TITAH 
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA SULTAN
HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI 
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN,
SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM.
SEMPENA
SAMBUTAN 
NUZUL AL-QUR’AN
BAGI TAHUN 1441H / 2020M
TEMPAT:
ISTANA NURUL IMAN, 
NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillaahir Rahmaanir Raheem
Alhamdulillah  Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.
Alhamdulillah, dengan rahmat-Nya jua, kita telahpun melimpasi separuh Ramadhan. Kita sekarang memperingati Nuzul Al-Qur’an yang berlaku pada 17 Ramadhan. 
Tidak syak lagi, tarikh 17 Ramadhan adalah detik yang bersejarah yang tidak boleh diabaikan, kerana pada detik inilah dunia mula menerima cahaya Al-Qur’an, kitab suci yang menjadi penyelamat dunia.
Sebelum itu dunia kita berada dalam kegelapan. Manusia hidup terumbang ambing tanpa undang-undang dan peraturan. 
Tetapi apabila Al-Qur’an turun, maka tirai kegelapan itu perlahan-lahan terbuka, dengan angin keadilan juga mulai bertiup, memadam segala tradisi jahiliyah yang teruk, seperti mengubur hidup-hidup kanak-kanak perempuan dan lain-lain. 
Inilah jasa Al-Qur’an. Dengannya tamadun dapat berdiri tegak dan peradaban berkembang mewarnai alam jagat. 
Kita di Brunei, insya Allah, tidak akan mengabaikan Al-Qur’an, sebagai sumber berkat dan rahmat bagi kehidupan. Rumah-rumah hendaknya jangan sunyi dari bacaan-bacaan Al-Qur’an, serta sekolah-sekolah dan pusat-pusat pengajian pula dikehendaki untuk lebih menyemarakkan pendidikan Al-Qur’an itu. 
Kita tidak mahu ada generasi yang tercicir Al-Qur’an yang tidak pandai membaca Al-Qur’an. 
Pada hemat Beta, apa-apa yang mewarnai Brunei selama ini adalah turut ditentukan oleh keberkatan Al-Qur’an, kerana kita tidak pernah berenggang darinya, malah terus memelihara dan membacanya. 
Wabak koronavirus alhamdulillah, sudah nampak dapat dikawal di Brunei. Ini juga Beta yakin, ada hubungan dengan cara kita mengawalnya, iaitu di samping mengikut cara-cara biasa, kita juga dari awal-awal lagi menanganinya dengan do’a-do’a dan bacaan ayat-ayat suci Al-Qur’an. 
Beta sekali-kali tidak ragu, bahawa do’a dan Al-Qur’an itu adalah penawar, dan bahkan senjata untuk menolak segala keburukan, termasuk tidak terkecuali wabak koronavirus. 
Kelaziman pada setiap tahun, kita ada mengadakan Sambutan Nuzul Al-Qur’an dengan salah satu acara kemuncaknya ialah penyampaian hadiah-hadiah kepada pemenang-pemenang dan peserta Musabaqah Menghafaz Al-Qur’an Peringkat Akhir Kebangsaan. 
Tetapi oleh kerana pada tahun ini majlis tidak dapat diadakan, maka hadiah-hadiah itu hanya akan disampaikan oleh pihak yang berkenaan secara di luar majlis sahaja. 
Namun Beta, tetap tidak lupa untuk merakamkan ucapan syabas dan tahniah kepada semua peserta, khasnya mereka yang berjaya di dalam musabaqah tersebut. 
Kita berharap insya Allah, Nuzul Al-Qur’an akan dapat kita sambut seperti biasa pada tahun-tahun yang akan datang. 
Merujuk kepada tema Sambutan Nuzul Al-Qur’an pada tahun ini, berbunyi: “Menjana Keberkatan Rezki Dengan Al-Qur’an”, adalah apa yang sedang berlaku di negara ini berupa keamanan, perpaduan dan wabak koronavirus dapat dikawal, tidak syak lagi adalah satu nikmat rezki yang sangat bermakna yang bersumber dari keberkatan Al-Qur’an. 
Mengapa tidak, bukanlah ayat-ayat Al-Qur’an itu penawar dan rahmat, di mana kita tidak pernah berhenti dari menghiasi negara ini dengan cahaya Al-Qur’an, yang kita baca di rumah-rumah Allah, di rumah-rumah kita sendiri dan malah di sekolah-sekolah dan pusat-pusat pengajian, sehingga kesan keberkatan itu dapat kita dan negara nikmati. 
Seyogia kita, janganlah melupakan semua ini. 
Untuk akhirnya, marilah kita sama-sama konsisten menghayati do’a dan membaca Al-Qur’an, bukan sahaja kerana wabak, tetapi juga untuk Brunei mendapat lebih keberkatan, berupa keamanan, kemakmuran dan keselamatan. 
Beta di sini, sukacita mengajak, supaya kita juga sama-sama mendo’akan mereka yang masih dirawat kerana positif koronavirus, supaya lekas-lekas sembuh dan dapat bertemu semula dengan keluarga masing-masing dalam keadaan selamat dan gembira. 
Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah,  Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.