Titah KDYMM Sempen Hari Raya ‘Idil Adha Tahun 1442H/2021M

TITAH

KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA

SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI

AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN, SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM

 

SEMPENA

HARI RAYA ‘IDIL ADHA

TAHUN 1442H/2021M

 

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillaahir Rahmaanir Raheem

Alhamdulillah  Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Allahu Akhbar, Allahu Akhbar, Allahu Akhbar, Walillahil Hamd.

Dengan memasuki gerbang ‘Idil Adha, kita wajar bersyukur kerana dapat memeriahkan masjid, balai ibadat dan surau serta rumah malah negara, dengan takbir dan tahmid memuji Allah.

Ini, akan kita lakukan, sebaik-baik sahaja menjelang 10 Zulhijjah dan akan berterusan sehingga ke penghujung hari tasyriq.

Takbir dan tahmid adalah kalimat agung, yang cuma layak diucapkan untuk Allah Subhanahu Wata’ala semata-mata, dimana pengucapnya pula akan dikurniakan dengan ganjaran pahala.

Apabila takbir dan tahmid diucapkan dengan penuh keimanan, maka manisnya pasti sampai ke dalam hati dan sanubari.

Allahu Akhbar, Allahu Akhbar, Allahu Akhbar, Walillahil Hamd.

Tidak diragukan lagi, dengan mendengar takbir, jiwa kita akan bertambah teguh. Maka oleh itu, dalam keadaan sekarang, takbir dan tahmid serta lain-lain zikir adalah mustahak untuk dijadikan pakaian, supaya jiwa kita tetap tabah dan sabar menghadapi apa jua keadaan dan ujian.

Diantara ujian yang masih menekan dunia, ialah ketakutan kepada wabak koronavirus, dan ditambah lagi akhir-akhir ini muncul pula varian baru yang menurut pakar lebih pantas merebak dan mudah menular.

Oleh itu, belumlah sampai masanya untuk kita berlonggar-longgar dengan situasi hari ini. Tetapi masih sahaja perlu untuk terus berhati-hati, dengan mematuhi protokol kesihatan disamping konsisten mengamalkan vaksin ketuhanan, selaku perisai diri.

Dari pengamatan dan pengalaman, penggunaan vaksin ketuhanan sangatlah memberangsangkan, dengan Brunei, sudah lebih setahun mengalami keajaiban: Sifar dari jangkitan tempatan.

Allahu Akhbar, Allahu Akhbar, Allahu Akhbar, Walillahil Hamd.

Beta menaruh keyakinan, bahawa apa yang berlaku kepada Brunei Darussalam adalah berpunca dari keberkatan mendekati Allah. Apa sahaja masalah atau musibah, kita tetap akan merujuknya kepada Allah, melalui do’a dan zikir memohonkan kelepasan.

Inilah makanya, rahmat pun turun kepada Brunei, menjadikannya sebuah negara yang selamat.

Khusus di zaman pancaroba ini, amalan-amalan berugama sangatlah diperlukan. Namun bukan semua orang nampak pendekatan ini. Bagi mereka yang nampak akan beruntung, sementara yang tidak nampak akan kekal dalam kerugian.

Kita di Brunei tidak mahu berada dalam kerugian. Kerana itulah, dalam menghadapi wabak, kita dari awal-awal lagi sudah membiasakan diri dengan zikir dan do’a.

Membiasakan diri dengan vaksin ketuhanan ini, adalah ia tuntutan ugama. Ia perlu dibuat dengan yakin dan sabar.

Mengapa dengan yakin dan sabar? Kerana kalau tidak yakin dan sabar, orang tidak akan melakukannya, walaupun zikir dan do’a itu perkara mudah.

Tetapi alhamdulillah, Brunei kita adalah “Brunei yang benar-benar yakin dan sabar”, kerana itulah sampai sekarang kita masih belum berhenti dari berzikir dan berdo’a.

Allahu Akhbar, Allahu Akhbar, Allahu Akhbar, Walillahil Hamd.

Yakin dan sabar itu adalah pakaian nabi-nabi dan orang-orang salih. Lalu, kerana yakin dan sabarlah, Nabi Ibrahim ‘Alaihissalam sanggup melaksanakan perintah Allah untuk menyembelih putera baginda, Nabi Ismail. Ini adalah tahap tertinggi contoh orang yakin dan sabar ketika berhadapan dengan ujian.

Akhirnya, Beta dan keluarga Beta, ingin mengambil peluang di sini, untuk mengucapkan Selamat Hari Raya ‘Idil Adha kepada semua lapisan rakyat dan penduduk yang berugama Islam. Semoga sekalian kita akan terus berada dalam perlindungan dan pemeliharaan Allah Subhanahu Wata’ala. Amin.

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah,  Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Titah KDYMM Sempena Hari Keputeraan Baginda Yang Ke-75 Tahun 1442H/2021M

TITAH
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN, SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
 
SEMPENA
HARI KEPUTERAAN 
BAGINDA YANG KE-75 TAHUN
1442H/2021M
Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillaahir Rahmaanir Raheem
Alhamdulillah Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.
Beta bersyukur ke hadhrat Allah Subhanahu Wata’ala, di atas limpah rahmat-Nya mengizinkan sambutan Hari Keputeraan Beta berlangsung dalam suasana aman dan selamat. 
Beta tidak lupa merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang telah menghantar perutusan ucap selamat kepada Beta dan keluarga bersempena dengan sambutan ini.
Semua kita sedia maklum, bahawa dunia masih sahaja berhadapan dengan wabak koronavirus, yang memberi impak negatif kepada ekonomi dunia, dengan isu-isu sosial juga terus meningkat, seperti pengangguran, konflik politik dan lain-lain. Kita mesti melihat situasi ini sebagai iktibar, untuk kita dapat bergerak kehadapan dengan lebih waspada. 
Sekalipun dunia mengalami kejutan, namun pada tahun 2020 Negara Brunei Darussalam adalah yang termasuk salah satu dari tiga (3) Ekonomi ASEAN yang berkembang sebanyak satu perpuluhan dua peratus (1.2%). Sementara International Monetary Fund (IMF) melalui terbitan World Economic Outlook pada bulan April lalu, telah mengunjurkan bahawa ekonomi negara dijangka akan meningkat sebanyak satu perpuluhan enam peratus (1.6%) pada tahun ini, dan lebih daripada dua peratus (2%) pada tahun-tahun akan datang. 
Bagi merangsang inovasi dan sosio-ekonomi negara, Beta telahpun memperkenankan penubuhan Majlis Penyelidikan dan Kemajuan Teknologi dan Sains (Council for Research and Advancement in Technology and Science – CREATES) di bawah Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi bagi menggantikan Majlis Penyelidikan Brunei dan Jawatankuasa Kerja Kebangsaan Sains dan Teknologi sebagai langkah memacu aktiviti penyelidikan dan perkembangan (research and development) dalam bidang Sains dan Teknologi di negara ini. 
Ke arah menerapkan penggunaan teknologi dalam Perkhidmatan Awam dan Perkhidmatan Kewangan, Beta telah memperkenankan Projek Usahasama diantara Jabatan Perdana Menteri dengan Kementerian Kewangan dan Ekonomi. 
Sebagai untuk memastikan kesejahteraan warga Perkhidmatan Awam di negara ini dipeduli, maka Beta juga telah memperkenankan bagi Warganegara Brunei Darussalam dalam perkhidmatan Gaji Hari  dan Open Vote yang memenuhi syarat, untuk diserapkan ke dalam perkhidmatan tetap secara berperingkat-peringkat. 
Sementara bagi Warga Perkhidmatan Awam yang bukan perkhidmatan berpencen pula, Beta telah memperkenankan untuk dibuat satu kajian oleh Kementerian Kewangan dan Ekonomi dengan kerjasama Tabung Amanah Pekerja (TAP) bagi tujuan untuk menjamin ahli-ahlinya apabila bersara nanti. Kajian tersebut sudahpun di peringkat akhir dan insya Allah Kerajaan Beta akan mengumumkan perlaksanaannya dalam masa terdekat. 
Sehubungan itu, bagi kesejahteraan rakat dan penduduk seumumnya pula, Beta telah memperkenankan Perintah Akta Pencen Umur Tua dan Elaun Kurang Upaya, (Pindaan) 2021 dan Perintah Orang Kurang Upaya, 2021 yang akan berkuatkuasa pada 1 haribulan Oktober 2021.
Dengan pindaan ini, Pencen Umur Tua dan Elaun Kurang Upaya hanya akan diberikan kepada Rakyat dan Penduduk Tetap yang tidak mempunyai kewarganegaraan lain. 
Dengan pindaan ini juga akan memperkasa pencarian pekerjaan di samping memperkenalkan Elaun Penyedia Penjagaan (Care Provider Allowance)  berjumlah $250.00 sebulan bagi penerima elaun kurang upaya di bawah garispandu. Selain itu, orang kelainan upaya juga akan berhak menerima elaun kurang upaya disamping pencen umur tua apabila mencapai umur 60 tahun. 
Pindaan Perintah Orang Kurang Upaya, 2021 juga akan mengandungi undang-undang khusus, untuk melindungi golongan ini dari penderaan dan pengabaian. 
Mengenai usaha Kerajaan Beta bagi memberikan peluang pekerjaan kepada anak-anak tempatan pula, Manpower Planning and Employment Council melalui JobCentre Brunei (JCB) telah memperkenalkan Study in Professional Institution atau SPIN untuk melengkapkan tenaga-tenaga kerja dengan kemahiran tertentu, disamping secara aktif melaksanakan aktiviti-aktiviti jerayawara untuk membantu pencari-pencari kerja tempatan. Beta sering menekankan, supaya pencari-pencari kerja memanfaatkan peluang-peluang pekerjaan yang diberikan oleh Sektor Swasta dan Awam. 
Sedikit mengenai peringkat serantau dan antarabangsa, Negara Brunei Darussalam akan terus meningkatkan hubungan rapat dengan negara-negara sahabat bagi sama-sama meraih manfaat, khasnya manfaat di bidang diplomasi dan ekonomi. Kestabilan di rantau ASEAN, Asia-Pasifik bahkan diperingkat global adalah sangat mustahak untuk dikekalkan melalui perundingan-perundingan, persefahaman dan kerjasama berteraskan keamanan. 
Akhirnya, Beta dengan tulus ikhlas merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada seluruh lapisan rakyat dan penduduk warga Perkhidmatan Awam, Pasukan-Pasukan Keselamatan serta mereka yang berkhidmat di sektor swasta, termasuk mereka yang bertugas di luar negara di atas sumbangan dan sokongan mereka kepada Kerajaan Beta. 
Beta juga tidak lupa mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh Ahli Jawatankuasa Perayaan di peringkat Kebangsaan dan Peringkat Daerah di atas segala usaha dan khidmat yang mereka hulurkan bagi menjayakan Perayaan ini. 
Semoga Allah Subhanahu Wata’ala memberkati kita semua dan mengurniakan kepada Negara Brunei Darussalam keamanan dan keselamatan. Amin. 
Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Titah KDYMM Sempena Majlis Pertandingan Membaca Al-Qur’an Bahagian Dewasa Peringkat Akhir Kebangsaan Bagi Tahun 2021

TITAH
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN,
SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
SEMPENA
Majlis Pertandingan Membaca Al-Qur’an
Bahagian Dewasa
Peringkat Akhir Kebangsaan
Bagi Tahun 2021
PADA 
HARI KHAMIS MALAM JUMA’AT
29 SYAWAL 1442
10 JUN 2021
BERTEMPAT
DI DEWAN PLENARY, 
PUSAT PERSIDANGAN ANTARABANGSA, BERAKAS
Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillaahir Rahmaanir Raheem
Alhamdulillah  Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.
Alhamdulillah, Beta bersyukur ke hadhrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana dengan ‘inayah-Nya jua dapatlah kita bersama-sama hadir di Majlis  Musabaqah Membaca Al-Qur’an Bahagian Dewasa Peringkat Akhir Kebangsaan Bagi Tahun 1442 Hijrah bersamaan Tahun 2021 Masihi kali ke-63 ini. Semoga Allah Subhanahu Wata’ala terus memberkati kita dengan syafa’at Al-Qur’an. 
Mengenai keberkatan Al-Qur’an, Allah Subhanahu Wata’ala telah menjelaskan dalam Surah Al-An’aam ayat 155, tafsirnya:
“Dan inilah Kitab (Al-Qur’an) yang Kami turunkan mempunyai keberkatan, maka ikutlah ia dan bertakwalah supaya kamu beroleh rahmat.”
Ada banyak cara untuk meraih keberkatan Al-Qur’an itu, diantaranya dengan membaca, menghafaz dan memahami isi kandungannya. Demikian juga keberkatan boleh diraih dengan membaca Ayat-Ayat Suci Al-Qur’an bagi tujuan berlindung dan berubat daripada pelbagai penyakit dan musibah, sebagaimana petunjuk Al-Qur’an sendiri dalam Surah Al-Isra’ ayat 82, tafsirnya: 
“Dan Kami turunkan dari Al-Qur’an itu ayat-ayat yang menjadi ubat penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman.”
Kita di Brunei sedang mematuhi dan mengikut petunjuk ini untuk mengelak atau menolak wabak koronavirus. Kita telah memakainya bersama-sama SOP biasa sebagai “perisai bersepadu”, dan alhamdulillah, kesan daripada perisai bersepadu ini, Brunei Darussalam telah dilihat sedang dibentengi oleh keberkatan yang menakjubkan yang menjadikannya terselamat daripada serangan wabak. 
Ini adalah situasi luar biasa, dimana kita jangan menganggapnya sebagai ringan sahaja. 
Beta secara peribadi, amatlah meyakini perkara ini, bahawa apa jua jenis virus yang membentuk wabak, tidak akan mampu untuk melangkahi ayat-ayat suci Al-Qur’an. 
Oleh itu makanya, kita orang Islam janganlah berenggang dari Al-Qur’an, dalam makna, jangan lari dari membacanya. 
Beta berharap, kita orang-orang Brunei akan menjadikan membaca Al-Qur’an itu sebagai budaya sepanjang zaman. Ertinya semua generasi kita, sama ada yang sedia ada mahupun yang akan lahir kemudian adalah generasi-generasi yang membaca Al-Qur’an belaka. 
Betapa bertuahnya negara jika harapan Beta ini tercapai, kerana Al-Qur’an jika terus dibaca oleh rakyat dan penduduk, tidak diragukan lagi negara akan mendapat berkat dan berhias dengan cahaya, kerana bukankah Al-Qur’an itu memang ia cahaya?
Cahaya Al-Qur’an bukan seperti cahaya lampu atau pelita, tetapi cahaya Al-Qur’an mampu untuk menerangi hati sanubari dan menerangi kehidupan, bahkan menerangi alam kubur menurut ugama. 
Siapakah yang tidak mahu untuk mendapat cahaya yang seperti ini? Pada hemat Beta, semua kita adalah mahu. 
Untuk akhirnya, dalam kesempatan ini, Beta sukacita merakamkan tahniah kepada peserta-peserta di semua peringkat pertandingan, khasnya peserta yang berjaya ke Peringkat Akhir Kebangsaan pada tahun ini. Beta berharap mereka itu akan dapat berusaha dengan lebih gigih lagi untuk mencapai mutu bacaan yang lebih baik.
Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah,  Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh. 

Titah KDYMM sempena Sambutan Hari Ulang Tahun Jubli Intan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei Yang Ke-60

TITAH
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN,
 SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
 
SEMPENA SAMBUTAN
HARI ULANG TAHUN JUBLI INTAN
ANGKATAN BERSENJATA DIRAJA
BRUNEI YANG KE-60
 
PADA HARI ISNIN
19 SYAWAL, 1442 / 31 MEI, 2021
 
 

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillaahir Rahmaanir Raheem

Alhamdulillah Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Alhamdulillah, syukur kehadhrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana dengan limpah rahmat-Nya jua dapatlah kita sama-sama hadhir pada hari ini bagi meraikan Sambutan Jubli Intan 60 tahun penubuhan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei. Usia enam dekad penubuhan ABDB amatlah bermakna selaku sebuah institusi pertahanan.

Dalam usia sepanjang itu, ABDB dilihat sentiasa siap sedia untuk memelihara keamanan dan kedaulatan negara, disamping mampu untuk menyesuaikan diri dengan perkembangan, sebagaimana terserlah dalam penampilan perbarisan yang bermutu pada pagi ini.

Mengambil sukut yang bersejarah ini, dan juga sebagai tanda pengiktirafan terhadap segala pencapaian ABDB selama ini, maka Beta dengan amat sukacita mengurniakan Pingat Jubli Intan kepada anggota-anggota ABDB, termasuk sebilangan mantan pemimpin yang terlibat secara langsung dalam perancangan dan perkembangan ABDB.

Sejak penubuhannya, ABDB turut menghadapi arus perubahan landskap geo-strategik, yang sekali gus menampilkan pelbagai cabaran. Selain dari cabaran tradisional, ABDB juga turut berhadapan dengan cabaran bukan tradisional, seperti contohnya, berdiri teguh membantu kerajaan bagi membendung pandemik koronavirus.

Untuk melihat ABDB sentiasa melangkah kehadapan, maka bersempena dengan hari ulang tahun ke 60 tahun ini, Beta dengan sukacita memperkenankan pelancaran Kertas Putih Pertahanan 2021 serta perancangan perkembangan keupayaan masa panjang ABDB yang dinamakan FORCE 2035. Beta berharap dengan pelancaran dasar pertahanan dan blue print keupayaan ini, ABDB akan terus berkembang dengan lebih terarah.

Pada masa yang sama, sebagai sebuah Angkatan Bersenjata yang mempunyai anggota dalam jumlah masih kecil, maka ABDB patut memanfaatkan aplikasi teknologi dalam usaha meningkatkan keupayaannya. Pengenalan Unmanned Aerial System (UAS) dalam masa terdekat ini adalah salah satu contoh pendekatan teknologi yang menjurus kepada peningkatan keupayaan atau force multiplier. Pengenalan keupayaan seperti ini disamping dapat mengukuhkan pertahanan negara, secara langsung juga mampu untuk meningkatkan kemahiran ABDB dalam penggunaan teknologi.

Beta ingin mengingatkan supaya ABDB sentiasa sensitif dan responsif terhadap perkembangan semasa. Pada masa ini, dunia banyak menerima manfaat dari teknologi siber. Namun jangan lupa, bahawa ia juga boleh jadi ancaman kepada keselamatan manakala berlakunya serangan yang dinamakan serangan siber. Oleh itu Beta berharap, penubuhan Cyber Defence Unit akan dimanfaatkan sepenuhnya bagi tujuan menangani ancaman dan sekali gus memperkukuhkan pertahanan siber.

Selain daripada keupayaan tentera dan siber, Beta juga yakin bahawa sumber tenaga manusia adalah tunggak utama dalam Angkatan Bersenjata. Oleh itu, sangatlah penting bagi ABDB mempunyai anggota-anggota yang berkualiti, yang mengamalkan empat (4) nilai teras ABDB iaitu, Profesional, Setia, Berani dan Takwa. Maka dengan ini Beta sukacita memperkenankan bagi Jabatan Agama ABDB (JAMAAT) untuk dinaiktaraf dari peringkat unit ke peringkat Jabatanarah.

Dalam hal berkaitan kerjasama serantau, Beta juga turut gembira dengan usaha Kementerian Pertahanan dan ABDB dalam mengekalkan Diplomasi Pertahanan dan kerjasama serantau dalam rangka kerja ASEAN, terutama sekali selaku negara menjadi Tuan Rumah ASEAN pada tahun ini, khususnya di bawah ASEAN Defence Ministers’ Meeting (ADMM) dan ASEAN Chiefs of Defence Forces’ Meeting (ACDFM). Beta juga berharap agar inisiatif ASEAN Military Exercise (AMX) yang telah dipersetujui semasa Persidangan ACDFM baru-baru ini dapat dilaksanakan dalam masa yang terdekat.

Dalam kesempatan ini, Beta juga ingin menzahirkan rasa bangga terhadap penglibatan ABDB dalam misi-misi pengaman dan pemantau melalui United Nations Interim Force in Lebanon, International Monitoring Team dan International Decommissioning Body di Republik Filipina serta penugasan di dalam Information Fusion Centre dan Counter Terrorism Information Facility di Republik Singapura. Penglibatan ini merupakan komitmen berterusan negara dalam meningkatkan keselamatan serantau dan antarabangsa.

Akhirnya, Beta dengan ikhlas mengucapkan tahniah kepada seluruh warga ABDB yang berada di dalam atau di luar negara, yang masih berkhidmat mahupun yang telah bersara. Syabas kepada mereka yang menyertai perbarisan pagi ini dan seluruh ahli Jawatankuasa serta semua yang terlibat dalam menjayakan Sambutan Hari Ulang Tahun Jubli Intan ABDB. Beta berdoa semoga kita semua sentiasa dalam iman dan perlindungan Allah Subhanahu Wata’ala. Tidak lupa juga dirafa’kan doa untuk anggota-anggota yang telah kembali ke rahmatullah, semoga roh-roh mereka sentiasa di dalam rahmat-Nya. Aamiin Ya Rabbal ‘Aalamiin.

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Titah KDYMM sempena Majlis Sambutan Hari Raya ‘Idil Fitri 1442H / 2021M Anjuran Yayasan SHHB

TITAH
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN,
 SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
 
SEMPENA
MAJLIS SAMBUTAN HARI RAYA ‘IDILFITRI
1442H / 2021M
 
ANJURAN
YAYASAN SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH
 
PADA HARI KHAMIS:
14 SYAWAL, 1442H / 27 MEI, 2021M
 
 

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillaahir Rahmaanir Raheem

Alhamdulillah Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Alhamdulillah, syukur kehadhrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana dengan limpah rahmatNya jua, dapatlah kita merayakan ‘Idil Fitri yang mulia ini dalam suasana aman dan selesa.

‘Idil Fitri adalah merupakan hari kemenangan bagi umat Islam setelah berjaya menyempurnakan ibadat puasa Ramadhan. Maka adalah wajar untuk kita merayakannya sambil banyak-banyak bersyukur.

Pada tahun lepas ‘Idil Fitri kita sambut dalam suasana berbeza, akibat penularan wabak yang melanda dunia. Namun alhamdulillah, negara kita sudah melimpasi setahun tidak mencatatkan kes penularan tempatan.

Keadaan ini telah membolehkan kita mengurangkan pelbagai sekatan serta dapat meraikan ‘Idil Fitri dengan lebih selesa.

Walau bagaimanapun, kita masih juga perlu untuk meneruskan langkah berjaga-jaga dengan mematuhi SOP yang ditetapkan.

Beta mengkagumi sikap sabar yang ditunjukkan oleh seluruh rakyat dan penduduk dalam memberikan dokongan padu kepada Kerajaan dalam usaha menangani wabak. Secara khusus Beta ingin mengulangi penghargaan kepada para petugas barisan hadapan (frontliners) termasuk petugas-petugas keugamaan di atas sumbangan dan komitmen mereka menangani dan menghadapi situasi yang menakutkan ini.

Beta juga berbangga melihat usaha padu semua agensi kerajaan, swasta dan badan-badan NGO yang bergerak aktif melaksanakan pelbagai inisiatif, usaha dan tindakan segera bagi memastikan kesejahteraan rakyat dan penduduk. Syabas dan terima kasih Beta kepada semua.

Pada saat ini, Beta amat gembira mengalu-alukan kehadhiran para peserta sambutan Hari Raya anjuran Yayasan Beta kali ini yang mewakili semua para petugas barisan hadapan termasuk petugas-petugas keugamaan yang mengisi rancangan-rancangan berzikir, berdo’a dan membaca Al-Qur’an di radio dan televisyen. Demikian juga tidak terkecuali pegawai-pegawai perubatan ‘medical team’ yang terlibat secara langsung menangani pesakit wabak, pegawai-pegawai kesihatan awam yang bertungkus lumus mengesan dan mencari kontak-kontak pesakit demi mengekang penularan wabak, para pegawai dari pelbagai agensi yang terlibat menyumbangkan khidmat secara langsung mahupun tidak langsung untuk menangani penularan, serta juga para sukarelawan yang turut membantu usaha ini.

Tidak diragukan, bahawa wabak koronavirus adalah ia ujian. Setiap ujian ada hikmahnya, untuk dihadapi dengan sabar. Antara hikmah itu, mungkin saja untuk menyedarkan kita, atau untuk mendorong supaya kita lebih bersatu menghadapi cabaran, atau lebih kreatif memperkasa diri dengan kemahiran-kemahiran dan lain-lain lagi dan seumpamanya,

Beta juga menyambut baik tema sambutan kali ini yang disepadankan dengan tema Majlis Ilmu 2020 iaitu “Mensyukuri Ni’mat Kesihatan Sebagai Anugerah Allah”. Kesihatan memang merupakan anugerah dan nikmat yang tidak ternilai harganya. Dalam usaha Kerajaan membangun bangsa dan negara, kesihatan adalah faktor yang turut diutamakan. Kerana apabila rakyat dan penduduk sihat barulah sumbangan mereka dapat diharapkan berkesan.

Meskipun negara sudah melimpasi jangka masa setahun terpelihara daripada jangkitan komuniti, namun ini bukan bermakna kita boleh leka. Tetapi perlu seterusnya berusaha dan membanyakkan do’a supaya kekal terhindar daripada musibah.

Dalam masa kita bergembira menikmati suasana aman berhari raya, kita juga jangan lupa terhadap saudara-saudara kita di bumi Palestin yang sedang bergelut mempertahankan diri dan negara mereka daripada pencorobohan musuh.

Bayangkan, akibat pencorobohan itu, ramai rakyat yang tidak berdosa menjadi korban, termasuk kanak-kanak, kaum perempuan dan orang-orang tua. Lain lagi harta benda yang musnah, terutama rumah-rumah kediaman tempat berteduh. Tidak diragukan lagi pencerobohan ini adalah satu tindakan kejam yang melangkahi lunas-lunas kemanusiaan. Hanya kepada Allah jua dipohonkan perhitungan.

Akhirnya, Beta merakamkan ucapan penghargaan setinggi-tingginya kepada semua lapisan warga Yayasan Beta dan semua mereka yang terlibat mengungkayahkan Sambutan Hari Raya ‘Idil Fitri pada tahun ini.

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.