TITAH
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN,
SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN,
SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
SEMPENA
MAJLIS KONVOKESYEN KALI KE-7
UNIVERSITI TEKNOLOGI BRUNEI (UTB)
PADA HARI KHAMIS
12 MUHARRAM 1441 /
12 SEPTEMBER 2019
BERTEMPAT
DI PUSAT PERSIDANGAN ANTARABANGSA, BERAKAS
NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillaahir Rahmaanir Raheem
Alhamdulillah Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.
Beta bersyukur kehadhrat Allah Subahanahu Wata’ala kerana dapat hadir ke Majlis konvokesyen Universiti Teknologi Brunei (UTB) pada hari ini.
Dikesempatan ini, Beta terlebih dahulu mengucapkan setinggi-tinggi tahniah dan syabas kepada para graduan di atas kejayaan mereka menamatkan pengajian masing-masing. Semoga kejayaan ini menjadi pemangkin kepada kecemerlangan di masa akan datang. Ucapan tahniah juga Beta tujukan kepada para ibu bapa dan penjaga serta tenaga pengajar yang secara konsisten mendorong para graduan sehingga beroleh kejayaan.
Baru-baru ini satu berita baik telah diterima, iaitu UTB telah memenangi tempat pertama bagi Pengurusan Alam Sekitar Dalam Dunia Islam, di bawah kategori: “Best NGO’s Leading Practices”. Kejayaan ini disandang kerana projek UTB bertajuk: “Mitigating Floods and Fire Hazards in Forestry Using IOT System in Brunei Darussalam” (Mengurangkan banjir dan bahaya kebakaran di perhutanan dengan menggunakan sistem IOT di Negara Brunei Darussalam).
Anugerah bagi kejayaan ini akan disumbangkan oleh Kerajaan Arab Saudi, bernilai 30,000 Dollar Amerika. Penganugerahan akan disampaikan di Majlis Pembukaan Rasmi Persidangan Islam Menteri-Menteri Alam Sekitar Kali Ke-8, di Ibu Pejabat ISESCO di Rabat.
Berita lain yang juga tidak kurang menggembirakan ialah, kejayaan UTB meraih kedudukan 400 teratas, dengan berdiri di tangga ke-379 di QS World University Rankings. Namun ini, bukanlah bermakna, mana-mana pusat pengajian tinggi yang belum atau tidak meraih ranking, kedudukannya terkebawah dari pusat pengajian yang ada ranking.
Di majlis Haflut Takharruj UNISSA tempoh hari, Beta telahpun menyebut mengenai ranking ini. Tanda aras kecemerlangan bagi satu-satu pusat pengajian tinggi itu, tentu saja tidak sama. Oleh itu, kriteria ranking juga pastinya berbeza, tertakluk kepada dasar dan falsafah masing-masing.
Beta tidak berhalangan dan malah menggalakkan, supaya UTB mengekalkan usahanya untuk menjadi sebuah universiti global yang berkesan, sesuai sebagai sifatnya sebuah Universiti Teknologi. UTB mempunyai tanggungjawab besar untuk mempersiapkan para graduannya dengan kemahiran dan kompetensi yang relevan, seiring dengan perkembangan teknologi semasa. Lebih-lebih lagi pada masa ini dunia kita sedang berada di gelanggang revolusi industri ke-empat.
UTB mesti mengemaskinikan program-program yang ditawarkannya supaya relevan dengan keperluan semasa. Program-program tersebut bukan hanya untuk menghasilkan para graduan yang mempunyai kompetensi teknologi terkini, malahan juga mempunyai pemikiran yang fleksibel, kreatif dan berinovasi serta mampu untuk mengambil peluang dari keperluan pasaran.
Beta menyambut baik perancangan UTB untuk menyediakan platform ekosistem inovasi yang bertujuan untuk meningkatkan budaya inovasi melalui kurikulum, penyelidikan dan kolaborasi yang melibatkan agensi dan pertandingan-pertandingan yang relevan. Beta menyarankan supaya agensi Kerajaan, sektor swasta dan institusi-institusi pengajian tinggi akan bekerjasama menggerakkan platform ini.
Mengenai hubungan kerjasama ini, UTB juga perlu mempertingkatkan komunikasi dengan pihak industri yang berkaitan. Ini, adalah sebagai langkah supaya pihak universiti mempersiapkan para graduannya dengan kemahiran menurut kehendak industri. Dalam masa yang sama langkah ini juga mampu untuk meningkatkan peluang pekerjaan bagi para graduan.
Dalam pada itu, para mahasiswa UTB, disamping memburu ilmu dan kemahiran, mereka juga dikehendaki supaya jangan mengabaikan ugama dan kerohanian. Ugama adalah anutan, dan juga sekaligus, sebagai identiti kita.
Malah identiti itu sifatnya lebih menyeluruh, termasuk bahasa dan budaya. Semuanya ini jangan diletakkan di tepi atau dibelakang, tetapi jadikanlah ia pakaian untuk dipakai.
Ambilah pengajaran daripada bangsa-bangsa yang maju, mereka itu tidak mudah untuk membelakangi identiti masing-masing.
Inilah juga yang sepatutnya ada pada kita.
Akhirnya, Beta sekali lagi merakamkan ucapan setinggi-tinggi tahniah kepada para graduan yang diraikan pada pagi ini.
Ucapan penghargaan dan terima kasih Beta juga dirakamkan kepada semua warga Universiti Teknologi Brunei, yang merangkumi Ahli-Ahli Majlis, Ahli-Ahli Senat, Naib Canselor, Pegawai-Pegawai Utama, Ahli-Ahli Akademik, pegawai dan kakitangan, di atas segala sumbangan dan perkhidmatan mereka. Beta berdoa semoga Allah Subhanahu Wata’ala akan memberkati segala usaha serta mengurniakan ganjaran-Nya yang berlipat ganda.
Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
