TITAH
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN,
SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
SEMPENA
MAJLIS HAFLUT TAKHARRUJ KE-10
UNIVERSITI ISLAM SULTAN SHARIF ALI
PADA:
Hari Isnin
23HB Rabiulawal 1442
09HB November 2020
Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillaahir Rahmaanir Raheem
Alhamdulillah Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.
Beta bersyukur ke hadhrat Allah Subhanahu Wata’ala, kerana mengizinkan kita dapat sama-sama berhimpun di Majlis Haflut Takharruj kali ke-10, Universiti Islam Sultan Sharif Ali pada pagi ini.
Haflut Takharruj kali ini, sedikit berbeza dari tahun-tahun yang lalu. Ada pun sebabnya, telah dimaklumi bersama.
Beta menyifatkan Majlis Haflut Takharruj UNISSA pada kali ini sangatlah bermakna dan bersejarah, kerana bertepatan dengan 10 tahun UNISSA mengeluarkan graduannya, Mushaf UNISSA tulisan tangan, buat julung kalinya, telah dijulang dan diarak sebagai mengepalai perarakan Haflut Takharruj pada kali ini.
Beta gembira mengetahui, bahawa Mushaf UNISSA ini telah ditulis tangan dan direka bentuk sepenuhnya oleh anak tempatan. Ini adalah merupakan kejayaan sangat bermakna dan sekaligus menjulang syi’ar Islam di negara ini.
Beta ingin merakamkan ucapan setinggi-tinggi tahniah dan penghargaan kepada Jawatankuasa Tertinggi Penulisan Mushaf UNISSA dan juga semua pihak yang terlibat dalam menjayakannya.
Dalam tempoh satu dekad Haflut Takharruj berlangsung, tidak dinafikan bahawa UNISSA telah meraih banyak kejayaan. Namun ia bukanlah ‘titik noktah’ untuk berhenti berusaha. Kerana pendidikan, sifatnya bukanlah mati, tetapi dinamik dan progresif.
Keperluan pendidikan dalam satu dekad yang lalu adalah tidak sama dengan keperluan masa kini yang telah memasuki fasa digital. Dalam era digital, dunia pendidikan memerlukan pendekatan pengajaran dan pembelajaran yang berbeza daripada sebelumnya.
Maka untuk itu, berasaskan al-Qur’an al-Karim selaku sumber ilmu, termasuk ilmu sains dan teknologi, maka Beta dengan sukacita memperkenankan penubuhan Fakulti Teknologi Islam atau Faculty of Islamic Technology di UNISSA. Penerokaan baru oleh UNISSA ini adalah merupakan satu usaha proaktif bagi membongkar lebih banyak lagi khazanah keilmuan dari al-Qur’an dan alHadits. Beta berharap penubuhan fakulti baru ini akan mencetuskan penyelidikan yang bernilai tinggi.
Mengambil sukut hari yang baik ini, Beta tidak lupa mengucapkan syabas dan tahniah kepada para graduan yang telah berjaya menyempurnakan pengajian masing-masing di UNISSA. Beta berharap para graduan akan bersikap lebih proaktif dan tidak cuma menjadi pemerhati.
Rebutlah segala peluang yang ada dan pupuk sikap ingin memajukan diri, kerana segulung ijazah bukanlah penamat dari terus menimba ilmu, sebagaimana Islam melihat bahawa menuntut ilmu itu adalah kerja sepanjang hayat.
Akhirnya, Beta juga tidak lupa untuk merakamkan ucapan setinggi-tinggi tahniah dan penghargaan kepada seluruh warga UNISSA yang meliputi Ahli-Ahli Majlis dan Senat, Rektor, Pegawai-Pegawai Utama, tenaga akademik dan seluruh pegawai dan kakitangan Universiti di atas segala sumbangan dan khidmat bakti mereka dalam menjayakan Majlis Haflut Takharruj ke-10 ini. Semoga Allah Subhanahu Wata’ala akan membalas mereka dengan ganjaran yang berlipat ganda.
Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
