TITAH
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN, SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
SEMPENA
UPACARA SOVEREIGN’S PARADE
PENGAMBILAN KE DUA PULUH
SEKOLAH PEGAWAI KADET,
AKADEMI PERTAHANAN
ANGKATAN BERSENJATA DIRAJA BRUNEI
PADA HARI KHAMIS
10 JAMADILAKHIR 1443 / 13 JANUARI 2022
BERTEMPAT
PADANG KAWAD AKADEMI PERTAHANAN
ANGKATAN BERSENJATA DIRAJA BRUNEI
KAMPUNG TANAH JAMBU
Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillaahir Rahmaanir Raheem
Alhamdulillah Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.
Alhamdulillah kita syukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana mengizinkan kita dapat sama-sama hadhir untuk menyaksikan Upacara Sovereign’s Parade Pengambilan Ke Dua Puluh (20), Sekolah Pegawai Kadet Akademi Pertahanan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei.
Tahniah dan Syabas kepada Lapan Puluh Satu (81) orang Pegawai Kadet yang telah berjaya menamatkan latihan mereka serta sekaligus mempamerkan penampilan yang kemas dan bersemangat di perbarisan sebentar tadi, setelah menamatkan latihan selama setahun, dan kini bersedia pula untuk memikul tanggungjawab sebagai pegawai atau pemimpin muda di Angkatan Bersenjata Diraja Brunei.
Penghargaan dan ucapan tahniah juga Beta tujukan kepada para ibu bapa, penjaga dan ahli keluarga atas sokongan dan do’a untuk kejayaan anak-anak mereka mengikuti latihan Pegawai-Pegawai Kadet Ke Dua Puluh (20) ini.
Sekolah Pegawai Kadet Akademi Pertahanan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei adalah merupakan wadah penting dalam membentuk syakhsiah Pegawai Tentera dalam Angkatan Bersenjata Diraja Brunei. Oleh itu, bagi Sekolah Pegawai Kadet ini, mustahaklah ia sentiasa relevan untuk melahirkan barisan pemimpin Angkatan Bersenjata Diraja Brunei yang berkualiti.
Disamping menitikberatkan latihan ketenteraan dan kepimpinan, Sekolah Pegawai Kadet juga perlu menekankan penerapan kerohanian supaya Pegawai-Pegawai Tentera mempunyai disiplin yang teguh, bercirikan nilai-nilai teras Angkatan Bersenjata Diraja Brunei dan falsafah Melayu Islam Beraja.
Dengan kelahiran terbaru 81 orang pegawai pada hari ini, alhamdulillah, Sekolah Pegawai Kadet telah berjaya menghasilkan seramai 606 orang para Pegawai Tentera dari dua puluh (20) pengambilan.
Beta melihat, Sekolah Pegawai Kadet Akademi Pertahanan kini, sudahpun mampu untuk menerima kemasukan Pegawai-Pegawai Kadet dari negara-negara sahabat, khususnya di rantau ini, bagi mengikuti latihan Pegawai Kadet di Negara Brunei Darussalam.
Membuka peluang ini bukan sahaja akan meningkatkan lagi hubungan diplomasi pertahanan yang sedia ada, malah juga mampu untuk menaikkan profil dan pengiktirafan Sekolah Pegawai Kadet Akademi Pertahanan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei khasnya, dan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei amnya di peringkat serantau dan antarabangsa.
Dalam sudut yang berkaitan, Beta sangat menghargai sumbangan dan komitmen Angkatan Bersenjata Diraja Brunei selaku sebuah institusi pertahanan negara yang sentiasa siap siaga menunaikan amanah menjaga keselamatan dan keamanan negara. Ini terbukti, bilamana Angkatan Bersenjata Diraja Brunei bersama-sama dengan agensi-agensi Kerajaan dan bukan Kerajaan telah memainkan peranan utama dalam menangani penularan COVID-19. Beta berharap usaha-usaha yang terpuji seperti ini akan dapat disumbangkan secara berterusan.
Akhirnya, Beta sekali lagi mengucapkan tahniah kepada pegawai-pegawai kadet yang baru saja menamatkan latihan mereka. Beta juga tidak lupa merakamkan ucapan penghargaan kepada Komandan, Pegawai Pemerintah, Ketua Pengambilan, Pegawai-Pegawai, Colour Sergeant, Jurulatih dan Staf Sekolah Pegawai Kadet atas kegigihan dan pengorbanan mereka menjayakan latihan dan Upacara Sovereign’s Parade pada pagi ini. Beta berdo’a, semoga kita semua dapat taufeq dan ‘inayah Allah Subhanahu Wata’ala serta Sekolah Pegawai Kadet Akademi Pertahanan akan bergerak terus ke hadapan, memacu kejayaan dan kecemerlangan.
Dengan lafaz Bismillahir Rahmanir Rahim, selawat dan salam ke atas junjungan besar kita, Nabi Muhammad Shallallahu ‘Alaihi Wassalam, maka Beta kurniakan tauliah Sebagai Pegawai Angkatan Bersenjata Diraja Brunei kepada Lapan Puluh Satu (81) Pegawai Pengambilan Ke Dua Puluh (20).
Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
