Titah KDYMM Sempena Majlis Sambutan Hari Guru Negara Brunei Darussalam Kali Ke-33 Tahun 2023

TITAH
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN, SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
 
SEMPENA

MAJLIS SAMBUTAN HARI GURU

NEGARA BRUNEI DARUSSALAM

KALI KE-33 TAHUN 2023

 

PADA HARI SABTU:

7 RABIULAWAL 1445H / 23 SEPTEMBER 2023M

 

TEMPAT:

PUSAT PERSIDANGAN ANTARABANGSA,

NEGARA BRUNEI DARUSSALAM

 

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillaahir Rahmaanir Raheem

         Alhamdulillah Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Bersyukur kita ke hadhrat Allah Subhanahu Wata’ala, kerana dapat hadir bagi meraikan dan memeriahkan Majlis Sambutan Hari Guru Negara Brunei Darussalam Kali Ke-33 pada tahun ini.

Sambutan Hari Guru kali ini bertema: “Guru Berkualiti Pemacu Transformasi Pendidikan”. Tema ini merujuk kepada peranan para guru selaku pengemudi dan pencetus kemajuan di masa hadapan. Kemajuan yang dimaksudkan lebih tertumpu kepada melahirkan insan-insan yang berilmu dan berkemahiran.

Untuk melahirkan insan-insan yang berkualiti ini, tentu sahaja memerlukan para guru yang berkalibar dan inovasi. Oleh itu Beta penuh berharap, supaya Kementerian Pendidikan dan Kementerian hal Ehwal Ugama dapat terus menumpukan usaha bagi meningkatkan kualiti para guru melalui sokongan dasar dan program-program pembangunan kapasiti.

Ke arah ini, sudah tiba masanya untuk Kementerian Pendidikan dan Kementerian Hal Ehwal Ugama sama-sama memperkemaskan lagi dasar pendidikan negara. Maka sehubungan itu, Beta sukacita memperkenankan bagi pindaan ke atas Akta Pendidikan  Wajib Penggal 211, yang berkaitan dengan umur wajib kanak-kanak bersekolah di negara ini iaitu dari enam (6) tahun kepada lima (5) tahun, untuk mengukuhkan lagi pendidikan awal kanak-kanak yang merupakan aspek utama dalam membina asas keupayaan kognitif, aspek sosial dan emosi kanak-kanak.

Menyentuh pula mengenai kepentingan kemahiran Sains, Teknologi, Kejuruteraan, Seni dan Matematik yakni STEAM, yang pernah Beta timbulkan sebelum ini, adalah tidak dapat disangkal lagi, bahawa kemahiran STEAM dapat meningkatkan pemikiran kreatif dan inovatif para pelajar, serta sekaligus dapat mempersiapkan mereka untuk menghadapi dunia yang semakin kompleks.

Beta gembira mengetahui bahawa penekanan kemahiran STEAM bukan sahaja dilaksanakan dalam kurikulum biasa, malahan juga diintegrasikan dalam aktiviti-aktiviti kokurikulum sekolah.

Bagi mengukuhkan lagi kemahiran ini, maka Beta juga telah memperkenankan bagi mata pelajaran Teknologi, Kejuruteraan dan Seni dalam komponen STEAM dijadikan sebagai salah satu mata pelajaran pilihan teras. Ini diharapkan akan dapat mendokong sistem pendidikan yang berkualiti tinggi selaras dengan keperluan mengikut perubahan dan perkembangan semasa.

Dari aspek inclusivity dan equality pendidikan, alhamdulillah Beta menyambut baik usaha Kementerian Pendidikan dalam memeduli kesejahteraan dan pendidikan pelajar-pelajar berkeperluan khas. Dalam hal ini, Beta mengambil maklum mengenai penubuhan Sekolah Khas pertama di negara ini. Penubuhan ini tidak syak lagi telah berjaya melakar satu lagi pencapaian dan sistem pendidikan negara, dan diharapkan ianya menjadi pemangkin kepada masyarakat secara umum untuk sama-sama memeduli kesejahteraan pelajar-pelajar berkeperluan khas.

Dengan perubahan dasar-dasar dan ekspektasi yang semakin besar terhadap tenaga pengajar, maka Beta berpendapat sudah tiba masanya pihak-pihak berkenaan meneliti dan memperkemaskan Skim Perkhidmatan Perguruan (SPG). Selain menambahbaik skop dan aliran kerja dalam pemilihan dan pengambilan guru, perlu juga pihak Kementerian mengkaji dan mengiktiraf tugas-tugas tambahan yang dipikul oleh para guru sebagai sebahagian komponen penting dalam proses penilaian. Selain dari memastikan kesejahteraan para guru, proses penelitian juga perlu mengekalkan kualiti guru-guru berkenaan.

Kita sama-sama berharap, bahawa apa jua perancangan berkaitan pendidikan, akan membawa lebih dekat kepada sasaran matlamat Wawasan Brunei 2035. Dalam hal ini, Beta turut melihat peranan penting institusi pendidikan teknikal dan vokasional dan institusi pengajian tinggi dalam pembangunan tenaga manusia atau modal insan dengan memupuk dan mengembangkan kemahiran, kecenderungan, sikap, moral, nilai dan kreatif, ke arah melahirkan rakyat yang berdikari dan berguna.

Akhirnya, Beta dengan tulus ikhlas mengucapkan Selamat Hari Guru kepada semua warga guru di negara ini. Semoga segala usaha para guru dalam mendidik anak bangsa akan mendapat ganjaran yang berlipat ganda daripada Allah Subhanahu Wata’ala.

Beta juga mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada para penerima Anugerah Hari Guru pada tahun ini. Semoga penganugerahan ini akan menjadi pencetus semangat kepada seluruh warga guru.

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.​

Titah KDYMM Sempena Majlis Konvokesyen Kali Ke-11 Universiti Teknologi Brunei (UTB)

TITAH
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN, SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
 
SEMPENA

MAJLIS KONVOKESYEN KALI KE-11

UNIVERSITI TEKNOLOGI BRUNEI

(UTB)

 

PADA HARI KHAMIS

28 SAFAR 1445 /

14 SEPTEMBER 2023

 

BERTEMPAT

PUSAT PERSIDANGAN ANTARABANGSA,

NEGARA BRUNEI DARUSSALAM

 

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillaahir Rahmaanir Raheem

Alhamdulillah Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Beta bersyukur ke hadhrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana dapat hadir di Majlis konvokesyen Kali Ke-11 Universiti Teknologi Brunei (UTB) pada hari ini.

Di kesempatan ini, Beta terlebih dahulu mengucapkan setinggi-tinggi tahniah dan syabas kepada para graduan di atas kejayaan mereka menamatkan pengajian masing-masing. Semoga kejayaan ini akan jadi pemangkin kepada kecemerlangan di masa akan datang. Ucapan tahniah juga Beta tujukan kepada para ibu bapa dan penjaga serta tenaga pengajar yang secara konsisten telah mendorong para graduan sehingga beroleh kejayaan.

UTB pada tahun ini telah mencapai usia 15 tahun. Kematangan sebagai sebuah universiti dapat dilihat melalui perkembangan yang positif, terutama dalam penerbitan kertas-kertas penyelidikan. Dari itu, adalah wajar bagi UTB untuk menggunakan sukat-sukat selain dari QS dalam menanda aras amalan terbaik. Beta mengambil maklum bahawa UTB sudah membuat persediaan untuk memasuki Times Higher Education Ranking Dunia, sebuah badan Ranking yang mementingkan penerbitan kertas-kertas penyelidikan sebagai kriteria utama.

Pada Majlis Konvokesyen UTB ke-9, Beta ada menitahkan mengenai paten untuk pengkomersialan. Ke arah ini, Beta difahamkan bahawa pihak UTB telah mengenalpasti beberapa prototypes  yang akan menjalani proses penilaian terhadap hak harta intelek, yang bukan sahaja merangkumi paten tetapi rahsia perdagangan atau trade secrets. Usaha ini amatlah mustahak dalam proses ciptaan. Oleh yang demikian, Beta berharap ianya akan mewujudkan satu ekosistem inovasi yang akan memacu pertumbuhan ekonomi.

Dalam aspek lain, Beta berharap UTB akan sentiasa meningkatkan pencapaian dan meneruskan usaha-usaha, termasuk dalam memastikan program-program yang ditawarkan adalah mengikut keperluan pasaran pekerjaan, sekaligus mewujudkan jurang pencari pekerjaan. Nilai-nilai tambah seperti akreditasi dari badan-badan antarabangsa akan menarik majikan untuk mengambil graduan lepasan UTB. Sehubungan dengan ini, Beta gembira bahawa badan akreditasi antarabangsa telah mengiktiraf program-program UTB seperti Kejuruteraan awam, kejuruteraan mekanikal, dan pengkomputeran. Terkini, program-program dari sekolah Perdagangan UTB telah memperolehi pengiktirafan daripada badan EFMD atau European Foundation for Management Development. Beta ucapkan syabas di atas kejayaan ini.

Beta juga mengalu-alukan penawaran program baharu seperti Ijazah Sarjana atau Masters  dalam Keselamatan Siber, melalui kerjasama UTB dengan Korea Internet and Security Agency (KISA) yang turut menawarkan biasiswa kepada pelajar-pelajar dari ASEAN.

Menyentuh pula mengenai penglibatan Industri, Beta gembira mengetahui bahawa Makmal Artificial Intelligence dan Machine Learning sudah beroperasi dalam kampus UTB. Makmal ini adalah merupakan Gift to the Nation dari Shell Deepwater and Exploration. Beta difahamkan bahawa antara objektif penubuhannya adalah untuk membangunkan algoritma pembelajaran mesin sebagai penyelesaian kepada masalah kompleks seperti penyelidikan keselamatan jalan raya, sains dan teknologi pertanian makanan, teknologi hijau, sumber air dan tenaga. Begitu juga dengan Makmal Sand Screen yang merupakan penyelidikan kolaboratif bersama universiti-universiti ternama di United Kingdom dan Australia, serta mendapat pembiayaan penuh dari Brunei Shell Petroleum. Makmal ini sudah beroperasi dan mempunyai potensi sebagai Pusat Rujukan dalam penyelidikan mengenai kualiti minyak mentah di rantau ini.

Melalui penubuhan makmal-makmal ini, Beta berharap agar tenaga akademik UTB, serta para penyelidik dan pakar tempatan akan mengambil peluang dan kesempatan untuk menggunakan kemudahan dan sumber yang disediakan demi melahirkan lebih ramai lagi anak tempatan yang berkemahiran dalam bidang masing-masing. Pada masa yang sama, adalah dihasratkan agar UTB akan terus meningkatkan hasil penerbitan yang berkualiti. Hasil kajian dan penerbitan ini diharap akan juga dapat memberi sumbangan kepada bidang-bidang yang berkaitan termasuk dalam membantu perkembangan industri minyak dan gas serta sektor prioriti yang lain.

Akhirnya, Beta merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua warga Universiti Teknologi Brunei yang merangkumi Ahli-ahli Majlis dan Senat, Naib Canselor, Pegawai-Pegawai Utama, ahli akademik, pegawai dan kakitangan atas segala sumbangan dan perkhidmatan mereka. Beta berdoa’a semoga Allah Subhanahu Wata’ala akan memberkati segala usaha kita dan mengurniakan ganjaran yang berlipat ganda.

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Titah KDYMM Sempena Majlis Haflut Takharruj Ke-13 Universiti Islam Sultan Sharif Ali

TITAH
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN, SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
 
SEMPENA

MAJLIS HAFLUT TAKHARRUJ KE-13

UNIVERSITI ISLAM SULTAN SHARIF ALI

 

PADA HARI ISNIN

13 SAFAR 1445 /

30 OGOS 2023

 

BERTEMPAT

PUSAT PERSIDANGAN ANTARABANGSA,

NEGARA BRUNEI DARUSSALAM

 

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillaahir Rahmaanir Raheem

Alhamdulillah Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Beta bersyukur ke hadhrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana mengizinkan kita dapat bersama-sama hadir dalam Majlis Haflut Takharruj Kali Ke-13, Universiti Islam Sultan Sharif Ali pada pagi ini.

Pada Kesempatan ini, Beta sukacita merakamkan ucapan setinggi-tinggi tahniah dan syabas kepada para graduan yang menerima ijazah dan diploma pada hari ini. Ijazah dan diploma berkenaan adalah tanda kejayaan semua graduan yang telah menyempurnakan pengajian dalam bidang masing-masing di UNISSA. Tidak lupa juga, setinggi-tinggi ucapan tahniah dan penghargaan Beta kepada para ibu bapa, penjaga dan tenaga akademik atas usaha dan pengorbanan masing-masing bagi kejayaan para graduan.

Seperti dimaklumi, pada hari ini Sustainable Development Goals (SDG) atau Matlamat Pembangunan Mampan adalah agenda global yang ditekankan untuk dilaksanakan oleh setiap negara. Negara kita turut tidak ketinggalan berusaha ke arah mencapai matlamat berkenaan. Daripada 17 matlamat yang telah disenaraikan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu antaranya ialah sifar kemiskinan. Kemiskinan adalah isu sosial yang boleh menjejaskan kesihatan, kesejahteraan, keselamatan dan pendidikan. Sekali pun di negara kita isu kemiskinan tidaklah sebesar di negara membangun lainnya tetapi ia tetap perlu ditangani.

Dalam Islam, pembangunan sosial masyarakat adalah menjadi tanggungjawab setiap individu dan lambang keutuhan iman. Ini jelas apabila Baginda Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam menitikberatkan isu sosial sehingga Baginda menafikan kesempurnaan iman bagi sesiapa yang tidur kekenyangan sedang dia mengetahui jiran tetangganya tidur dalam kelaparan.

Beta berpendapat, UNISSA berperanan besar untuk turut mengani isu ini. UNISSA boleh berganding bahu membasmi kemiskinan di negara ini dengan melaksanakan penyelidikan-penyelidikan yang bersesuaian. Daripada hasil penyelidikan itu, akan dapat dikenalpasti cara atau jalan untuk membantu golongan terbabit melalui penjanaan pendapatan dan peningkatan taraf hidup dan seterusnya keluar dari kepompong kemiskinan.

Isu kemiskinan ini juga berkait rapat dengan isu sekuriti makanan. Makanan yang berkhasiat adalah diperlukan untuk kesihatan fizikal dan mental. Individu yang sihat akan menjadi sumber tenaga kerja yang berkualiti yang boleh menyumbang secara berkesan terhadap pembangunan negara.

Kebetulan pula dengan wujudnya fakulti pertanian di UNISSA, Beta percaya dengan kepakaran yang dimiliki akan dapat menyumbang bagi penaiktarafan eko-sistem pertanian dan peningkatan kualiti, hasil pengeluaran pertanian dan pemakanan negara. Termasuk dapat membantu golongan yang kurang berkemampuan untuk menambah sumber pendapatan dan sekaligus menyokong agenda global ke arah mencapai matlamat kelaparan sifar dalam SDG.

Dalam hubungan ini juga, Beta gembira mengetahui bahawa UNISSA adalah merupakan satu-satunya universiti tempatan yang tersenarai dalam The Times Higher Education (THE) Impact Rankings 2023 dalam penilaian prestasi universiti global yang mendokong agenda Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu ke arah mencapai Matlamat Pembangunan Mampan atau SDG. Pencapaian ini membuktikan bahawa UNISSA terus mendapat pengiktirafan global dan berkembang seiring dengan tuntutan semasa.

Menyentuh mengenai kualiti program dan keperluannya kepada negara pula, Beta mengambil maklum bahawa program Dwi-Ijazah Syari’ah dan Undang-Undang yang sedang berjalan pada masa ini, adalah ditawarkan di bawah Fakulti Syari’ah dan Undang-Undang. Program yang seumpama ini tidak ditawarkan di institusi pengajian tinggi awam tempatan yang lain selain UNISSA sahaja. Beta melihat, ini adalah satu kelebihan bagi UNISSA.

Namun begitu, untuk mencapai kesan lebih baik dan kualiti lebih tinggi, maka Beta berpendapat, ada keperluan untuk menjadikannya DUA fakulti berasingan, satu fakulti Syari’ah dan satu lagi fakulti Undang-undang, dimana dengan hal yang demikian, dapatlah masing-masing fakulti itu akan beroperasi lebih teratur dan dapat memberikan tumpuan khusus supaya modul atau kursus di dalamnya boleh dirangka dengan lebih terarah. Sementara matlamat paling penting, kedua-dua fakulti ini, masing-masing akan dapat diharapkan untuk melahirkan lulusan-lulusan yang berkualiti yang memenuhi piawaian antarabangsa.

Adapun fakulti Undang-Undang akan menyediakan pengajian peringkat tinggi dalam bidang perundangan Syari’ah dan Sivil, iaitu satu cara, untuk menghasilkan pengamal-pengamal undang-undang yang celik dan pakar dalam dua-dua perundangan Syari’ah dan Sivil sekaligus.

Akhirnya, Beta tidak lupa merakamkan ucapan setinggi-tinggi tahniah dan penghargaan kepada seluruh warga UNISSA yang terdiri daripada Ahli-Ahli Majlis, Ahli-Ahli Senat Universiti, Rektor, Pegawai-Pegawai Utama, tenaga akademik dan seluruh pegawai dan kakitangan UNISSA atas segala sumbangan tenaga, buah fikiran dan masa dalam sama-sama menjayakan Majlis Haflut Takharruj Ke-13 ini. Semoga Allah Subhanahu Wata’ala akan membalasnya dengan sebaik-baik ganjaran di dunia dan di akhirat.​

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Titah KDYMM Sempena Majlis Konvokesyen Kali Ke-35 Universiti Brunei Darussalam (UBD)

TITAH
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN, SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
 
SEMPENA

MAJLIS KONVOKESYEN KALI KE-35

UNIVERSITI BRUNEI DARUSSALAM (UBD)

 

PADA HARI ISNIN

4 SAFAR 1445 /

21 OGOS 2023

 

BERTEMPAT

DEWAN CANSELOR

UNIVERSITI BRUNEI DARUSSALAM

NEGARA BRUNEI DARUSSALAM

 

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillaahir Rahmaanir Raheem

         Alhamdulillah Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Beta bersyukur ke hadhrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana dapat sama-sama hadir di Majlis Konvokesyen Kali ke-35 Universiti Brunei Darussalam pada pagi ini.

Beta dengan ikhlas mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada para graduan kerana berjaya menamatkan pengajian dalam bidang masing-masing. Ucapan tahniah ini juga ditujukan kepada para ibu bapa, penjaga dan tenaga ahli akademik atas dorongan dan sokongan mereka di sepanjang tempoh pengajian di UBD.​

Beta yakin para graduan sudah bersedia untuk mengharungi cabaran-cabaran baharu yang bakal ditempuh berikutan suasana dunia yang semakin mencabar dengan perubahan-perubahan pantas di luar jangkaan. Sebagai contoh, teknologi kecerdasan atau artificial intelligence (A.I.) yang sangat hangat pada masa ini telah membawa perubahan besar, termasuk kepada sektor pendidikan dan perundangan yang belum pernah dialami sebelum ini.

Sebagai sebuah universiti yang paling tua di Negara Brunei Darussalam, UBD memiliki kapasiti untuk mengetuai pencetusan idea memanfaatkan kesan positif artificial intelligence terhadap masyarakat. Ini termasuklah penggunaan A.I. dalam meningkatkan kecekapan di tempat kerja.

Dalam hubungan ini, Beta juga menyarankan agar UBD dan institusi pengajian tinggi yang lain akan memikirkan dan menyediakan garis panduan untuk memanfaatkan kecekapan dan produktiviti yang dapat diperolehi dari gabungan penggunaan kecerdasan buatan dengan kecerdasan semula jadi manusia. Dengan adanya garis panduan ini nanti akan dapatlah diharapkan penggunaan yang telus, berintegriti dan beretika bagi mencegah penyalahgunaan A.I. Pada masa yang sama juga, garis panduan ini akan mengukuhkan lagi tadbir urus dan rangka kerja bagi usaha-usaha transformasi digital kebangsaan ke arah menjadikan negara ini sebagai sebuah negara Smart Nation.

Perkembangan seperti ini diperlukan untuk sentiasa tangkas dan adaptable bagi menyahut evolusi yang sentiasa mendatang.

Alam pekerjaan juga tidak terlepas dari mengalami keadaan sentiasa berubah dan sukar diramal. Maka sehubungan itu, Beta menyambut baik usaha UBD membangunkan satu portal digital pencarian pekerjaan iaitu CareerBN yang dilengkapi dengan kemampuan machine learning dan A.I.  ini dilihat mampu untuk kemudahan pengurusan profil, job notification, job matching dan akses mudah kepada majikan dan lain-lain.

Selain dari isu pencarian pekerjaan, Beta juga tidak jemu-jemu menggalakkan para graduan supaya meneroka peluang keusahawanan. Bidang ini mampu untuk merangsang pertumbuhan ekonomi dan mencipta peluang-peluang baharu perniagaan dan pekerjaan. Oleh itu, Beta sukacita mengambil maklum bahawa UBD telah merangka satu Entrepreneurship Blueprint bagi memastikan ekosistem keusahawanan para pelajar UBD adalah lebih teratur dan komprehensif. Beta berharap usaha ini akan benar-benar menyuntik minda keusahawanan di kalangan para pelajar.

Dari sini akan dapat dilihat betapa sebuah universiti itu mampu untuk berperanan mencipta ataupun co-create masa depan pelajar cemerlang selaras dengan tagline UBD iaitu Futuring Together.

Sehubungan itu, Beta juga ingin mengingatkan supaya UBD menekankan kepada para graduan bahawa aktiviti mereka bukan hanya untuk kebaikan diri sendiri, malahan juga untuk berbakti kepada bangsa, ugama dan negara.

Beta juga mengambil kesempatan untuk merakamkan ucapan terima kasih kepada semua warga UBD, yang merangkumi Ahli-Ahli Majlis, Ahli-Ahli Senat Universiti, Naib Canselor, Pegawai-Pegawai Utama, ahli akademik, pegawai dan kakitangan universiti atas segala sumbangan dan perkhidmatan mereka. Semoga segala usaha mereka itu akan mendapat ganjaran yang berlipat ganda daripada Allah Subhanahu Wata’ala.

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Titah KDYMM Di Majlis Bersama Penuntut-Penuntut Berserta Rakyat dan Penduduk Negara Brunei Darussalam di Malaysia dan Singapura

TITAH

KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA

SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI

AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN

 

DI MAJLIS BERSAMA PENUNTUT-PENUNTUT BERSERTA RAKYAT DAN

PENDUDUK NEGARA BRUNEI DARUSSALAM DI MALAYSIA DAN SINGAPURA​

 

PADA:

4 OGOS 2023

 

TEMPAT:

GRAND HYATT KUALA LUMPUR, MALAYSIA

 

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillaahir Rahmaanir Raheem,

Alhamdulillahi Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Beta bersyukur, kehadhrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana dengan izin-Nya jua, dapatlah Beta bersama-sama dengan rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam, terutama para pelajar, pegawai-pegawai Kerajaan yang bertugas dan mereka yang sedang bercuti bersama keluarga di Malaysia dan Singapura.

Majlis seumpama ini telah memberikan peluang kepada Beta untuk bertemu secara lebih dekat dengan rakyat Beta, khususnya para pelajar yang sedang menuntut di sini.

Alhamdulillah, keramaian pelajar Negara Brunei Darussalam yang belajar di peringkat pengajian tinggi sama ada di dalam atau di luar negeri termasuk Malaysia dan Singapura, adalah terus menunjukkan peningkatan yang baik. Ini memberikan satu interpretasi yang positif dimana budaya belajar dan menuntut ilmu semakin menjadi pilihan. Inilah budaya yang akan kita pupuk dan kembangkan terus menerus tanpa titik noktahnya.

Kearah kesempurnaan budaya ini, Beta yakin para pelajar telah sedia memiliki iltizam, dedikasi dan tekad yang tinggi untuk mencapainya, terutama bagi para pelajar yang telah memilih untuk belajar di luar negara.

Belajar di luar negara memberikan peluang sangat bererti kepada para pelajar untuk bersaing dengan golongan pelajar dari persekitaran yang berbeza. Bersaing dalam lingkungan yang berbeza ini boleh menjadi cabaran terbaik bagi melahirkan sumber tenaga manusia yang berkualiti, kreatif dan progresif, yang mampu untuk menangkis segala kejutan budaya perosak.

Inilah misi dan visi yang betul untuk dipegang oleh para pelajar.

Beta ingin mengingatkan, dalam keghairahan budaya melayari Internet dan penggunaan pelbagai aplikasi teknologi maklumat, para pelajar hendaklah sentiasa waspada dan berhati-hati supaya tidak semudah mana mengongsikan maklumat peribadi kepada sebarang pihak, bagi mengelakkan terjebak kepada ancaman atau jenayah cyber.

Selain itu, Beta juga ingin mengingatkan kepada para pelajar, selaku duta kecil, supaya terus konsisten mengamalkan nilai-nilai Kebruneian yang dimiliki. Jadilah contoh yang baik dengan mengekalkan dan menonjolkan nilai-nilai yang terpuji orang-orang Brunei.

Selain merebut peluang pembelajaran, Beta juga mahu supaya para pelajar menjadi tenaga kerja yang bukan sahaja berpendidikan dan berkemahiran tinggi, tetapi juga mampu untuk menyumbangkan jasa bakti kepada negara, ugama, Raja dan bangsa. Inilah matlamat luhur lagi tertinggi untuk dicapai oleh semua para pelajar.

Akhirnya, Beta dengan tulus ikhlas mendoakan supaya para pelajar dan pegawai yang sedang berada di sini akan sentiasa dalam keadaan baik-baik sahaja, beroleh perlindungan dan pemeliharaan Allah Subhanahu Wata’ala. Amin.

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.