TITAH

KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA 
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI 
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN, SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM

SEMPENA
ULANG TAHUN HARI KEPUTERAAN KE-80
TAHUN 1448H / 2026M

 

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillaahir Rahmaanir Raheem

Alhamdulillah Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Alhamdulillah, Beta bersyukur ke hadhrat Allah Subhanahu Wata’ala atas limpah rahmat-Nya, mengizinkan kita berkumpul meraikan Hari Keputeraan Beta pada tahun ini dalam suasan aman dan sejahtera.

Beta ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak, dalam dan luar negara, yang telah menghantar perutusan ucap selamat kepada Beta dan keluarga bersempena dengan perayaan ini.

Sesungguhnya, usia 80 tahun adalah nikmat yang amat besar. Hanya Allah jua yang maha mengetahui akan hikmahnya.

Dalam hampir enam dekad memegang amanah, Beta bersama rakyat telah menempuh pelbagai liku kehidupan yang membentuk negara ini menjadi apa yang ada sekarang.

Kita juga bersama-sama menyaksikan peredaran zaman, dari pembangunan asas kepada pemodenan. Hanya satu sahaja yang tidak berubah iaitu, kepercayaan, kesetiaan dan perpaduan yang menjadi tulang belakang negara sejak dahulu lagi.

Demikian, jika kita mahu menjadi bangsa yang kuat, ia bukan diukur dari kemewahan yang dinikmati, tetapi dari keikhlasan bersatu padu menghadapi apa jua cabaran.

Kerana itu, Beta tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba memecah-belahkan perpaduan rakyat. Begitu juga di Brunei, tidak ada tempat bagi gejala rasuah dan ketidakjujuran berlaku dalam masyarakat yang mengancam kesejahteraan dan kemajuan negara.

Turut jadi harapan Beta ialah, ingin melihat generasi muda berperanan lebih bermakna. Bukan sekadar jadi penonton kepada perubahan dan penggunaan teknologi ciptaan orang lain, tetapi kita juga perlu bangkit sebagai pencipta, pemikir dan pemimpin berwawasan.

Dalam hubungan ini, Kerajaan Beta akan terus berperanan memberikan dokongan kepada para belia yang ingin berkecimpung dan memperluaskan bidang keusahawanan merentasi semua sektor. Antaranya, menerusi kemudahan pinjaman mikro yang disediakan oleh bank-bank tempatan khususnya BIBD, Perbadanan TAIB dan Bank Usahawan.

Insya-Allah, Beta akan terus memimpin negara ke arah pencapaian Wawasan Brunei 2035, yang menjanjikan sebuah negara yang maju, mampan dan berdaya tahan, dengan dokongan padu dari semua pihak.

Menyebut mengenai pembangunan negara, Beta ingin menyentuh tentang beberapa kemajuan semasa serta cabaran yang turut mendepani kita.

Mengenai bekalan tenaga, Alhamdulillah, negara masih sahaja dalam kedudukan yang baik walaupun tidak terkecuali dari menerima kesan ketidaktentuan global.

Oleh itu, keutamaan Kerajaan adalah untuk memastikan simpanan strategik, khususnya bahan api petroleum dan tong LPG, bagi memenuhi keperluan harian.

Setentunya juga, pendekatan ini memerlukan tanggungjawab semua pihak, khasnya menerusi penggunaan sumber tenaga secara berhemah.

Seiring itu, usaha mempelbagaikan ekonomi juga turut menunjukkan keberhasilan yang memberangsangkan. Sektor bukan minyak dan gas telah menyumbang kepada lebih separuh dari keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Dari sudut social, Kerajaan dan Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) menerusi Projek Teduh telah memanfaatkan dana Zakat Perniagaan BIBD untuk membina kediaman bagi golongan rentan.

Kerjasama Awam-Swasta seumpama ini adalah sangat digalakkan dalam sama-sama berusaha meningkatkan taraf hidup golongan berkenaan.

Dari aspek memelihara keselamatan masyarakat pula, Beta telah memperkenankan Kerangka Kerja Dasar Strategik Pengurusan Bencana atau Disaster Management Strategic Policy Framework.

Ini bertujuan untuk memantapkan lagi pengurusan bencana menerusi pengurusan risiko dan pendekatan bersepadu antara pelbagai agensi dalam menghadapi situasi kecemasan.

Sungguhpun pencapaian dapat diraih, namun cabaran fiskal negara masih sahaja memerlukan perhatian berterusan.

Kerajaan Beta akan terus melaksanakan langkah fiskal yang bertanggungjawab. Antaranya memperluas sumber pendapatan bukan minyak dan gas, mengurus perbelanjaan negara dengan berhemat, serta memperkukuh pemudahcara perniagaan, di samping memastikan proses Kerajaan adalah mesra pelaburan.

Dalam hubungan ini, Beta juga yakin akan peranan penting setiap Menteri Penyelaras untuk memastikan segala jurang dan halangan dapat ditangani dengan berkesan.

Insya-Allah, tahun 2027 akan menyaksikan dua acara kenegaraan yang saling melengkapi – iaitu sambutan Jubli Intan Pemerintahan Beta dan juga Tahun Melawat brunei.

Marilah kita terus berdoa semoga Allah Subhanahu Wata’ala akan terus melimpahkan rahmat-Nya untuk kita dan negara berkekalan dalam aman dan makmur. Amin Ya Rabbal ‘Alamin.

Akhirnya, Beta merakamkan stinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh rakyat dan penduduk, warga Perkhidmatan Awam, Pasukan Keselamatan, serta sector swasta di dalam dan luar negara atas sumbangan mereka kepada negara.

Beta juga merakamkan penghargaan kepada Ahli Jawatankuasa Perayaan di Peringkat Kebangsaan dan Peringkat Daerah atas usaha dan khidmat menjayakan Perayaan ini.

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

 

*   *   *