TITAH

KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA

SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI

AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN, SULTAN

DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM

 

SEMPENA MAJLIS

SAMBUTAN HARI GURU

KALI KE-34 TAHUN 2024

 

PUSAT PERSIDANGAN ANTARABANGSA,

NEGARA BRUNEI DARUSSALAM.

 

​​

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillaahir Rahmaanir Raheem​​​​

                Alhamdulillah Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.​​

Bersyukur kita ke hadhrat Allah Subhanahu Wata’ala, kerana dapat hadir bagi meraikan dan memeriahkan Majlis Sambutan Hari Guru Negara Brunei Darussalam Kali Ke-34​ pada tahun ini.

Di kesempatan ini, Beta terlebih dahulu mengucapkan stinggi-tinggi tahniah kepada semua yang bergelar guru atau pendidik atas komitmen dan sumbangan mereka kepada anak bangsa.

Tema sambutan Hari Guru pada tahun ini “Guru Berkualiti Pemacu Transformasi Pendidikan”. Tema ini terus memfokus kepada guru selaku tonggak dan agen perubahan. Transformasi pendidikan bukan terhad kepada teknologi dan infrastruktur canggih semata-mata, tetapi juga bersifat yang lebih besar dari itu. Ini termasuk aspek kesejahteraan untuk semua.

1 November 2023 telah menyaksikan satu transformasi dalam sistem pendidikan di mana mata pelajaran Ugama telah diintregrasikan ke dalam sistem Pendidikan Umum bagi pelajar-pelajar Tahun 2 hingga Tahun 5. Perubahan ini boleh menyumbang kepada penggunaan masa lebih optimum di samping memperluaskan lingkungan aktiviti pembelajaran, tidak hanya terbatas kepada persekitaran bilik darjah. Pendekatan sebegini boleh memperkaya pengalaman pelajar melalui konteks baharu dan sekaligus merangsang kebolehan mereka beradaptasi di dunia yang semakin kompleks dan mencabar. Tetapi ini tidak bermakna pendidikan ugama diabaikan menjadi ke bawah. Semua pihak berkenaan perlu memahami perkara ini.

Menyentuh mengenai persiapan pelajar untuk menghadapi cabaran kehidupan, Negara Brunei Darussalam telah menyertai satu penilaian antarabangsa anjuran Organisation for Economic Cooperation and Development (OECD) iaitu Programme for International Student Assessment (PISA) pada tahun 2022. Alhamdulillah, terdapat peningkatan pencapaian dalam kesemua 3 ruang lingkup yang dinilai, berbanding pencapaian PISA 2018.

Perkembangan yang baik ini, tentunya terhasil dari sokongan berterusan oleh para guru dalam memandaikan anak-anak Brunei. Ini dibuktikan oleh dapatan dari PISA di mana pelajar-pelajar di negara ini merasakan guru-guru mereka sentiasa bersedia memberikan pertolongan atau sokongan. Ini membuktikan betapa faktor guru adalah salah satu penyumbang utama dalam kejayaan pelajar. Oleh itu di kesempatan ini Beta sukacita mengucapkan syabas dan tahniah kepada para guru sekalian atas keprihatinan, komitmen dan pengorbanan mereka kepada pelajar-pelajar kita.

Kerajaan Beta insya Allah akan terus komited menyediakna peluang-peluang pembelajaran di dalam dan luar negeri, melalui pelbagai biasiswa yang ditawarkan. Dan sehubungan dengan itu, Beta menyarankan supaya pihak Kementerian Pendidikan dan Kementerian Hal Ehwal Ugama akan memperkemaskan lagi dasar biasiswa kerajaan dengan membuka peluang lebih luas demi kepentingan pembangunan sumber tenaga manusia. Ini selaras dengan tujuan memantapkan tenaga kerja yang berkualiti.

Dalam suasana pembelanjaran menjurus kepada ekspektasi baharu, maka kesejahteraan para guru pemacu utama perubahan mestilah terus dijaga. Aspek ini penting kerana ia mempengaruhi kerjaya para guru. Bagi memastikan kesejahteraan guru-guru kita dipeduli, maka Beta dengan semangat penuh simpati memperkenankan bagi para guru di bawah kawalan Kementerian Pendidikan dan Kementerian Hal Ehwal Ugama untuk diberikan Cuti Ihsan semasa sesi penggal persekolahan mengikut garis panduan dan syarat yang ditetapkan yang akan berkuatkuasa pada 01 Januari 2025, Beta berharap, Ihsan ini hendaklah akan dapat meningkatkan lagi prestasti dan motivasi para guru.

Akhirnya, Beta dengan tulus ikhlas mengucapkan Selamat Hari Guru kepada semua warga guru di negara ini. Semoga segala usaha serta sumbangan mereka yang sangat berharga itu akan mendapat ganjaran yang berlipat ganda daripada Allah Subhanahu Wata’ala.

Beta juga mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada para penerima Anugerah Hari Guru pada tahun ini. Semoga penganugerahan ini akan menjadi sumber dan inspirasi dan pencetus semangat kepada semua warga guru.

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

* * *