TITAH

KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA 
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN, SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM

 

SEMPENA
MAJLIS HAFLUT TAKHARRUJ KE-16
UNIVERSITI ISLAM SULTAN SHARIF ALI

 

PADA HARI ISNIN
04HB. RABIULAWAL, 1448
17HB. OGOS, 2026

 

TEMPAT:
PUSAT PERSIDANGAN ANTARABANGSA,
NEGARA BRUNEI DARUSSALAM.

 

 Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

 Bismillaahir Rahmaanir Raheem

 

Alhamdulillah Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Alhamdulillah, Beta bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana dengan izinNya jua, dapatlah kita bersama-sama hadhir dalam Majlis Haflut Takharruj Kali Ke-16, Universiti Islam Sultan Sharif Ali pada pagi ini.

Beta dengan tulus ikhlas ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada semua graduan yang diraikan. Semoga segala ilmu dan pengalaman yang diperolehi akan jadi bekal berharga untuk digunakan. Beta juga merakamkan ucapan tahniah dan penhargaan kepada para ibu bapa, penjaga serta para tenaga akademik yang menjadi pendorong utama di sebalik kejayaan para graduan.

UNISSA, bukan hanya sebagai mercu tanda sebuah gedung ilmu, tetapi juga menjadi nadi peradaban untuk melahirkan ummah yang ta’at berugama. Beta juga berharap UNISSA perlu terus istiqamah dalam usahanya menjadikan ilmu ugama dan ilmu sains moden dapat digabungkan dalam satu wadah keilmuan yang dinamik. Dalam hal ini, Beta menyambut baik perkembangan positif UNISSA, untuk tampil menawarkan program Diploma Amalan Pengubatan Islam.

Beta juga mengambil maklum mengenai jalinan kerjasama strategik UNISSA dengan universiti-universiti berprestij luar negara untuk meningkatkan visibility UNISSA di peringkat antarabangsa. Penawaran program Dwi Ijazah dan Dual Degree UNISSA bersama dengan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dan Universiti Malaysia Sabah bukan sahaja memperkenalkan Negara Brunei Darussalam sebagai pilihan destinasi pelancongan Pendidikan, bahkan juga akan dapat memperluaskan jaringan peluang kerjaya.

Memandangkan pasaran kerja semakin kompetitif, UNISSA juga perlu komited dalam menawarkan program pengajian yang berkualiti. Sehubungan itu, Beta menyarankan kepada UNISSA supaya memantapkan lagi program-program yang ditawarkan, dan pada masa yang sama, pihak-pihak berkenaan juga hendaklah memperkemas kualiti sukatan pelajaran dan kurikulum bagi pelajar-pelajar di peringkat pra-universiti.

Dalam usaha mewujudkan program-program yang berkualiti, Beta berharap semua Institusi Pengajian Tinggi perlu membuat perancangan yang lebih terarah supaya tidak berlaku pertindihan program yang ditawarkan sesama institusi lain. Langkah ini akan memastikan institusi Pendidikan seperti UNISSA dapat memberikan tumpuan kepada misi unik menyatukan ilmu ugama dan sains moden, sekali gus memaksimumkan impak pelaburan awam, di samping menjamin penghasilan tenaga kerja mahir.

Mengenai pencapaian teras strategik UNISSA dalam pengiktirafan antarabangsa, Beta mengucapkan syabas dan tahniah kerana UNISSA mencapai kedudukan yang ke-147 dalam senarai Top 500 Global Innovative Universities dalam world University Rankings for Innovation (WURi) 2026, bahkan turut juga meraih Global Good Governance (3G) Awards sebagai pengiktirafan terhadap inovasi dan kecemerlangan UNISSA. Kejayaan ini mampu menjadi motivasi membawa graduan dan alumni ke arah lebih gemilang.

Para graduan dan alumni diharap akan terusa menitikberatkan usaha mempertingkatkan kemahiran. Kelangsungan hidup masyarakat kita dalam era globalisasi yang serba mencabar ini amatlah bergantung kepada kesediaan kita untuk terus meneroka ilmu serta menguasai kepakaran baharu. Islam sentiasa menggalakkan umatnya untuk terus menambah ilmu, sebagaimana dalam Surah Taha, ayat 114, Allah Subhanahu Wata’ala menyarankan kepada Baginda Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam supaya berdoa memohon pertambahan ilmu.

Di kesempatan ini, Beta menyeru kepada semua graduan dan alumni UNISSA agar senantiasa berusaha memajukan diri dengan meningkatkan kebolehpasaran masing-masing, terutama melalui penglibatan aktif dalam bidang keusahawanan yang bukan sahaja memberi manfaat kepada diri sendiri, bahkan juga menyumbang kepada kepelbagaian ekonomi negara.

Akhir Kalam, Beta merakamkan ucapan setingg-tinggi tahniah dan penghargaan kepada seluruh warga UNISSA yang terdiri daripada Ahli-Ahli Majlis, Senat, Rektor, Pegawai-Pegawai Utama, tenaga akademik dan seluruh pegawai serta kakitangan UNISSA atas segala sumbangan, komitmen, pengorbanan tenaga dan buah fikiran yang telah dicurahkan dalam menjayakan Majlis Haflut Takharruj Ke-16 ini. Semoga Allah Subhanahu Wata’ala akan membalasnya dengan ganjaran kebaikan yang berlipat ganda. Amin.

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

 

*   *   *