TITAH
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN, SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
SEMPENA
AWAL TAHUN MASIHI 2026
Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillaahir Rahmaanir Raheem
Alhamdulillah Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.
Alhamdulillah, Beta bersyukur ke hadhrat Allah Subhanahu Wata’ala, di atas limpah rahmat-Nya mengizinkan kita dapat memasuki Tahun Masihi 2026.
Ketika berada di ambang Tahun Baharu Masihi 2026, Beta ingin mengajak semua pihak untuk sama-sama merenung pencapaian kita dan hala tuju yang telah dilalui.
Keadaan tahun lalu masih sahaja menguji kita dengan cabaran-cabaran ekonomi, kesan dari pergolakan global termasuk krisis perubahan iklim yang semakin menghimpit. Namun, rakyat negara ini masih sahaja tetap tenang dan waspada.
Inilah yang kita mahukan untuk menjadi bangsa yang gigih yang sentiasa berani mengharungi cabaran.
Sehubungan itu, Beta berbangga mengetahui kebangkitan golongan muda seperti Brunei Youth Council dan Brunei Young Entrepreneurs, yang tampil membawa perubahan. Sementara dari sudut lain pula, kita juga melihat para petani dan penternak bangkit meningkatkan hasil pengeluaran mereka. Ini adalah petanda baik, selaras dengan hasrat Kerajaan sendiri untuk mencapai sara diri dalam hal ehwal permakanan.
Dalam melangkah ke tahun baharu ini, Kerajaan Beta akan kekal komited untuk meletakkan keutamaan kemajuan ekonomi dan kesejahteraan rakyat melalui peningkatan dan pembaharuan dasar.
Walaupun ekonomi negara mengalami penurunan 1.1 peratus pada enam bulan pertama tahun 2025 berbanding tempoh yang sama tahun 2024, namun asas makroekonomi kita masih sahaja berdayatahan melalui lebihan imbangan perdagangan berjumlah BND4.0 bilion sehingga bulan September, disamping penurunan kadar inflasi sebanyak 0.3 peratus setakat bulan Oktober 2025. Ini jelas menunjukkan betapa kita masih perlu untuk melipat-gandakan lagi usaha merentasi sektor utama dengan lebih berdayasaing.
Insya Allah, kita akan terus meneroka peluang pelaburan, selaras dengan Economic Blueprint melalui sektor-sektor utama. Matlamat kita adalah jelas, iaitu bagi menjana peluang pekerjaan berkualiti tinggi dan memastikan negara kekal relevan serta berdaya saing di pentas serantau dan global.
Ke arah itu, Kerajaan juga akan terus komited menyediakan persekitaran perniagaan yang kondusif, mengukuhkan lagi jaringan dengan rakan-rakan strategik antarabangsa, memperkasa jenama Halal, serta melonjakkan eksport produk industri tempatan yang kini dilihat setanding dengan piawaian antarabangsa.
Dari sudut memperkasa transformasi digital negara pula, selaras dengan aspirasi Wawasan Brunei 2035, Beta telah memperkenankan pelaksanaan projek identiti digital kebangsaan, iaitu Brunei-ID dibawah naungan Pelan Induk Ekonomi Digital 2025, bermula 3 Januari 2026. Ini akan memudahkan lagi proses pengesahan identiti bagi mengakses pelbagai perkhidmatan dalam talian Kerajaan, yang akan memperkukuhkan lagi tadbir urus digital dan menjadi pemangkin kepada pembangunan perkhidmatan awam yang lebih cekap dan selamat, untuk kemudahan rakyat.
Seiring dengan hasrat untuk memacu transformasi negara ke arah penyampaian Perkhidmatan yang lebih dinamik, maka Beta telah memperkenankan pengkorporatan Jabatan Perkhidmatan Pos kepada Syarikat PosBru Sendirian Berhad bermula 01 Januari 2026. Langkah ini adalah khusus untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan kepada Orang awam.
Melalui inisiatif pengkorporatan ini, Beta berharap pihak Kerajaan akan dapat melipat-gandakan lagi usaha transformasi dalam sektor-sektor lain yang memerlukan perkhidmatan Kerajaan yang lebih responsif serta Customer-centric bagi memenuhi keperluan rakyat dan produktiviti sektor perniagaan di negara ini.
Marilah kita mensyukuri keadaan negara yang istimewa, warisan ugama dan budaya yang kukuh serta semangat perpaduan mempertahankan kedaulatan negara tercinta.
Akhirnya, Beta ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua peringkat warga perkhidmatan awam, Angkatan Bersenjata Diraja Brunei, Pasukan Polis Diraja Brunei, pasukan-pasukan beruniform yang lain, termasuk mereka yang berkhidmat di sektor swasta dan badan-badan bukan Kerajaan (NGOs), serta golongan belia, di atas komitmen dan usaha gigih mereka melaksanakan tugas dan tanggungjawab masing-masing sepanjang tahun 2025.
Selamat Tahun Baharu Masihi 2026 kepada seluruh rakyat dan penduduk di negara ini, termasuk mereka yang berada di luar negara.
Semoga Allah Subhanahu Wata’ala memberkati kita semua dan mengurniakan kepada Negara Brunei Darussalam keamanan, kesejahteraan, kemakmuran dan keselamatan yang berpanjangan. Amin.
Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.A
***
