Titah KDYMM Di Majlis Musabaqah Membaca Al-Quran Bahagian Dewasa Peringkat Akhir Kebangsaan bagi Tahun 1446 Hijrah / 2025 Masihi

Titah KDYMM Di Majlis Musabaqah Membaca Al-Quran Bahagian Dewasa Peringkat Akhir Kebangsaan bagi Tahun 1446 Hijrah / 2025 Masihi

TITAH

KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN, SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
 
DI MAJLIS
MUSABAQAH MEMBACA AL-QURAN BAHAGIAN
DEWASA PERINGKAT AKHIR KEBANGSAAN
BAGI TAHUN 1446 HIJRAH / 2025 MASIHI

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillaahir Rahmaanir Raheem

         Alhamdulillah Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Alhamdulillah, dengan berkat dan mukjizat Al-Qur’an jua, maka dapatlah kita berhimpun pada malam yang penuh keberkatan ini untuk sama-sama memeriahkan Majlis Musabaqah Membaca Al-Qur’an Bahagian dewasa Peringkat Akhir Kebangsaan bagi Tahun 1446 Hijrah bersamaan 2025 Masihi.

Tema Musabaqah tahun ini “Akal Sihat Dengan Al-Qur’an”, amat bertepatan dengan peranan Al-Qur’an sebagai panduan hidup yang sempurna. Al-Qur’an bukan sahaja memberi pencerahan kepada akal fikiran, tetapi juga mendidik jiwa untuk memahami erti kebenaran, keadilan dan kehidupan yang aman serta sejahtera.

Musabaqah Membaca Al-Qur’an seperti ini memainkan peranan besar dalam meningkatkan kecintaan umat Islam terhadap Al-Qur’an. Bacaan yang tartil dan indah menyentuh hati, sementara penghayatan isi kandungannya menggerakkan akal untuk berfikir secara mendalam dan bijaksana. Firman Allah Subhanahu Wata’ala, dalam Surah Al-An’am ayat 50 yang tafsirnya: “Tidakkah kamu mahu berfikir?”.

Ayat ini menyeru umat Islam untuk menggunakan akal dengan penuh hikmah, berpandukan Al-Qur’an dalam segala aspek kehidupan. Akal yang sihat adalah asas kepada masyarakat yang maju dan sejahtera. Kecemerlangan akal hanya dapat dicapai apabila ia dipandu oleh wahyu Ilahi iaitu Al-Qur’an. Al-Qur’an mendidik akal untuk mengenal perkara-perkara baik dan buruk, memberi pertimbangan yang adil, serta menyatukan ilmu duniawi dengan nilai-nilai ukhrawi. Oleh itu, usaha menjaga kesahihan dan kesucian mushaf Al-Qur’an adalah satu amanah yang mesti diberi perhatian utama.

Dalam hubungan ini, bagi memastikan setiap bahan-bahan terbitan yang meliputi mushaf Al-Qur’an untuk diterbitkan, dicetak dan diedarkan di negara ini hendaklah memenuhi piawaian yang tinggi.

Beta berpendapat adalah baik bagi agensi-agensi yang berkaitan memperkemaskan lagi Garis Panduan yang sedia ada dengan mewujudkan satu akta khas penerbitan, pencetakan dan pemuliaan mushaf Al-Qur’an bagi Negara Brunei Darussalam. Beta berharap ia akan dapat dimanfaatkan dalam memastikan setiap mushaf yang akan diguna pakai itu memenuhi kaedah Rasam Uthmani yang diiktiraf di peringkat antarabangsa.

Hubungan diantara tema dengan keperluan akta ini mengingatkan kita kepada, bahawa Al-Qur’an bukan sekadar bacaan, tetapi sebuah manual kehidupan yang mendidik akal-budi untuk mengenal hikmah dan kebenaran. Dengan adanya akta ini, kita dapat memastikan bahawa mushaf Al-Qur’an yang digunakan oleh umat Islam di negara ini adalah sahih, sekali gus menjamin keaslian panduan Al-Qur’an dalam mencerdaskan akal dan jiwa.

Akhirnya, Beta berharap, pihak-pihak berkenaan akan dapat memberikan sokongan padu dalam usaha-usaha berkebajikan ini, dan juga yang berkait rapat dengan pengukuhan amalan supaya tidak terpesong atau tersasar dari landasan pegangan ‘Aqidah Ahli Sunnah Waljamaah Mazhab Syafi’e. Laungan Kalamullah yang sentiasa bergema di muka bumi Brunei Darussalam ini tidak diragukan lagi adalah pemangkin kepada kesejahteraan negara dan kemakmurannya.

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

***​​

Sabda DPMM Pada Majlis Perasmian Musabaqah Membaca Al-Qur’an Bahagian Dewasa Peringkat Akhir Kebangsaan Tahun 1446H / 2025M (Malam Pertama)

SABDA

DULI YANG TERAMAT MULIA PADUKA SERI PENGIRAN MUDA MAHKOTA PENGIRAN MUDA HAJI AL-MUHTADEE BILLAH
IBNI KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH,
MENTERI KANAN DI JABATAN PERDANA MENTERI
 
DI MAJLIS PERASMIAN
MUSABAQAH MEMBACA AL-QUR’AN BAHAGIAN DEWASA
PERINGKAT AKHIR KEBANGSAAN TAHUN 1446 HIJRAH /2025 MASIHI
(MALAM PERTAMA)
 
BERTEMPAT
DEWAN PLENARY, PUSAT PERSIDANGAN ANTARABANGSA,
NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
 
PADA
SELASA (MALAM RABU), 3 SYAWAL 1446 BERSAMAAN 22 APRIL 2025

 

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillaahir Rahmaanir Raheem

Alhamdulillah Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Segala puji dan syukur dirafakkan ke hadhrat Allah Subhanahu Wata’ala di atas limpah rahmat dan Inayah-Nya jua, kita dapat berkumpul untuk mendengar dan menghayati bersama lantunan kalam Allah dalam Majlis Musabaqah Membaca Al-Qur’an Bahagian Dewasa Peringkat Akhir Kebangsaan Tahun 1446 Hijrah bersamaan 2025 Masihi.

Kalam Allah yang termaktub dalam Kitab suci Al-Qur’an yang diwahyukan melalui Malaikat Jibril ‘Alaihissalam adalah mukjizat teragung yang diturunkan kepada Nabi terakhir Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam sebagai pedoman dan petunjuk sepanjang zaman. Di dalamnya terkandung hukum mengenai ibadah secara individu dan undang-undang sosial, kisah para Nabi dan ummat terdahulu termasuk pelbagai petunjuk tentang kekuasaan Allah Maha Pencipta, kejadian alam dan sains.

Hikmahnya adalah untuk diimani dengan hati dan difikirkan dengan akal manusia yang sihat. Akal yang sihat dan cerdas sahaja yang dapat mendalami dan memahami hikmah ayat-ayat yang terkandung dengan melazimkan membaca, di samping mengukuhkan kefahaman melalui amalan tadabbur yang menjurus kepada menerangkan mata hati serta akal dan minda yang tajam. Justeru, akal dikurniakan kepada manusia sebagai alat organ spiritual untuk memahami, menilai dan membuat keputusan berpandukan kepada wahyu Illahi agar tidak tersesat dari kebenaran.

“Akal” disebut dalam Al-Qur’an sebanyak 49 kali dalam mana para Ulama menafsirkan kata “akal” disebut dengan kata kerja, iaitu suruhan supaya manusia sentiasa dalam proses memikir, memahami dan seterusnya mengenali Maha Pencipta alam semesta.

Dalam hubungan ini, Paduka Ayahanda Sempena Sambutan Mauludir Rasul yang baru lalu khasnya mengurniakan Titah mengenai dengan keperluan untuk ‘Memelihara Akal’ disebalik cabaran-cabaran masa kini dalam mana Paduka Ayahanda turut menitahkan antaralain tentang “akal yang sihat menjamin kehidupan berkat. Jika akal sihat, semua akan berjalan dengan baik, lancar dan berjaya. Sebab itu gejala mental adalah menjadi keutamaan untuk dirawat.”

“Dalam era digital masa ini, cabaran semakin besar, terutama dengan kehadiran media sosial yang kadang-kadang menyebarkan maklumat bercanggah dengan ajaran Islam aliran ahli Sunnah Wal Jama’ah. Oleh itu, kita perlu memperkuat sistem ‘immun’ atau kekebalan diri dengan pendidikan ugama. Ini penting, supaya kita tidak terpengaruh oleh ideologi dan pemikiran yang tidak selari dengan dasar Kerajaan.”

Sehubungan dengannya, Paduka Ayahanda juga seterusnya menitahkan bagi “aktiviti-aktiviti dakwah yang dikendalikan oleh pihak-pihak berkenaan akan dapat disampaikan secara berhikmah, sehingga mampu untuk menjadi benteng menghalangi ajaran-ajaran sesat dari disebar melalui pelbagai bentuk aplikasi media.”

Dengan demikian, keperluan untuk ‘Memelihara Akal’ dan seterusnya memperkukuh kekebalan diri adalah bertepatan dengan tema Musabaqah kali ini, iaitu “Akal Sihat dengan Al-Qur’an”. Fungsi akal sihat menurut Al-Qur’an adalah akal yang selalu ingat kepada Allah, mengenal kebesaran-Nya, dan menjalankan fungsinya sesuai dengan tujuan penciptaannya.

Firman Allah Subhanahu Wa Ta’ala dalam surah Al-‘Imran, ayat 190-191, tafsirnya:“Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi serta pertukaran malam dan siang terdapat tanda-tanda (kekuasaan dan kebijaksanaan Allah) bagi orang-orang yang berakal (yang dapat memikir dan memahaminya). (Iaitu) orang-orang yang mengingati Allah dalam keadaan berdiri, duduk atau berbaring dan mereka memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata): Ya Tuhan kami! Tidaklah Engkau menciptakan semua ini sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami daripada azab neraka.”

Konsep “Akal Sihat dengan Al-Qur’an” pada hemat saya bermaksud kesihatan dan
ketajaman pemikiran seseorang bergantung kepada sejauh mana akal itu berpandukan
ajaran Al-Qur’an. Al-Qur’an menyihatkan akal dengan membimbing akal ke arah kebenaran, mengajarkan manusia berfikir secara kritis dan merenungkan tanda-tanda kebesaran-Nya. Al-Qur’an juga menjauhkan dari pemikiran yang tidak sihat, negatif dan songsang serta menghindarkan dari ideologi yang menyesatkan dan nafsu yang melampaui batas.

Di sinilah signifikannya peranan semua pihak berkepentingan khasnya dalam bersama-sama menjunjung serta menanai Titah saranan Paduka Ayahanda seiring dengan keperluan untuk memperkasa masyarakat dalam menghayati ajaran-ajaran murni Islam berlandaskan Maqasid Syariah ke arah melahirkan generasi bangsa dan negara yang
sentiasa berusaha meraih keberkatan kehidupan duniawi dan ukhrawi.

Akhirnya, dengan lafaz kalimah agong “Bismillah Hir Rahman Nir Rahim”, selawat serta salam ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wasallam, Saya sukacita merasmikan Musabaqah Membaca Al-Qur’an Bahagian Dewasa Peringkat Akhir Kebangsaan bagi Tahun 1446 Hijrah.

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

***​

Titah KDYMM Sempena Majlis Sambutan Hari Raya ‘Idil Fitri Tahun 1446H / 2025M

Titah KDYMM Sempena Majlis Sambutan Hari Raya ‘Idil Fitri Tahun 1446H / 2025M

TITAH
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN,
SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM​

SEMPENA
MAJLIS SAMBUTAN HARI RAYA ‘IDIL FITRI
1446H/2025M 

ANJURAN
YAYASAN SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH

​PADA:
HARI SABTU
13HB SYAWAL 1446H
12HB APRIL 2025M​

 

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillaahir Rahmaanir Raheem

Alhamdulillah Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Alhamdullilah, kita bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana dengan limpah rahmatNya jua, dapatlah kita meraikan hari kemenagan umat Islam, Hari Raya ‘Idilfitri, dengan penuh kesyukuran dan kegembiraan. ‘Idilfitri seharusnya kita sambut dengan mengikut syari’at Ugama Islam, antaranya untuk mengukuhkan lagi perpaduan dan silaturrahim, bemula dari peringkat keluarga, jiran tetangga, rakan taulan dan masyarakat pada ‘amnya.

Amalan yang baik ini perlu diteruskan untuk menyuburkan lagi perpaduan dan sikap hormat-menghormati serta amalan bantu-membantu dikalangan masyarakat kita.

Nabi kita, Sayyidina Muhammad Shallallahu ‘Alaihi Wasallam telah memberikan contoh terbaik dalam meraikan ‘Idilfitri dengan cara Baginda itu berangkat ke masjid bagi menunaikan sembahyang sunat ‘Idilfitri dan kembali ke rumah dengan melalui jalan-jalan berbeza, supaya Baginda dapat berjumpa dengan ramai orang, dan sekaligus dapat bersilaturrahim dengan mereka.

Beta menyambut baik tema sambutan Hari Raya ‘Idilfitri anjuran Yayasan Beta pada tahun ini iaitu “Perpaduan Masyarakat Dalam Mencapai Aspirasi Negara”. Perpaduan memang sangat penting dalam memastikan negara aman dan harmoni serta pembangunan dapat berjalan lancar dan berjaya.

Kerana itu adalah menjadi tanggungjawab semua untuk memelihara dan mengekalkan keamanan dan keharmonian itu.

Beta sangat mengalu-alukan kehadiran para peserta yang terdiri daripada beberapa kumpulan masyarakat yang dilihat memainkan peranan penting dalam pembangunan masyarakat dan negara. Usaha dan inisiatif mereka kearah memperkasa pembangunan ini amatlah dihargai.

Tidak dinafikan, zaman yang kita lalui sekarang, telah dan sedang mempengaruhi sebahagian besar dari gaya hidup kita. Namun kita tetap dituntut untuk mengekalkan tradisi sosial yang diwarisi sejak turun temurun. Ia tidak boleh lenyap dalam era dan arus moden.

Sikap dan nilai berawar galat orang Brunei, saling hormat-menghormati, sayang-menyayangi, bertolak-ansur dan saling bantu-membantu adalah perlu dikekalkan, tidak boleh sumbing, apatah lagi hilang.

Dalam masa yang sama, kita juga tidak dapat menyangkal kesan globalisasi terhadap pembangunan dan sosioekonomi. Di sinilah perlunya ketua-ketua masyarakat dari pelbagai peringkat untuk mengambil langkah-langkah positif dengan mengadaptasi kemajuan lebih berkesan untuk negara.

Semua diambil kira mengikut aliran zaman dan pendekatan-pendekatan juga hendaklah praktikal serta bersesuaian.

Beta ingin melihat semua usaha dapat diperluaskan melalui program-program lebih teratur dan berkesan untuk membawa negara mencapai kemajuan yang sempurna sebagaimana dihasratkan oleh Wawasan Brunei 2035.

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.​

 

Titah Perutusan KDYMM Sempena Menyambut Awal Bulan Ramadhan Bagi Tahun 1446H / 2025M

Titah Perutusan KDYMM Sempena Menyambut Awal Bulan Ramadhan Bagi Tahun 1446H / 2025M

TITAH PERUTUSAN

KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN, SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
 
SEMPENA
MENYAMBUT AWAL BULAN
RAMADHAN BAGI TAHUN 1446H / 2025M

 

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillaahir Rahmaanir Raheem

Alhamdulillah Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Rakyat Beta yang berugama Islam yang Beta kasihi, marilah kita bersama-sama mengalu-alukan kehadiran Ramadhan. Ramadhan adalah penghulu segala bulan. Darjatnya sangat tinggi di sisi Allah Subhanahu Wata’ala. Di dalamnya Al-Qur’an diturunkan.

Kelebihan Ramadhan sangat istimewa, sebagaimana hadith-hadith Nabi Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wasallam memberitahu, di antaranya baginda bersabda, maksudnya:

“Bulan Ramadhan ke bulan Ramadhan, hari Juma’at ke hari Juma’at, dan satu sembahyang ke sembahyang yang lain adalah penebus dosa di antara keduanya, selama mana segala dosa besar dijauhi”.

Bersabda lagi baginda, maksudnya:

“Bulan Ramadhan adalah bulan Sabar, dan ganjaran dari kesabaran itu adalah masuk syurga”.

Seterusnya Nabi Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda lagi, maksudnya:

“Awal Ramadhan ialah rahmat, ditengah-tengahnya pengampunan, dan di akhirnya bebas dari api neraka”.

Dengan mengetahui kelebihan-kelebihan ini, semua kita, tentu sahaja akan bertambah sayang kepada Ramadhan, dan tanda sayang kita itu, kita akan menghiasinya dengan ibadat-ibadat, selain ibadat puasa sendiri.

Terdapat riwayat menyebut, bahawa semua pintu langit dan pintu syurga dibuka pada bulan Ramadhan, manakala pintu-pintu neraka pula ditutup dan semua iblis serta syaitan dirantai, supaya mereka tidak dapat mengacau kita Umat Islam yang sedang berpuasa.

Riwayat lain juga menyebut bahawa siapa yang menghampiri diri kepada Allah Subhanahu Wata’ala, dengan satu sembahyang dalam bulan Ramadhan, adalah sama imbangannya dengan tujuh puluh (70) sembahyang pada lain-lain bulan. Dan satu sembahyang sunat, sama imbangannya dengan satu sembahyang fardhu.

Demikian, hebatnya kelebihan Ramadhan. Oleh itu, Beta berharap, kita umat Islam, janganlah mengabaikan kelebihan ini dan memanfaatkan peluang yang cuma didapat, sekali sahaja dalam setahun dengan melakukan ibadat-ibadat seperti bertadarus Al-Qur’an, Sembahyang Tarawih, Qiamullail, sedekah dan lain-lain.

Menyentuh mengenai ibadat Qiamullail, iaitu amalan sunat yang dikerjakan pada waktu malam bagi merapatkan diri kepada Allah Subhanahu Wata’ala. Pada hemat Beta, kita selaku umat Islam perlu terus berusaha untuk menghidupkan malam-malam di bulan Ramadhan melalui amalan Qiamullail yang dilakukan secara bersendirian atau berjemaah sama ada dengan keluarga masing-masing atau di Masjid dan Surau. Dalam hal ini, Beta amat menghargai usaha berterusan oleh pihak-pihak berkenaan untuk mengadakan Ibadat Qiamullail secara berjemaah di Masjid-Masjid, di Surau-Surau di seluruh Negara, lebih-lebih lagi pada sepuluh (10) malam terakhir di bulan Ramadhan.

Terutama yang mahu dipelihara ialah ibadat puasa sendiri. Sebulan penuh kita berpuasa, hendaklah sebulan penuh juga puasa kita diterima.

Bagaimanakah caranya untuk puasa diterima?

Berkata ulama: “Janganlah membuat dosa dan hindari segala perkara yang boleh merosakkan puasa”, sebagaimana peringatan telah diberikan oleh Nabi Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wasallam. Maksudnya:

“Puasa itu adalah pendinding. Maka manakala seorang kamu berpuasa, hendaklah dia tidak bercakap kotor, tidak berlaku jahat (fasik), dan  tidak berpura-pura jahil terhadap hukum. Jika orang mencercanya atau mengajaknya berkelahi, maka hendaklah ia berkata: “Sesungguhnya aku sedang berpuasa”.

Selain dari bercakap kotor dan berkelahi boleh merosakkan puasa, Beta melihat yang turut mustahak juga dijaga ialah hal ehwal permakanan. Menjaga permakanan ini sangatlah penting supaya ia bersih dan halal, bukan tercemar oleh unsur haram atau syubhah. Ugama Islam juga sangat mementingkan kesihatan dan di antara langkah paling berkesan untuk mengekalkan kesihatan ialah melalui permakanan. Walaupun permakanan dalam bulan puasa sering didapati pelbagai atau beraneka, kita selaku umat Islam perlu mengelak pembaziran dan makan minum yang berlebih-lebihan dengan mengikuti kaedah yang dituntut dalam hadis Nabi Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wasallam iaitu sukatan: sepertiga untuk makanan, sepertiga lagi untuk minuman dan sepertiga pula untuk bernafas. Jika badan sihat, semua aktiviti peribadatan dapat dilaksanakan dengan sempurna dan kita dapat sama-sama meraih kelebihan pada bulan yang penuh keberkatan ini.

Akhirnya, Beta dan keluarga Beta dengan amat sukacita mengucapkan Selamat Berpuasa kepada seluruh rakyat dan penduduk yang berugama Islam di mana saja mereka berada.

Semoga kita semua sama-sama dapat melaksanakan ibadat puasa dalam keadaan sihat dan sejahtera. Amin.

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

***​