Assalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillah Hir Rahman Nir Rahim
Alhamdulillahi Rabbil ‘Aalameen, Wassalaatu Wassalaamu ‘Alaa Asyrafil Mursaleen, Sayyidinaa Muhammadin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.
Segala puji dan syukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata‘ala di atas limpah rahmat dan izin-Nya jua, kita dapat berhimpun pada pagi yang penuh makna ini bagi Upacara Sovereign’s Parade Pengambilan Ke-24, Sekolah Pegawai Kadet, Akademi Pertahanan, Angkatan Bersenjata Diraja Brunei.
Terlebih dahulu, Saya merakamkan setinggi tahniah dan syabas kepada Pegawai-Pegawai Kadet di atas mutu persembahan perbarisan yang kemas dan penuh bersemangat sebentar tadi.
Alhamdulillah, seramai 50 Pegawai Kadet akan ditauliahkan pada kali ini, termasuk penyertaan antarabangsa daripada Angkatan Tentera Malaysia, Angkatan Bersenjata Republik Singapura, dan buat julung kalinya, daripada Angkatan Tentera Diraja Thailand.
Peningkatan penyertaan dari Angkatan Tentera serantau ini mencerminkan pengiktirafan terhadap kualiti latihan yang disampaikan dan telah mengangkat kredibiliti Sekolah Pegawai Kadet di rantau ini. Syabas, kepada Sekolah Pegawai Kadet, Akademi Pertahanan, Angkatan Bersenjata Diraja Brunei.
Dalam usia Akademi Pertahanan, Angkatan Bersenjata Diraja Brunei baharu mencapai 15 tahun, Saya amat berbangga menyaksikan pencapaian yang telah diraih.
Antaranya ialah penganugerahan Ijazah Sarjana dalam Pengajian Pertahanan dan Sekuriti (Master of Defence and Security Studies) kepada peserta Kursus Maktab Turus ABDB Siri Ke-15 bagi tahun 2025, yang buat pertama kalinya dianugerahkan melalui kerjasama Akademi Pertahanan, Angkatan Bersenjata Diraja Brunei, dan Universiti Brunei Darussalam.
Pencapaian signifikan ini mencerminkan kemajuan pendidikan ketenteraan ABDB yang seiring dengan aspirasi negara untuk melahirkan rakyat berkemahiran dan berpendidikan tinggi sebagai salah satu matlamat Wawasan Brunei 2035.
Saya juga sukacita mengambil maklum mengenai perancangan Akademi Pertahanan bersama Universiti Brunei Darussalam untuk seterusnya memperkenalkan Ijazah Sarjana Muda dalam Pengajian Pertahanan dan Sekuriti (Bachelor of Defence and Security Studies) sebagai pendidikan asas bagi semua Pegawai Muda ABDB.
Pelaksanaannya bermula dari Sekolah Pegawai Kadet hingga ke semua kursus Perkembangan Pangkat Leftenan dan Kapten, sehingga lulus Kursus Staf Pertengahan sebagai kursus kemuncak dalam mengutip mata modul akademik Ijazah Sarjana Muda.
Melalui konsep Pendidikan Sepanjang Perkhidmatan ini, Saya yakin Pegawai-Pegawai ABDB akan dapat mempertingkatkan kebolehan dalam memberikan sumbangan yang lebih bermakna kepada pembangunan strategi, diplomasi pertahanan dan keselamatan serantau, selaras dengan hala tuju yang digariskan di dalam Kertas Putih Pertahanan 2021 dan Gagasan Angkatan 2035.
Seiring dengan usaha mempertingkatkan pembangunan profesionalisma, Saya juga difahamkan bahawa kemaskini Kertas Putih Pertahanan 2021 sedang giat dilaksanakan dan akan dilancarkan di Hari Ulang Tahun Angkatan Bersenjata Diraja Brunei yang ke-65 tahun ini, insya Allah.
Saya yakin pengemaskinian tersebut akan memperkukuhkan lagi keupayaan negara dalam menghadapi “new emerging security challenges” – cabaran keselamatan masa hadapan secara lebih strategik, fokus dan bersepadu.
Namun pada hemat Saya, selain memiliki pendidikan dan pengetahuan yang tinggi, Angkatan Bersenjata Diraja Brunei hendaklah sentiasa peka terhadap perubahan lanskap geopolitik dan ketenteraan masa kini yang semakin dinamik dan mencabar.
Peperangan moden bukan sahaja tertumpu kepada darat, laut dan udara semata-mata, bahkan turut merentasi domain angkasa, siber dan maklumat.
Ancaman seperti serangan siber, pencerobohan rangkaian serta penyebaran maklumat palsu dan ditambah lagi dengan teknologi Kecerdasan Buatan (Artificial Intelligence), mampu menggugat keselamatan negara.
Oleh itu, sinergi kekuatan sumber tenaga manusia dan teknologi tetap menjadi keutamaan dalam menghadapi ancaman ini.
Sehubungan dengannya, pada hemat Saya, Dasar Pertahanan Siber Kementerian Pertahanan perlu sentiasa diperkukuhkan melalui kerjasama erat dengan agensi-agensi keselamatan negara dalam mencegah, mengesan, dan menangkis sebarang bentuk ancaman siber, dari dalam mahupun luar negara, melalui pendekatan Akhirnya, Saya sukacita merakamkan ucapan terima kasih dan setinggi penghargaan kepada seluruh warga Akademi Pertahanan, khususnya kepada Komandan Akademi Pertahanan, Pegawai Pemerintah, Pegawai-Pegawai, Colour Sergeant, School Sergeant Major, Jurulatih dan Kakitangan Sekolah Pegawai Kadet di atas kegigihan dan ketabahan dalam melatih dan mendidik Pegawai-Pegawai Kadet dan seterusnya menjayakan Upacara Sovereign’s Parade pada pagi ini. Semua ini adalah pengorbanan yang sangat dihargai.
Saya juga ingin menyampaikan ucapan terima kasih dan penghargaan yang tulus kepada para ibu bapa, penjaga serta ahli keluarga di atas suntikan semangat dan sokongan berterusan yang menjadi sumber kekuatan Pegawai-pegawai Kadet dalam menempuhi latihan yang mencabar ini hingga ke Perbarisan Sovereign’s Parade pada pagi ini.
Kepada semua Penerima-penerima Anugerah, Saya ucapkan tahniah dan syabas atas kejayaan yang dicapai hasil usaha gigih, disiplin serta semangat yang tinggi.
Semoga kejayaan ini menjadi pemangkin untuk terus berkhidmat dengan penuh dedikasi, telus dan semangat kepimpinan yang cemerlang.
Dengan merafakkan syukur ke hadhrat Allah Subhanahu Wata‘ala dan berselawat ke atas junjungan besar Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam, dengan berkat kalimah “Bismillah Hir Rahman Nir Rahim”, Saya dengan sukacita mengurniakan Tauliah Pegawai Tentera kepada Lima Puluh (50) Pegawai Kadet, Pengambilan Ke-24.
Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
***