Sabda DPMM Semasa Majlis Sambutan Hari Pengakap Ke-40

SABDA

DULI YANG TERAMAT MULIA PADUKA SERI PENGIRAN MUDA MAHKOTA 

PENGIRAN MUDA HAJI AL-MUHTADEE BILLAH

IBNI KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA SULTAN 

HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH, 

MENTERI KANAN DI JABATAN PERDANA MENTERI

 

DI MAJLIS SAMBUTAN HARI PENGAKAP KE-40

 

BERTEMPAT

DEWAN SERBAGUNA, TINGKAT 5, BANGUNAN IBU PEJABAT PERSEKUTUAN PENGAKAP NEGARA BRUNEI DARUSSALAM, KOMPLEKS PENGAKAP, JALAN GADONG

 

PADA HARI SABTU,

22 ZULKAEDAH 1442 BERSAMAAN 3 JULAI 2021

 

Assalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillaahir Rahmaanir Raheem​​​​

Alhamdulillahi Rabbil ‘Aalameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Alaa Asyarafil ​​​Mursaleen, Sayyidina Muhammadin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana dengan izin dan rahmat-Nya jua, dapat kita semua berhimpun dalam majlis Sambutan Hari Pengakap Negara Brunei Darussalam yang Ke-40 pada hari ini.

Terlebih dahulu, saya ingin mengucapkan tahniah kepada Persekutuan Pengakap Negara Brunei Darussalam (PPNBD), kerana dalam usia Ke-88 tahun masih kekal berdiri megah, yang mampu menyatukan pelbagai lapisan masyarakat dan umur untuk menyumbangkan tenaga dibawah naungannya.

Saya juga penuh yakin, pergerakan pengakap di negara ini akan terus berperanan penting dalam sama-sama menyumbang kepada pembangunan ‘modal insan’ yang syumul, khasnya golongan belia, dengan menerapkan sifat kepimpinan berkualiti dengan nilai-nilai murni yang kukuh.

Ini adalah mustahak dalam mengharungi arus globalisasi yang pantas berubah serta mendorong kepada pelaksanaan perubahan dalam setiap aspek kehidupan.

Di sinilah juga betapa pentingnya pendidikan formal bagi generasi muda, untuk digandingi dengan aktiviti-aktiviti yang boleh membantu dalam pembentukan peribadi dan pembangunan karakter masing-masing.

Justeru, penglibatan dalam pergerakan pengakap yang disifatkan sebagai pergerakan pendidikan informal, merupakan antara platform terbaik ke arah pembangunan keupayaan holistik yang dimaksudkan.

Sikap ‘Selalu Bersedia’ dalam konteks being prepared and staying relevant, yang diterapkan dalam diri seorang pengakap jugalah yang mendorong untuk berbakti secara berterusan. Ini telah dibuktikan melalui penglibatan mereka sebagai ‘barisan hadapan’ menangani pandemik Coronavirus di negara ini.

Pada hemat saya, kecenderungan dalam kegiatan kesukarelawanan yang ditunjukkan oleh warga pengakap boleh diterjemahkan kepada tiga ciri-ciri unggul dalam kehidupan bermasyarakat dan bernegara.

Pertama – Adanya tumpuan dan komitmen yang tinggi, dalam mana mereka bersedia untuk memberikan masa dan tenaga yang lebih secara konsisten, ke arah sama-sama memastikan kelangsungan peranan dan tanggungjawab yang diamanahkan.

Kedua – Adanya kefahaman tentang keperluan setiap yang dibantu. Ini adalah antara kunci utama kepada keberkesanan pelaksanaan tindakan-tindakan bagi meraih sepenuhnya keberhasilan yang diharapkan. Sikap ‘tidak camah mata’ dan ‘ringan tangan’ yang dizahirkan oleh para pengakap yang terlibat adalah sangat dipuji.

Akhir sekali – Sikap tangkas dan mudah mengadaptasi dengan keadaan dan persekitaran. Ini penting apatah lagi dalam situasi pandemik yang menuntut perbatasan sosial, di samping keperluan memenuhi kehendak setiap yang memerlukan, termasuklah dari sudut memelihara kesejahteraan emosi dan psikologi masing-masing.

Sebagai organisasi yang sudah matang serta dipandang tinggi oleh masyarakat, maka adalah wajar bagi PPNBD untuk terus melipatgandakan usaha, yang menjurus kepada mendukung agenda pembangunan negara khasnya Wawasan Brunei 2035.

Justeru, PPNBD perlu bijak menembusi bidang-bidang yang berkeutamaan serta berimpak tinggi, dengan sentiasa menitikberatkan inisiatif-inisiatif berkaitan pembangunan kemahiran yang berasaskan teknologi dan juga pengupayaan keusahawanan.

Dalam hubungan ini, saya menaruh harapan tinggi agar para pesuruhjaya dan pemimpin pasukan pengakap akan sentiasa menerapkan aspek life-long learning pada diri masing-masing.

Pemimpin sesebuah pergerakan semestinya sentiasa peka dengan peredaran semasa, bagi memastikan ianya sentiasa relevan dan diterima oleh seluruh masyarakat.

Apa yang utama juga ialah Titah nasihat Paduka Ayahanda pada Majlis Pembukaan Rasmi Jambori Nasional Ke-4 pada bulan Disember 2013, menekankan agar “para pengakap perlulah memelihara identiti-identiti pengakap yang baik supaya dapat menjadi contoh kepada generasi muda”.

Akhirnya, saya ingin mengucapkan tahniah kepada semua penerima-penerima yang akan dianugerahkan Pingat-Pingat Pengakap, Waran-Waran Pelantikan, Sijil-sijil Penghargaan dan Anugerah Baden Powell pada kali ini.

Sekian, Wabillahit Taufik Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

***

Sabda DPMM Sempena Majlis Musabaqah Membaca Al-Quran Bahagian Dewasa Peringkat Akhir Kebangsaan Tahun 1442H / 8 Jun 2021M

SABDA

 DULI YANG TERAMAT MULIA PADUKA SERI PENGIRAN MUDA MAHKOTA PENGIRAN MUDA HAJI AL-MUHTADEE BILLAH IBNI KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH, MENTERI KANAN DI JABATAN PERDANA MENTERI

DI MAJLIS MUSABAQAH MEMBACA AL-QURAN BAHAGIAN DEWASA PERINGKAT AKHIR KEBANGSAAN 

TAHUN 1442 HIJRAH / 2021 MASIHI
 
BERTEMPAT
DEWAN PLENARY, PUSAT PERSIDANGAN ANTARABANGSA, BERAKAS
 
PADA
HARI SELASA, 27 SYAWAL 1442 BERSAMAAN 8 JUN 2021
 
 

Assalamu ‘Alaikum Warahmatullaahi Wabarakaatuh

Bismillahir Rahmanir Raheem

Alhamdulillahi Rabbil ‘Aalameen, Wassalaatu Wassalaamu ‘Alaa Asyrafil Mursaleen, Sayyidinaa Muhammadin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Syukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala di atas izin-Nya jua kita dapat bersama-sama hadir di Majlis Pertandingan Membaca Al-Quran Bahagian Dewasa Peringkat Akhir Kebangsaan bagi Tahun 1442 Hijrah bersamaan 2021 Masihi. Semoga Allah Subhanahu Wata’ala mengurniakan keberkatan di atas kehadiran kita semua di majlis yang berkebajikan ini dengan mendengarkan ayat-ayat yang dibaca para qari dan qariah serta menghayati maknanya.

Alhamdulillah, kitab Al-Quran adalah mukjizat teragung yang diwahyukan kepada Junjungan Besar kita Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam yang umat Islam wajib berpegang teguh padanya serta dipelihara secara mutawir atau bersambung dari satu generasi ke generasi sehingga ke hari ini seperti maksud ayat 9, Surah Al-Hijr :
 
“Sesungguhnya kamilah yang menurunkan Al-Zikr (Al-Quran) dan kamilah yang memelihara dan menjaganya”.

Setiap insan adalah masing-masing berperanan dalam membangun kehidupan berkeluarga, bermasyarakat dan bernegara melalui amanah serta tanggungjawab yang perlu ditunaikan dengan sebaiknya dalam mengharungi kehidupan di atas muka bumi dan seterusnya alam akhirat yang hakiki.

Allah Subhanahu Wata’ala telah dengan jelasnya mengamanahkan tugas dan tanggungjawab kepada manusia untuk memakmurkan alam ini dengan menciptakan dan meramaikan penduduk sesuai dengan peranan masing-masing sebagai pemakmur alam bagi seterusnya melestarikan ketamadunan manusia.

Sebagai pemakmur dan pentadbir alam, manusia juga perlu menunaikan tanggungjawabnya untuk memastikan kelestarian alam sekitar supaya apa jua bentuk pembangunan yang dinikmati dan dimanfaatkan oleh generasi akan datang. Justeru, di sinilah keperluannya bagi generasi muda yang akan menerajui pembangunan negara khasnya dan seluruh masyarakat amnya dengan menghayati ajaran yang tersurat dan rahsia yang tersirat di dalam Al-Quran yang menyentuh seluruh aspek kehidupan, rohani dan jasmani, mental dan fizikal serta hubungan di antara haliq dan sesama insan.

Di sinilah umat Islam sepatutnya mengambil peranan yang lebih besar dalam membangun perpaduan umat sejagat, di samping menjadi sumber inspirasi serta pencetus kepada inovasi tamadun dan kesaksamaan peradaban, sesuai dengan cabaran zaman yang melangkaui bimbingan dan pendidikan kerohanian, di sebalik mematuhi perintah dan larangan-Nya demi membina kesejahteraan, perpaduan serta keharmonian kehidupan berbilang bangsa dan budaya.

Dengan demikian, penghayatan terhadap ajaran Al-Quran yang diterapkan kepada kita sebagai pemakmur dan pentadbir alam yang bermula daripada alam kanak-kanak perlu dilihat dengan lebih objektif, ke arah melestarikan kaedah pengajaran dan menyebarluaskan ilmu-ilmu tafsir dan tadabbur Al-Quran di seluruh peringkat masyarakat.

Melaluinya, murid-murid, para pelajar dan masyarakat, akan lebih mesra dengan Al-Quran, serta memahami maksud dan menghargai nilai iktibar yang tersirat di dalamnya, selaras dengan hasrat kita untuk membangun Negara zikir.

Pada masa ini, dunia sedang berhadapan dengan cabaran penularan wabak Koronavirus, yang mana menjejaskan kehidupan normal seluruh manusia termasuk di Negara Brunei Darussalam.

Walau bagaimanapun, alhamdulillah, kita di Negara Brunei Darussalam sangat-sangat mengutamakan dan penuh percaya dengan amalan-amalan doa dan selawat, yang terkandung di dalam Al-Quran dan as-Sunnah, selain Ikhtiar dan usaha menolak jangkitan Koronavirus berkenaan secara bersepadu, dengan mematuhi garis pandu yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan.

Sepertimana Titah Paduka Ayahanda Semasa Perutusan Majlis Ilmu 2020 Sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Yang Ke-74 Tahun yang berbunyi :

“Adakah pada pendapat para ilmuwan antara sebabnya ialah kerana kita terus mematuhi piawaian standard antarabangsa, di samping secara konsisten menggunakan vaksin ketuhanan berupa ayat-ayat Al-Quran dan doa-doa?”

Jelas sekali, dengan penyerapan bacaan Al-Quran, zikrullah, selawat secara berterusan di balai-balai ibadah, radio dan televisyen serta mengharapkan pertolongan sepenuhnya dari Allah Subhanahu Wata’ala, dengan izin-Nya jua, Negara Brunei Darussalam, dilindungi dan dijauhkan daripada penularan wabak Koronavirus. Ini kerana, kita umat Islam penuh percaya bahawa Allah Subhanahu Wata’ala sahajalah maha berkuasa menyembuhkan semua penyakit.

Akhirnya dengan berkat kalimah Bismillahir Rahmanir Rahim, selawat serta salam ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam, saya sukacita merasmikan Pertandingan Membaca Al-Quran Bahagian Dewasa Peringkat Akhir Kebangsaan bagi Tahun 1442 Hijrah.

Sekian. Wabillahit Taufik Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

***​

 

Sabda DPMM Di Upacara Istiadat Perbarisan Sempena Hari Polis Ke-99 Tahun

SABDA

DULI YANG TERAMAT MULIA PADUKA SERI PENGIRAN MUDA MAHKOTA PENGIRAN MUDA HAJI AL-MUHTADEE BILLAH IBNI KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH, MENTERI KANAN DI JABATAN PERDANA MENTERI

 

DI UPACARA ISTIADAT PERBARISAN SEMPENA HARI POLIS KE-99 TAHUN
 
BERTEMPAT
PADANG KAWAD, PUSAT LATIHAN POLIS, KOMPLEKS IBU PEJABAT POLIS GADONG
 
PADA
HARI SELASA, 1 REJAB 1441 BERSAMAAN 24 FEBRUARI 2020
 
 
Assalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillaahir Rahmaanir Raheem

 

Alhamdulillahi Rabbil ‘Aalameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Alaa Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammadin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Syukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala diatas limpah kurnia dan rahmat-Nya jua, mengizinkan kita berhimpun di Istiadat Perbarisan Hari Polis Ke-99 Tahun pada pagi yang penuh bersejarah ini.

Sesungguhnya perhimpunan ini adalah sangat bermakna dalam menyuntik semangat serta melestarikan budaya kerja berdaya maju, disamping merista pencapaian dan kejayaannya selaku anggota pasukan beruniform yang sentiasa berganding bahu bersama masyarakat dalam mempertahankan kedaulatan, memelihara keselamatan dan kemakmuran bumi Brunei Darussalam.

Di kesempatan ini, saya mengucapkan tahniah dan syabas kepada seluruh warga Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) diatas dedikasi dan khidmat bakti dengan usaha berterusan untuk mengekalkan profesionalisme dan momentum kecemerlangan demi keutuhan keharmonian kehidupan bermasyarakat dan bernegara. Dalam mencapai usia ke-100 tahun, berbagai bentuk cabaran dan dugaan telah dan bakal diharungi pasukan polis yang setentunya turut mempengaruhi perkembangan, ketahanan dan integritinya secara keseluruhan.

Tema Sambutan Hari Polis tahun ini, iaitu ‘Bersama Menghadapi Cabaran’ memperingatkan kita semua bahawa keteguhan iman serta nilai-nilai beragama dan bernegara adalah sinonim dengan cabaran kerjaya dan tugasan bidang kepolisan yang memerlukan komitmen di samping jati diri yang tinggi.

Jesteru, ketaatsetiaan yang tidak berbelah bahagi kepada raja serta sikap jujur, amanah dan bertanggungjawab kepada pucuk kepimpinan adalah merupakan teras kepada pasukan polis dalam bersama-sama mempertahankan kesucian agama, perpaduan rakyat serta memelihara ketenteraman dan kedaulatan negara.

Natijahnya, cabaran yang perlu dihadapi masa kini adalah semakin kompleks dalam mana kes-kes jenayah yang melibatkan ancaman pengganas dan ideologi bercanggah termasuk tindak-tanduk segelintir masyarakat yang ada kalanya di luar jangkaan. Kecanggihan teknologi infokomunikasi dan alam siber juga turut merubah landskap komunikasi sosial serta potensi ancamannya kepada keselamatan. Perkembangan ini menuntut pihak pasukan polis untuk sentiasa siap siaga dalam menangani serta mengurus kesan daripada perubahan-perubahan yang amat disruptif kepada keharmonian kehidupan dan perpaduan masyarakat.

Ke arah itu, pembangunan kompetensi yang relevan kepada setiap anggota adalah signifikan kepada memperkasa keupayaan serta meningkatkan tahap kesiapsiagaan secara berterusan. Dalam hubungan ini, saya juga ingin mengingatkan semua anggota untuk sentiasa menanamkan sikap sense of purpose dan urgency melalui amalan budaya kerja yang sentiasa bermatlamat serta bersegera dalam tindakan demi menanai amanah pasukan polis.

Di arena global pula, saya gembira mengetahui pasukan polis terus berusaha untuk mengembangkan rangkaian kerjasama dengan pasukan polis serantau dan antarabangsa termasuk menyertai misi pasukan pengaman di kawasan konflik tertentu. Perkara ini setentunya membantu ke arah memantapkan lagi kemampuan serta reputasi PPDB menurut standard dan perspektif luar agar sama hebat serta setanding dengan pasukan-pasukan asing yang seangkatan.

Setiap anggota hendaklah sentiasa peka terhadap landskap keselamatan semasa dengan mengikuti perkembangan bidang kepolisan serantau dan antarabangsa, di samping bersedia untuk mempelajari dan mengadaptasi amalan-amalan terbaik menurut perspektif dan impak positifnya kepada negara. Perkara ini adalah selaras dengan titah paduka ayahanda semasa berangkat ke PPDB pada 5 September 2019 bahawa “Pasukan polis perlu mencari kecemerlangan dalam kerjaya mereka, cegah betul-betul jenayah, bersihkan Negara Brunei Darussalam daripada jenayah, ianya sebenar-benar tugas pasukan polis.”

Bersukut dari titah tersebut, saya juga ingin menekankan tentang kepentingan untuk pasukan polis sentiasa beringat dan berwaspada bahawa setiap tindakan, tugasan dan interaksinya bersama masyarakat adalah signifikan kepada meraih keyakinan masyarakat serta menegakkan kedaulatan undang-undang.

Akhirnya bersempena Istiadat Perbarisan Hari Polis Ke-99 Tahun, marilah kita bersama-sama bertekad untuk terus menabur khidmat terbaik ke arah meningkatkan serta memperkukuhkan kewibawaan pasukan polis seiring dengan tuntutan zaman. Di sebalik segala tindakan dan apa jua usaha yang dilaksanakan, saya ingin menekankan bahawa setiap usaha dan tindakan tersebut hendaklah didasari dengan doa serta bertawakal sepenuhnya kepada Allah Subhanahu Wata’ala agar kita semua sentiasa diberikan taufik dan hidayah serta dalam pemeliharaan dan keredaan-Nya.

Sekian, Wabillahit Taufiq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullaahi Wabarakatuh.

 

***

Sabda DPMM Pada Majlis Perasmian Pertandingan Membaca Al-Qur’an Bahagian Dewasa Peringkat Akhir Kebangsaan Tahun 1441 / 2020 (Malam Pertama)

SABDA

DULI YANG TERAMAT MULIA PADUKA SERI PENGIRAN MUDA MAHKOTA PENGIRAN MUDA HAJI AL-MUHTADEE BILLAH
IBNI KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH,
MENTERI KANAN DI JABATAN PERDANA MENTERI
 
SEMPENA
MAJLIS PERASMIAN PERTANDINGAN MEMBACA AL-QUR’AN
BAHAGIAN DEWASA PERINGKAT AKHIR KEBANGSAAN TAHUN 1441 /2020
(MALAM PERTAMA)
 
BERTEMPAT
DEWAN PLENARY, PUSAT PERSIDANGAN ANTARABANGSA, BERAKAS
 
PADA
SELASA, 3 JAMADILAKHIR 1441H BERSAMAAN 28 Januari 2020M

 

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillaahir Rahmaanir Raheem

Alhamdulillahi Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

SYUKUR ke hadhrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana dengan izin-Nya jua kita dapat berkumpul pada malam yang mubarak ini di dalam Majlis Pertandingan Membaca Al-Qur’an Bahagian Dewasa Peringkat Akhir Kebangsaan bagi Tahun 1441 Hijrah bersamaan 2020 Masihi.

Marilah kita sama-sama meraih rahmat tersebut dengan bertasbih mendengarkan bacaan para qari dan qariah dengan diam menghayati sambil memikirkan maksud serta makna ayat-ayat yang dibaca.

Membaca Al-Qur’​an adalah zikir paling utama. Menyedari ganjarannya yang amat besar maka wajarlah membaca Al-Qur’an dijadikan amalan kelaziman bagi rakyat dan penduduk di negara ini, khususnya di kalangan para belia.

Ini adalah sangat mustahak, apatah lagi dalam era globalisasi masa kini yang berjaya merubah bentuk pemikiran, ideologi, budaya termasuk berbagai elemen negatif dari luar.
Kehebatan Al-Qur’an terbukti dalam konteks pendidikan sebagai asas yang kukuh ke arah pembinaan tamadun manusia dari aspek duniawi dan juga ukhrawi. Bahkah Al-Qur’an itu sendiri diturunkan dengan matlamat dan tujuan untuk mendidik umat manusia, sekali gus mengeluarkan manusia daripada kejahilan dan kesesatan.

Alhamdulillah, setakat ini beberapa buah sekolah rendah dan menengah serta Institusi Pengajian Tinggi di negara ini telah mengambil inisiatif ke arah memantau kekerapan dan kemahiran membaca Al-Qur’an serta penerapannya ke dalam kehidupan.

Di samping pemantauan kemahiran dan pelaziman membaca Al-Qur’an secara formal, institusi keluarga turut memainkan peranan penting dalam sama-sama mengukuhkan lagi matlamat tersebut.

Adalah menjadi tanggungjawab para ibu bapa untuk mewujudkan persekitaran rumah tangga yang harmoni antara lainnya melalui pendekatan interaksi yang mesra ceria, kawalan emosi yang tenang dan penyediaan makanan yang pastinya halalan tayyiban (yang halal lagi yang baik) dengan ikatan solat berjemaah serta pautan ayat-ayat suci Al-Qur’an.

Inilah elemen teras dalam membentuk keluarga sakinah, mawaddah, dan rahmah atau keluarga bahagia yang terhindar dari gangguan serta bisikan iblis dan syaitan.

Ke arah itu, marilah kita sama-sama memahami maksud dan mendalami pengertian yang terkandung dalam ayat-ayat suci Al-Qur’an sebagai tamsilan dan pedoman dalam menjalani kehidupan seharian di muka bumi ini.

Hanya Al-Qur’an sahajalah yang mampu membimbing kita untuk sentiasa berada di atas landasan yang benar lagi selamat di dunia dan akhirat.

Akhirnya, dengan berkat kalimah Bismillaahir Rahmaanir Raheem, selawat serta salam ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam, saya dengan sukacita merasmikan Pertandingan Membaca Al-Qur’an Bahagian Dewasa Peringkat Akhir Kebangsaan Bagi Tahun 1441 Hijrah.

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

***​