RANG TITAH MUKADIMAH KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM

SEMPENA PERSIDANGAN MAJLIS MESYUARAT MENTERI-MENTERI KABINET KE-92

PADA HARI ISNIN, 28 ZULHIJJAH 1447H BERSAMAAN 15 JUN 2026M

PUKUL 9.00 PAGI,
ISTANA NURUL IMAN, BANDAR SERI BEGAWAN, NEGARA BRUNEI DARUSSALAM

Titah Mukadimah

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillah Hir Rahman Nir Rahim

Alhamdulillah Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Beta bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wa Ta’ala kerana di atas limpah rahmat dan Inayah Nya jua, Mesyuarat Majlis Menteri-Menteri Kabinet yang ke-92 dapat bersidang pada hari ini.

Persidangan kali ini adalah merupakan Mesyuarat kali pertama Majlis Menteri-Menteri Kabinet yang baru dilantik bagi tahun 2026 hingga 2030. Sehubungan ini, Beta ingin mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada semua Menteri-Menteri di atas pelantikan ke dalam barisan Menteri-Menteri Kabinet yang baharu. Dalam kesempatan ini juga, Beta sukacita ingin mengalu-alukan kehadiran Paduka-Paduka Anaknda Beta ke dalam barisan Menteri Kabinet dan Mesyuarat Menteri Kabinet. Beta percaya Paduka-Paduka Anaknda Beta akan dapat memainkan peranan penting di dalam Menteri Kabinet ini berdasarkan dari kecenderungan dan pengalaman mereka di dalam Kerajaan sebelum ini.

Beta mengambil maklum bahawa pelantikan Menteri-Menteri Kabinet baharu telah mendapat pelbagai reaksi daripada pelbagai pihak dari dalam dan luar negara yang majoritinya disuarakan melalui media sosial. Namun, secara keseluruhannya, barisan Menteri Kabinet yang baharu ini telah diterima baik. Dalam masa yang sama, reaksi yang diterima juga menyuarakan harapan terhadap Menteri-Menteri Kabinet yang baharu untuk melaksanakan amanah yang dipertanggungjawabkan dengan sebaiknya dan menunjukkan prestasi yang lebih baik berbanding penggal sebelumnya. Sementara itu, sebarang kritikan yang membina hendaklah dijadikan sebagai satu dorongan untuk sentiasa bermuhasabah diri dan sebagai pembakar semangat untuk memperbaiki kelemahan-kelemahan yang ada.

Dalam melaksanakan amanah yang telah dipertanggungjawabkan, Beta ingin menegaskan kepada Menteri-Menteri Kabinet baharu ini untuk sentiasa menjalankan tanggungjawab yang diberi dengan jujur, berintegriti dan beretika dalam sama-sama memastikan jentera Kerajaan sentiasa bebas daripada amalan kronisme, nepotisme atau sebarang bentuk penyalahgunaan kuasa yang boleh menjejaskan kredibiliti Kerajaan.

Pada Mesyuarat kali ini, kita akan mendengarkan pembentangan daripada Menteri-Menteri Penyelaras berhubung fungsi, peranan serta mandat autoriti yang dipertanggungjawabkan kepada Menteri-Menteri berkenaan. Beta mahu ketiga-tiga Menteri Penyelaras untuk membentangkan pelan yang telah dirangka, terutamanya mengenai mekanisme, koordinasi serta kerangka kerja penyelarasan yang akan diguna pakai. Begitu juga pembentangan daripada Menteri Ekonomi, Perdagangan dan Industri perlu merangkumi rancangan-rancangan yang sudah disusun, termasuk penelitian terhadap mana-mana jabatan yang patut diserapkan ke dalam Kementerian tersebut bagi memastikan proses peralihan akan dapat berjalan dengan lancar.

Selepas mendengar pembentangan dari ketiga-tiga Menteri Penyelaras, ahli-ahli kabinet yang lain dialu-alukan untuk menyumbangkan buah fikiran serta pandangan yang bernas bagi memastikan penyelarasan dan penyeliaan terhadap tiga bidang keutamaan ini akan dapat dilaksanakan dengan lebih teratur.

Sekarang kita sambung sesi perbincangan di agenda seterusnya.