TITAH MUKADDIMAH

KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA

SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH

IBNI AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN

SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM

 

 

SEMPENA

MESYUARAT SESI KHAS WAWASAN BRUNEI 2035

PADA 29HB SYAWAL 1447 HIJRAH / 18HB APRIL 2026 MASIHI

09:00 PAGI

ISTANA NURUL IMAN

 

 

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillaahir Rahmaanir Raheem

 

Alhamdulillah Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Beta bersyukur ke hadhrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana dengan limpah rahmat dan izin-Nya jua dapatlah kita Bersama-sama pada pagi ini dalam Mesyuarat Sesi Khas Wawasan Brunei 2035, bagi membincangkan Kerangka Kerja Wawasan Brunei 2035, khususnya perkara-perkara yang berkaitan dengan petunjuk aspirasi atau cita-cita tinggi untuk mencapai Matlamat Pertama Wawasan Brunei 2035 dan KPI Kebangsaan.

Beta mengambil maklum akan kemajuan yang telah dicapai setakat ini serta langkah-langkah susulan daripada Mesyuarat Majlis Tertinggi Wawasan Brunei 2035 Kali Pertama bagi Tahun 2025 yang telah dilaksanakan melalui Mesyuarat-Mesyuarat Koordinasi, iaitu perjumpaan formal bagi menyelaraskan aktiviti dan perancangan serta kelancaran hala tuju Wawasan Brunei 2035 serta mesyuarat-mesyuarat di peringkat Jawatankuasa-Jawatankuasa Kerja Manpower, Social dan Economic.

Beta menghargai komitmen dan usaha yang telah ditunjukkan oleh semua pihak dalam menyelaras KPI kebangsaan dan KPI tindakan di pelbagai peringkat kementerian, jabatan serta pihak-pihak berkepentingan. KPI bererti Petunjuk Prestasi Utama. Beta berharap dengan adanya usaha ini, kita semakin hamper kepada aspirasi atau harapan tinggi yang ingin dicapai bagi setiap matlamat yang telah ditetapkan.

Namun, apa yang ingin Beta tekankan dsini ialah, usaha ini perlu dilihat dalam konteks yang lebih luas. Ketidaktentuan geopolitik dan konflik yang sedang melanda dunia hari ini adalah merupakan peringatan, bahawa kejayaan dalam merealisasikan Wawasan Brunei 2035 bukan hanya bergantung kepada keupayaan kita menangani cabaran dari dalam, tetapi turut memerlukan daya tahan yang kukuh untuk mengharungi tekanan serta implikasi atau kesan yang timbul daripada pergolakan di peringkat global. Oleh itu, strategi kita mestilah bukan sahaja relevan tetapi juga adaptable (mudah menyesuaikan diri) dan berdaya tahan dalam apa jua keadaan.

Beta ingin menegaskan bahawa penetapan KPI yang tepat sahaja tidak mencukupi. Penyelarasan adalah merupakan elemen yang kritikal kerana ia menentukan sama ada pendekatan Whole-of-Government dan Whole-of-Nation benar-benar terlaksana atau kekal sebagai hasrat di atas kertas. Juga sangat penting ialah, untuk memastikan setiap KPI diselaraskan sebagai satu system yang bersepadu dan tindakan dapat dikesan sumbangannya dalam pencapaian aspirasi negara.

Dalam proses penyelarasan tanggungjawab dan percanggahan diantara Kementerian, jabatan dan pihak-pihak berkepentingan adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan sepenuhnya. Manakala kita berhadapan dengan situasi demikian, maka keputusan perlulah diambil dengan mendahulukan kepentingan rakyat, kemaslahatan dan kelangsungan jangka panjang negara.

Di sinilah peranan kepimpinan menjadi penentu. Kejayaan dalam mencapai Wawasan Brunei 2035 adalah bergantung sepenuhnya kepada kepimpinan yang mampu mengemudi hala tuju, memacu pelaksanaan dan membuat keputusan dalam apa jua keadaan. Tanpa kepimpinan yang sedemikian, Wawasan 2035 hanyalah akan jadi cita-cita sahaja, sementara kerangka hanyalah dokumen dan KPI pula merupakan nombor sahaja.

Apa yang Beta harapkan dariapada perbincangan hari ini ialah, semua yang pernah Beta bangkitkan di Mesyuarat sebelum ini telah ditangani dengan sewajarnya. Selain itu, Beta jugan ingin melihat mekanisme penetapan dan semakan semula KPI adakah ia berdaya tahan dan adaptif, bagi membolehkan sasaran dinilai semula secara berkala dan diselaraskan apabila keadaan luar berubah diluar jangkaan. Pada hemat Beta, Kerangka Kerja Wawasan Brunei 2035 ini bukan sekadar memenuhi sasaran tetapi juga untuk memastikan pencapaiannya benar-benar dapat dirasakan oleh rakyat dalam kehidupan seharian dan meningkatkan kualiti hidup rakyat serta penduduk di negara ini secara nyata. Itu lah ukuran kejayaan yang sebenar.

Perlu disedari, bahawa politik hanyalah alat untuk mengurus kehidupan, dan politik juga hanyalah alat untuk mengetahui aspirasi tercapai atau sebaliknya.

Dalam politik, beberapa langkah mungkin perlu diambil bagi membantu negara mendepani cabaran-cabaran semasa, berikutan adanya ketidaktentuan akibat konflik yang berpanjangan.

Kita juga sebenarnya tidak terkecuali dari turut terdedah kepada tekanan ekonomi global, yang sekaligus memerlukan pendekatan lebih berhati-hati. Konflik peperangan didapati berubah-ubah. Jika perang berterusan, maka ketidaktentuan juga pasti berterusan. Maka ketika inilah kita mesti bersatu mengumpul kekuatan dan menjadikan bidang-bidang utama pembangunan sebagai keutamaan.

Beta melihat, Brunei juga tidak terkecuali dari perlu berwaspada untuk berhadapan dengan situasi seperti ini.

Dengan itu, kita sambung lagi mesyuarat ini ke agenda seterusnya.

*     *     *