Titah KDYMM Sempena Sambutan Hari Perkhidmatan Awam Ke-32, Tahun 2025

Titah KDYMM Sempena Sambutan Hari Perkhidmatan Awam Ke-32, Tahun 2025

TITAH

KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA
PADUKA SERI BAGINDA SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN, SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM

SEMPENA SAMBUTAN
HARI PERKHIDMATAN AWAM KE-32
TAHUN 2025

PADA HARI ISNIN:
0 6 RABIULAKHIR, 1447H / 29 SEPTEMBER, 2025M

DEWAN PLENARI
PUSAT PERSIDANGAN ANTARABANGSA, BERAKAS
NEGARA BRUNEI DARUSSALAM


Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillaahir Rahmaanir Raheem

Alhamdulillah Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Beta bersyukur ke hadhrat Allah Subhanahu Wata’ala, di atas limpah rahmat-Nya mengizinkan kita dapat berhimpun di Majlis Kemuncak Sambutan Hari Perkhidmatan Awam Ke-32, Tahun 2025 pada pagi ini.

Beta dengan tulus ikhlas mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh warga perkhidmatan awam yang terus bertanggungjawab menyumbangkan bakti kepada bangsa dan negara.

Kita mengambil perhatian bahawa dunia adalah semakin cepat berubah sehingga apa yang kita ada sebelumnya mungkin tidak relevan lagi pada hari ini.

Begitulah juga dengan cabaran ekonomi global, dengan mengambil kira perubahan iklim dan risiko kesihatan awam yang sukar diramal, serta corak pekerjaan yang berubah akibat kemajuan teknologi.

Ini termasuklah demografi negara yang berubah, dengan penuaan penduduk dan aspirasi generasi muda yang semakin berbeza.

Perkhidmatan Awam perlu peka terhadap cabaran-cabaran ini dan mesti bersifat tangkas dalam mengemaskini dasar, proses dan perkhidmatan untuk masa depan. Ketangkasan inilah yang menentukan sama ada kita mampu merebut peluang di sebalik setiap cabaran.

Sesungguhnya dalam setiap ujian, Allah Subhanahu Wata’ala telah menyediakan peluang untuk kita dapat berkembang dan maju. Malah dalam setiap kesukaran pasti ada kemudahan menurut Al-Qur’an.

Di peringkat individu, setiap penjawat awam mesti tangkas dalam melaksanakan tugas, dan juga perlu memahami objektif sebenar kita berkhidmat untuk bangsa dan negara. Kita tidak mahu sebarang kepincangan berlaku dalam perkhidmatan awam negara.

Kita mengakui bahawa apabila kerumitan menjadi realiti, tidak ada satu agensi pun yang mampu menyelesaikan cabaran secara bersendirian. Tiada agensi tunggal yang memonopoli pengetahuan atau kepakaran.

Lalu dalam Islam, kita telah diajar untuk saling tolong-menolong dan bekerjasama. Sesungguhnya kerjasama itu adalah kunci utama untuk mencapai apa jua matlamat yang disasarkan.

Sehubungan ini, Beta gembira mengetahui adanya inisiatif ‘Pemedulian’ telah diperkenalkan. Harapan Beta, inisiatif ini bukan setakat untuk mempercepatkan tindakan susulan terhadap aduan dan maklum balas rakyat, malah juga menjadi pemangkin kepada perubahan sikap dan minda dalam perkhidmatan awam.

Warga perkhidmatan awam juga, perlu menyesuaikan diri dengan perkembangan teknologi, kerana pendekatan seperti ini sudah terbukti mempermudah kerja, dan seterusnya memberikan ruang kepada penjawat awam untuk memfokus tugas-tugas teras yang sangat perlu.

Beta mahu, apa pun yang dilalui dalam perkhidmatan awam akan dapat menjadi sandaran, bukan sahaja untuk memenuhi kehendak masa kini, malah juga sebagai asas melaksanakan transformasi yang diperlukan dan sekaligus merealisasikan Wawasan Brunei 2035.

Oleh itu, Beta penuh berharap Pameran dan Persidangan Khas Perkhidmatan Awam Tahun 2025 akan mencetuskan wacana dan kefahaman lebih mendalam terhadap pembaharuan yang sedang rancak diteroka di peringkat serantau dan antarabangsa. Inisiatif ini juga merupakan permulaan yang tepat pada masanya sebagai pemangkin kepada perubahan dan kecemerlangan perkhidmatan awam.

Akhirnya, Beta menyeru seluruh penjawat awam supaya memperkukuhkan lagi perpaduan dan berkhidmat dengan penuh dedikasi untuk rakyat dan negara, sesuai dengan sifat perkhidmatan awam sebagai tulang belakang bagi menjayakan segala rancangan untuk kesejahteraan rakyat dan kestabilan negara.

Beta juga tidak lupa merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan tahniah kepada para penerima anugerah pada tahun ini atas khidmat bakti mereka yang cemerlang. Semoga pencapaian ini akan menjadi inspirasi kepada semua untuk terus menyumbang jasa dengan ikhlas dan amanah.

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

*    *    *

Titah KDYMM Sempena Majlis Ilmu 2025

Titah KDYMM Sempena Majlis Ilmu 2025

 

TITAH

KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN, SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM​

SEMPENA
MAJLIS ILMU 2025​

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillaahir Rahmaanir Rahee​m​​

Alhamdulillah Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.​​​​​​

​​Alhamdulillah, Beta bersyukur kehadrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana dengan limpah rahmat serta izin-Nya jua, dapatlah kita berkumpul dalam perhimpunan Majlis Ilmu pada pagi ini.

Beta gembira melihat Majlis Ilmu terus menjadi tradisi sebagai salah satu acara yang diadakan sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Beta. Tidak syak lagi Majlis Ilmu adalah perhimpunan yang membawa rahmat dan berkat kepada kita dan negara kerana ilmu sendiri adalah cahaya. Majlis Ilmu bukan sekadar tuntutan intelektual, malah merupakan satu bentuk ibadat yang boleh mendekatkan kita kepada Allah Subhanahu Wata’ala.

Tema Majlis Ilmu pada tahun ini ialah “Negara Ditanai Dengan Sedekah”. Tema ini membawa maksud yang mendalam, bahawa sedekah bukan sekadar amalan individu, bahkan ia juga merupakan asas pembinaan sebuah negara. Jika tanah disuburkan dengan tanam-tanaman, dan hasilnya adalah buah-buahan dan sayur-sayuran, maka negara pula jika ditanai dengan sedekah. hasilnya adalah keberkatan, keamanan dan kesejahteraan.

Dalam konteks kehidupan bernegara, tidak diragukan, sedekah adalah mampu untuk melahirkan masyarakat prihatin dan menghakis sifat mementingkan diri sendiri.

Orang-orang yang bersedakah adalah mereka yang menafkahkan hartanya pada jalan Allah. Ganjarannya amat besar di sisi Allah sebagaimana firman-Nya dalam Surah al-Baqarah ayat 261 yang tafsirnya: “Perumpamaan orang-orang yang menafkahkan hartanya pada jalan Allah ialah seperti menanam sebiji benih yang menumbuhkan tujuh tangkai, tiap-tiap satu tangkai pula mengandungi seratus biji​​. Dan Allah menggandakan pahala bagi siapa yang dikehendaki-Nya. Dan Allah Maha Luas rahmat dan limpah kurnia-Nya lagi Maha Mengetahui.”

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam juga menegaskan bahawa sedekah menyuburkan harta, bukan mengurangkan harta.

Sedekah bukan saja dapat membantu golongan yang memerlukan, tetapi juga berfungsi sebagai penolak bala dan ubat penyembuh penyakit, sebagaimana Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda maksudnya: “Ubatilah pesakit kamu dengan sedekah”.

Pengertian sedekah sangat luas, ia bukan hanya terbatas kepada bentuk harta atau wang ringgit, tetapi juga meliputi semua bentuk sumbangan yang ikhlas kerana Allah termasuk tenaga, ilmu, masa dan juga doa. Malah, menyingkirkan suatu rintangan dari jalan juga adalah sedekah, dan bahkan memberikan senyuman kepada orang lain pun dianggap sedekah, Sebagaimana disebut dalam hadits-hadits Nabi Muhammad Shallallahu “alahi wasallam.

Sedekah terbahagi kepada dua, sedekah sunat dan sedekah wajib. Sedekah wajib ialah zakat. Beta pernah menitahkan supaya pengurusan zakat, termasuk cara pengutipan dan pengagihannya, hendaklah diurus dengan sebaik-baiknya. Beta menaruh harapan yang tinggi agar pihak berkepentingan dalam pengurusan zakat dapat melaksanakan tanggungjawab ini dengan penuh amanah, telus dan adil lagi efisyen, supaya tidak menimbulkan keresahan masyarakat khususnya kepada mereka yang berhak menerima zakat.

Beta juga ingin menekankan mengenai kepentingan pengurusan wakaf, yang merupakan satu amalan berpanjangan sebagai sedekah jariah. Di era teknologi kini, sedekah boleh dipermudahkan tanpa mengira masa dan tempat melalui pemindahan wang secara dalam talian, kaedah pembayaran digital, aplikasi mudah alih dan seumpamanya.

Kerajaan Beta telah pun mewujudkan berbagai-bagai Tabung seperti Tabung Dana Bagi Pembinaan Masjid, Tabung Anak-Anak Yatim dan Tabung kemanusiaan Rakyat Palestin. Baru-baru ini Kementerian Kesihatan juga telah melancarkan Tabung Amal Bantuan Pesakit melalui perkhidmatan SMS dan aplikasi MyDst. Semua platform ini diwujudkan bagi memudahkan orang ramai menyalurkan sedekah atau derma, dan bagi menanam sikap pemurah dalam jiwa rakyat melalui amalan bersedekah.

Akhirnya, Beta tidak lupa mengucapkan tahniah kepada Penganjur dan semua Ahli Jawatankuasa yang terlibat. Semoga Allah Subhanahu Wata’ala memberkati segala usaha yang berkebajikan ini. Aamiin.

Dengan lafaz Bismillaahir Rahmaanir Raheem, Allahumma Shalli ‘Alaa Sayyidina Muhammad, Wa ‘Alaa Aalihi Wasahbihee Wasallim, Beta dengan sukacita melancarkan buku bertajuk: “Negara Ditanai Dengan Sedekah/The Country Is Upheld With Charity”, dan sekaligus merasmikan Majilis Ilmu 2025 berserta semua acara di dalamya.

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.​​​​​

*   *   *

 

Titah KDYMM Sempena Majlis Kemuncak Sambutan Hari Guru Negara Brunei Darussalam Kali Ke-35 Negara Brunei Darussalam

Titah KDYMM Sempena Majlis Kemuncak Sambutan Hari Guru Negara Brunei Darussalam Kali Ke-35 Negara Brunei Darussalam

TITAH

KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN, SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
 
SEMPENA
MAJLIS KEMUNCAK SAMBUTAN HARI GURU NEGARA BRUNEI DARUSSALAM 

KALI KE-35 TAHUN 2025

 

PADA HARI SELASA
1 RABIULAKHIR 1447 /  23 SEPTEMBER 2025
 
BERTEMPAT
PUSAT PERSIDANGAN ANTARABANGSA,
BERAKAS, NEGARA BRUNEI DARUSSALAM

 

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillaahir Rahmaanir Raheem

Alhamdulillah Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Segala puji dan syukur bagi Allah Subhanahu Wata’ala kerana mengizinkan kita dapat berhimpun di Majlis Sambutan Hari Guru kali Ke-35 sebagai tanda menghargai dan mengiktiraf jasa dan dedikasi para guru.

Guru adalah nadi utama dalam menjayakan transformasi pendidikan. Sesuai dengan tema kita tahun ini iaitu “Guru Pemangkin Pendidikan Lestari dan Inovasi”, ianya bukan sahaja mencerminkan peranan penting guru sebagai pemacu kepada transformasi ke arah masa depan yang lestari dan berdaya tahan. Di samping itu, guru juga berperanan sebagai agen perubahan bagi memupuk dan mencetuskan pertumbuhan dan perkembangan inovasi dalam kurikulum pendidikan.

Beta mengambil maklum bahawa dengan kepesatan teknologi digital, semakin banyak sumber-sumber rujukan dan juga alat-alat bantu belajar yang tersedia. Penggunaan teknologi terutama teknologi kecerdasan buatan (Artificial Intelligence, AI) semakin memudahkan tugasan. Generasi masa kini semakin banyak bergantung kepada AI dalam membantu penyelesaian tugasan mereka. Oleh itu, Beta menyeru para guru supaya tidak boleh ketinggalan dalam memanfaatkan kelebihan AI. Kementerian Pendidikan dan Kementerian Hal Ehwal Ugama perlu menyediakan peluang pembangunan kapasiti kepada para guru supaya tidak ketinggalan dengan perkembangan semasa.

Namun pada hemat Beta, kebergantungan yang berlebihan kepada AI boleh melemahkan keupayaan berfikir secara mendalam, dan menjejaskan kreativiti dalam jangka masa panjang. Menyedari akan impak negatif perkara ini maka Beta menyambut baik usaha Kementerian Pendidikan yang telah menghasilkan sebuah buku Panduan Kecerdasan Buatan (AI) Dalam Pendidikan sebagai langkah awal ke arah menyediakan kerangka Kebangsaan Kecerdasan Buatan (AI) dalam pendidikan. Sehubungan itu, sukacita Beta memperkenankan pelancaran buku Gen A.I., Guidance for Education pada hari ini.
 
Beta berharap buku panduan ini akan dapat memastikan para pelajar dan guru memanfaatkan AI dalam pembelajaran dan pengajaran secara beretika, berhemah, bertanggungjawab dan berteraskan falsafah Melayu Islam Beraja.

Dasar-dasar pendidikan juga perlu sentiasa dikemaskini seiring dengan perkembangan semasa agar sistem pendidikan negara kekal relevan. Maka ke arah ini, Beta sukacita memperkenankan “Pengemaskinian Klausa dan Terma Rujukan Akta Pendidikan Brunei (Bab 56), yang memberi kuasa kepada Lembaga Peperiksaan Negara Brunei Darussalam untuk menganugerahkan kelayakan dan pensijilan bagi mata pelajaran tempatan di peringkat Menengah Atas dan Pra-Universiti”.
 
Pengemaskinian ini akan memperkukuhkan lagi kedudukan dan kredibiliti Lembaga Peperiksaan Negara Brunei Darussalam, dan sekali gus memastikan kelayakan yang dianugerahkan akan terus mendapat pengiktirafan di peringkat antarabangsa.

Kerajaan Beta juga turut menitikberatkan usaha untuk memperluaskan peluang pembelajaran di semua Institusi Pengajian Tinggi, termasuk Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) dengan mempelbagaikan lagi program pengajian selaras dengan keperluan semasa. Sehubungan ini, Beta sukacita memperkenankan “Garis Panduan bagi Institusi Pengajian Tinggi Swasta untuk menawarkan Program Hasilan Sendiri dan menganugerahkan Kelulusan-Kelulusan dalam Brunei Darussalam Qualification Framework (BDQF)”. Dengan adanya garis panduan ini, kualiti program-program yang ditawarkan akan lebih relevan dengan keperluan negara, seterusnya meningkatkan kredibiliti IPTS.
 
Pada hemat Beta, kejayaan di peringkat Pengajian Tinggi ini akan banyak bergantung kepada kualiti pendidikan asas yang diterima di peringkat Pendidikan Awal Kanak-Kanak lagi. Oleh itu, Beta merasakan adalah sesuai bagi Kementerian Pendidikan dan Kementerian Hal Ehwal Ugama dengan kerjasama pihak-pihak berkepentingan, untuk melakar sebuah Kerangka Pendidikan dan Penjagaan Awal Kanak-Kanak Kebangsaan yang Komprehensif. Ini bagi memastikan setiap kanak-kanak di negara ini menerima asas pendidikan yang holistik, inklusif dan berkualiti tinggi sejak peringkat awal lagi dengan mengambil kira juga kepentingan Pendidikan Agama.

Akhirnya, Beta dengan tulus ikhlas ingin mengucapkan Selamat hari Guru kepada seluruh warga guru di negara ini. Beta berdoa semoga segala sumbangan para guru dalam mendidik anak bangsa akan mendapat ganjaran yang berlipat ganda daripada Allah Subhanahu Wata’ala. Aamiin.
 
Kepada penerima-penerima Anugerah Hari Guru, Beta mengucapkan setinggi-tinggi tahniah dan berharap semoga penganugerahan ini akan menjadi motivasi untuk terus menyumbang kepada kecemerlangan pendidikan negara demi masa depan anak bangsa kita.

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

***