaku jahat (fasik), dan tidak berpura-pura jahil terhadap hukum. Jika orang mencercanya atau mengajaknya berkelahi, maka hendaklah ia berkata: “Sesungguhnya aku sedang berpuasa”.
Selain dari bercakap kotor dan berkelahi boleh merosakkan puasa, Beta melihat yang turut mustahak juga dijaga ialah hal ehwal permakanan. Menjaga permakanan ini sangatlah penting supaya ia bersih dan halal, bukan tercemar oleh unsur haram atau syubhah. Ugama Islam juga sangat mementingkan kesihatan dan di antara langkah paling berkesan untuk mengekalkan kesihatan ialah melalui permakanan. Walaupun permakanan dalam bulan puasa sering didapati pelbagai atau beraneka, kita selaku umat Islam perlu mengelak pembaziran dan makan minum yang berlebih-lebihan dengan mengikuti kaedah yang dituntut dalam hadis Nabi Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wasallam iaitu sukatan: sepertiga untuk makanan, sepertiga lagi untuk minuman dan sepertiga pula untuk bernafas. Jika badan sihat, semua aktiviti peribadatan dapat dilaksanakan dengan sempurna dan kita dapat sama-sama meraih kelebihan pada bulan yang penuh keberkatan ini.
Akhirnya, Beta dan keluarga Beta dengan amat sukacita mengucapkan Selamat Berpuasa kepada seluruh rakyat dan penduduk yang berugama Islam di mana saja mereka berada.
Semoga kita semua sama-sama dapat melaksanakan ibadat puasa dalam keadaan sihat dan sejahtera. Amin.
Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
***
