TITAH
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN, SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
 
BERSEMPENA
UPACARA PERBARISAN TAMAT
LATIHAN PROGRAM KHIDMAT BAKTI
NEGARA PENGAMBILAN KE DUA BELAS
 
HARI SABTU
28 SYA’ABAN 1445H / 09 MAC 2024M
 
KEM LATIHAN PROGRAM KHIDMAT BAKTI NEGARA, KAMPONG BATU APOI, DAERAH TEMBURONG

 

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillaahir Rahmaanir Raheem

         Alhamdulillah Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Segala puji dan syukur ke hadhrat Allah Subhanahu Wata’ala, kerana mengizinkan kita dapat hadir dan menyaksikan Upacara Perbarisan Tamat Latihan Program Khidmat Bakti Negara Pengambilan Ke-12 pada pagi ini. Beta mengucapkan syabas kepada Pelatih-Pelatih PKBN di atas pertunjukan perbarisan yang penuh semangat sebentar tadi.

Beta dengan besar hati, mengucapkan tahniah kepada semua 469 orang pelatih PKBN Pengambilan Ke-12 di atas kecekalan mereka mengikuti latihan selama 14 minggu dengan penuh semangat dan sabar. Ini bererti, seramai lebih 4,000 belia telahpun berjaya mengikuti latihan ini sejak penubuhan Program Khidmat Bakti Negara 11 tahun yang lalu.

Beta turut berbangga di atas pencapaian ini, sambil tidak lupa merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada para ibu-bapa dan penjaga di atas dorongan dan sokongan mereka untuk menjayakan program ini.

Beta berharap supaya program ini akan terus menghasilkan belia-belia negara yang cemerlang, yang bertanggungjawab dan berdisiplin, yang mempunyai ciri-ciri kepimpinan yang dibanggakan.

Sukat-sukat kepimpinan yang dibanggakan itu ialah, apabila para belia bersedia untuk menyumbangkan khidmat bakti mereka kepada ummah dan negara, walaupun tanpa imbalan berupa mata benda. Kesediaan seperti ini memang sukar didapati, tetapi Beta yakin, para belia kita di negara ini boleh dipercayai sebagai tidak menghampakan.

Terutama para belia diera merdeka, mereka malu untuk menarik diri dari perjuangan memperkasa bangsa dan negara. Mereka sedar, bahawa mereka adalah agen masa depan yang cepat berubah. Mereka tidak sanggup untuk menunggu lama-lama sebarang perubahan yang menjadi sasaran.

Maka lantaran itu, Beta ingin melihat program ini akan dapat dipertingkatkan lagi melalui nilai tambah kearah program yang lebih holistik dan inklusif, termasuk dengan mengambil kira peringkat kecerdasan (level of fitness) dan juga kesihatan mental (mental health) para pelatih. Kearah itu, sokongan dan dokongan oleh institusi keluarga adalah sangat penting dalam sama-sama mewujudkan persekitaran yang kondusif bagi pelatih-pelatih meraih kecemerlangan.

Dengan mengambil kira semua elemen-elemen ini, insya Allah Program Khidmat Bakti Negara akan lebih inklusif dan boleh memberikan kesan yang berpanjangan kepada cara hidup para pelatih sehingga menjadi orang yang berjaya di dunia dan di akhirat.

Sebagai langkah kehadapan, Beta berharap Program Khidmat Bakti Negara ini akan dapat juga melatih lebih ramai lagi para belia seperti melibatkan lepasan-lepasan institusi pendidikan tinggi supaya kesan baik daripadanya boleh memberikan belia-belia kemahiran dan keyakinan untuk menyumbang kepada pembangunan negara dan sekaligus mencapai matlamat Wawasan Negara 2035.

Untuk akhirnya, Beta sekali lagi mengulangi ucapan setinggi-tinggi tahniah kepada semua Pelatih PKBN Pengambilan Ke-12 yang telah berjaya menamatkan latihan mereka. Beta juga tidak lupa merakamkan ucapan penghargaan kepada semua pihak pengurusan dan para jurulatih PKBN atas usaha mereka melatih dan mendidik para Pelatih. Semoga Program Khidmat Bakti Negara, serta Kem PKBN akan terus berkembang maju dan sentiasa di dalam pemeliharaan Allah Subhanahu Wata’ala, Amin Ya Rabbal ‘Alamin.

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

***​​