TITAH
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN, SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
SEMPENA
MAJLIS KONVOKESYEN KALI KE-9
UNIVERSITI TEKNOLOGI BRUNEI
(UTB)
PADA HARI SABTU
10 REJAB 1443 /
12 FEBRUARI 2022
TEMPAT:
PUSAT PERSIDANGAN ANTARABANGSA, BERAKAS
NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillaahir Rahmaanir Raheem
Alhamdulillah Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.
Beta bersyukur kehadhrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana dapat pula hadhir ke Majlis Konvokesyen Kali Ke-9 Universiti Teknologi Brunei pada hari ini.
Dikesempatan ini, Beta terlebih dahulu mengucapkan setinggi-tinggi tahniah dan syabas kepada para graduan di atas kejayaan mereka menamatkan pengajian masing-masing. Semoga kejayaan ini akan menjadi pemangkin kepada kecemerlangan di masa akan datang. Ucapan tahniah juga Beta tujukan kepada para ibu bapa dan penjaga serta tenaga pengajar yang secara konsisten mendorong para graduan sehingga beroleh kejayaan.
Beta amat gembira dengan kejayaan UTB meraih kecemerlangan dalam penarafan Bintang 5-Plus oleh QS Star Rating. Pencapaian ini adalah bukti ketangkasan UTB melonjakkan UTB kepada piawaian global.
Perkara lain yang juga menggembirakan ialah kejayaan UTB dalam meraih kedudukan ke-344 di QS World University Rankings, Ke-126 di QS Asia University Ranking dan tempat ke-40 di Asia bagi universiti di bawah umur 50 tahun.
Beta juga mengambil maklum bahawa sejak 2018, UTB telah naik 98 anak tangga dan meningkat tiga kali serta tidak menunjukkan prestasi negatif. Kejayaan ini telah meletakkan UTB di hadapan beberapa buah universiti berprestij.
Manakala, laporan QS Subject Ranking juga telah mendedahkan pada julung kalinya bahawa program Kejuruteraan Petroleum UTB telah mencapai tangga 150 teratas dan program Kejuruteraan Awam dan Struktur, meraih 5 bintang. Beta ucapkan syabas di atas kejayaan ini.
Pada tahun 2019, Beta pernah bertitah untuk mengemaskini program-program yang ditawarkan supaya relevan dengan keperluan semasa.
Dalam hubungan ini, Beta dimaklumkan bahawa UTB kini telah menawarkan beberapa program baru yang telah dikaji mengikut keperluan dan trend semasa. Program-program tersebut antara lain adalah dihasratkan untuk mendukung keperluan dan perkembangan negara.
Beta difahamkan bahawa Majlis Konvokesyen pada kali ini akan menyaksikan penganugerahan sulung bagi ijazah Sarjana Muda Sains dalam Architecture, Data Analytics, Matematik Gunaan dan Ekonomi serta Sains Makanan dan Teknologi.
Manakala program-program Ijazah Sarjana Muda Sains dan Teknologi kecuali Kejuruteraan telah dipendekkan kepada 3 tahun. Sehubungan itu, Beta menasihatkan supaya kesempatan ini dapat digunakan untuk menyemak sumber keperluan tenaga pekerja secara menyeluruh menurut keperluan kepakaran.
Beta juga menyambut baik mengenai kerjasama berterusan UTB dengan pihak industri, termasuk kerjasama UTB dengan Brunei Shell Petroleum dan Shell Deepwater Borneo untuk menubuhkan Artificial Intelligence Lab di UTB, yang merupakan “Gift to the Nation”. Manakala kerjasama dengan Makmal Akademi ICT Huawei adalah melalui pensijilan nilai tambah kepada pasaran pekerjaan global dalam bidang ICT.
Selain itu, UTB dan AITI juga akan menubuhkan makmal 5G bagi 5G Use Cases Showcases dalam kampus. Program artikulasi di antara UTB dan Micronet International College dalam Ijazah Sains Pengkomputeran akan melahirkan lebih ramai graduan dalam bidang multimedia dan network security. Beta gembira dengan langkah dan inisiatif-inisiatif UTB dalam mendukung hasrat negara ke arah Smart Nation yang dipacu oleh lanskap Teknologi Digital dalam Kerajaan, Ekonomi dan Masyarakat.
Melalui usaha-usaha ini, Beta berharap UTB akan dapat mempertingkatkan lagi penyelidikannya dengan menumpukan bidang-bidang pengkhususan seperti sains dan teknologi makanan, nanoteknologi, teknologi industri hiliran, sains bahan dan artificial intelligence. Ini akan dapat menyumbang kepada penghasilan penerbitan, patent dan juga pengkomersialan yang akan dapat menjana pertumbuhan ekonomi negara kita.
Akhirnya, Beta sekali lagi mengucapkan tahniah kepada para graduan yang diraikan. Beta berharap agar semua graduan dapat memberi sumbangan yang positif kepada ekonomi negara sebagai tenaga kerja yang memiliki growth mindset dan lebih bersedia dalam menghadapi cabaran dan merebut peluang daripada perkembangan teknologi dan perubahan global yang pesat.
Beta turut merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua warga UTB, yang merangkumi Ahli-Ahli Majlis dan Senat, Naib Canselor, PegawaiPegawai Utama, Ahli Akademik, pegawai dan kakitangan atas segala sumbangan dan perkhidmatan mereka. Beta berdo’a semoga Allah Subhanahu Wata’ala akan memberkati segala usaha kita dan mengurniakan ganjaran yang berlipat ganda.
Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
