Titah KDYMM Sempena Sambutan Hari Belia Kebangsaan Kali Ke-19

TITAH

KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN, SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
 
SEMPENA
SAMBUTAN HARI BELIA KEBANGSAAN
KALI KE-19
 
TEMA: ‘BELIA SIAGA MASA DEPAN’
 
PADA HARI RABU:
02 SAFAR 1446H / 07 OGOS 2024

  

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillaahir Rahmaanir Raheem

Alhamdulillah Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Beta bersyukur kerana dapat sama-sama berkumpul untuk menghadiri Perhimpunan Hari Belia Kebangsaan Kali Ke-19 pada pagi ini.

Generasi belia adalah sumber tenaga yang sangat berharga. Maju dan mundurnya bangsa berkait rapat dengan prestasi belia.

“Belia Harapan Bangsa” adalah ungkapan yang sering diucapkan yang membawa makna sangat besar dalam menerajui pembangunan negara.

Beta ingin melihat lebih ramai golongan ‘Belia Cemerlang’ yang berani mendepani perubahan dan meneroka bidang-bidang baharu dalam masyarakat.

Kerajaan Beta melalui kementerian-kementerian dan jabatan-jabatan telah melaksanakan beberapa inisiatif bagi mewujudkan pembangunan mampan.

Kerjasama padu melalui pendekatan senegara adalah penting untuk dijadikan amalan, demi memastikan rantaian ekosistem berjaya diwujudkan, selaras dengan pertumbuhan ekonomi secara berterusan.

Dalam hubungan ini, Beta sukacita melihat ramai golongan belia mempelopori bidang keusahawanan dan perniagaan. Beta berharap golongan belia akan terus mampu untuk bersaing dan meneroka pasaran serta peluang-peluang baharu, lebih-lebih lagi berupaya untuk menembusi pasaran luar negara.

Oleh itu, agensi-agensi berkenaan adalah perlu untuk meningkatkan usaha dan memikirkan tatacara yang mudah bagi belia menceburi perniagaan dan sebagainya, termasuk memudahkan urusan peminjaman modal-modal perniagaan bagi meningkatkan produktiviti dan daya saing dalam bidang inovasi dan teknologi.

Beta turut mengambil maklum, mengenai sumbangan belia ke arah Matlamat Pembangunan Mampan dengan perlaksanaan Dialog Belia Pembangunan Mampan Kohort Ke-2 dengan menfokuskan kepada tanggungjawab penggunaan dan pengeluaran (Responsible Consumption and Production).

Sangat diharapkan, ianya akan dapat menjadi wadah bagi para belia meneruskan usaha ke arah mencipta masa depan yang cemerlang.

Sambutan Hari Belia Kebangsaan pada setiap 1 Ogos adalah merupakan pengiktirafan kepada sumbangan, pengorbanan, pencapaian dan kejayaan golongan belia dalam pembangunan negara.

Namun masih perlu diingatkan, dalam mengejar kejayaan, golongan belia hendaklah tetap mengekalkan ciri-ciri kebruneian, dengan mematuhi dan menghormati hukum-hukum ugama dan Undang-Undang.

Untuk akhirnya, Beta tidak lupa mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada semua golongan belia di negara ini atas komitmen mereka untuk sama-sama membangun dan memajukan negara.

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

***​

Titah KDYMM Sempena Hari Keputeraan Baginda Yang Ke-78 Tahun 1446H / 2024M

TITAH

KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN, SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
 
SEMPENA
HARI KEPUTERAAN
BAGINDA YANG KE-78 TAHUN
1446H / 2024M

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillaahir Rahmaanir Raheem

         Alhamdulillah Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Alhamdulillah, Beta bersyukur ke hadhrat Allah Subhanahu Wata’ala, di atas limpah rahmat-Nya mengizinkan kita untuk dapat menyambut Hari Keputeraan Beta yang ke-78 dalam suasana aman dan tenteram.

Terlebih dahulu, Beta dengan tulus ikhlas ingin merakamkan ucapan terima kasih dan penghargaan kepada semua pihak yang telah menghantar perutusan ucap selamat kepada Beta dan keluarga bersempena dengan sambutan ini.

Kita bersyukur, berkat negara berada dalam aman dan sejahtera, Kerajaan Beta terus berupaya melaksanakan pelbagai usaha, sama ada di peringkat domestik mahupun antarabangsa, selaras dengan peredaran masa.

Keutamaan kita tetap tertumpu kepada merealisasikan matlamat Wawasan Brunei 2035 dengan merancakkan pertumbuhan ekonomi, dan seterusnya memastikan kesejahteraan rakyat dan penduduk terus terpelihara.

Beta beranggapan bahawa rakyat dan penduduk di negara ini sudah semakin matang dalam melalui situasi dan keadaan yang kadang-kadang tidak menentu.

Namun berkat perpaduan dan kerjasama yang kukuh di antara rakyat dan penduduk, maka semua keadaan yang mencabar dapat di atasi dengan baik.

Bercakap mengenai keadaan mencabar, golongan belia adalah tonggak yang sangat diharapkan. Ke atas bahu merekalah turut dibebankan tanggungjawab mencorakkan masa depan negara. Mereka terus diberi peluang untuk menjadi penggerak dan pemacu perubahan. Itulah peranan dan tanggungjawab golongan belia.

Ini selaras dengan usaha memantapkan pembangunan modal insan menerusi sistem pendidikan dan latihan yang inovatif, mengukuhkan kemahiran dan kebolehpasaran anak-anak tempatan termasuk belia, sejajar dengan keperluan industri, ekonomi dan badan profesional.

Berkaitan dengan pembangunan kemahiran profesional, Kerajaan Beta menerusi Syarikat Jerudong Park Medical Centre Sendirian Berhad (JPMC) dengan kerjasama Far Eastern University, Republik Filipina telah menubuhkan JPMC College of Health Sciences.

Institusi tersebut adalah merupakan kolej kejururawatan swasta yang pertama di negara ini. Selain peluang meningkatkan kemahiran, ianya juga dirancang untuk memenuhi keperluan sektor awam dan swasta serta untuk tujuan melahirkan jururawat yang berkualiti serta mampu berdayasaing di peringkat antarabangsa pada masa akan datang.

Sehubungan ini, Beta amat bersyukur bahawa ekonomi negara telah mencatatkan pertumbuhan positif pada tahun 2023, dengan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) bagi Sektor Bukan Minyak dan Gas mencatatkan peningkatan sebanyak 4.5 peratus, dan 59.8 peratus daripada keseluruhan eksport domestik adalah sumbangan daripada sektor berkenaan.

Sementara itu, Prospek unjuran pertumbuhan ekonomi negara akan lebih memberangsangkan, bilamana ASEAN+3 Macroeconomic Research Office (AMRO) mengunjurkan pertumbuhan KDNK negara bagi tahun 2024 pada kadar 2.7 peratus.

Manakala Asian Development Bank pula mengunjurkan pertumbuhan sebanyak 3.7 peratus; dan International Monetary Fund (I.M.F) sebanyak 2.7 peratus berasaskan kepada pertumbuhan berterusan di sektor hiliran dan makanan. Demikian juga Alhamdulillah, Beta gembira, KDNK Negara pada Suku Pertama tahun ini telah berjaya merekodkan pertumbuhan sebanyak 6.8 peratus tahun ke tahun.

Kerajaan Beta, insya Allah akan terus melipat gandakan lagi usaha dalam memacu pembangunan ekonomi yang lebih pesat pada tahun-tahun mendatang, dan juga telah menjadi aspirasi Beta untuk melihat pertumbuhan ekonomi yang lebih signifikan, demi kesejahteraan rakyat Beta yang Beta kasihi, lebih-lebih lagi menjelangnya Jubli Intan Pemerintahan Beta, yang insya Allah akan disambut pada tahun 2027 nanti.

Adapun usaha mewujudkan lebih banyak peluang pelaburan, pekerjaan dan pemindahan kepakaran dan teknologi kepada warga kerja tempatan akan terus dipertingkatkan. Ini dikaitkan dengan potensi besar dari pembangunan fasa kedua Kompleks Petrokimia dan Penapisan Berintegrasi Hengyi Industries di Pulau Muara Besar, peluasan Pelabuhan Muara serta projek Integrated Marine Maintenance and Decommissioning Yard.

Keutamaan juga terus diberikan kepada pembangunan keusahawanan tempatan. Pelbagai program dan inisiatif telah diperkenalkan untuk memperkukuhkan lagi keupayaan perniagaan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) tempatan.

Ini termasuk merebiu semula dasar PMKS ke arah yang lebih lebih kondusif; memperluaskan rangkaian perniagaan dan akses pasaran; dan mengadakan latihan terkini untuk meningkatkan kemahiran keusahawanan.

Ke arah mewujudkan eko-sistem perniagaan yang kondusif, khasnya dalam konteks Negara Pintar atau Smart Nation, maka usaha ke arah pembangunan sebuah hab pembayaran digital yang telah diterajui oleh National Digital Payments Network Sendirian Berhad, insya Allah dijangka akan mula dilancarkan dalam masa terdekat.

Ianya berpotensi besar dalam menjana pertumbuhan transaksi tanpa tunai atau cashless transactions menerusi pelbagai platform multimedia masa kini.

Dalam hal ehwal antarabangsa pula, Tahun 2024 menandakan ulang tahun ke-40 penubuhan hubungan diplomatik Negara Brunei Darussalam dengan negara luar serta keahliannya di pertubuhan-pertubuhan serantau dan antarabangsa.

Dasar luar yang diamalkan dalam tempoh empat dekad ini, telah membolehkan negara mengekalkan hubungan dan kerjasama kukuh dengan rakan-rakan strategik.

Prinsip kerjasama dan saling memahami ini juga menekankan kepentingan pelaksanaan komitmen negara di peringkat serantau dan antarabangsa.

Antaranya ialah yang berkaitan dengan perubahan iklim menerusi komitmen ‘Perjanjian Paris’ dengan sasaran pengurangan pelepasan gas hijau negara sebanyak 20 peratus menjelang 2030.

Kerajaan Beta sedang menyediakan Pelan Adaptasi Kebangsaan ke arah meningkatkan kedayatahanan negara terhadap impak perubahan iklim. Disamping itu,  dalam melaksanakan pembangunan, kelestarian alam akan terus menjadi agenda utama negara, kerana ia akan diwarisi oleh generasi akan datang.

Semoga usaha-usaha yang bermakna ini akan terus dipertingkatkan, dengan gandingan seluruh tenaga, kepakaran dan pengalaman yang ada, untuk bersama-sama merealisasikan aspirasi negara.

Akhirnya, Beta dengan tulus ikhlas merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada seluruh lapisan rakyat dan penduduk, warga Perkhidmatan Awam, Pasukan-Pasukan Keselamatan serta mereka yang berkhidmat di sektor swasta, termasuk mereka yang bertugas di luar negara di atas sumbangan dan sokongan mereka kepada Kerajaan Beta.

Beta juga tidak lupa mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh Ahli Jawatankuasa Perayaan di Peringkat Kebangsaan dan Peringkat Daerah di atas segala usaha dan khidmat yang mereka hulurkan bagi menjayakan Perayaan ini.

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

***​​

Titah Perutusan KDYMM Sempena Tahun Baru Hijrah 1446

TITAH PERUTUSAN

KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN, SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
 
SEMPENA
TAHUN BARU HIJRAH 1446

 

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillaahir Rahmaanir Raheem

         Alhamdulillah Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

​Kita bersyukur ke hadhrat Allah Subhanahu Wata’ala, kerana dengan limpah rahmat-Nya jua, dapatlah kita menyambut llal Hijrah 1446 dalam suasana aman yang diberkati.

Beta berharap semoga tahun 1446 Hijrah ini akan memberikan semangat baru untuk kita menjalani kehidupan berbakti.

Peristiwa Hijrah Nabi Muhammad Shallallahu ‘Alaihi Wasallam tidak ada harga untuk disebut melainkan, ianya membawa mesej pengajaran yang termahal dalam sejarah. Ia dilihat sebagai pembuka pintu rahmat bagi umat. Dengannya, Islam mula bebas tersebar tanpa sekatan. Itulah Keberkatan hijrah.

Ia merupakan pembawa perubahan lebih bererti kepada kehidupan umat Islam khasnya dan kepada alam sejagat ‘amnya. Konsep hijrah tidak hanya sekali berlaku, tetapi berterusan berlaku, sebagaimana maksud Hadits Nabi Shallallahu ‘Alaihi Wasallam, riwayat Abu Daud:

“Dari Muawiyah Radhiallahu ‘Anhu dia berkata: Aku telah mendengar Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda: Hijrah itu tidak akan berhenti sehingga tertutupnya peluang taubat, dan peluang taubat pula tidak akan tertutup sehingga matahari terbit dari tempat terbenamnya.”

Tema Sambutan pada tahun ini berbunyi: ‘Memelihara Akal’. Tema ini bagus, kerana akal menentukan kesempurnaan hidup. Manakala akal sihat, maka sihatlah hidup, dan manakala akal rosak, maka rosaklah hidup.

Konsep memelihara akal dapat dihubungkan dengan hukum pengharaman benda-benda yang memabukkan. Manusia manakala mabuk, bererti akalnya sedang bermasalah. Orang yang mabuk, sama ada mabuk kerana arak atau ganja atau dadah, semua itu menjadi alamat bahawa akal orang yang mabuk itu adalah rosak. Kerana itu Ugama Islam sangat bertegas mengharamkan benda-benda yang memabukkan.

Menyebut tentang akal, ia juga berkaitan dengan mental. Pada akhir-akhir ini, kesihatan mental banyak diperkatakan. Maka sehubungan itu usaha-usaha, bersepadu Kerajaan Beta dalam menangani isu-isu kesihatan mental yang semakin meningkat dan membimbangkan, amatlah dialu-alukan. Beta difahamkan, kira-kira seramai 11,000 orang lebih, yang terdiri daripada kanak-kanak hingga dewasa adalah sedang menerima rawatan Perkhidmatan Psikiatri dan psikologi klinikal di Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha.

Oleh itu, usaha-usaha yang sedia ada perlu dipertingkatkan lagi, supaya isu ini dapat ditangani dengan lebih berkesan. Beta mahu, program kesihatan mental secara saintifik dan kerohanian hendaklah diaktifkan melalui pendidikan, terutama pendidikan  ugama dan dakwah secara berterusan. Inilah antara konsep hijrah, iaitu untuk mengubah atau membaiki perkara-perkara negatif kepada positif.

Di sinilah paksi amalan melalui penghijrahan. Maksud Beta, penghijrahan itu elok dilakukan secara bersama, sebagai cara hidup, untuk memperolehi perubahan-perubahan terbaik dalam kehidupan.

Akhirnya, Beta dan keluarga Beta dengan amat sukacita mengucapkan Selamat Menyambut Ilal Hijrah 1446 kepada seluruh lapisan masyarakat di negara ini, dengan harapan semoga Allah Subhanahu Wata’ala akan melimpahkan rahmat-Nya kepada kita semua berupa keamanan, kesihatan, kesejahteraan dan kemakmuran. Amin Ya Rabbal ‘Alamin.

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

***​

 

Titah Perutusan KDYMM Sempena Hari Raya ‘Idil Adha Tahun 1445H/2024M

TITAH PERUTUSAN

KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN, SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
 
SEMPENA
HARI RAYA ‘IDIL ADHA
TAHUN 1445H/2024M

 

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillaahir Rahmaanir Raheem

         Alhamdulillah Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, Walillahil Hamd.
 
‘Idil Adha menjelang lagi. ‘Idil Adha bererti Hari Raya Korban. Kita umat Islam digalakkan berkorban dengan menyembelih binatang korban. Pahala berkorban itu sangat besar untuk dijawat di akhirat kelak.

Oleh itu, bagi siapa yang mampu, marilah sama-sama berkorban. Peluang berkorban itu boleh didapat cuma sekali sahaja dalam setahun.

Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, Walillahil Hamd.

Kalau berkorban di luar ‘Idil Adha, lagi banyak macamnya, seperti berkorban membangun masjid, berkorban menyantuni fakir miskin dengan sedekah, berkorban memelihara anak-anak yatim, berkorban membantu mangsa-mangsa banjir, mangsa-mangsa kebakaran dan lain-lain, berkorban menyantuni warga emas dengan pencen tua, berkorban memelihara saudara-saudara baru dengan membantu dan menyampaikan bimbingan-bimbingan keugamaan dan lain-lain.

Semua itu, juga namanya berkorban, yang dijanjikan oleh Allah ganjaran pahala bagi siapa yang melakukannya.

Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, Walillahil Hamd.

Peluang berkorban adalah sentiasa terbuka bagi kita orang-orang Islam, misalnya berkorban dengan mengisi Tabung Kemanusiaan rakyat Palestin yang sedang berjuang mempertahankan ugama, bangsa dan negara mereka. Pengorbanan jenis ini malah boleh disifatkan sebagai pengorbanan tertinggi kerana tujuannya yang suci pada jalan Allah.

Negara Brunei Darussalam selama-lamanya berpendirian supaya perang yang berat sebelah ini segera ditamatkan, dengan rakyat yang tidak berdosa dihormati hak-hak mereka untuk menikmati keamanan, kesentosaan dan kebebasan.

Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, Walillahil Hamd.

Kepada para jemaah haji kita di Tanah Suci, hendaknya jangan lupa, disamping berdo’a untuk negara sendiri, berdo’alah juga untuk saudara-saudara seugama di mana sahaja, khasnya saudara-saudara rakyat Palestin yang sedang berendam air mata.

Do’a adalah pernyataan simpati dan kasih sayang terhadap orang yang dido’akan. Perkara ini sangat disuruh oleh ugama, sehingga Nabi Shallallahu ‘Alaihi Wasallam, ada menjelaskan dalam beberapa hadits baginda, diantaranya:

–       Hadits pertama riwayat At-Tirmizi daripada Abdullah bin ‘Amr, maksudnya: “Orang-orang yang pengasihan akan dikasihani oleh Ar-Rahman (Allah). Kasihanilah siapa yang di bumi, nescaya akan dikasihani oleh siapa yang di langit”.

–       Hadits kedua yang disepakati, bermaksud: “Barangsiapa yang tidak mengasihani manusia, dia tidak akan dikasihani oleh Allah”.

Hadits-hadits ini jelas menjadi dalil kuat, supaya kita mengasihani sesama hamba, terutama terhadap mereka yang menjadi mangsa kezaliman atau lain-lain musibah.

Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, Walillahil Hamd.

Demikian itu indahnya ajaran Islam dalam konteks berkorban. Pengorbanan dalam Islam adalah sangat luas dan menyeluruh, termasuk perbuatan bersimpati dan mendo’akan saudara muslim adalah juga termasuk pengorbanan. Kerana itu ganjarannya adalah istimewa bagi siapa yang melakukannya.

Seorang yang mendo’akan kebajikan untuk saudaranya, jika kebajikan itu didapat oleh saudara yang dido’akan, maka ganjaran kebajikan yang sama akan diterima juga oleh orang yang mendo’akan. Demikian juga kalau kita mengasihani sesama kita di muka bumi, maka kita juga akan dikasihani oleh penghuni langit dan bahkan oleh Allah Subhanahu Wata’ala.
Begitulah adilnya Allah dalam mengurniakan ganjaran timbal balik kepada sesiapa yang berkorban dan juga kepada mereka yang menerima pengorbanan.

Untuk mengakhiri perutusan ini, Beta dan keluarga Beta sukacita mengucapkan Selamat Hari Raya ‘Idil Adha Al-Mubarak kepada seluruh rakyat dan penduduk yang berugama Islam di mana sahaja mereka berada.

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

***​

Titah KDYMM Di Majlis Perasmian Konferensi Antarabangsa Islam Borneo Ke-15 (KAIB XV)

TITAH

KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN, SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
 
DI MAJLIS
PERASMIAN KONFERENSI ANTARABANGSA
ISLAM BORNEO KE-15 (KAIB XV)
 
PADA
HARI RABU
28 ZULKAEDAH 1445 / 5 JUN 2024
 
ANJURAN
UNIVERSITI ISLAM SULTAN SHARIF ALI
(UNISSA)
 
BERTEMPAT :
PUSAT PERSIDANGAN ANTARABANGSA,
NEGARA BRUNEI DARUSSALAM

 

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillaahir Rahmaanir Raheem

         Alhamdulillah Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Alhamdulillah, Beta bersyukur ke hadhrat Allah Subhanahu Wata’ala yang melimpahkan rahmat-Nya sehingga dapatlah kita sama-sama menghadiri Majlis Perasmian Konferensi Antarabangsa Islam Borneo Kali Ke-15 pada pagi ini.

Kepulauan Borneo dimaklumi mengalami perkembangan pesat, seiring dengan kemajuan pusat-pusat ilmu yang mencorak masyarakat bertamadun. Islam di Borneo merupakan pegangan atau anutan majoriti rakyat dan penduduknya. Oleh itu Beta gembira mengetahui, bahawa persidangan seumpama ini, yang telah bertapak melebihi satu dekad, masih saja meneruskan wacana intelektualnya sehingga ke hari ini. Tidak syak lagi sumbangan para ilmuan dalam persidangan seumpama ini adalah merupakan tonggak kemajuan ummah.

Pada kali ini, KAIB membawakan tema “Membangun Masyarakat dan Perbandaran Islam Yang Mampan”. Beta melihat pembangunan perbandaran Islam itu sifatnya adalah menyeluruh, tidak hanya berupa pembangunan material atau fizikal, tetapi menekankan kemajuan yang seimbang lahiriah dan rohaniah. Pembangunan yang hanya mementingkan kemajuan fizikal semata-mata tidak akan bertahan lama.

Demikian itulah ketentuan sejarah, bagaimana kerajaan-kerajaan besar zaman silam runtuh kerana kemajuan yang dibangun tidak berpaksikan nilai-nilai rabbani yang kukuh. Lalu peradaban yang dibina sekian lama itupun roboh, hanya tinggal menjadi ristaan sahaja.

Berdasarkan ketentuan dan pengalaman pahit inilah, kita tidak mahu memiliki perbandaran yang hanya dibangun dengan benda yang cepat malap dan luntur. Sebaliknya yang kita mahu ialah perbandaran Islam yang dibangun dengan nilai-nilai seimbang, benda dan rohani.

Kepulauan Borneo yang kaya dengan sumber alam, mesti kaya juga dengan sumber rohani, maka barulah kita akan dapat masyarakat berdaya tahan dan kuat untuk mendepani segala cabaran dan asakan zaman.

Sehubungan itu, Beta suka menyarankan supaya institusi pengajian tinggi Borneo dapat memainkan peranan untuk benar-benar menjadi lubuk ilmu yang bukan sahaja menawarkan program untuk memenuhi tuntutan semasa, tetapi juga mendidik dan mencorak anak bangsa menjadi insan seimbang.

Dalam kita membincangkan pembinaan tamadun, khasnya tamadun masyarakat Islam di Alam Melayu, maka kita janganlah lupa mengenai khazanah ilmu dalam bentuk pelbagai manuskrip ataupun kitab-kitab lama tulisan ulama silam.

Di sini, Beta melihat adanya keperluan bagi penubuhan sebuah pusat yang bertanggungjawab memelihara dan melestari manuskrip. Pusat itu nanti akan jadi sumber kajian berkaitan ugama, identiti, asal-usul, sejarah, tradisi dan legasi masyarakat rantau ini. Melaluinya aktiviti kajian dan penyelidikan manuskrip dapat diaktifkan. Hal ini mustahak kerana manuskrip adalah warisan atau khazanah yang menyimpan banyak ilmu serta pengetahuan yang bernilai.

Penerokaan terhadap karya ilmuan klasik ini akan mampu memberi kesedaran atau kefahaman kepada generasi hari ini mengenai sejarah bangsa dan negara untuk merangka kemajuan masa depan yang progresif dan menyeluruh. Beta juga berharap, manuskrip-manuskrip berharga ini akan dapat diakses dengan mudah dengan menggunakan teknologi digital. Dokumentasi dalam bentuk digital ini nanti juga akan dapat mempercepat dan memperluas lagi sebaran manuskrip milik kita di kepulauan ini ke merata pelusuk dunia.
Akhirnya, Beta tidak lupa mengucapkan selamat datang kepada para delegasi dari luar ke Negara Brunei Darussalam dan mengucapkan selamat bersidang. Beta mendo’akan majlis-majlis ilmu seperti ini akan memartabatkan lagi kedudukan Islam Borneo dan sekaligus di rantau Asia tenggara. Kerukunan dan semangat persaudaraan yang terjalin kukuh akan menjadikan kita lebih bersatu untuk membangun masyarakat dan perbandaran Islam yang mampan.

Dengan bertabarruk mengambil berkat Kalimat Suci, Bismillah Hirrahmanir Rahim, maka Beta rasmikan Majlis Konferensi Antarabangsa Islam Borneo Kali Ke-15.

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

***​