TITAH
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN,
SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN,
SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
SEMPENA HARI KEPUTERAAN
BAGINDA YANG KE-74 TAHUN
TAHUN 1441H/2020M
PADA 15 JULAI 2020
Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillaahir Rahmaanir Raheem
Alhamdulillah Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.
Alhamdulillah, Beta bersyukur ke hadhrat Allah Subhanahu Wata’ala, di atas limpah rahmatNya mengizinkan kita sama-sama menyambut Hari Keputeraan Beta yang ke-74 dalam suasana aman dan selamat.
Terlebih dahulu, Beta dengan tulus ikhlas ingin merakamkan ucapan terima kasih dan penghargaan kepada semua pihak yang telah menghantar perutusan ucap selamat mereka kepada Beta dan keluarga bersempena dengan sambutan ini.
Pada tahun ini, sambutan terpaksa berbeza, kerana dunia masih saja diancam oleh pandemik koronavirus. Namun kita bersyukur, kerana dengan izin Allah jua, negara kita telah dapat mengawal penularan wabak tersebut.
Beta sekali lagi mengucapkan syabas kepada seluruh lapisan masyarakat, khasnya para petugas di barisan hadapan yang bertungkus lumus menghadapi situasi ini.
Alhamdulillah, pada masa ini, sekolah-sekolah, gedung-gedung perniagaan, tempat-tempat riadah dan lain-lain telahpun mula dibuka secara berfasa. Walau begitu, semua kita, masih saja dikehendaki untuk terus mematuhi atau mengikut apa jua arahan dan peraturan dari pihak berkuasa, khasnya Kementerian Kesihatan sebagai langkah kita berjaga-jaga.
Di mana-mana saja orang sibuk mengenai kesan wabak koronavirus terhadap ekonomi, khasnya kesan terhadap harga minyak global, yang berada di tahap terjejas dan tidak menentu.
Sehubungan itu, Kerajaan Beta insya Allah, akan sentiasa memastikan kesan ini tidak memberi impak negatif kepada daya tahan negara dalam usahanya mewujudkan persekitaran yang kondusif bagi menarik pelabur langsung asing, dan sekaligus mengukuhkan lagi status fiskal negara. Beta berpendapat, Lembaga Kemajuan Ekonomi di bawah Kementerian Kewangan Ekonomi adalah tidak wajar bersendirian, tetapi perlu bekerjasama dengan Menteri-Menteri yang berkenaan dalam usaha menjana ekonomi negara.
Alhamdulillah, loji penapisan minyak dan petrokimia di Pulau Muara Besar telahpun mula mengekspot minyak yang dihasilkan di fasiliti berkenaan. Projek yang berskala besar ini diharap, akan dapat menyumbang kepada peningkatan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), dan sekaligus meningkatkan peluang-peluang pekerjaan bagi anak-anak tempatan. Dalam suku kedua tahun hadapan insya Allah, loji ammonia dan urea bertaraf antarabangsa pula dijangka akan mula beroperasi. Loji ini bertempat di Sungai Liang Industrial Park yang dikendalikan oleh Brunei Fertilizer Industries Sendirian Berhad. Sehubungan itu, Beta telahpun memperkenankan penubuhan Autoriti Petroleum Negara Brunei Darussalam sebagai badan teknikal kepada Kementerian Tenaga untuk memantau operasi minyak dan gas, termasuk mengawalselia sektor huluan dan hiliran.
Selaras dengan perkembangan dan kemajuan zaman, penggunaan online platform, termasuk penggunaan Artificial Intelligence dan aplikasi Big Data Analytic telah banyak membantu meningkatkan inovasi dan produktiviti seperti aplikasi BruHealth. Maka Beta berpendapat, teknologi digital memang berpotensi tinggi untuk mendorong kemajuan ekonomi negara. Oleh itu pada hemat Beta, adalah tepat pada masanya untuk Negara Brunei Darussalam mempunyai Pelan Induk Ekonomi Digitalnya sendiri. Apatah lagi sejak akhir-akhir ini kita memang memerlukan perkhidmatan digital, yang merangkumi pembelajaran, perniagaan dan urustadbir yang mampu menjadikan Bandar Seri Begawan sebagai Smart City, dimana untuk itu, Beta telah memperkenankan Pelan Induk Digital Ekonomi 2025 di bawah Kementerian Pengangkutan dan Info-Komunikasi.
Alhamdulillah, berkat kerjasama di semua peringkat Kementerian dan Sektor swasta, kadar pengangguran pada tahun lepas adalah menurun. Melalui Labour Force Survey tahun 2018, kadar pengangguran diketahui 8.7 peratus, manakala pada tahun 2019 kadar tersebut ialah 6.8 peratus.
Beta yakin, Manpower Planning and Employment Council yang telah ditubuhkan pada bulan November tahun lepas, akan terus berusaha dalam sama-sama membantu bagi anak-anak tempatan mendapatkan pekerjaan.
Menyentuh pula bidang sumber-sumber utama, sumber Alhamdulillah, Kerajaan Beta, melalui agensi berkenaan, akan terus berusaha ke arah memastikan bekalan makanan dalam negara adalah mencukupi dan terjamin. Maka untuk itu, Beta berharap pengusaha, petani, peladang dan nelayan akan mengambil peluang meningkatkan produktiviti masing-masing sebagai langkah mencukupkan keperluan dan keselamatan makanan.
Sebagai satu cara untuk memenuhi keperluan dan keselamatan ialah dengan membina Jambatan Penghubung Daerah Brunei Muara dan Daerah Temburong. Sekarang Jambatan ini telahpun digunakan sebagai kemudahan yang dinanti-nanti. Ia tidak syak lagi merupakan ‘lambang kemodenan’ terunggul bagi Negara Brunei Darussalam. Menyebut mengenai ‘lambang kemodenan’ ini, mengingatkan Beta kepada siapa yang telah kita nobatkan sebagai ‘Arkitek Brunei Moden’. Lalu dengan ingatan ini telah memberi inspirasi kepada Beta untuk menamakan Jambatan ini dengan nama: “Jambatan Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien.” Semoga dengan menyebut nama ini akan membawa rahmat kepada baginda.
Bersukut dengan hari Keputeraan Beta ini, Sistem Kebajikan Negara (SKN) akan mula dapat digunakan oleh mereka yang berhajat untuk mendapatkan bantuan kebajikan, sama ada melalui Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan atau dari Majlis Ugama Islam Brunei. Dengan terlaksananya sistem ini, maklumat tentang rakyat dan penduduk yang benar-benar memerlukan bantuan akan dapat disimpan, sehingga tidak ada lagi mereka yang tercicir, serta sekaligus mengelakkan dari ketirisan bantuan yang dihulurkan. Sistem ini juga akan dijadikan asas untuk membuat perancangan, berupa latihan, bagi kebaikan mereka.
Di peringkat serantau dan antarabangsa, Negara Brunei Darussalam akan mengekalkan hubungan rapat dengan negaranegara sahabat melalui ruang dan peluang memanfa’atkan hubungan dua hala dan juga pelbagai hala, khasnya dalam aspek diplomasi dan ekonomi. Kestabilan di rantau ASEAN, Asia-Pasifik, bahkan di peringkat global adalah tujuan yang utama.
Akhirnya, Beta dengan tulus ikhlas merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada seluruh lapisan rakyat dan penduduk, warga Perkhidmatan Awam, Pasukan-Pasukan Keselamatan serta mereka yang berkhidmat di sektor swasta, termasuk mereka yang bertugas di luar negara di atas sumbangan dan sokongan mereka kepada Kerajaan Beta. Semoga Allah jua yang akan memberkati kita dan negara. Amin.
Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalaamu ‘Alaikum Warahmatullaahi Wabarakaatuh.
