TITAH PERUTUSAN KHAS
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN, SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
SEMPENA ISTIADAT PERKAHWINAN DIRAJA
TAHUN BARU MASIHI 2024
Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillaahir Rahmaanir Raheem
Alhamdulillah Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.
Rakyat Beta yang dikasihi!
Alhamdulillah, Beta bersyukur kehadhrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana dengan izinNya jua, dapatlah kita bersama-sama meraikan Istiadat Perkahwinan Diraja bagi Paduka Anakda, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen dengan Yang Amat Mulia Pengiran Anak Isteri Anisha Rosnah binti Adam yang baru sahaja berlalu.
Beta dengan tulus ikhlas, merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih di atas sumbangan tenaga yang dihulurkan oleh seluruh lapisan rakyat dan penduduk warga Perkhidmatan Awam, Pasukan Polis Diraja Brunei, Angkatan Bersenjata Diraja Brunei serta mereka yang berkhidmat di sektor swasta, termasuk mereka yang bertugas di luar negara di atas sumbangan dan sokongan mereka bagi menjayakan Istiadat Perkahwinan Diraja Paduka Anakda itu.
Juga tidak lupa dirakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada para tetamu khas Beta yang sudi hadir ke Istiadat ini, dan juga kepada semua pihak yang telah menyembahkan perutusan ucap selamat kepada Beta dan keluarga, khasnya bagi Kedua Pengantin Diraja. Sesungguhnya Beta dan keluarga amat terharu dengan sambutan yang ditunjukkan oleh seluruh lapisan rakyat dan penduduk di negara ini lebih-lebih lagi para penuntut dan tenaga pengajar institusi pendidikan yang terlibat sama, terutamanya pada Istiadat Perarakan Pengantin Diraja mengelilingi Bandar Seri Begawan.
Ini menggambarkan betapa uniknya adat istiadat yang kita warisi sejak sekian lama masih saja tetap terpelihara, sekalipun berhadapan dengan gelombang perubahan zaman.
Lebih membanggakan lagi ialah kemuafakatan dan kerjasama yang terjalin kukuh di kalangan masyarakat pelbagai peringkat, dalam menjayakan satu-satu matlamat berkebajikan.
Beta berharap, keadaan ini akan terus kekal bagi memudahkan kita menjana kemajuan dan mempertahankan kedaulatan Bangsa, Ugama, Negara dan Raja.
Beta juga yakin, rakyat dan penduduk sama-sama bergembira menyaksikan satu peristiwa yang penuh sejarah, Istiadat perkahwinan Diraja yang baru saja berlangsung itu.
Ia tentu saja akan menjadi ristaan dan kenangan manis kepada semua, lebih-lebih lagi bagi generasi-generasi penerus yang akan memastikan adat dan budaya adalah kekal relevan di masa-masa akan datang.
Akhirnya, penghargaan juga disampaikan kepada seluruh Ahli Jawatankuasa di kedua-dua peringkat, Tertinggi dan Kerja, atas segala khidmat usaha untuk menjayakan Istiadat ini.
Beta berdo’a semoga kita semua serta Negara Brunei Darussalam akan sentiasa kekal aman dan makmur, dikurniakan oleh Allah rahmat dan perlindunganNya yang berkekalan. Amin.
Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
***
