Titah KDYMM Sempena Majlis Pembukaan Rasmi Mesyuarat Pertama Dari Musim Permesyuaratan Ke-20 Majlis Mesyuarat Negara (MMN) Bagi Tahun 1445H / 2024M

TITAH

KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA

SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI

AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN, SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM.

 

SEMPENA MAJLIS PEMBUKAAN RASMI

MESYUARAT PERTAMA DARI MUSIM

PERMESYUARATAN KE-20 MAJLIS MESYUARAT NEGARA (MMN)

BAGI TAHUN 1445H/2024M

 

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillaahir Rahmaanir Raheem​

Alhamdulillah Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Alhamdulillah, bersukur kita kehadrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana dapat bersidang lagi pada hari ini, di Mesyuarat Pertama Dari Musim Permesyuaratan Ke-20 Majlis Mesyuarat Negara.

Majlis Mesyuarat Negara adalah merupakan medan untuk melahirkan pendapat dan buah fikiran yang membina oleh para Ahli. Ia dihasratkan kekal relevan untuk membincangkan perkara-perkara strategik yang bermanfaat bagi rakyat dan negara.

Beta berharap, Ahli-Ahli Yang Berhormat akan sentiasa peka untuk mengikuti perkembangan yang berlaku, bukan sahaja di peringkat serantau mahupun antarabangsa.

Ini semua boleh memberikan kepada Ahli-Ahli Yang Berhormat perspektif berbeza serta idea-idea baharu, yang boleh menyuntik kemajuan dalam bidang-bidang utama yang diperlukan.

Secara khusus, Beta juga mahu Ahli-Ahli Yang Berhormat yang dilantik akan sentiasa ‘turun padang’ untuk bermuzakarah dengan pihak-pihak berkepentingan dari sektor Kerajaan, Swasta, Persatuan-Persatuan dan lebih-lebih lagi para penduduk yang diwakili masing-masing.

Beta percaya perundingan timbal-balik ini akan memastikan inclusiveness kesemua pihak dan meningkatkan lagi keyakinan masyarakat, serta membantu reka dasar Kerajaan Beta.

Ke arah ini, Beta sarankan supaya pihak-pihak berkenaan dalam Kerajaan untuk terus memanfaatkan pengalaman dan pengetahuan Ahli-Ahli Yang Berhormat, khasnya menerusi penglibatan dalam mana-mana keahlian jawatankuasa ataupun taskforce yang diamanahkan.

Ahli-Ahli Yang Berhormat yang dilantik juga disarankan untuk membuat inisiatif-inisiatif masing-masing ke arah membantu Kerajaan Beta dalam menjana peluang-peluang pekerjaan, mempertingkatkan sektor-sektor perekonomian dan pembangunan kapasiti sumber tenaga manusia, termasuk di kalangan pengusaha-pengusaha tempatan dan golongan-golongan tertentu yang lain.

Beta difahamkan bahawa menerusi Laporan ASEAN Plus Three Macroeconomic Research Office (AMRO), telah diramalkan bahawa ekonomi negara akan mengukuh kepada 2.4 peratus pada tahun 2024, yang diterajui oleh sektor Bukan Minyak dan Gas, melalui aktiviti perekonomian dalam sub-sektor pertanian, makanan, kewangan, pengangkutan dan pelancongan, serta perluasan aktiviti dalam sektor penapisan minyak dan gas hiliran.

Beta juga telah difahamkan bahawa beberapa usaha mempelbagaikan ekonomi telahpun dilaksanakan, namun masih saja belum mencukupi untuk mengimbangi kedudukan defisit fiskal Kerajaan.

Tetapi apapun keadaan, pada hakikatnya kita tidak dapat lagi terlalu bergantung kepada semata-mata sektor Minyak dan Gas, kerana terdapat beberapa faktor di luar kawalan kita seperti penurunan pengeluaran minyak dan gas dan harga pasaran global minyak dan gas yang tidak menentu.

Usaha-usaha perlulah diteruskan dan dipertingkatkan lagi ke arah mempelbagaikan ekonomi serta memberikan tumpuan kepada industri-industri strategik, di mana negara mempunyai potensi dan kekuatan untuk lebih berjaya. Pada masa yang sama, isu-isu semasa seperti isu alam sekitar, perubahan iklim dan sebagainya juga perlu diberikan perhatian.

Namun apapun berlaku, hala tuju pengeluaran minyak dan gas mesti diaktifkan dan industri hiliran minyak dan gas dikembangkan serta bekalan tenaga elektrik dan bahan api terus di utamakan.

Dari segi perbelanjaan Kerajaan pula, ianya dilihat semakin meningkat tahun demi tahun. Namun demikian, Alhamdulillah, Kerajaan Beta masih mampu untuk menyediakan sejumlah belanjawan bagi keperluan pembangunan.

Apa yang penting di sini ialah, setiap agensi Kerajaan Beta hendaklah menggunakan peruntukan yang disediakan dengan lebih berhimah untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan bagi penduduk dan rakyat negara ini.

Dari segi pembangunan negara pula, Rancangan Kemajuan Negara (RKN) Ke-12 akan bermula pada Tahun Kewangan 2024/2025 ini bagi tempoh lima tahun. Dalam masa yang sama, RKN mempunyai peranan penting ke arah mencapai aspirasi Wawasan Brunei 2035.

Maka apa yang Beta harapkan adalah supaya projek-projek pembangunan RKN ini akan dapat dipercepatkan mengikut garismasa yang sudah ditentukan.

Adalah juga menjadi harapan kita supaya Blueprint-Blueprint yang berkaitan dengan perekonomian, akan mendorong kepada pertumbuhan sektor yang disasarkan, dan dapat menarik lebih banyak lagi pelaburan langsung asing yang berpotensi untuk menjana peluang-peluang pekerjaan baharu.

Untuk akhirnya, Beta sekali lagi menyarankan agar persidangan ini akan dapat dimanfaatkan sepenuhnya bagi mencapai objektif pembangunan dan kemajuan negara.​

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.​

 

Titah KDYMM Sempena Sambutan Isra’ dan Mi’raj Peringkat Negara Tahun 1445H / 2024M

TITAH
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN, SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
 
SEMPENA
SAMBUTAN ISRA’ DAN MI’RAJ
PERINGKAT NEGARA
TAHUN 1445H / 2024M

  

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillaahir Rahmaanir Raheem

         Alhamdulillah Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Kita bersyukur ke hadhrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana dengan limpah rahmat-Nya jua, dapatlah kita berkumpul lagi bagi meraikan dan memperingati peristiwa agung Isra’ dan Mi’raj Nabi Muhammad Shallallahu ‘Alaihi Wasallam.
 
Beta menyambut baik tema sambutan pada tahun ini, iaitu Sembahyang Tiang Ugama. Imam at-Tirmizi dalam kitab Jami’nya meriwayatkan daripada Mu’adz bin Jabal Radhiallahu ‘Anhu, bahawa Nabi Muhammad Shallallahu ‘Alaihi Wasallam telah bersabda maksudnya: “Asas Ugama (Islam) itu ialah (melafazkan dua kalimah syahadat), sementara tiangnya pula ialah sembahyang dan kemuncaknya berjihad (pada jalan Allah)”.
 
Demikian hebatnya kedudukan sembahyang itu, sehingga diumpamakan sebagai tiang ugama. Sembahyang adalah ibadat paling utama dalam Islam dan yang pertama akan dihisab di akhirat kelak.

Dalam hubungan ini, kita tidak boleh lihat bahawa bangunan tidak akan terbina tanpa tiang. Maka demikian itulah juga dengan Islam tidak akan tegak terbina tanpa sembahyang, selaku tiangnya.

Sesungguhnya barangsiapa yang menunaikan sembahyang bererti dia menegakkan ugamanya, dan barangsiapa yang meninggalkan sembahyang, bererti dia meruntuhkan ugamanya.

Orang-orang yang sentiasa memelihara sembahyang telah dijanjikan oleh Allah akan memperolehi nikmat kebahagiaan dan keuntungan, sebagaimana firman Allah dalam surah Al-Mu’minun, ayat 9 hingga 11 tafsirnya: “Dan Orang-orang yang tetap memelihara sembahyang, mereka itulah pewaris-pewaris yang akan mewarisi syurga Firdaus. Mereka kekal di dalamnya”.
 
Untuk menjadi pewaris-pewaris tersebut, pada hemat Beta, pendidikan ugama, mustahaklah sentiasa dititikberatkan. Penekanan secara amali atau praktikal ilmu ugama, seperti cara berwudhu, perbuatan dan bacaan-bacaan dalam sembahyang masih sahaja perlu untuk terus diperkasa, bukan sahaja di​peringkat sekolah rendah, malah juga diperingkat yang lebih tinggi. Kerana ibadat sembahyang mempunyai rukun-rukunnya yang perlu dipelajari dan dihalusi, selaku ibadat utama.

Kita sama-sama memahami, bahawa sembahyang itu wajib ditunaikan tanpa mengira keadaan fizikal seseorang, sama ada dia berupaya atau kurang upaya (OKU), sihat atau pun sakit dan seumpamanya, selagi akal masih waras.

Kerana itu, pihak-pihak agensi yang berkenaan sangatlah mustahak untuk mengadakan pelbagai program pengukuhan ugama di tempat-tempat yang sesuai termasuk masjid dan seumpamanya.

Beta amat gembira dengan usaha Kementerian Hal Ehwal Ugama melibatkan pelbagai agensi dan badan-badan persatuan termasuk kalangan belia bagi sama-sama menyemarakkan lagi suasana keilmuan dan peribadatan di masjid-masjid, surau-surau dan balai ibadat termasuk  dalam bangunan-bangunan Kementerian atau Jabatan. Beta melihat, satu contoh pengisian yang bagus ialah ‘program munajat’ yang  diisikan dengan bacaan surah-surah pilihan, zikir-zikir, do’a dan tazkirah, yang sehingga kini masih terus dilaksanakan. Pada hema​t Beta, program ini boleh diperkasakan lagi.

Maka melalui majlis yang penuh berkat ini, Beta ingin menekankan supaya pihak-pihak berkenaan akan sama-sama memastikan bahawa program pendidikan adalah benar-benar terarah dan terlaksana dengan sebaik-baiknya tanpa mengabaikan kemudahan pendidikan bagi orang kurang upaya (OKU). Insya Allah, dengan cara demikian, bangsa dan negara ini akan beroleh berkat dan pemeliharaan Allah Subhanahu Wata’ala.

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

***​

Titah KDYMM Sempena Upacara Sovereign’s Parade Pengambilan Ke Dua Puluh Dua, Sekolah Pegawai Kadet, Akademi Pertahanan, Angkatan Bersenjata Diraja Brunei

TITAH
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN, SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
 
SEMPENA
UPACARA SOVEREIGN’S PARADE
PENGAMBILAN KE DUA PULUH DUA
SEKOLAH PEGAWAI KADET,
AKADEMI PERTAHANAN
ANGKATAN BERSENJATA DIRAJA BRUNEI
 
PADA HARI KHAMIS
20 REJAB 1445 / 01 FEBRUARI 2024
 
BERTEMPAT
PADANG KAWAD AKADEMI PERTAHANAN
ANGKATAN BERSENJATA DIRAJA BRUNEI
KAMPUNG TANAH JAMBU​

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillaahir Rahmaanir Raheem

Alhamdulillah Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Segala puji dan syukur ke hadhrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana dengan izinNya jua, dapatlah kita sama-sama hadir bagi Upacara Sovereign’s Parade Pengambilan Ke Dua Puluh Dua (22),  Sekolah Pegawai Kadet, Akademi Pertahanan, Angkatan Bersenjata Diraja Brunei.

Beta terlebih dahulu dengan besar hati mengucapkan syabas dan tahniah kepada Lima Puluh Empat (54) orang Pegawai Kadet atas persembahan perbarisan yang kemas dan penuh semangat sebentar tadi. Beta yakin ini adalah hasil latihan yang berjaya oleh Pegawai-Pegawai Kadet yang telahpun bersedia dengan penuh yakin untuk memulakan kerjaya sebagai Pegawai Tentera bertauliah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei.

Beta gembira dan bangga dengan perkembangan positif Sekolah Pegawai Kadet sejak penubuhannya lima belas (15) tahun yang lalu, iaitu untuk julung kalinya telah menerima penyertaan bersejarah dua (2) orang Pegawai Kadet, masing-masing dari Angkatan Tentera Malaysia dan Angkatan Bersenjata Republik Singapura.

Beta juga gembira mengambil maklum, bahawa sehingga kini, Sekolah Pegawai Kadet telahpun berjaya melahirkan seramai 804 orang Pegawai Tentera yang bertauliah. Sesungguhnya pencapaian yang signifikan ini adalah bukti jelas meningkatnya kredibiliti dan kematangan Sekolah Pegawai Kadet sehingga turut disambut baik oleh negara-negara sahabat. Syabas, Beta ucapkan kepada Sekolah Pegawai Kadet ABDB.

Sebagai satu-satunya institusi pendidikan dan latihan pegawai-pegawai tentera di negara ini, maka amatlah mustahak bagi Akademi Pertahanan untuk mengekalkan peranan utamanya selaku organisasi yang menjana perkembangan profesionalisme Pegawai-Pegawai ABDB melalui dasar Professional Military Education Manual 2023 yang telah diterbitkan baru-baru ini. Beta yakin Akademi Pertahanan adalah mampu untuk membantu ABDB merangka pelan pendidikan dan latihan sebagai langkah melahirkan pemimpin yang mempunyai ilmu akademik ketenteraan yang tinggi, yang berpaksikan falsafah Melayu Islam Beraja disamping memperkasa Nilai-Nilai Teras ABDB yang memartabatkan identiti kebruneian.

Dalam hubungan ini, Beta dengan sukacita menyambut baik dan memperkenankan rancangan Akademi Pertahanan untuk menubuhkan Faculty of Military Studies dengan kolaborasi bersama Universiti Brunei Darussalam. Ini adalah merupakan langkah positif dan salah satu inisiatif untuk mendapatkan pengiktirafan pendidikan Professional Military Education  dan adaptasi konsep Lifelong Learning.
 
Fakulti ini membuka ruang bagi Pegawai-pegawai ABDB untuk mengikuti program Bachelor in Defence and Security Studies yang diperolehi bermula dari Peringkat Kursus Pegawai Kadet sehingga ke peringkat Kursus Staf Pertengahan atau Intermediate Staff Course dan seterusnya, Master Degree in Defence and Security Studies di peringkat Maktab Turus ABDB. Beta menaruh keyakinan, segala bentuk perancangan dan usaha baik ini Insya Allah akan tercapai dengan dukungan serta kerjasama kukuh dari semua pihak yang berkenaan.

Beta juga sukacita mengucapkan syabas di atas pencapaian Pegawai-pegawai ABDB yang telah meraih anugerah tertentu di Institusi Pendidikan tentera Luar Negara seperti di Maktab Turus Republik Singapura dan Australia serta Kursus Pegawai Kadet Tentera laut di Britannia Royal Naval College, Dartmouth, United Kingdom baru-baru ini. Ucapan Tahniah juga untuk enam (6) orang Pegawai ABDB yang telah menerima anugerah OBOE Endeavour Academic Excellence daripada Kerajaan Australia sebagai pengiktirafan terhadap pencapaian cemerlang mereka di dalam Kursus Maktab Turus ABDB baru-baru ini.

Akhirnya, Beta sukacita merakamkan ucapan terima kasih dan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh warga Akademi Pertahanan, khususnya kepada Komandan Akademi Pertahanan, Pegawai Pemerintah, Pegawai-Pegawai, Colour Sergeant, Jurulatih dan Kakitangan Sekolah Pegawai Kadet di atas pengorbanan serta dedikasi mereka dalam melatih dan mendidik Pegawai-pegawai Kadet dan menjayakan Upacara Sovereign’s Parade pada pagi ini.

Ucapan terima kasih dan penghargaan juga, Beta tujukan kepada para ibu bapa, penjaga serta ahli keluarga di atas suntikan semangat, bimbingan dan sokongan yang berterusan sehingga mereka berjaya mengharungi latihan yang sangat bermakna dan mencabar ini. Kepada semua Penerima Anugerah tertentu, Beta ucapkan tahniah dan syabas.

Dengan merafakkan syukur ke hadhrat Allah Subhanahu Wata’ala dan dengan berkat kalimah Bismillahir Rahmanir Rahim, Beta dengan sukacita mengurniakan Tauliah kepada Lima Puluh Empat (54) orang Pegawai Kadet, Pengambilan Kedua Puluh Dua (22).

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

***​​

Titah Perutusan Khas KDYMM Sempena Istiadat Perkahwinan Diraja Tahun Baru Masihi 2024

TITAH PERUTUSAN KHAS
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN, SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
 
SEMPENA ISTIADAT PERKAHWINAN DIRAJA
TAHUN BARU MASIHI 2024

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillaahir Rahmaanir Raheem

Alhamdulillah Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Rakyat Beta yang dikasihi!

Alhamdulillah, Beta bersyukur kehadhrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana dengan izinNya jua, dapatlah kita bersama-sama meraikan Istiadat Perkahwinan Diraja bagi Paduka Anakda, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen dengan Yang Amat Mulia Pengiran Anak Isteri Anisha Rosnah binti Adam yang baru sahaja berlalu.

Beta dengan tulus ikhlas, merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih di atas sumbangan tenaga yang dihulurkan oleh seluruh lapisan rakyat dan penduduk warga Perkhidmatan Awam, Pasukan Polis Diraja Brunei, Angkatan Bersenjata Diraja Brunei serta mereka yang berkhidmat di sektor swasta, termasuk mereka yang bertugas di luar negara di atas sumbangan dan sokongan mereka bagi menjayakan Istiadat Perkahwinan Diraja Paduka Anakda itu.

Juga tidak lupa dirakamkan setinggi-tinggi penghargaan  kepada para tetamu khas Beta yang sudi hadir ke Istiadat ini, dan juga kepada semua pihak yang telah menyembahkan perutusan ucap selamat kepada Beta dan keluarga, khasnya bagi Kedua Pengantin Diraja. Sesungguhnya Beta dan keluarga amat terharu dengan sambutan yang ditunjukkan oleh seluruh lapisan rakyat dan penduduk di negara ini lebih-lebih lagi para penuntut dan tenaga pengajar institusi pendidikan yang terlibat sama, terutamanya pada Istiadat Perarakan Pengantin Diraja mengelilingi Bandar Seri Begawan.

Ini menggambarkan betapa uniknya adat istiadat yang kita warisi sejak sekian lama masih saja tetap terpelihara, sekalipun berhadapan dengan gelombang  perubahan zaman.

Lebih membanggakan lagi ialah kemuafakatan dan kerjasama yang terjalin kukuh di kalangan masyarakat pelbagai peringkat, dalam menjayakan satu-satu matlamat berkebajikan.

Beta berharap, keadaan ini akan terus kekal bagi memudahkan kita menjana kemajuan dan mempertahankan kedaulatan Bangsa, Ugama, Negara dan Raja.

Beta juga yakin, rakyat dan penduduk sama-sama bergembira menyaksikan satu peristiwa yang penuh sejarah, Istiadat perkahwinan Diraja yang baru saja berlangsung itu.

Ia tentu saja  akan menjadi ristaan dan kenangan manis kepada semua, lebih-lebih lagi bagi generasi-generasi penerus yang akan memastikan adat dan budaya adalah kekal relevan di masa-masa akan datang.

Akhirnya, penghargaan juga disampaikan kepada seluruh Ahli Jawatankuasa di kedua-dua peringkat, Tertinggi dan Kerja, atas segala khidmat usaha untuk menjayakan Istiadat ini.

Beta berdo’a semoga kita semua serta Negara Brunei Darussalam akan sentiasa kekal aman dan makmur, dikurniakan oleh Allah rahmat dan perlindunganNya yang berkekalan. Amin.

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

***​

 

Titah KDYMM Sempena Menyambut Tahun Masihi 2024

TITAH PERUTUSAN
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN

SEMPENA MENYAMBUT
TAHUN BARU MASIHI 2024
 

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillaahir Rahmaanir Raheem,

Alhamdulillahi Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Alhamdulillah, Beta bersyukur ke hadhrat Allah Subhanahu Wata’ala, di atas limpah rahmat-Nya mengizinkan kita sama-sama melangkah ke tahun Masihi 2024.

Semoga tahun 2024 ini akan mendorong kita untuk lebih berjaya meneroka perubahan-perubahan bermakna, baik bagi diri sendiri, keluarga, masyarakat mahupun negara.

Demikian juga, fokus Kerajaan Beta akan tetap mensasarkan pencapaian matlamat-matlamat Wawasan Brunei 2035. Maka untuk itu, Kerajaan Beta melalui pendekatan Whole of Government dan Whole of Nation akan terus melakar strategi baru menerusi blueprint-blueprint yang kita yakini mampu untuk membawa negara lebih dekat kepada matlamat-matlamat tersebut. Blueprint-blueprint ini akan sentiasa dikemaskini bagi memastikan ianya sentiasa relevan, dan apa jua jurang dalam perancangan dan pelaksanaan akan ditangani secara kolektif tanpa bertangguh.

Namun dalam pada itu, faktor-faktor luar seperti pergolakan geo-politik, krisis kesihatan global, kesan perang dagang di antara kuasa besar dan kepesatan kemajuan teknologi, akan terus mempengaruhi hala tuju dunia, dengan bahangnya juga turut dirasai oleh negara kita.

Apa yang pasti, kita perlu mendepani keadaan ini dengan fikiran terbuka untuk memahami perubahan tersebut dan seterusnya memanfaatkan sepenuhnya apa jua peluang yang dibawanya.

Menyentuh mengenai kepelbagaian ekonomi, Beta sangat gembira atas perkembangan Sektor Bukan Minyak dan Gas yang sangat menggalakkan, yang meningkat sebanyak 5.3 peratus bagi tempoh enam (6) bulan pertama tahun 2023.

Ini tentu saja hasil usaha bersepadu Kerajaan Beta dengan kerjasama sektor swasta dalam mempelbagaikan ekonomi negara.

Usaha ini tidak boleh berhenti, malah digiatkan terus untuk mencapai ekonomi yang dinamik dan berdayatahan.

Ke arah itu, perkhidmatan awam negara ini perlu terus meneliti dan melaksanakan pembaikan-pembaikan dasar dan peraturan, sebagai langkah memperkemaskan lagi sistem penyampaian perkhidmatan yang sedia ada, khasnya ke arah mewujudkan eko-sistem yang kondusif bagi pertumbuhan perniagaan dan pelaburan, disamping menekankan akauntabiliti para penjawat awam.

Dalam masa yang sama, penerapan nilai-nilai Islam dalam semua aspek urustadbir, perlu terus dititik-beratkan, selaras dengan langkah memelihara Maqasid Syar’iah bagi kelangsungan dan kestabilan negara.

Kerajaan Beta juga dalam beberapa bulan yang lalu telah melaksanakan dua (2) inisiatif penting untuk kebajikan warga kerja dalam sektor perkhidmatan awam dan swasta iaitu Skim Persaraan Kebangsaan (SPK), dan gaji minima bagi sektor-sektor tertentu.

Beta berharap inisiatif-inisiatif ini akan jadi pendorong untuk mereka memajukan diri, baik di sektor kerajaan mahupun swasta.

Berkaitan pendidikan pula, pelaksanaan Pengintegrasian Mata Pelajaran Ugama dari Darjah Pra hingga Darjah Tiga ke Dalam Sistem Pendidikan Umum yang telah bermula bulan November lepas telah menimbulkan pelbagai persepsi dan reaksi.

Beta berharap, semua pihak akan memahami bahawa rancangan ini adalah bertujuan untuk menjaga kesejahteraan para pelajar melalui keseimbangan suasana dan pembelajaran.  Kerana itu, sokongan semua pihak khasnya ibu bapa adalah masih diperlukan bagi keberkesanan dan kesinambungan usaha ini.

Di sudut lain, negara akan terus mengambil berat usaha-usaha di peringkat global berkaitan isu perubahan iklim. Sehubungan ini, pembentukan Dasar Perubahan Iklim Negara Brunei Darussalam (BNCCP) dan pelantikan negara sebagai Tuan Rumah bagi Pusat Perubahan Iklim ASEAN (ASEAN Centre for Climate Change), adalah merupakan antara terjemahan dari komitmen yang disebutkan tadi.

Bersabit hal ehwal luar negara pula, Negara Brunei Darussalam turut melahirkan kebimbangan yang amat mendalam terhadap keganasan yang sedang berlaku di Palestin.

Kita mengharapkan supaya pihak-pihak berkenaan akan terus mematuhi kewajipan menghormati undang-undang antarabangsa, termasuk Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Khasnya dalam usaha melindungi keselamatan orang awam. Sama-samalah kita berdoa semoga rakyat Palestin akan sentiasa mendapat perlindungan dan pemeliharaan Allah Subhanahu Wata’ala.
 
Sebagai tanda simpati yang mendalam, Negara Brunei Darussalam tidak ketinggalan menubuhkan tabung kemanusiaan untuk rakyat Palestin, disamping doa dan Qunut Nazilah bagi rakyat dan negara Palestin juga dibaca di masjid-masjid. Beta berharap, rakyat dan penduduk negara ini akan sama-sama menyumbang kepada tabung berkenaan sebagai derma atau sedekah kerana Allah Subhanahu Wata’ala.

Pada tahun ini, kita Insya Allah akan menyambut 40 tahun Negara mencapai kemerdekaan penuh. Kejayaan kita dalam mengekalkan keamanan, keselamatan dan kesejahteraan dalam tempoh yang lama ini adalah berkat usaha bersepadu dan dengan izin Allah jua.

Semoga sambutan kali ini akan lebih mengukuhkan lagi patriotisme dikalangan generasi masa kini, selaku rakyat dan penduduk yang ta’at setia lagi gigih untuk membawa negara mencapai Wawasan Brunei 2035.

Akhirnya, Beta ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua peringkat warga perkhidmatan awam, Angkatan Bersenjata Diraja Brunei, Pasukan Polis Diraja Brunei, pasukan-pasukan beruniform yang lain, termasuk mereka yang berkhidmat di sektor swasta dan bandan-badan bukan Kerajaan (NGOs), di atas komitmen dan usaha gigih kita melaksanakan tugas dan tanggungjawab masing-masing sepanjang tahun 2023.

Demikian juga, pada kesempatan ini, Beta sukacita merakamkan penghargaan kepada negara-negara sahabat dan pertubuhan-pertubuhan antarabangsa di atas kerjasama yang baik lagi ikhlas antara kita.

Selamat Tahun Baru Masihi 2024 kepada seluruh rakyat dan penduduk di negara ini, termasuk mereka yang berada di luar negara. Semoga Allah Subhanahu Wata’ala akan melimpahkan rahmat-Nya berupa keteguhan iman, kesihatan, keamanan dan kemakmuran untuk semua. Amin.

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

* * *​​