RANG TITAH PENUTUP KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
SEMPENA
PERSIDANGAN MAJLIS MESYUARAT MENTERI-MENTERI KABINET KE-92

PADA
HARI ISNIN, 28 ZULHIJJAH 1447H BERSAMAAN 15 JUN 2026M
PUKUL 9.00 PAGI,
ISTANA NURUL IMAN, BANDAR SERI BEGAWAN, NEGARA BRUNEI DARUSSALAM

Titah Penutup

Alhamdulillah, dengan itu berakhirlah Persidangan Majlis Mesyuarat Menteri-Menteri Kabinet yang pertama bagi penggal ini.

Beta amat gembira mendengar pembentangan-pembentangan yang telah disampaikan serta pandangan-pandangan yang telah dikemukakan. Pembentangan-pembentangan tersebut memberikan gambaran yang jelas mengenai hala tuju, keutamaan dan fokus Kerajaan dalam melaksanakan agenda pembangunan Negara.

Beta berharap agar mekanisme penyelarasan ini akan terus memperkukuhkan pendekatan whole-of-government yang sentiasa Beta tekankan dalam usaha mencapai matlamat Wawasan Brunei 2035. Dengan tempoh yang berbaki kurang daripada satu dekad, setiap Kementerian tidak boleh lagi bergerak secara terpencil (silo). Menteri-Menteri Penyelaras hendaklah menjadi penghubung utama dan menyatukan segala usaha, keutamaan dan tindakan Kerajaan ke arah mencapai matlamat yang sama demi kesejahteraan rakyat dan kemajuan negara.

Sehubungan dengan itu, Beta ingin menegaskan peranan dan tanggungjawab Menteri-Menteri Penyelaras yang telah dilantik dalam rombakan Kabinet yang lalu. Jawatan Menteri Penyelaras bukan sekadar satu gelaran, tetapi merupakan satu amanah yang penting untuk memastikan Kementerian-Kementerian di bawah sektor Keselamatan Negara, Ekonomi, Sosial dan Tenaga Manusia bergerak seiring dengan matlamat yang dihasratkan.

Dalam konteks ini, Menteri-Menteri Penyelaras hendaklah berfungsi sebagai peneraju utama dalam menyelaras isu-isu merentas Kementerian atau cross-cutting issues yang melibatkan sektor-sektor di bawah bidang kuasa masing-masing. Mereka bertanggungjawab memastikan agar jurang pelaksanaan antara Kementerian tidak dibiarkan melebar.

Bagi membolehkan peranan ini dilaksanakan dengan lebih berkesan, Beta telah memberikan mandat kepada Menteri-Menteri Penyelaras untuk mengeluarkan arahan yang bersesuaian bagi menyelaraskan tindakan Kementerian-Kementerian berkenaan apabila berhadapan dengan isu-isu kepentingan negara yang bersifat cross-cutting.

Walau bagaimanapun, dalam melaksanakan tanggungjawab tersebut, Menteri-Menteri Penyelaras hendaklah memastikan bahawa sebarang keputusan yang melibatkan penggubalan dasar baharu, perubahan dasar yang mempunyai implikasi strategik kepada Negara, peruntukan atau pengagihan sumber yang signifikan, serta penyelarasan antara Kementerian dan agensi yang memberi kesan besar terhadap kepentingan negara, terlebih dahulu mendapatkan perkenan Beta.

Dalam hubungan ini, Beta mahu melihat setiap KPI dan sasaran yang telah diperkenankan disusuli dengan tindakan yang jelas, terarah dan berfokus. Setiap Kementerian hendaklah memastikan bahawa KPI dan sasaran yang telah diperkenankan diterjemahkan kepada pelan tindakan yang konkrit, lengkap dengan garis masa pelaksanaan, penetapan tanggungjawab yang jelas serta mekanisme pemantauan yang berkesan.

Menteri-Menteri Penyelaras pula hendaklah memastikan bahawa Kementerian-Kementerian di bawah penyelarasan masing-masing mempunyai pelan pelaksanaan yang mantap, memahami tanggungjawab yang dipikul dan bergerak secara selaras ke arah mencapai hasil yang ditetapkan. Mereka juga bertanggungjawab memantau kemajuan pelaksanaan KPI yang telah diperkenankan, mengenal pasti cabaran atau kelemahan yang timbul serta memastikan tindakan pembetulan diambil dengan segera apabila diperlukan.

Pada masa yang sama, setiap blueprint, strategi dan perancangan yang telah digariskan hendaklah sentiasa diteliti dan dikaji semula agar kekal relevan dengan perubahan keadaan dan cabaran semasa. Dunia bergerak dengan pantas dan landskap global sentiasa berubah. Oleh itu, Kerajaan hendaklah sentiasa bersedia untuk menyesuaikan pendekatan dan keutamaan yang diperlukan supaya lebih responsif, efektif dan mampu memberikan impak yang nyata kepada rakyat.

Dalam konteks yang lebih luas, Beta juga ingin menekankan bahawa aspek keselamatan negara tidak hanya tertumpu kepada aspek ketenteraan dan pertahanan semata-mata, tetapi turut merangkumi aspek sosial dan ekonomi yang saling berkait rapat antara satu sama lain. Dalam hubungan ini, beberapa perkara asas perlu sentiasa diberikan perhatian termasuk kestabilan politik (political stability), keselamatan ekonomi (economic security), keselamatan tenaga (energy security) dan keselamatan makanan (food security). Kesemua elemen ini merupakan tunjang kepada kestabilan, kemakmuran dan daya tahan negara, dan hendaklah sentiasa dipastikan berada pada tahap yang kukuh dan terjamin.

Dari aspek sosial pula, Beta memberi perhatian khusus kepada isu pengangguran yang perlu ditangani secara lebih berkesan. Usaha mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan untuk rakyat tempatan hendaklah terus dipergiatkan di samping mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja asing secara berperingkat. Dalam hal ini, Kerajaan hendaklah terus bekerjasama rapat dengan sektor ekonomi dan industri bagi memastikan lebih banyak peluang pekerjaan berkualiti dapat diwujudkan untuk rakyat tempatan.

Beta juga berpandangan bahawa syarikat-syarikat berkaitan Kerajaan atau Government-Linked Companies (GLC) perlu terus diperkukuhkan peranannya sebagai antara pemacu utama peluang pekerjaan dalam negara. Beta berharap agar GLC akan mampu berkembang menjadi antara penyumbang peluang pekerjaan dalam Negara selepas sektor minyak dan gas, sekali gus menyumbang kepada pembangunan modal insan dan pertumbuhan ekonomi yang lebih mampan.

Dari segi pertumbuhan ekonomi pula, tumpuan hendaklah diberikan kepada pengukuhan sektor kewangan serta untuk menarik pelaburan asing secara berterusan. Dalam hubungan ini, Beta menekankan kepentingan kerjasama yang lebih rapat dengan Kementerian Pembangunan dalam usaha menarik Foreign Direct Investment (FDI), termasuk melalui penyediaan tanah, infrastruktur dan kemudahan-kemudahan sokongan yang diperlukan bagi memudahkan pelabur untuk beroperasi dan berkembang di negara ini.

Akhirnya, Beta berharap agar segala perkara yang telah dibincangkan dalam mesyuarat ini akan diterjemahkan kepada tindakan susulan yang berkesan, dengan semangat kerjasama, akauntabiliti dan rasa tanggungjawab yang tinggi. Kejayaan kita tidak akan diukur melalui perancangan semata-mata, tetapi melalui hasil yang dapat dirasai oleh rakyat dan impak yang dapat dilihat pada pembangunan negara.

Semoga Allah Subhanahu Wa Ta’ala terus membimbing dan memberkati segala usaha kita, mengurniakan kekuatan dan hikmah dalam melaksanakan amanah yang dipertanggungjawabkan, serta mengurniakan kejayaan yang membawa manfaat besar kepada Negara dan rakyat yang Beta kasihi sekalian.

Sekian, wabillahit taufiq wal hidayah, wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.