TITAH
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA
PADUKA SERI BAGINDA SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH
IBNI AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN,
SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
SEMPENA SAMBUTAN
HARI PERKHIDMATAN AWAM KE-31
TAHUN 2024
PADA HARI ISNIN:
26 RABIULAWAL, 1446H / 30 SEPTEMBER, 2024M
DEWAN PLENARI
PUSAT PERSIDANGAN ANTARABANGSA, BERAKAS
NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillaahir Rahmaanir Raheem
Alhamdulillah Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.
Beta bersyukur ke hadhrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana dengan limpah rahmatNya jua dapatlah kita berkumpul di Majlis Kemuncak Sambutan Hari Perkhidmatan Awam Ke-31, Tahun 2024 pada pagi ini.
Sesungguhnya sambutan ini adalah merupakan penghormatan kepada mereka yang berkhidmat tanpa mengenal penat lelah, yang memikul tanggungjawab berat, dan sentiasa berusaha untuk kemajuan negara.
Setiap penjawat awam adalah merupakan tulang belakang untuk menjayakan segala rancangan negara. Tanpa usaha mereka, semua rancangan akan terbengkalai dan menempuh jalan buntu.
Sambutan hari perkhidmatan awam bukan setakat untuk meraikan kejayaan dan pencapaian sedia ada, tetapi lebih bermakna ialah untuk kita membina azam ke arah masa depan yang lebih cerah.
Ini ada hubungan dengan tema sambutan, tentang dunia berubah begitu cepat, yang memerlukan perkhidmatan awam lebih bersedia untuk menghadapi cabaran-cabaran baharu yang muncul.
Untuk mencapai matlamat perkhidmatan awam, inovasi dan teknologi adalah kunci utamanya. Melalui teknologi canggih dan pendekatan inovatif, kita tidak hanya meningkatkan efisiensi dan kualiti perkhidmatan, tetapi juga memastikan bahawa setiap yang berkenaan mendapat pengalaman yang sempurna.
Dengan teknologi terkini seperti sistem data besar, kecerdasan buatan dan aplikasi mudah alih, kita akan dapat merumuskan strategi yang lebih baik, meramalkan keperluan masyarakat dengan lebih tepat, dan menyampaikan perkhidmatan dengan lebih berkesan.
Namun, inovasi dalam perkhidmatan awam tidak hanya terhad kepada pengenalan sistem baharu, tetapi juga melibatkan perubahan cara berfikir dan bekerja.
Demikian antara asas tranformasi dalam perkhidmatan awam, yang menuntut perubahan menyeluruh dalam cara bekerja dan berinteraksi dengan masyarakat.
Maka untuk itu, Beta telahpun memperkenankan penubuhan Jawatankuasa Transformasi Perkhidmatan Awam yang diterajui oleh Jabatan Perdana Menteri dengan melibatkan keahlian sektor swasta termasuk Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGOs).
Dengan kepelbagaian keahlian ini nanti, dapatlah diharapkan sebarang dasar atau pembaharuan akan dapat dipertimbangkan secara holistik dengan penekanan kepada pendekatan ‘whole of nation’ dan ‘whole of government’.
Di sini, Beta ingin mengingatkan supaya setiap penjawat awam akan sentiasa memelihara dan menanai misi kerajaan. Walaupun kita sudah banyak mecapai kejayaan, namun kita mesti terus berusaha untuk memperbaiki lagi keupayaan diri.
Dalam dunia yang semakin kompleks, warga penjawat awam perlu mencari peluang-peluang baharu, mencipta nilai tambah dan berfikir ligat untuk melihat perkhidmatan awam terus berada di hadapan.
Pada Majlis Sambutan Kali ini, Beta menyambut baik dan berbesar hati akan dapat melancarkan sebuah buku yang mengetengahkan aspek kepimpinan TOKOH JASAWAN NEGARA, Paduka Ayanhanda Beta, Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien ibni Al-Marhum Sultan Muhammad Jamalul Alam, yang bukan sahaja terkenal dengan kebijaksanaan Baginda dalam hal ehwal kenegaraan, malah juga sangat prihatin terhadap kemajuan perkhimatan awam.
Dengan wawasan Baginda yang jauh ke hadapan, Al-Marhum telah berjaya mengasaskan dasar-dasar pentadbiran yang berdaya maju serta responsif terhadap kepentingan rakyat.
Al-Marhum juga sentiasa menekankan nilai integriti, profesionalisme dan disiplin dikalangan kakitangan awam.
Dalam mengenang kepimpinan Al-Marhum, kita perlu mencontohi nilai-nilai murni dan meneruskan legasi Al-Marhum dalam menjaga dan memajukan perkhidmatan awam demi kemakmuran negara. Semoga Allah Subhanahu Wata’ala merahmati roh Al-Marhum dengan menghimpunkan Baginda ke dalam kalangan hamba-hamba-Nya yang saleh.
Untuk akhirnya, kepada penerima-penerima Anugerah sambutan kali ini, Beta mengucapkan setinggi-tinggi tahniah dan terima kasih atas khidmat yang mereka curahkan.
Semoga penganugerahan ini akan mendorong warga penjawat awam untuk terus bergiat memberikan apa yang terbaik untuk rakyat dan negara.
Beta juga mengucapkan terima kasih dan penghargaan kepada setiap penjawat awam yang masih berkhidmat dan yang telah bersara di atas sumbangan dan jasa bakti mereka kepada pembangunan negara, serta juga kepada semua Jawatankuasa yang terlibat dalam menjayakan Sambutan Hari Perkhidmatan Awam pada tahun ini.
Dengan kalimat Bismillahir Rahmanir Rahim, Allahumma Salli ‘Ala Sayyidina Muhammad, Wa ‘Ala Alihi Wasahbihi Wasallim, Beta dengan sukacita melancarkan Buku Jasawan Perkhidmatan Awam: Meneruskan Legasi Sultan Omar ‘Ali Saifuddien III Tokoh Jasawan Negara.
Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
* * *
