TITAH PERUTUSAN

KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA 
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN,
SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM

 

SEMPENA
MAJLIS SAMBUTAN MAULUD NABI MUHAMMAD
SHALLALLAHU ‘ALAIHI WASALLAM
PERINGKAT NEGARA BAGI TAHUN 1448H/2026M

 

 Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

 Bismillaahir Rahmaanir Raheem

Alhamdulillah Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Alhamdulillah, syukur kehadhrat Allah Subhanahu Wata’ala, kerana mengizinkan kita dapat lagi meraikan Sambutan Maulud Nabi Muhammad Shallallahu ‘Alaihi Wasallam bagi tahun 1448 Hijrah.

Beta mengambil maklum tema Sambutan Maulud Nabi Muhammad Shallallahu ‘Alaihi Wasallam Peringkat Negara pada tahun ini ialah “Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam Suluh Aqidah.”

Tema ini bertepatan dengan baginda diutus sebagai pembawa rahmat kepada alam seluruhnya. Bagindalah suluh dunia dan suluh aqidah. Sebelum baginda diutus, semuanya gelap gelita, berada dalam kegelapan kufur dan kesesatan serta kejahilan. Perkara ini telah dijelaskan sendiri oleh Allah Subhanahu Wata’ala dalam Surah Ibrahim, ayat 1, tafsirnya :

“(Inilah) Kitab yang Kami telah turunkan kepadamu (wahai Nabi Muhammad) supaya engkau mengeluarkan manusia daripada kegelapan (kufur) kepada cahaya (iman) dengan izin Tuhan mereka ke jalan Allah Yang Maha Perkasa lagi Maha Terpuji.”

Ayat ini menegaskan bahawa antara misi terbesar kerasulan Nabi Muhammad Shallallahu ‘Alaihi Wasallam ialah membimbing manusia kepada aqidah yang sahih dan seterusnya membawa mereka menuju keselamatan di dunia dan kebahagiaan di akhirat.

Dalam kemajuan teknologi dan komunikasi digital, kita umat Islam kini tidak lepas dari berhadapan dengan pelbagai cabaran memelihara aqidah. Kemudahan mendapat sumber maklumat melalui media sosial dan platform digital telah membuka ruang kepada penyebaran pelbagai ajaran, tafsiran

dan fahaman ugama. Maka amat membimbangkan kita, kerana kadang-kadang terdapat kandungan yang boleh mengelirukan, bahkan menyesatkan, sehingga berpotensi untuk menggugat aqidah yang sahih, khasnya dikalangan para belia dan generasi muda, selaku pengguna utama platform digital.

Oleh itu, Beta ingin menasihatkan semua lapisan, terutama golongan belia, supaya sentiasa berhati-hati terhadap sebarang individu atau kumpulan yang membawa naratif ugama dalam pelbagai bentuk, sama ada ia dari dalam mahupun luar negara, yang memperalatkan ugama untuk menyebarkan fahaman menyimpang. Di samping itu, Beta juga menyeru ibu bapa, guru-guru serta seluruh institusi Pendidikan supaya memainkan peranan aktif dalam membimbing dan mengukuhkan aqidah generasi muda, kerana pemeliharaan aqidah bukan tanggungjawab satu pihak, tetapi tanggungjawab semua.

Oleh itu, jadikanlah diri kita sentiasa berhati-hati dan tidak mudah menerima segala pendapat dari sumber digital yang tidak diketahui kesahihannya, melainkan perlu dirujuk kepada institusi ugama berautoriti.

Di antara contoh penyelewengan aqidah ialah bermudah-mudah mengamalkan ugama, seperti mengharuskan sembahyang tanpa wudhu atau membenarkan sembahyang jamak dan qasar tanpa memenuhi syarat yang betul.

Terdapat juga golongan yang berfahaman menormalisasikan perkara-perkara yang ditegah atau yang bercanggah dengan ugama. Semua ini mesti ditolak, jangan sampai ia bertapak dalam masyarakat.

Dengan mengelak fahaman-fahaman yang mengelirukan seperti ini, insya Allah, aqidah kita Aliran Ahli Sunnah Waljama’ah akan terus terpelihara.

Beta berharap Sambutan Maulud Nabi Muhammad Shallallahu ‘Alaihi Wasallam pada tahun ini akan benar-benar jadi pemangkin kepada seluruh rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam untuk terus memperteguh aqidah dengan mematuhi ajaran Al-Qur’an dan As-Sunnah serta menzahirkan kecintaan terhadap Rasulullah Shallallahu ‘Alahi Wasallam melalui ibadat yang ikhlas.

Beta juga menyeru supaya seluruh rakyat sentiasa waspada dan bijaksana dalam menilai setiap kandungan yang diperolehi daripada platform digital. Jangan sekali-kali mudah terpengaruh atau menyebarkan ajaran yang tidak jelas sumbernya. Semoga dengan itu, aqidah umat akan selamat dan perpaduan akan terus kukuh dan mantap.

Sesungguhnya aqidah yang kukuh dan mantap adalah asas kepada keharmonian, keamanan dan kemakmuran sesebuah negara, dan sekaligus menjadi benteng utama dalam memelihara kesejahteraan rakyat dan negara buat selama-lamanya.

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wasallamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

 *   *   *