TITAH

KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN, SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
 
SEMPENA
MAJLIS HAFLUT TAKHARRUJ KE-14
UNIVERSITI ISLAM SULTAN SHARIF ALI
 
PADA HARI RABU:
23HB SAFAR 1446/
28HB OGOS 2024
 
BERTEMPAT
PUSAT PERSIDANGAN ANTARABANGSA,
NEGARA BRUNEI DARUSSALAM

  

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillaahir Rahmaanir Raheem

         Alhamdulillah Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Alhamdulillah, Beta bersyukur ke hadhrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana dengan rahmatNya jua dapatlah kita sekali lagi bersama-sama hadir dalam Majlis Haflut Takharruj Kali Ke-14, Universiti Islam Sultan Sharif Ali pada pagi ini.

Beta dengan tulus ikhlas ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada semua graduan yang telah berjaya menyempurnakan pengajian mereka masing-masing. Demikian juga Beta merakamkan ucapan tahniah dan penghargaan yang sama kepada para ibu bapa, penjaga serta para tenaga akademik yang sama-sama memberikan sumbangan bermakna kepada kejayaan yang dicapai oleh para graduan pada hari ini.

UNISSA dalam usianya yang semakin matang telah mencapai beberapa pencapaian yang membanggakan di arena global. Tahniah Beta ucapkan atas peningkatan kedudukan ranking dalam World University Ranking for Innovation (WURI) yang diraih oleh UNISSA pada tahun ini. Ini adalah pengiktirafan berharga daripada badan penilai antarabangsa dan Beta berharap ia akan menjadi pendorong untuk UNISSA menjadi peneraju dalam menyediakan kurikulum dan penyelidikan Islam yang berkualiti tinggi di peringkat kebangsaan mahupun di peringkat global.

Dalam meraikan pencapaian ini, UNISSA hendaklah terus menerus memperkukuh jati diri para graduannya. Aspek etika, akhlak dan integriti adalah elemen yang menjadi asas kepada setiap bentuk program dan aktiviti di UNISSA. Bahkan, pembudayaan integriti ini juga adalah mustahak diterapkan di institusi pengajian tinggi yang lain. Ia sangat penting untuk melahirkan graduan yang bukan sahaja berkualiti dari segi pengetahuan tetapi juga memiliki sikap dan nilai-nilai murni yang diamalkan. Ini sejajar dengan falsafah Melayu Islam Beraja yang menjadi pegangan dan amalan kita orang Brunei.

Pada Majlis Haflut Takharruj yang lepas, Beta ada menyentuh mengenai program undang-undang dan keperluannya kepada negara. Beta juga menyentuh adanya keperluan bagi penubuhan Fakulti Undang-Undang secara berasingan agar Fakulti ini dapat beroperasi dengan lebih teratur dan memberikan tumpuan secara khusus dalam merangka modul atau Kursus Undang-Undang dengan lebih terancang dan berkualiti.

Dalam hal ini, Beta juga telah memperkenankan nama baharu Fakulti ini sebagai Fakulti Undang-Undang Sultan Haji Hassanal Bolkiah. Beta amat berharap agar Fakulti ini memainkan peranan yang signifikan dalam melahirkan para graduan undang-undang yang berkaliber yang diperlukan oleh negara.

UNISSA sebagai sifatnya sebuah universiti Islam tulin, difahami mempunyai pengisian yang tradisional sebagai teras. Namun begitu, Beta melihat pendekatan pengajaran boleh saja dipelbagaikan. Pendekatan dalam pengajaran dan pembelajaran hendaknya tidak mengenepikan kemahiran abad ke-21. Cara pendekatan kemahiran perlu diteroka supaya setiap pelajar dapat menguasainya sebelum tamat tempoh pengajian. Ini penting sebagai bekalan untuk fasa kehidupan seterusnya.

UNISSA turut memainkan peranan dalam memacu inovasi dan perjalanan ekonomi. Dalam pada itu pihak universiti, berserta pemegang dasar dan juga pakar ekonomi, selayaknya sama-sama berusaha untuk melakar strategi yang lebih berkesan dalam memperkembangkan sektor dan industri baharu bagi menyantuni kelayakan para graduan. Perancangan perlu dirangka oleh pihak yang berkepentingan bagi memaksimakan sumber tenaga manusia yang berkelayakan ke arah menyumbang kepada kemajuan negara secara efektif.

Akhirnya, Beta tidak lupa merakamkan ucapan setinggi-tinggi tahniah dan penghargaan kepada seluruh warga UNISSA yang terdiri daripada Ahli-Ahli Majlis, Ahli-Ahli Senat Universiti, Rektor, Pegawai-Pegawai Utama, tenaga akademik dan seluruh pegawai dan kakitangan UNISSA atas segala pengorbanan tenaga, buah fikiran dan masa dalam menjayakan Majlis Haflut Takharruj Ke-14 ini. Semoga Allah Subhanahu Wata’ala akan membalasnya dengan ganjaran yang setimpal kepada mereka.

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

***