Titah KDYMM Sempena Sambutan Maulud Nabi Muhammad SAW Bagi Tahun 1446H / 2024M

TITAH PERUTUSAN

KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN, SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
 
SEMPENA SAMBUTAN MAULUD NABI MUHAMMAD
SHALLALLAHU ‘ALAIHI WASALLAM
BAGI TAHUN 1446H / 2024M​
Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillaahir Rahmaanir Raheem

​Alhamdulillah Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Alhamdulillah, Beta bersyukur kehadrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana dengan izinNya jua, dapatlah kita menyambut dan menyemarakkan lagi bulan Rabiulawal sempena hari kelahiran Junjungan Besar kita Nabi Muhammad Shallallahu ‘Alaihi Wassalam.

Antara tujuan Nabi Muhammad Shallallahu ‘Alaihi Wasallam diutus ialah untuk menyempurnakan akhlak, sebagaimana Allah Subhanahu Wata’ala memperakui Baginda itu merupakan contoh terbaik untuk diikut seperti yang disebut di dalam surah al-Ahzab, ayat 21 yang kira-kira tafsirnya:

“Demi sesungguhnya adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredhaan) Allah dan (balasan baik) di akhirat serta banyak berzikir mengingat Allah.”

​Beta mengambil maklum, tema sambutan Maulud Nabi Muhammad Shallallahu ‘Alaihi Wasallam pada tahun ini berbunyi: ‘Memelihara Akal Berpandukan Sunnah Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam.’

Tema ini amatlah sesuai untuk dihayati, berdasarkan cabaran-cabaran masa kini memerlukan akal dipelihara. Kerana akal yang sihat menjamin kehidupan berkat.Jika akal sihat, semua akan berjalan dengan baik, lancar dan berjaya. Sebab itu gejala mental adalah menjadi keutamaan untuk dirawat.

Akal adalah kurnia terbesar Allah Subhanahu Wata’ala. Ia sangat penting untuk kelangsungan hidup. Sebab itu Ugama Islam telah menyediakan panduan bagaimana memelihara akal supaya tetap sihat, jangan terganggu atau terjejas, iaitu antaranya telah mengharamkan segala benda yang memabukkan yang boleh merosakkan akal, seperti meminum arak, menyalagunakan dadah dan sebagainya.
 
Termasuk semua perkara yang boleh membawa kepada ketagihan, seperti melayari aplikasi media secara tidak terkawal, menyalurkan maklumat-maklumat tidak sahih dan melihat imej atau klip video yang tidak bermoral. Ini semua boleh mengganggu fungsi akal yang sebenar.
 
Melihat senario yang sangat membimbangkan ini, Beta berharap pendidikan, khasnya pendidikan ugama hendaklah berperanan secara berkesan dalam menyemai akhlak mulia malalui pendidikan, dari peringkat rendah sehingga keperingkat tinggi.
 
Dalam hubungan ini, para ibubapa dan penjaga serta lain-lain yang berkepentingan, di kehendaki supaya peka dengan setiap perkembangan kognitif dan kesihatan mental anak-anak dan pelajar-pelajar serta bersikap lebih prihatin terhadap kegiatan mereka dalam melayari capaian internet, sehingga kemudahan teknologi digital ini tidak disalahgunakan.
 
Memang dalam era digital masa ini, cabaran semakin besar, terutama dengan kehadiran media sosial yang kadang-kadang menyebarkan maklumat bercanggah dengan ajaran Islam aliran ahli Sunnah Wal Jama’ah. Oleh itu, kita perlu memperkuat sistem ‘immune’ atau kekebalan diri dengan pendidikan ugama. Ini penting, supaya kita tidak terpengaruh oleh ideologi dan pemikiran yang tidak selari dengan dasar Kerajaan Beta.

Di samping itu, Beta juga berharap agar aktiviti-aktiviti dakwah yang dikendalikan oleh pihak-pihak berkenaan akan dapat disampaikan secara berhikmah, sehingga mampu untuk menjadi benteng menghalangi ajaran-ajaran sesat dari disebar melalui pelbagai bentuk aplikasi media.
 
Alhamdulillah, Kerajaan Beta melalui semua agensi penguatkuasaan, terus meningkatkan usaha menangani ajaran sesat dan mengawal fahaman Pluralisme, extremisme dan radikalisme supaya tidak tersebar di negara ini. Ini penting bagi mengekalkan keamanan dan kestabilan.
 
Untuk akhirnya, bersempena dengan memperingati Maulidur Rasul Shallallahu ‘Alahi Wasallam ini, maka marilah kita sama-sama memperbanyakkan selawat ke atas Baginda, sebagai usaha menagih syafa’at di dunia dan di akhirat.
 
        Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalmu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
 
 
​* * *

Titah KDYMM Sempena Majlis Konvokesyen Kali Ke-12 Universiti Teknologi Brunei (UTB)

TITAH
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah 
ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, 
Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam

Sempena
Majlis Konvokesyen Kali Ke-12
Universiti Teknologi Brunei
 (UTB)​
 
​​​Pada Hari Isnin
03​hb. Rabiulawal 1446
07hb. September 2024
 
Bertempat
Pusat Persidangan Antarabangsa
Berakas, Negara Brunei Darussalam
 
 

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillaahir Rahmaanir Raheem

Alhamdulillah Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

​Beta bersy​ukur kehadrat Allah Subhanahu Wata​​​​’ala kerana dapat hadhir ke Majils Konvokesyen Kali Ke-12 Universiti Teknologi Brunei (UTB) pada hari ini.​​

​Di kesempatan ini, Beta terlebih dahulu mengucapkan setinggi-tinggi tahniah dan syabas kepada para graduan di atas kejayaan mereka menamatkan pengajian masing-masing. Semoga kejayaan ini akan jadi pemangkin kepada kecemerlangan di masa akan datang. Ucapan tahniah juga Beta tujukan kepada para ibu bapa dan penjaga serta tenaga pengajar yang secara konsisten telah mendorong para graduan sehingga beroleh kejayaan.

Beta difahamkan bahawa mulai tahun ini, UTB akan melaksanakan Pelan Strategik 2024-2028 dengan visi Global University of the Future dan misi untuk melahirkan bakat yang tinggi bagi masyarakat yang mampan, global dan berdaya usaha, yang berakar umbi dalam falsafah negara (MIB) ke arah merealisasikan Wawasan Brunei 2035.

Dalam usaha untuk mencapai visi dan misi ini pihak UTB perlu menyediakan tenaga pengajar yang berkualiti tinggi untuk keberkesanan keseluruhan sistem pendidikan.Kerana kualiti sistem pendidikan tidak boleh melebihi kualiti tenaga pengajarnya. Oleh itu, Beta menyarankan agar UTB serta semua institusi pengajian tinggi memberi tumpuan kepada proses pengambilan yang lebih teliti untuk tenaga akademik mereka. Ini Penting untuk memastikan mereka diambil itu benar-benar layak dan mampu untuk menyumbang kepada pelan strategik institusi masing-masing dan pembangunan negara.

Pelan strategik UTB juga telah memberikan penekanan kepada pembelajaran cemerlang yang memfokus kepada tiga objektif strategik iaitu, kualiti pengajaran dan pembelajaran, kurikulum yang diiktiraf di peringkat global dan pengalaman pembelajaran. Bagi tujuan ini, Beta menasihatkansupaya UTB sentiasa memantau program-program yang ditawarkan agar, ia bukan sahaja relevan dalam​ memenuhi keperluan semasa tetapi juga mampu untuk beradaptasi dengan keperluan masa hadapan.

Beta mengambil maklum bahawa kecemerlangan dalam kualiti pembelajaran masih dapat dikekalkan melalui pemendekkan tempoh pengajian dari 4 ke 3 tahun.

Alhamdulillah kumpulan pertama dalam pelaksanaan perubahan ini akan dianugerhkan ijazah sarjana muda dalam bidang Sains, Teknologi dan Perdagangan pada Majlis Konvokesyen pagi ini. Beta​ juga mengambil maklum bahawa perubahan tempoh pengajian adalah hasil dari kajian teliti UTB mengenai amalan-amalan terbaik.

Beta gembira mengetahui bahawa satu program baharu, iaitu, Doctor of business Administration akan diperkenalkan pada bulan Januari 2025. Selain ianya sebagai pilihan alternatif kepada PhD, ianya juga membuktikan kepentingan peluang pembelajaran sepanjang hayat. Program ini memenuhi keperluan action research dalam dunia perniagaan sebenar dengan memperkaya ekosistem penyelidikan melalui intervensi yang dapat diguna pakai dan dapat meningkatkan hasil penyelidikan UTB.

​Berkaitan penyelidikan, dalam usaha untuk meningkatkan jumlah petikan ataupun citation, Beta menyambut baik penstrukturan semula pusat-pusat dan research thrusts ​UTB dalam mensejajarkannya dengan amalan terbaik global. Penubuhan Pusat Teknologi Hijau dan Penyelidikan Lestari atau Centre of Green Technology and Sustainable Research adalah diharap dapat menyumbang ke arah ini.Penyelidikan UTB juga disasarkan kepada Matlamat Pembangunan Mampan atau SDG. Dalam hal ini Beta mengambil maklum bahawa UTB buat pertama kalinya telah memasuki Times Higher Education Impact Ranking. Syabas atas pencapaian ini.

Menyentuh mengenai Ranking Universiti di persada global, Beta difahamkan UTB akan terus memperkenalkan strategi-strategi yang lebih inovatif, terutama melalui agenda pengantarabangsaan, termasuk penubuhan Pejabat UTB Global.

Akhirnya, Beta merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua warga Universiti Teknologi Brunei, yang merangkumi Ahli-Ahli Majlis dan Senat, Naib Canselor, Pegawai-Pegawai Utama, ahli akademik, pegawai dan kakitangan atas segala sumbangan dan perkhidmatan mereka. Beta berdo’a semoga Allah Subhanahu Wata’ala akan memberkati segala usaha kita dan mengurniakan ganjaran yang berlipat ganda.

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Waramatullahi Wabarakatuh.

Sabda DPMM Di Majlis Haflut Takharruj Institut Tahfiz Al-Qur’an Sultan Haji Hassanal Bolkiah Kali Kedua Belas Tahun 1446 Hijrah 2024 Masihi

SABDA

DULI YANG TERAMAT MULIA PADUKA SERI PENGIRAN MUDA MAHKOTA PENGIRAN MUDA HAJI AL-MUHTADEE BILLAH

IBNI KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH, MENTERI KANAN DI JABATAN PERDANA MENTERI

 

DI MAJLIS HAFLUT TAKHARRUJ

INSTITUT TAHFIZ AL-QUR’AN SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH

KALI KEDUA BELAS TAHUN 1446 HIJRAH /2024 MASIHI

 

BERTEMPAT DEWAN UTAMA,

PUSAT PERSIDANGAN ANTARABANGSA (ICC), BERAKAS

 

PADA HARI KHAMIS, 1HB RABIULAWAL 1446 BERSAMAAN

5HB SEPTEMBER 2024

 

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillaahir Rahmaanir Raheem

Alhamdulillah Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Syukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala di atas izin dan limpah rahmat-Nya jua, kita sekali lagi dapat berkumpul di Majlis Haflut Takharruj, Institut Tahfiz Al-Qur’an Sultan Haji Hassanal Bolkiah kali yang kedua belas bagi meraikan dan memberikan pengiktirafan kepada dua puluh (20) graduan Diploma ‘Aliyah Qiraat.

Terlebih dahulu, Saya merakamkan rasa syukur dan ucapan setinggi-tinggi tahniah kepada para graduan atas kejayaan yang telah dicapai. Saya percaya majlis ini adalah antara saat yang paling bermakna kepada setiap graduan dalam mengharungi tempoh pengajian selama tiga tahun di peringkat Diploma dan menghafaz 30 juzuk Al-Qur’an dan setentunya akan menjadi kenangan manis yang abadi.

Lebih bermakna lagi, di sebalik pencapaian yang dikecapi ini sudah setentunya ada insan-insan mulia yang sentiasa tetap berdiri teguh menyokong dan memberi semangat yang tidak putus-putus untuk setiap graduan. Mereka adalah para ibubapa termasuk penjaga para graduan. Sekalung tahniah kepada mereka-mereka ini yang sentiasa mendo’akan dan bersedia berkorban masa, tenaga dan wang ringgit sebagai dokongan untuk bersama-sama menyumbang kepada kejayaan bermakna anak masing-masing.

Tidak lupa juga, ucapan penghargaan ditujukan kepada para tenaga pengajar dan seluruh warga institut atas komitmen berterusan dalam mendidik dan membimbing para graduan. Kepada Allah Subhanahu Wata’ala jua dipanjatkan do’a bagi sebaik-baik kurnia ganjaran terhadap semua yang terlibat yang menjadi asbab kejayaan para graduan.

Saya juga bersyukur kejayaan para pelajar dan graduan di Institut Tahfiz Al-Qur’an Sultan Haji Hassanal Bolkiah adalah juga menyumbang kepada pencapaian Matlamat Wawasan Brunei 2035, khususnya dalam melahirkan rakyat yang berpendidikan, berkemahiran dan berjaya.

Mereka yang menuntut ilmu di sini merupakan kalangan rakyat Brunei yang terpilih dan menjadi sebahagian aset yang amat berharga kepada pembangunan negara. Setiap ilmu yang ditimba dan kemahiran yang diraih sepanjang pengajian akan dapat memastikan tercapainya aspirasi negara khasnya bagi melengkapi mereka dengan ilmu pengetahuan dan kemahiran abad ke-21 yang bermanfaat duniawi dan ukhrawi.

Sebagaimana yang disebutkan para ulama bahawa Al-Qur’an itu memiliki banyak nama. Salah satu nama Al-Qur’an adalah ‘Asy-Syifa’ yang bermaksud penawar, iaitu merujuk kepada mafhum Surah Al-Isra, ayat 82:

Dan Kami menurunkan daripada Al-Qur’an (sesuatu) yang menjadi penawar dan rahmat bagi orang yang beriman.”

Dalam hubungan ini, Saya sukacita memetik kurnia Titah Paduka Ayahanda pada Majlis Musabaqah Dewasa Peringkat Akhir Kebangsaan 1445 Hijrah:

“Memang menjadi dasar Kerajaan menjadikan Al-Qur’an untuk dibaca dan ditadabbur ayat-ayatnya untuk kebahagiaan hidup di dunia dan di akhirat. Al-Qur’an tidak syak lagi adalah sumber keberkatan dan kekuatan yang tidak ada tolok bandingnya. Sebab itu Negara Brunei Darussalam tidak boleh berenggang dari Al-Qur’an.

Menyebut mengenai penyakit rohani, teringat kita kepada isu gejala mental yang sedang rancak diperkatakan akhir-akhir ini. Pihak berkenaan di negara ini patut sensitif untuk melihat bagaimana cara merawat atau menangani gejala ini dengan Al-Qur’an. Cara itu tentu sahaja ada menurut Al-Qur’an. Inilah namanya kita berpandu kepada Al-Qur’an, dengan memanfa’atkan segala ajarannya bagi mengatasi apa jua masalah yang berkaitan.”

Bersinambung dengan Titah Perutusan sempena Awal Tahun Hijrah 1446, Paduka Ayahanda selanjutnya menitahkan:

“Usaha-usaha yang sedia ada perlu dipertingkatkan lagi, supaya isu ini dapat ditangani dengan lebih berkesan. ‘Program Kesihatan Mental’ secara saintifik dan kerohanian hendaklah diaktifkan melalui pendidikan, terutama Pendidikan ugama dan dakwah secara berterusan. Inilah antara konsep hijrah, iaitu untuk mengubah atau membaiki perkara-perkara negatif kepada positif.”

Dalam hal ini, dengan lahirnya ramai para huffaz ataupun penghafal Al-Qur’an di negara ini, khususnya daripada Institut Tahfiz Al-Qur’an Sultan Haji Hassanal Bolkiah, akan mampu menyebarluaskan lagi manfaat dan keberkatan Al-Qur’an melalui pembelajaran dan apa jua program mahupun aktiviti yang berkaitan dengan pengamalan bacaan Al-Qur’an, malahan isi kandungannya turut dihayati sebagai panduan cara hidup yang utama.

Pada hemat Saya, untuk mendapatkan penawar ataupun syifa’ daripada Al-Qur’an bukan setakat memperbanyak pembacaannya malahan melestarikan budaya mentadabbur dan tazkirah Al-Qur’an di masjid-masjid termasuk rumah, sekolah, dan pejabat serta di manapun tempat yang bersesuaian Al-Qur’an dilantunkan.

Bagi mencapai hasrat ini, setiap individu muslim perlulah terlebih dahulu menguasai bacaan Al-Qur’an yang pra-syaratnya adalah kesediaan untuk mempelajari ilmu tajwid dan memperhalusi sebutan makhraj dengan penuh teliti secara berperingkat dan berterusan. Melalui kaedah bacaan yang lancar, kedua-dua pembaca dan yang mendengarkannya akan selanjutnya berupaya untuk menghayati dan seterusnya mengundang keberkatan dan rahmat Allah kepada masyarakat dan negara yang kita sama-sama cintai.

Saya seterusnya berpendapat dan yakin, di sinilah ruang kepada para graduan Institut Tahfiz untuk turut berperanan sebagai ejen yang menyambung perjuangan mulia Rasulullah Shallahu ‘Alaihi Wassalam dalam menyebar-luas syiar Islam serta bacaan Al-Qur’an menjurus kepada membantu masyarakat mengukuhkan pengisian kerohanian dan pengukuhan akidah termasuk mengatasi apa jua masalah atau gejala yang berkaitan bersandarkan kepada panduan lengkap seperti terkandung dalam kitab suci Al-Qur’an.

Di samping itu, menjaga akhlak serta memelihara harga diri yang tinggi dengan berterusan beradab dengan adab-adab Al-Qur’an adalah menjurus kepada menzahirkan keperibadian seorang penghafal Kitabullah sebagai bentuk tanda pengagungan diri dan insani terhadap Kalamullah, iaitu Al-Qur’an Al-Karim.

Akhir kalam, sekali lagi saya ingin mengucapkan tahniah kepada para graduan termasuk Jemaah Tadbir, ibubapa, penjaga, tenaga pengajar dan seluruh warga Institut Tahfiz Al-Qur’an Sultan Haji Hassanal Bolkiah. Semoga Allah Subhanahu Wata’ala membalas segala usaha dan jasa bakti mulia ini dengan balasan yang sebaik-baiknya di sisi-Nya jua.

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

***​​​​

Titah KDYMM Sempena Majlis Haflut Takharruj Ke-14 Universiti Islam Sultan Sharif Ali

TITAH

KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN, SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
 
SEMPENA
MAJLIS HAFLUT TAKHARRUJ KE-14
UNIVERSITI ISLAM SULTAN SHARIF ALI
 
PADA HARI RABU:
23HB SAFAR 1446/
28HB OGOS 2024
 
BERTEMPAT
PUSAT PERSIDANGAN ANTARABANGSA,
NEGARA BRUNEI DARUSSALAM

  

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillaahir Rahmaanir Raheem

         Alhamdulillah Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Alhamdulillah, Beta bersyukur ke hadhrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana dengan rahmatNya jua dapatlah kita sekali lagi bersama-sama hadir dalam Majlis Haflut Takharruj Kali Ke-14, Universiti Islam Sultan Sharif Ali pada pagi ini.

Beta dengan tulus ikhlas ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada semua graduan yang telah berjaya menyempurnakan pengajian mereka masing-masing. Demikian juga Beta merakamkan ucapan tahniah dan penghargaan yang sama kepada para ibu bapa, penjaga serta para tenaga akademik yang sama-sama memberikan sumbangan bermakna kepada kejayaan yang dicapai oleh para graduan pada hari ini.

UNISSA dalam usianya yang semakin matang telah mencapai beberapa pencapaian yang membanggakan di arena global. Tahniah Beta ucapkan atas peningkatan kedudukan ranking dalam World University Ranking for Innovation (WURI) yang diraih oleh UNISSA pada tahun ini. Ini adalah pengiktirafan berharga daripada badan penilai antarabangsa dan Beta berharap ia akan menjadi pendorong untuk UNISSA menjadi peneraju dalam menyediakan kurikulum dan penyelidikan Islam yang berkualiti tinggi di peringkat kebangsaan mahupun di peringkat global.

Dalam meraikan pencapaian ini, UNISSA hendaklah terus menerus memperkukuh jati diri para graduannya. Aspek etika, akhlak dan integriti adalah elemen yang menjadi asas kepada setiap bentuk program dan aktiviti di UNISSA. Bahkan, pembudayaan integriti ini juga adalah mustahak diterapkan di institusi pengajian tinggi yang lain. Ia sangat penting untuk melahirkan graduan yang bukan sahaja berkualiti dari segi pengetahuan tetapi juga memiliki sikap dan nilai-nilai murni yang diamalkan. Ini sejajar dengan falsafah Melayu Islam Beraja yang menjadi pegangan dan amalan kita orang Brunei.

Pada Majlis Haflut Takharruj yang lepas, Beta ada menyentuh mengenai program undang-undang dan keperluannya kepada negara. Beta juga menyentuh adanya keperluan bagi penubuhan Fakulti Undang-Undang secara berasingan agar Fakulti ini dapat beroperasi dengan lebih teratur dan memberikan tumpuan secara khusus dalam merangka modul atau Kursus Undang-Undang dengan lebih terancang dan berkualiti.

Dalam hal ini, Beta juga telah memperkenankan nama baharu Fakulti ini sebagai Fakulti Undang-Undang Sultan Haji Hassanal Bolkiah. Beta amat berharap agar Fakulti ini memainkan peranan yang signifikan dalam melahirkan para graduan undang-undang yang berkaliber yang diperlukan oleh negara.

UNISSA sebagai sifatnya sebuah universiti Islam tulin, difahami mempunyai pengisian yang tradisional sebagai teras. Namun begitu, Beta melihat pendekatan pengajaran boleh saja dipelbagaikan. Pendekatan dalam pengajaran dan pembelajaran hendaknya tidak mengenepikan kemahiran abad ke-21. Cara pendekatan kemahiran perlu diteroka supaya setiap pelajar dapat menguasainya sebelum tamat tempoh pengajian. Ini penting sebagai bekalan untuk fasa kehidupan seterusnya.

UNISSA turut memainkan peranan dalam memacu inovasi dan perjalanan ekonomi. Dalam pada itu pihak universiti, berserta pemegang dasar dan juga pakar ekonomi, selayaknya sama-sama berusaha untuk melakar strategi yang lebih berkesan dalam memperkembangkan sektor dan industri baharu bagi menyantuni kelayakan para graduan. Perancangan perlu dirangka oleh pihak yang berkepentingan bagi memaksimakan sumber tenaga manusia yang berkelayakan ke arah menyumbang kepada kemajuan negara secara efektif.

Akhirnya, Beta tidak lupa merakamkan ucapan setinggi-tinggi tahniah dan penghargaan kepada seluruh warga UNISSA yang terdiri daripada Ahli-Ahli Majlis, Ahli-Ahli Senat Universiti, Rektor, Pegawai-Pegawai Utama, tenaga akademik dan seluruh pegawai dan kakitangan UNISSA atas segala pengorbanan tenaga, buah fikiran dan masa dalam menjayakan Majlis Haflut Takharruj Ke-14 ini. Semoga Allah Subhanahu Wata’ala akan membalasnya dengan ganjaran yang setimpal kepada mereka.

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

***

Titah KDYMM Sempena Majlis Konvokesyen Kali Ke-36 Universiti Brunei Darussalam (UBD)

TITAH
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah 
ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, 
Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam

Sempena
Majlis Konvokesyen Kali Ke-36
Universiti Brunei Darussalam
 (UBD)
 
Pada Hari Isnin
07hb. Safar, 1446 /
12hb. Ogos, 2024
 
Bertempat
Dewan Canselor
Universiti Brunei Darussalam
Negara Brunei Darussalam

 

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillaahir Rahmaanir Raheem

Alhamdulillah Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Beta bersyukur ke hadhrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana dengan izinNya jua, dapatlah kita bersama-sama hadhir di Majlis Konvokesyen Kali Ke-36 Universiti Brunei Darussalam pada pagi ini.

Beta dengan amat sukacita mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada para graduan atas kejayaan menamatkan pengajian dalam bidang masing-masing. Ucapan yang sama juga ditujukan kepada para ibu bapa dan penjaga atas dorongan dan sokongan mereka di sepanjang tempoh pengajian para graduan.

Dalam keadaan dunia berhadapan dengan cabaran dan risiko perubahan iklim, pencemaran alam sekitar, sekuriti makanan, pemesatan digital, sekuriti siber, polarisasi sosial dan kemiskinan, maka adalah mustahak untuk kita melakar masa depan yang lebih menjamin bagi generasi akan datang.

Bercakap mengenai generasi ini, UBD sebagai universiti terulung di negara ini perlu bersedia menggalas tanggungjawab untuk melahirkan generasi yang progresif lagi kreatif, melalui keluaran-keluaran universiti pada setiap tahun. Dalam hubungan ini, Beta sukacita mengambil maklum bahawa UBD telah merangka UBD Sustainable Blueprint bagi mewujudkan ekosistem yang berdaya tahan. Dengan adanya Blueprint ini, kita berharap UBD akan dapat mewujudkan kampus yang bersifat lebih mesra alam dan kondusif dalam melahirkan generasi pemimpin yang sentiasa bersedia menangani tantangan zaman.

Dalam kita giat mencapai matlamat Sustainable Development Goals (SDG), Beta ingin mengingatkan tentang kepentingan aspek kerohanian. Dengan tidak mengabaikan aspek kerohanian, UBD akan dikenali sebagai sebuah universiti yang dapat memupuk dan merangsang perkembangan pelajar meliputi semua aspek kehidupan, yang dilihat mampu untuk meraih keberkatan, keselamatan dan kemakmuran, bukan hanya di dunia malahan juga di akhirat.

Dari sini dapatlah kita melihat betapa tinggi kemampuan setiap fakulti di UBD dalam memastikan gandingan pendidikan dan penyelidikan yang dilaksanakan sehingga mampu untuk mendatangkan impak signifikan yang diharapkan. Alhamdulillah, Beta gembira mengetahui bahawa UBD School of Business and Economics (UBD-SBE) telah dianugerahkan akreditasi berprestij tinggi, iaitu Association to Advance Collegiate Schools of Business (AACSB). Akreditasi ini menjadikan UBD-SBE kini menyertai lebih kurang 6% kumpulan elit business school di dunia yang mematuhi piawaian kecemerlangan yang ditetapkan dalam pendidikan perniagaan.

Dari segi inovasi dan kerjasama industri pula, Beta ingin melihat kerjasama industri dan universiti di negara ini dikukuhkan, untuk membolehkan pemindahan pengetahuan, teknologi dan kepakaran antara ahli akademik dan pengamal industri. Sehubungan dengan ini, pembinaan UBD Innovation HubUBD Digital Science Nexus dan bangunan baharu UBD Institute of Biodiversity and Enviroment Research yang telah Beta perkenankan di bawah Projek RKN Ke-12, diharap akan menjadi pemangkin bagi memperkasakan lagi penyelidikan dan pendidikan. Ini tentu saja akan menghasilkan pembangunan produk, pelaburan, economic cluster baharu dan ekosistem inovasi yang menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi dan penjanaan peluang pekerjaan.

Beta yakin, para graduan dengan penuh semangat akan menyahut cabaran-cabaran dalam memenuhi keperluan pekerjaan di masa akan datang.

Akhirnya, Beta mengambil kesempatan untuk merakamkan ucapan terima kasih kepada semua warga UBD, yang merangkumi Ahli-Ahli Majlis, Ahli-Ahli Senat Universiti, Naib Canselor, Pegawai-Pegawai Utama, ahli akademik, pegawai dan kakitangan universiti atas segala sumbangan dan perkhidmatan mereka.

Semoga segala usaha mereka akan mendapat ganjaran yang berlipat ganda daripada Allah Subhanahu Wata’ala.

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.​