TITAH PERUTUSAN
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN, SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
SEMPENA
MENYAMBUT AWAL BULAN RAMADHAN
BAGI TAHUN 1443H/2022M
Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillaahir Rahmaanir Raheem
Alhamdulillah Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.
Alhamdulillah, syukur ke hadhrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana menemukan kita sekali lagi dengan bulan Ramadhan yang mubarak.
Di kesempatan ini, Beta berharap, kita akan sama-sama meningkatkan amal ibadat untuk meraih pahala yang dijanjikan oleh Allah Subhanahu Wata’ala.
Sudah tiga (3) tahun negara menyambut bulan Ramadhan dalam suasana wabak koronavirus masih menular. Tetapi kita umat Islam tetap redha dengan ketentuan Allah ini.
Selaku umat yang beriman, kita tetap konsisten berdo’a, berzikir dan membaca Al-Qur’an untuk menagih rahmat Allah dan juga mendapatkan perlindungan-Nya dari bahaya wabak yang sedang melanda.
Kita yakin, Allah Subhanahu Wata’ala tidak akan mensia-siakan munajat kita, istimewa di bulan Ramadhan yang penuh berkat ini.
Dalam bulan Ramadhan ini, kita akan berpuasa sebulan genap insya Allah, bukan hanya setakat menahan diri daripada makan dan minum, malah juga puasa adalah jihad kita melawan pengaruh hawa nafsu. Bahkan, jihad di sini dinamakan ia ‘jihad besar’, kerana jihad melawan hawa nafsu itu disifatkan sebagai jihad paling sukar lagi mencabar.
Pada hemat Beta, kita kini telah ditakdirkan menghadapi dua keadaan yang sama-sama mencabar, iaitu tuntutan berpuasa dan tuntutan menangani Covid. Beta berharap, dua-dua keadaan ini akan dapat kita hadapi dengan lebih tabah dan sabar.
Telah menjadi tradisi kita, bulan Ramadhan akan kita isi dengan Sembahyang Sunat Tarawih, Bertadarus Al-Qur’an, Qiyamul Lail dan berusaha untuk merebut Lailatul Qadar.
Beta melihat, semua ini boleh saja dilakukan dengan cara yang bersesuaian mengikut perkembangan dan keadaan. Berkat niat kita yang baik untuk beribadat, insya Allah, jalan yang mudah akan disediakan oleh Allah Subhanahu Wata’ala untuk kita.
Selain beberapa ibadat yang tersebut di atas, dalam bulan Ramadhan juga, kita adalah digalakkan untuk membanyakkan sedekah.
Rahsia sedekah sungguh istimewa. Ia bukan sahaja untuk membantu golongan yang memerlukan, tetapi sedekah juga adalah penolak bala dan bahkan ubat penawar untuk menyembuhkan penyakit, sebagaimana Nabi Shallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda, maksudnya : “Ubatilah pesakit-pesakit kamu dengan sedekah”.
Inilah hebatnya Islam, menyediakan wadah untuk kita melakukan pelbagai kebajikan.
Marilah kita sama-sama berdo’a, semoga dengan berkat Ramadhan, Allah Subhanahu Wata’ala akan menerima ibadat dan taubat kita, diampunkan segala dosa serta negara pula beroleh rahmat, bebas dan selamat daripada pelbagai musibah khasnya penularan wabak.
Akhir kalam, Beta dan keluarga Beta dengan tulus ikhlas mengucapkan Selamat Menunaikan Ibadat Puasa didalam keadaan sihat ‘afiat, murah rezeki lagi sejahtera. Amin.
Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
