Titah KDYMM di Majlis Bersama Rakyat dan Penduduk Negara Brunei Darussalam yang berada di United Kingdom dan Eire

TITAH
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN

DI MAJLIS BERSAMA RAKYAT
DAN PENDUDUK NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
YANG BERADA DI UNITED KINGDOM DAN EIRE 

PADA :
HARI KHAMIS,
15 JAMADILAKHIR 1445 / 28 DISEMBER 2023 
 
TEMPAT:
ROYAL LANCASTER HOTEL, LONDON, UNITED KINGDOM

 

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillaahir Rahmaanir Raheem,

Alhamdulillahi Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Syukur kehadhrat Allah Subhanahu Wata’ala, kerana atas limpah rahmat-Nya jua dapatlah Beta hadir bersama-sama Rakyat dan Penduduk Negara Brunei Darussalam yang sedang berada di United Kingdom dan Ireland, terutama para pelajar, pegawai Kerajaan yang bertugas di sini, dan mereka yang sedang bercuti bersama keluarga.

Kesempatan ini, sebagaimana lazimnya, membolehkan Beta untuk bertemu secara langsung serta lebih dekat dapat mengetahui perkembangan dan kemaslahatan rakyat Beta, terutama pelajar-pelajar yang sedang menuntut di sini.

Bagi pelajar-pelajar Pengajian Tinggi, yang dijangka akan memasuki alam pekerjaan, adalah penting bagi mereka untuk memiliki kemahiran abad ke-21, seperti inovatif, komunikasi efektif, kolaborasi, pemikiran kritis dan adaptabiliti, sebagai alat bagi pembentukan tenaga kerja Negara Brunei Darussalam. Oleh itu kemahiran-kemahiran seperti ini tidak cuma dipelajari melalui  buku-buku teks dan kaedah pembelajaran, akan tetapi juga diperolehi melalui pembelajaran secara informal dari persekitaran dan pengalaman harian.

Apa pun keadaan, para pelajar tetap berhadapan dengan usaha untuk membina jati diri yang luhur lagi terpuji. Oleh itu, Beta berharap para pelajar mestilah memanfaatkan peluang belajar di luar negara ini, bukan hanya untuk menimba ilmu pengetahuan semata-mata, malahan  juga untuk menjadi modal insan yang berakhlak mulia disamping memiliki idea-idea besar dan maju bagi merealisasikan Wawasan Negara Brunei Darussalam 2035.

Tidak diragukan lagi bahawa negara adalah memerlukan rakyat yang sentiasa sedar mengenai masa depan, yang memiliki minda besar dan disiplin yang tinggi serta menguasai teknologi.

Teknologi sekarang sudah menjadi sebahagian dari kehidupan terpenting kita untuk memperkaya pengalaman dan sebagai alat bantu atau enabler bagi digunakan dengan bijak, sambil tidak mengabaikan kerja keras dan kecekapan diri. Oleh itu, para pelajar disarankan supaya menetapkan dengan tegas dan jelas matlamat pembelajaran melalui usaha-usaha gigih dan murni.

Jadilah individu yang berintegriti, yang mempunyai prinsip moral yang kukuh. Kerana di tengah lingkungan yang ada, kita mungkin saja berbeza budaya dan fahaman. Maka kerana itu, setiap pelajar mustahaklah ingat untuk tetap setia kepada nilai-nilai dan prinsip-prinsip yang kita pegang selaku orang Brunei. Jangan terjebak dengan aktiviti-aktiviti yang boleh membahayakan keselamatan dan kesejahteraan diri sendiri.

Kegiatan yang melibatkan masyarakat setempat memang berbeza dengan apa yang lazim dilaksanakan oleh masyarakat kita. Oleh itu, wajarlah para pelajar menilai risiko dengan mengutamakan keselamatan dan kesejahteraan diri.

Akhirnya, Beta dengan tulus ikhlas mendoakan semua pelajar dan pegawai yang bertugas di sini akan sentiasa berada dalam kesejahteraan dan perlindungan Allah Subhanahu Wata’ala jua.

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Titah KDYMM Sempena Majlis Jambori Pengakap 2023

TITAH
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN, SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
 
SEMPENA
MAJLIS JAMBORI PENGAKAP 2023​

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillaahir Rahmaanir Raheem

         Alhamdulillah Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Beta bersyukur kehadhrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana dapat menyertai perhimpunan di Jambori Nasional Ke Lima Brunei Darussalam pada pagi ini.

Sebagai sebuah NGO tertua, pergerakan pengakap di negara ini telah ditubuhkan pada tahun 1933 dan telah mencapai 90 tahun penubuhannya. Ini menggambarkan PPNBD telah banyak mengharungi pelbagai pengalaman dan perkembangan. Ia juga terus berusaha untuk kekal relevan dengan menyediakan program-program pembangunan untuk generasi muda di negara ini.

PPNBD tidak ketinggalan melibatkan diri bagi kerja-kerja kemasyarakatan dan kebajikan, dan Beta mengambil maklum bahawa PPNBD juga telah sama-sama berganding bahu dengan pihak kerajaan untuk membantu negara mendepani Covid-19 dengan memberikan khidmat kemasyarakatan yang sangat diperlukan. Untuk itu Beta ucapkan syabas kepada semua yang berkenaan.

Beta melihat, pergerakan pengakap perlu terus relevan, bukan setakat menumpukan bidang kemahiran asas sahaja, malahan jua perlu melengkapkan ahli-ahli pengakap dengan kemahiran abad ke 21 untuk mencapai impak pembangunan modal insan yang berdaya tahan.

Sesuai dengan misi menyumbang dan memacu kemajuan bangsa dan negara, maka pergerakan pengakap perlu turut mendepani pendidikan belia. Kerana belia adalah aset berharga yang penuh potensi untuk pembangunan. Mereka perlu dididik dan dilatih melalui satu kaedah yang sesuai dengan minat dan perkembangan mereka.

Tujuan pokok mereka dididik dan dilatih ialah, supaya mereka mempunyai jati diri yang kukuh dan dapat menyesuaikan diri dengan perubahan-perubahan semasa yang pelbagai.

Tema Jambori: “Scouts on The Move” adalah mencerminkan para pengakap yang sentiasa aktif dan bersedia menghadapi cabaran, dengan berbekalkan nilai undang-undang dan kemahiran-kemahiran abad ke 21 sebagai skills set  yang perlu dipelajari dan dimiliki. Jika ada ini, maka pengakap kita dalah jentera perubahan dan perkembangan masa depan tanpa sempadan.

Kita penuh berharap, PPNBD tidak akan berhenti dari terus berusaha menyediakan program-program yang berguna untuk survivaliti negara, dengan mengambilkira keperluan-keperluan mencapai matlamat Wawasan Negara 2035.

Akhirnya Beta berharap, para pengakap akan sentiasa berpegang teguh kepada prinsip dan nilai-nilai murni berpengakap, untuk menjadi contoh yang baik kepada generasi muda.

Beta dengan besar hati tidak lupa mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada Persekutuan Pengakap Negara Brunei Darussalam (PPNBD) yang telah mengundang Beta pada pagi ini, serta juga tahniah yang hangat kepada seluruh anggota yang menjayakan Jambori ini.

Maka dengan Kalimah, Bismillahir Rahmanirrahim dan Selawat serta Salam Keatas Nabi Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wasallam, Beta rasmikan Jambori Nasional Ke-5 Brunei Darussalam.

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Titah KDYMM Sempena Sambutan Hari Perkhidmatan Awam Ke-30 Tahun 2023

TITAH

KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA

SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH AL-MARHUM IBNI

SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN, SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM

 

SEMPENA

 

SAMBUTAN HARI PERKHIDMATAN AWAM KE-30 TAHUN 2023

 

PADA HARI SELASA:

 16 RABIULAKHIR 1445H / 31 OKTOBER 2023M

 

TEMPAT:

PUSAT PERSIDANGAN ANTARABANGSA, NEGARA BRUNEI DARUSSALAM.​

​​Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillaahir Rahmaanir Raheem

  Alhamdulillah Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Beta bersyukur kehadhrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana dapat berkumpul pada pagi ini di Majlis Sambutan Hari Perkhidmatan Awam Ke-30 Tahun.

Tidak dapat disangkal, bahawa dalam tempoh tiga dekad ini, pelbagai cabaran telah diharungi untuk menguji kedayatahanan perkhidmatan awam.

Maka sehubungan itu, setiap penjawat awam hendaklah sentiasa peka dengan perubahan semasa, disamping tidak lupa mengharapkan petunjuk Allah Subhanahu Wata’ala dalam masa melaksanakan apa jua tugas dan tanggungjawab.

Juga perlu dimiliki ialah idea-idea baru sebagai penambahbaikan proses kerja, peraturan, system penyampaian dan penghasilan.

Begitu juga dalam kepimpinan, setiap pemimpin dikehendaki bijak dalam mempelopori potensi kerja, khasnya potensi teknologi digital, sebagai asas kepada transformasi perkhidmatan yang berimpak besar.

Mengenai transformasi perkhidmatan, Beta telah memperkenankan bagi peralihan sebahagian besar proses pengambilan tenaga kerja daripada Suruhanjaya Perkhidmatan Awam ke Kementerian-Kementerian, khusus bagi Bahagian dua ke bawah. Disamping untuk meningkatkan akauntabiliti, ia juga untuk mempercepatkan lagi pengisian kekosongan jawatan dengan memanfaatkan sepenuhnya Public Service Recruitment System atau PSCR yang sedia ada.

Beta juga ingin menekankan soal integriti perkhidmatan awam. Ia tidak boleh roboh, tetapi mesti sentiasa teguh. Kerana jika integriti roboh, maka pelbagai perkara negatif pasti akan berlaku, seperti penyelewengan untuk kepentingan peribadi, rasuah dan sebagainya, sedangkan yang kita mahu ialah sebuah perkhidmatan awam yang bersih, amanah dan berkesan.

Maka ke arah itu, satu pindaan ke atas Peraturan-Peraturan Am atau ‘General Orders’ telahpun dilaksanakan dan akan dikuatkuasakan sedikit masa lagi. Pindaan ini dibuat adalah sesuai dengan keperluan semasa sambil terus menekankan aspek kesaksamaan dan ketelusan dalam semua tindakan.

Semua ini turut berkaitan dengan urustadbir perkhidmatan awam sendiri.

Juga turut penting ialah, Kementerian dikehendaki untuk memperinci penyediaan pelan masing-masing, sebagai dokongan kepada kajian mengoptimakan Sumber Manusia atau Manpower Optimisation Plan, yang diterajui bersama oleh Jabatan Perdana Menteri dan Kementerian Kewangan dan Ekonomi ketika ini.

Ini tidak terkecuali, kita menekankan pembangunan kapasiti dan kompentensi setiap warga kerja, dengan kemahiran, pengetahuan dan nilai-nilai asas yang diperlukan.

Pada tahun ini, satu anugerah baru telah diperkenalkan sempena 30 tahun sambutan Hari Perkhidmatan Awam. Beta menyambut baik dan menghargai sokongan Jawatankuasa Penilai Anugerah Penghargaan Khas Jasawan Perkhidmatan Awam kerana mengetengahkan Paduka Ayahanda Beta, Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, selaku tokoh besar “Arkitek Brunei Moden.”

Antara peristiwa penting dalam pemerintahan Al-Marhum ialah termaktubnya Perlembagaan Brunei dalam tahun 1959, yang membawa Brunei Darussalam berkerajaan sendiri.

Sesungguhnya, legasi kepimpinan Al-Marhum telah melakar pelbagai kemajuan yang dapat kita nikmati sehingga ke hari ini, khasnya bagi bidang-bidang utama, seperti Ugama, Pendidikan, Pertahanan, Pentadbiran Awam dan Kebajikan untuk rakyat dan penduduk.

Ternyata, kedayatahanan sektor awam negara ini adalah berpaksikan iltizam dan sumbangan Al-Marhum yang berimpak besar kepada kestabilan, kemakmuran dan kemajuan seumumnya.

Maka pada hari ini, Selasa 16 haribulan Rabiulakhir 1445 hijrah bersamaan 31 haribulan Oktober 2023 masihi, mengambil sukut baik sempena 30 tahun sambutan kali ini, Beta dengan sukacita memasyhurkan, bahawa Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien ibni Al-Marhum Sultan Muhammad Jamalul Alam adalah TOKOH JASAWAN NEGARA. Semoga Allah Subahanahu Wata’ala merahmati roh Al-Marhum dengan menghimpunkan Baginda ke dalam kalangan hamba-hamba-Nya yang saleh.

Untuk akhirnya, kepada penerima-penerima Anugerah, Beta mengucapakan setinggi-tinggi tahniah dan terima kasih di atas usaha dan dedikasi yang telah dicurahkan. Semoga penganugerahan ini akan mencetuskan semangat motivasi dan sumber inspirasi kepada seluruh penjawat awam.

Demikian juga penghargaan kepada setiap penjawat awam yang masih berkhidmat dan yang telah bersara di atas sumbangan dan jasa bakti mereka kepada pembangunan negara, dan juga kepada semua Jawatankuasa yang terlibat dalam menjayakan Sambutan Hari Perkhidmatan Awam pada tahun ini.

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Titah KDYMM Sempena Majlis Konvokesyen Ke-13 Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan Tahun 1445H / 2023M

TITAH
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN, SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
 
SEMPENA

MAJLIS KONVOKESYEN KETIGA BELAS

KOLEJ UNIVERSITI PERGURUAN UGAMA SERI BEGAWAN

TAHUN 1445H/2023M

 

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillaahir Rahmaanir Raheem

Alhamdulillah Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Beta bersyukur ke hadhrat Allah Subhanahu Wata’ala,  kerana dengan izin-Nya jua, dapatlah kita bersama-sama hadir Ke Majlis Konvokesyen Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan ketiga Belas pada pagi yang Mubarak ini.

Dengan hati yang tulus ikhlas, Beta merakamkan ucapan setinggi-tinggi tahniah dan syabas kepada para graduan atas kejayaan mereka menamatkan pengajian masing-masing.

Ucapan penghargaan juga Beta tujukan kepada semua tenaga akademik yang telah memberikan bimbingan dengan penuh ikhlas dan dedikasi. Begitu juga kepada ahli keluarga di atas doa dan prihatin mereka, sehingga anak-anak berjaya.

Ilmu dan pengalaman yang diraih oleh para graduan adalah amanah untuk diamalkan dan dicurahkan kepada masyarakat.

Pendidikan bukanlah proses berkala, malah merupakan proses berterusan untuk sepanjang hayat.

Pendidikan bukan hanya berlaku di sekolah malah berterusan sehingga ke rumah atau ke mana sahaja.

Pendidikan sebenar, sepatutnya berlaku di rumah atau dalam keluarga. Kerana masa anak-anak adalah lebih banyak di rumah berbanding di sekolah.

Kerana itu, institusi keluarga mempunyai peranan penting dalam menyambung pembelajaran anak-anak di sekolah.

Sekarang, kita mendapati masyarakat secara umum telah dilanda oleh pelbagai isu sosial, kesan daripada penyalahgunaan media sosial atau medsos.

Ini, jika tidak dikawal, ia boleh memberi kesan kepada mental, akhlak dan pembaziran. Begitu juga boleh menyuburkan angan-angan fantasi yang jauh dari realiti.

Maka dalam hubungan ini, institusi keluarga berkewajipan untuk mengambil tahu segala aktiviti yang tidak sihat anak-anak, di dalam dan di luar rumah.

Di sini, pihak-pihak berwajib yang menangani teknologi maklumat dan komunikasi adalah dikehendaki untuk menggandakan usaha memantau dan mengawal laman sesawang, aplikasi dan permainan video atau media sosial yang boleh menjejaskan akidah, akhlak, kesihatan dan disiplin.

Beta sukacita mengambil maklum KUBU SB sentiasa mengemaskan kurikulum pengajiannya, tanpa mengabaikan objektif utama melahirkan para graduan yang bertakwa.

Beta juga sukacita mengetahui bahawa KUPU SB sentiasa berusaha untuk memantapkan program-program ko-kurikulumnya. Dan yang terbaharu, KUPU SB dengan kerjasama Jabatan hal Ehwal Masjid telah mula mengaturkan pelajar-pelajarnya untuk menyertai program Kepimpinan dan Pengimarahan Masjid di masjid-masjid yang bersesuaian.

Sehubungan itu, tentu pihak KUPU SB juga boleh memainkan peranan membimbing, bagaimana untuk memberikan kefahaman yang betul kepada generasi muda mengenai penggunaan media sosial dan sekali gus mengenai pengurusan masjid bagi para pegawai, imam, bilal, pelapis imam dan ahli jawatankuasa ta’mir masjid.

Pada hemat Beta, KUPU SB juga mempunyai potensi dalam melahirkan para guru yang bukan saja mendidik dalam Pengajian Islam, bahkan subjek-subjek umum yang lain juga. Dalam Majlis Konvokesyen Kesebelas 2021 yang lepas, Beta telah memperkenankan penubuhan Fakulti Pendidikan Sains Kemasyarakatan.

Akhirnya, Beta merakamkan ucapan terima kasih dan penghargaan khusus kepada semua warga KUPU SB, terutama kepada Pengerusi dan Ahli-Ahli Majlis Kolej Universiti, Rais, pegawai-pegawai utama dan ahli-ahli akademik serta kakitangan sekalian di atas khidmat yang telah mereka sumbangkan kepada Allah jua.

Marilah kita terus berdoa, semoga KUPU SB sentiasa berada di landasan yang betul kerana Allah Subhanahu Wata’ala.​

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Titah KDYMM Sempena Sambutan Maulud Nabi Muhammad SAW Bagi Tahun 1445H / 2023M

TITAH PERUTUSAN
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN, SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
 
SEMPENA SAMBUTAN MAULUD NABI MUHAMMAD

SHALLALLAHU ‘ALAIHI WASALLAM

BAGI TAHUN 1445H / 2023M

 ​

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillaahir Rahmaanir Raheem

Alhamdulillah Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Alhamdulillah, Beta bersyukur kehadhrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana dapat lagi menyambut dan memperingati Maulud Nabi, Sayyidina Muhammad Shallallahu ‘Alaihi Wasallam pada tahun ini.

Sudah menjadi tradisi kita, bulan Rabi’ulawal dimeriahkan dengan selawat dan puji-pujian kepada Nabi kita, Sayyidina Muhammad Shallallahu ‘Alaihi Wasallam di dalam majlis-majlis keugamaan, seperti di masjid-masjid, surau-surau dan balai-balai ibadat. Semuanya itu tidak lain dari menzahirkan kecintaan kita kepada Baginda Shallallahu ‘Alaihi Wasallam. Namun ungkapan cinta sahaja tidak cukup tanpa diiringi dengan perbuatan mentaati suruhan dan meninggalkan larangan.

Apabila kita mengikut perintah Rasul, tandanya kita mengasihi Baginda, sesuai dengan firman Allah Subhanahu Wata’ala dalam surah Ali ‘Imran ayat 31, tafsirnya:

“Katakan (Wahai Muhammad!): “Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutlah aku, nescaya Allah mengasihi kamu dan mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan adalah Allah itu Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani.”

Meskipun Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam sudah tiada, namun Baginda meninggalkan pesanan-pesanan untuk dihayati dan ditaati. Jika semua ini dilakukan, pasti akan mengundang keberkahan. Bukan sahaja untuk diri sendiri, malahan juga untuk keluarga, masyarakat dan negara.

Bercakap mengenai keluarga, bermakna kita merujuk kepada satu kelompok penting dalam masyarakat. Sesungguhnya keluarga bahagia menjadi asas dan matlamat pembangunan negara. Manakala keluarga bahagia, itulah jaminan untuk mendapatkan warisan insan yang berkualiti lagi beriman.

Kerana itu, memastikan setiap institusi keluarga berkeadaan sempurna lagi bahagia adalah tanggungjawab semua. Walaupun ramai yang berpuas hati menganggap keluarga masing-masing adalah baik-baik sahaja, namun kita juga masih patut bimbang kerana masih banyak berlaku permasalahan rumahtangga di dalam masyarakat kita di negara ini.

Beta difahamkan, statistik jumlah aduan rumahtangga secara keseluruhan yang dilaporkan ke Bahagian Khidmat Nasihat Keluarga, Jabatan Hal Ehwal Syar’iah, Kementerian Hal Ehwal Ugama, bagi tiga tahun kebelakangan ini (antara tahun 2020 hingga 2022) adalah berjumlah 1,952 kes. Manakala jumlah aduan yang diterima antara bulan Januari hingga bulan Jun tahun ini sahaja berjumlah 384 kes.

Pada hemat beta, jumlah kes aduan yang semakin meningkat ini, tidak boleh dipandang ringan, melainkan memerlukan usaha mengatasinya. Maka ke arah itu Beta mengambil maklum, pihak Kementerian Hal Ehwal Ugama telah melaksanakan pelbagai kaedah dan pendekatan bagi menangani perkara ini dengan mengadakan perkhidmatan Kursus Pra-Nikah bagi pasangan yang akan bernikah, Seminar Kekeluargaan dan Kursus Pasca Perkahwinan bagi pasangan yang sudah bernikah yang dilaksanakan dengan kerjasama agensi-agensi berkepentingan. Bukan itu sahaja, Beta juga difahamkan, bermula tahun 2014, taklimat berkaitan kekeluargaan, sudah dilaksanakan kepada institusi-institusi pengajian kerajaan dan swasta. Namun, sehingga kini aduan isu permasalahan rumahtangga masih saja terus meningkat pada setiap tahun.

Beta berpandangan, pihak-pihak yang berkenaan perlulah lebih proaktif mengambil inisiatif menangani isu-isu permasalahan rumahtangga, dengan menanam  kesedaran awal akan akibat yang sangat buruk jika ianya tidak ditangani segera. Ia boleh menjejaskan bukan sahaja keharmonian keluarga, malah juga boleh menjejaskan kesejahteraan negara.

Para ibu bapa mesti terus memainkan peranan mengasuh dan mendidik anak-anak, termasuk ke atas mereka yang akan dan sudah mendirikan rumahtangga, masih sahaja perlu ditegur atau diingatkan bagaimana menjaga atau memelihara keutuhan keluarga yang dibina. Kerana nasihat atau peringatan daripada ibu bapa itu adalah sangat besar pengaruhnya, di samping mempunyai keberkatan tersendiri.

Oleh itu, bersempena memperingati Maulidur Rasul Shallallahu ‘Alaihi Wasallam ini, marilah kita sama-sama berazam untuk menjadikan institusi keluarga masing-masing sebagai keluarga yang diberkati, mengikut calak keluarga Nabi Shallallahu ‘Alaihi Wasallam. Semoga dengan azam ini, Allah Subhanahu Wata’ala akan melimpahkan rahmatNya kepada semua keluarga, dari kalangan warga dan penduduk Negara Brunei Darussalam. Amin.

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.