SABDA
DULI YANG TERAMAT MULIA PADUKA SERI PENGIRAN MUDA MAHKOTA
PENGIRAN MUDA HAJI AL-MUHTADEE BILLAH
IBNI KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH,
MENTERI KANAN DI JABATAN PERDANA MENTERI
DI MAJLIS HAFLUT TAKHARRUJ
INSTITUT TAHFIZ AL-QUR’AN SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH
KALI KEEMPAT BELAS
TAHUN 1448 HIJRAH / 2026 MASIHI
BERTEMPAT
DEWAN UTAMA,
PUSAT PERSIDANGAN ANTARABANGSA (ICC),
BERAKAS
PADA
HARI RABU
20HB RABIULAWAL 1448 BERSAMAAN 2HB SEPTEMBER 2026
Assalamu ’Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh Bismillah Hir Rahman Nir Rahim
Alhamdulillahi Rabbil ‘Aalameen, Wassalaatu Wassalaamu ‘Alaa Asyrafil Mursaleen, Sayyidinaa Muhammadin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.
Alhamdulillah, segala puji dan syukur dirafakkan ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana atas limpah inayah, rahmat serta taufik-Nya jua, dapatlah kita bersama-sama berhimpun dalam suasana yang penuh keberkatan ini, bagi menyempurnakan Majlis Haflut Takharruj Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah Kali Ke-14.
Saya merakamkan ucapan setinggi-tinggi tahniah kepada para graduan yang berjaya menamatkan pengajian masing-masing. Kejayaan ini adalah hasil daripada keutuhan iltizam, ketekunan serta istiqamah sepanjang menempuh proses pembelajaran yang menuntut kesabaran dan pengorbanan yang tinggi.
Ucapan setinggi penghargaan jua kepada para ibu bapa dan penjaga atas doa dan sokongan murni, serta barisan tenaga pengajar dan seluruh warga Institut atas curahan bimbingan yang amat bernilai.
Majlis pada hari ini merupakan peristiwa bersejarah dalam perkembangan Institut, dengan meraikan seramai 38 penerima syahadah daripada pengambilan sulung program Diploma Tertinggi ‘Aliyah Qiraat sesi kemasukan tahun 2023. Pencapaian ini mencerminkan usaha berterusan Institut dalam memperkasa bidang pengajian Al-Quran agar sentiasa berkembang selaras dengan keperluan negara, khasnya dalam melestari tradisi keilmuan Islam yang muktabar.
Sesungguhnya kejayaan menamatkan pengajian tahfiz bukanlah noktah akhir, bahkan merupakan permulaan kepada menanai amanah yang lebih besar. Penguasaan pelbagai disiplin ilmu Al-Quran termasuk Tajwid, Qiraat, Tafsir, Ulum Al-Quran dan Tadabbur, merupakan khazanah keilmuan yang amat bernilai bagi membina masyarakat celik Kalamullah.
Para graduan berpotensi besar untuk memperluas peranan sebagai huffaz profesional yang berdaya saing, berpaksi kepada tradisi keilmuan yang dipelihara turun-temurun, serta mampu berdikari membawa penghayatan nilai Al-Quran dalam pelbagai lapangan kehidupan demi pembangunan ummah.
Pada hemat Saya, dalam melestarikan kecemerlangan bidang ini, Pembangunan profesional tenaga pengajar harus diberikan perhatian yang sewajarnya. Ini merangkumi membuka ruang dan peluang bagi mereka mempertingkat kelayakan akademik, memperluas budaya penyelidikan, serta menghasilkan karya ilmiah berwibawa, khususnya dalam memperkukuh kurikulum pengajian Al-Quran negara.
Perkara ini bertepatan dengan Titah Paduka Ayahanda semasa Majlis Sambutan Nuzul Al-Quran Peringkat Negara 1446 Hijrah, bahawa antara harapan tinggi negara adalah untuk melihat “guru-guru yang berkaliber, khasnya guru-guru Al-Quran yang mampu untuk melahirkan generasi cemerlang dalam bidang Al-Quran”, di samping memberi jaminan bahawa Kerajaan Baginda akan sentiasa memberi keutamaan kepada bidang pengajian Al-Quran.
Sehubungan itu, kekuatan hafazan wajib disempurnakan dengan kefahaman tadabbur yang sahih berlandaskan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah, agar kita sentiasa terhindar daripada fahaman yang menyimpang. Penghayatan Al-Quran melalui tilawah yang tartil, ta’lim dan tazkiyah berupaya membentuk sahsiah huffaz sebagai qudwah hassanah, iaitu contoh teladan yang baik kepada masyarakat.
Dalam mendepani arus pemodenan, kemajuan teknologi digital dan kecerdasan buatan (Artificial Intelligence) wajar dimanfaatkan sebaik-baiknya sebagai wahana bantu penyebaran ilmu dan bukan sebaliknya. Walau bagaimanapun, kecerdasan buatan tidak sesekali dapat menggantikan keutamaan guru, kerana kaedah talaqqi dan musyafahah kekal sebagai asas mutlak dalam memelihara keaslian sanad bacaan dan kefahaman Al-Quran.
Pada masa yang sama, aspek pembangunan insan tidak boleh diketepikan. Pemerkasaan kemahiran insaniah melalui latihan peningkatan keupayaan, termasuk jalinan kerjasama strategik bersama Pusat Pembangunan Belia, amat bertepatan bagi melahirkan graduan yang memiliki daya kepimpinan, semangat kerja berpasukan serta ketahanan diri yang kukuh dalam mendepani realiti pasaran kerjaya.
Justeru, Saya menyeru para graduan agar terus memelihara hafazan, memperkaya khazanah ilmu dan menjunjung tinggi adab Al-Quran dalam apa jua bidang yang diceburi. Bawalah amanah ini sebagai penjaga Kalamullah yang memartabatkan syiar Islam demi merealisasikan hasrat murni Paduka Ayahanda membangunkan sebuah Negara Zikir.
Sebagai penutup, Saya sekali lagi merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada para graduan serta keluarga, dan ucapan terima kasih kepada Ahli Lembaga Institut serta seluruh Jawatankuasa Pengelola Majlis. Semoga Allah Subhanahu Wata’ala mengurniakan taufik dan hidayah-Nya, memberkati para graduan dengan kekuatan untuk terus memelihara hafazan, memperkukuh keilmuan, serta kekal istiqamah berbakti demi agama, raja, bangsa dan negara.
Semoga segala usaha murni semua pihak yang menjayakan majlis ini dibalas dengan ganjaran pahala yang berlipat ganda.
Sekian, Wabillahit Taufiq Wal-hidayah, Wassalamu ’Alaikum Warahmatullaahi Wabarakaatuh.
