TITAH
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN, SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
SEMPENA
MAJLIS KONVOKESYEN KALI-38
UNIVERSITI BRUNEI DARUSSALAM
(UBD)
PADA HARI SELASA
27 SAFAR 1448/
11 OGOS 2026
BERTEMPAT
DEWAN CANSELOR
UNIVERSITI BRUNEI DARUSSALAM
NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillaahir Rahmaanir Raheem
Alhamdulillah Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.
Beta bersyukur ke hadhrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana dengan izinNya jua, dapatlah kita bersama-sama hadir di Majlis Konvokesyen Kali Ke-38 Universiti Brunei Darussalam pada pagi ini.
Beta dengan amat sukacita mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada para graduan di atas kejayaan mereka menamatkan pengajian masing-masing. Kejayaan ini tentunya merupakan hasil usaha serta do’a para ibu bapa yang tidak berpenghujung.
Sejak penubuhannya, Universiti Brunei Darussalam sentiasa berazam: “Ke Arah Kesempurnaan Insan”. Azam ini merupakan tujuan sebenar pendidikan tinggi, bukan sekadar untuk melahirkan graduan yang cemerlang dalam akademik, tetapi juga membentuk insan yang berakhlak mulia, pemikir dan berintegriti. Inilah matlamat yang tidak pernah berubah, walaupun dunia sentiasa mengalami perubahan.
Pada hari ini, pendidikan turut berhadapan dengan perkembangan pesat Kecerdasan Buatan (AI). AI telah turut mengubah cara belajar, cara bekerja dan cara membuat keputusan.
Pada hemat Beta, universiti tidak cukup sekadar melahirkan graduan yang mahir AI. Tetapi lebih penting graduan yang mempunyai kebolehan menggunakan teknologi secara berhemah dan bertanggungjawab, mengutamakan nilai, adab dan perhitungan matang.
Bagaimanapun, mengenai teknologi, Beta menyambut baik pelancaran UBD Digital Transformation Blueprint sebagai hala tuju universiti dalam mentransformasikan pengajaran, penyelidikan dan tadbir urus melalui teknologi digital. Tetapi Beta mahu UBD biarlah benar-benar menjadi peneraju dalam perubahan ini. Jadikanlah platform digital ini sebagai pemudahcara dalam menjelmakan matlamat sebenar iaitu melahirkan graduan yang cemerlang dan berkemahiran tinggi.
Dalam pada itu, perlu pula diingat, bahawa kecemerlangan akademik sahaja tidak akan ada ertinya jika akhlak rendah atau rosak. Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam dalam sebuah Hadits sahih riwayat Al-Bukhari, Baginda bersabda maksudnya: “Sesungguhnya orang yang terbaik dalam kalangan kamu ialah mereka yang paling baik akhlaknya”.
Atas kesedaran inilah, Beta mengalu-alukan usaha UBD melaksanakan Kurikulum GenBESTARI mulai September tahun ini. GenBESTARI bukan sekadar pembaharuan kurikulum, tetapi adalah satu pendekatan untuk melahirkan graduan yang seimbang, berilmu, berakhlak, berdaya tahan, celik digital dan sentiasa bersedia untuk terus belajar sepanjang hayat. Beta mahu kejayaan GenBESTARI tidak hanya diukur melalui bilangan program yang dilaksanakan, tetapi perkembangan pola fikir dan peningkatan nilai insaniah setiap graduan mestilah juga diambil kira.
Selari pembaharuan ini, Beta menghargai usaha gigih UBD dalam meningkatkan kebolehpasaran graduan melalui bimbingan kerjaya dan latihan industri yang komprehensive sebagai langkah proaktif untuk mengurangkan kadar pengangguran di kalangan graduan. Begitulah hendaknya, Institusi Pengajian Tinggi di negara ini hendaklah terus memperkasa kolaborasi strategik dengan pihak industri, serta sentiasa responsif dalam menyesuaikan program akademik dengan keperluan pasaran kerja.
Dengan persekitaran yang aman, stabil dan menjunjung tinggi nilai-nilai Islam, maka negara ini mempunyai keunikan tersendiri yang mampu untuk menarik pelajar dari seluruh dunia. Inilah jenama Brunei yang perlu kita pamerkan kepada dunia. UBD adalah nadi kepada jenama ini. Kehadiran pelajar antarabangsa adalah turut memperkukuh reputasi UBD.
Bertepatan dengan hasrat untuk menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi, maka Beta adalah menyambut baik Projek Hab inovasi UBD (UBD Innovation Hub) dibawah Rancangan Kemajuan Negara Ke-12. Beta berharap ianya akan dapat turut memperkukuh budaya dan ekosistem inovasi kebangsaan yang mampu memudahkan peralihan hasil penyelidikan kepada produk pasaran. Semoga inisiatif ini akan dapat melahirkan graduan yang mahir digital serta berdaya saing.
Akhirnya, Beta mengambil kesempatan untuk merakamkan ucapan terima kasih kepada seluruh warga UBD, yang merangkumi pada Ahli-Ali Majlis, Ahli-Ahli Senat Universiti, Naib Canselor, Pegawai-Pegawai Utama, Ahli Akademik, Pegawai dan kakitangan universiti, serta semua pihak yang telah mencurahkan bakti mereka kepada institusi ini. Semoga segala usaha dan pengorbanan mereka mendapat ganjaran yang berlipat ganda daripada Allah Subhanahu Wata’ala.
Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
* * *
