Titah KDYMM Hari Raya ‘Idil Fitri Tahun 1447H / 2026M

TITAH PERUTUSAN

KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN, 
SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM

 
SEMPENA
HARI RAYA ‘IDIL FITRI
TAHUN 1447H / 2026M

 

 

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillaahir Rahmaanir Raheem

Alhamdulillah Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, Walillahil Hamd.

Kita sangat teruja, kerana dapat lagi menyambut Hari Raya Fitrah dalam suasana aman dan sejahtera. ‘Idil Fitri adalah kurnia Allah kepada para hamba-Nya yang ta’at setia menjunjung titah perintah melaksanakan ibadat puasa. Selaku ianya kurnia, adalah wajib bagi kita untuk menjawatnya dengan rasa penuh bersyukur.

Bagaimanakah cara kita bersyukur itu? Caranya, mula-mula kita disunatkan bertakbir dan bertahmid membesarkan Allah selaku pengurnia nikmat, dan kemudian berikutnya dituntut pula kita ke masjid untuk menunaikan sembahyang sunat Hari Raya.

Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, Walillahil Hamd.

Hari Raya dikenali sebagai Hari Keriaan atau Kegembiraan. Namun bagi kita orang Islam, keriaan atau kegembiraan itu memerlukan kawalan. Diantara langkah mengawal itu ialah supaya setiap kita tidak sampai terlajak mengikutkan hati dan emosi semata-mata, sehingga boleh melupakan kewajipan asasi seperti sembahyang.

Di samping itu, etika berhari raya juga kita menghendaki supaya mengambil tahu keadaan saudara-saudara kita seugama, contohnya kita dituntut menunaikan zakat fitrah bagi menolong meringankan bebanan hidup para fakir dan miskin.

Lebih jauh lagi dari itu, kita juga turut diminta untuk melihat dengan mata dan hati simpati terhadap saudara-saudara seugama kita, sekalipun mereka itu berjauhan tempat.

Pada masa ini, ada golongan yang lapar tanpa makanan, ada juga yang ditimpa musibah sampai kehilangan rumah kediaman, kehilangan harta benda, dan paling malang lagi menjadi mangsa peperangan.

Semua ini, perlu kita lihat dengan mata dan jiwa simpati. Sekiranya kita tidak berupaya untuk membantu mereka dengan mata benda, maka dengan ‘do’a’ adalah tetap dituntut. Mengapa?

Kerana persaudaraan seugama itu adalah persaudaraan yang suci, sehingga Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam sendiri melalui riwayat Muslim, telah bersabda maksudnya:

“Perumpamaan orang-orang beriman dalam perkara saling mencintai adalah seperti SATU tubuh, apabila salah satu anggota sakit, maka seluruh tubuh itu akan turut sakit, tidak dapat tidur dan demam.”

Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, Walillahil Hamd.

Demikian itulah hakikat dan harga persaudaraan seugama yang dibina atas dasar iman, yang menjadikannya tetap kukuh tidak mudah digugat. Beta berharap, Brunei mampu untuk jadi pengamal dasar ini, dengan terus menggalakkan perpaduan melalui amalan saling simpati dan membantu, sekurang-kurangnya membantu dengan do’a.

Baru-baru ini, sebagai tanda simpati kepada saudara-saudara seugama yang ditimpa musibah, maka Beta telah menitahkan pihak berkenaan untuk menambah Do’a Hajat yang lazim kita baca pada masa ini dengan sedikit tambahan do’a baharu.

Akhirnya, Beta dan seluruh ahli kerabat Beta dengan sukacita mengucapkan Selamat Hari Raya ‘Idil Fitri Al-Mubarak kepada semua dan lapisan rakyat penduduk di mana sahaja mereka berada. Semoga dengan izin Allah jua, kita semua dapat menjalani sambutan ini dalam keadaan sihat dan sejahtera. Amin.

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

***

 

Titah bersempena Istiadat Pembukaan Rasmi Mesyuarat Pertama Dari Musim Permesyuaratan Ke-22 Majlis Mesyuarat Negara (MMN)Bagi Tahun 1447H / 2026M

 

TITAH

 KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN,
SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM

 

BERSEMPENA
ISTIADAT PEMBUKAAN RASMI MESYUARAT PERTAMA
DARI MUSIM PERMESYUARATAN KE-22 MAJLIS MESYUARAT NEGARA (MMN)
BAGI TAHUN 1447H / 2026M

 

PADA
PADA 22HB RAMADHAN 1447
bersamaan 12HB MAC 2026

 

 

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillaahir Rahmaanir Raheem

Alhamdulillah  Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Alhamdulillah, dengan limpah rahmat Allah jua, dapatlah kita berkumpul bagi Istiadat Pembukaan Rasmi Mesyuarat Pertama Dari Musim Permesyuaratan Ke-22 Majlis Mesyuarat Negara Bagi Tahun 2026 Masehi.

Persidangan Majlis Mesyuarat Negara bukan setakat pertemuan tahunan, tetapi ia juga adalah wadah strategik untuk membahaskan isu-isu sebenar yang dihadapi oleh negara dan rakyat, berdasarkan penelitian mendalam dan fakta yang kukuh.

Pendekatan sesi dialog dan permuzakarahan bersama Kementerian dan Jabatan-Jabatan Kerajaan, perlu dimanfaatkan sebaiknya. Pada pendapat Beta pendekatan sedemikian telah pun terbukti berkesan dalam merapatkan lagi ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara dengan masyarakat, dalam memeduli keperluan serta untuk mendengar keluhan rakyat.

Negara perlu sentiasa peka dengan pergolakan geo politik antarabangsa dan kesannya terhadap cabaran ekonomi global.

Negara kita juga tidak terlepas dari menerima kesan cabaran ini, lebih-lebih lagi jika kesan itu menjejaskan harga komoditi tenaga yang menjadi sumber pendapatan negara. Di sinilah ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara perlu berganding bahu dan bekerjasama untuk menangani sebarang ketidakpastian yang timbul.

Beta mahu melihat tindakan pelaksanaan yang lebih agresif serta ketahanan dalam merangka dasar dan strategi pembangunan negara, khasnya ke arah matlamat Wawasan Brunei 2035, termasuk usaha berterusan dalam menerokai pelaburan strategik dalam sektor-sektor baharu yang boleh merancakkan lagi pertumbuhan ekonomi negara dan usaha mengukuhkan fiskal kerajaan.

Apa yang pasti, keperluan untuk membangunkan perkara-perkara baharu bukanlah lagi satu pilihan, bahkan ianya satu keperluan yang wajar direalisasikan. Namun begitu, kemajuan juga perlu seimbang dengan perbelanjaan berhemah, termasuk mengutamakan inisiatif yang berimpak tinggi untuk meningkatkan daya tahan negara.

Pendekatan-pendekatan baharu memang diperlukan dalam mewujudkan eko-sistem kondusif ke arah pemerkasaan peranan sektor swasta serta perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

Dari sudut infrastruktur dan kemudahan awam pula, usaha perlu diteruskan dengan meneroka penyediaan perkhidmatan pengangkutan awam yang lebih berkualiti dan selamat.

Beta amat bersimpati dengan musibah yang berlaku baru-baru ini yang mengorbankan dua penunggang basikal. Maka dalam hal ini, Beta menyeru pihak-pihak yang berkenaan terutama Majlis Kebangsaan Keselamatan Jalan Raya untuk bukan sahaja melihat dari segi perundangan dan penguatkuasaan tetapi juga mesti mengambil berat Prasarana yang selamat untuk digunakan.

Dari sudut lain pula, Kerajaan Beta akan terus memperkukuh budaya kerja yang bersih, beretika, berintegriti dan tadbir urus yang cemerlang merentasi semua sektor. Ini termasuk usaha membanteras secara agresif gejala rasuah dan salah guna kuasa akan terus dilaksanakan dengan menumpukan kepada sektor-sektor Kerajaan dan swasta, khususnya yang melibatkan aspek perkhidmatan dan penguatkuasaan. Kerajaan Beta tidak akan bertolak ansur dalam membanteras gejala rasuah kerana jika tidak dibendung, ianya akan mengancam keselamatan negara.

Akhirnya harapan Beta, supaya Majlis Mesyuarat Negara akan membahaskan isu-isu strategik yang berkeutamaan sebagai sifatnya pencetus idea-idea bernas, pragmatik dan inovatif selaras dengan keperluan semasa negara. Beta ingin ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara bersama-sama berganding bahu dengan Kerajaan untuk mencari penyelesaian terhadap cabaran-cabaran dan masalah-masalah yang dihadapi oleh masyarakat dan negara.

Matlamat kita adalah jelas iaitu untuk membina sebuah negara yang progresif dan berpandangan jauh yang mengimbangi inovasi dengan kelestarian kewangan serta terus menjamin kesejahteraan rakyat.

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

***

 

 

Titah Perutusan Khas KDYMM Sempena Menyambut Awal Bulan Ramadhan Bagi Tahun 1447H / 2026M dan Titah Perutusan Khas Penghargaan dan Terima Kasih

TITAH PERUTUSAN KHAS

KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN, SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
 
SEMPENA
MENYAMBUT AWAL BULAN RAMADHAN
BAGI TAHUN 1447H / 2026M
 
DAN
 
TITAH PERUTUSAN KHAS
PENGHARGAAN DAN TERIMA KASIH

 

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillaahir Rahmaanir Raheem

Alhamdulillah Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Alhamdulillah, Beta memanjatkan setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala atas limpah rahmat dan kurnia-Nya kerana mengizinkan kita sekali lagi bertemu dengan bulan Ramadhan Al-Mubarak dalam suasana yang aman, sejahtera dan penuh keberkatan.

Beta juga amat bersyukur atas nikmat kesembuhan yang dikurniakan, serta diberi kesempatan untuk menyampaikan perutusan ini, setelah selesai menjalani rawatan. Pengalaman ini mengingatkan kita betapa pentingnya menjaga kesihatan, kerana ia adalah anugerah yang tidak ternilai. Kesihatan yang baik bukan sahaja membolehkan kita beribadah dan berkhidmat dengan lebih sempurna, malah ia adalah amanah bersama.

Dalam bulan Ramadhan yang mulia ini, nikmat kesihatan menjadi asas untuk kita melaksanakan ibadah puasa dan amal kebajikan dengan penuh keikhlasan, sekali gus mendekatkan diri kepada Allah Subhanahu Wata’ala. Menjaga kesihatan diri bermakna kita juga menjaga kesejahteraan keluarga dan masyarakat, kerana tubuh yang sihat memberi ruang untuk kita terus berbakti dan menyumbang kepada pembangunan bangsa serta kesejahteraan ummah. Pada kesempatan ini, dengan penuh keikhlasan dan rasa terharu, Beta ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam yang telah mendoakan kesihatan dan kesembuhan Beta. Beta amat menghargai setiap ingatan dan sokongan yang diberikan.

Beta percaya segala usaha menunaikan solat hajat, bacaan surah Yassin dan doa yang dipanjatkan telah didengar dan dikabulkan oleh Allah Subhanahu Wata’ala. Doa-doa yang dipanjatkan menjadi sumber kekuatan yang besar dan Beta amat tersentuh, apabila mengetahui bahawa semua lapisan masyarakat di dalam dan di luar negara, tanpa mengira usia, bangsa dan agama termasuk kanak-kanak turut sama mendoakan kesihatan Beta.

Begitu juga, Beta ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan serta menzahirkan ucapan terima kasih kepada Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu, serta para Ketua dan Pembesar dari negara-negara sahabat yang telah mengutuskan perutusan mendoakan kesihatan Beta.

Beta mendoakan agar hubungan baik yang sedia terjalin ini akan terus diperkukuh dan dipermudahkan demi kesejahteraan bersama. Tidak lupa, Beta ingin merakamkan setulus-tulus penghargaan dan pengiktirafan setinggi-tingginya kepada para doktor dan pasukan perubatan, yang terdiri daripada pakar tempatan dan luar negara, atas dedikasi dan kerjasama mereka dalam memberikan rawatan terbaik kepada Beta.

Semoga Allah Subhanahu Wata’ala membalas segala kebaikan tersebut dengan ganjaran pahala yang berlipat ganda serta mengurniakan kesihatan, kesejahteraan dan keberkatan kepada semua.

Mengambil sukut baik sempena bulan Ramadhan yang penuh rahmat, marilah kita sama-sama merafa’kan do’a, memohon keampunan kehadharat Allah Subhanahu Wata’ala supaya dijauhkan daripada api neraka, dipanjangkan umur untuk kita diberi kesempatan bertemu dengan bulan Ramadhan secara berulang-ulang kali, dan dikurniakan kesihatan agar dapat melaksanakan ibadat puasa dengan sempurna dan penuh ketenangan.

Ramadhan ialah masa untuk kita mengumpul segala ganjaran pahala. Marilah kita sama-sama berazam untuk memakmurkan Ramadhan dengan ibadat puasa dan lain-lain ibadat seperti bertadarus Al-Qur’an, Sembahyang Tarawih dan Qiamullail, di samping menjaga kesihatan melalui pemakanan sihat. Bulan ini juga mengajar kita kesederhanaan, apabila kita menjauhi pembaziran, nikmat yang ada dapat dimanfaatkan untuk memberi dan berkongsi dengan mereka yang memerlukan.

Untuk mengimarahkan bulan Ramadhan, seperti kelazimannya Beta menyeru agar semua pihak di peringkat kementerian, jabatan dan sektor swasta serta seluruh masyarakat untuk mengisikan masa dengan beramal ibadat dan memperbanyakkan aktiviti keagamaan dan amal jariah.

Akhirnya, Beta dan keluarga Beta dengan tulus ikhlas dan sukacita mengucapkan Selamat Menunaikan Ibadat Puasa kepada seluruh rakyat dan penduduk yang berugama Islam di mana sahaja mereka berada. Semoga Allah Subhanahu Wata’ala memberkati Ramadhan kita serta mengizinkan kita berpuasa dalam suasana aman, damai dan sejahtera.

Dalam kesempatan ini kepada masyarakat Tionghua di Negara ini, Beta ingin mengucapkan Selamat Menyambut Tahun Baru Cina.

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

***

Titah KDYMM Sempena Upacara Istiadat Perbarisan Bagi Majlis Istiadat Penganugerahan Bendera Panji-Panji Peribadi KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam

TITAH

KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN, SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
 
SEMPENA
UPACARA ISTIADAT PERBARISAN
BAGI MAJLIS ISTIADAT PENGANUGERAHAN BENDERA PANJI-PANJI PERIBADI KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
 
PADA
HARI SABTU, 18 Januari 2025

  

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillaahir Rahmaanir Raheem

         Alhamdulillah Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Alhamdulillah, syukur kehadhrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana dengan limpah rahmat-Nya jua dapatlah kita sama-sama berkumpul dalam Upacara Istiadat Perbarisan Bagi Majlis Istiadat Penganugerahan Bendera Panji-Panji Peribadi Beta.

Penganugerahan ini adalah pengiktirafan Beta kepada seluruh pegawai dan anggota Pasukan Polis Diraja Brunei di atas khidmat jasa bakti, penat lelah, komitmen serta dedikasi yang telah ditunjukkan dalam memikul dan melaksanakan tanggungjawab yang telah diamanahkan sebagai sebuah agensi penguatkuasaan undang-undang yang utama di negara ini.

Mengimbas kembali semasa Majlis Sambutan Hari Polis yang Ke 86 Tahun dimana Beta telah menganugerahkan penukaran kepala atau tampuk panji-panji Pasukan Polis. Penganugerahan tersebut telah meletakkan Pasukan Polis di satu kedudukan yang berprestij sebagai sebuah organisasi yang memainkan peranan penting dalam menjaga dan memelihara kedaulatan, keselamatan dan kesejahteraan seluruh rakyat di negara ini dari sebarang bentuk ancaman keselamatan.

Penganugerahan Panji-Panji Peribadi Beta ini mempunyai signifikannya tersendiri. Ianya bukan sekadar lambang atau hiasan semata-mata tetapi membawa makna yang amat mendalam yang mencerminkan betapa tinggi amanat dan kepercayaan Beta terhadap pasukan Polis. Dengan pengibaran bendera Panji-Panji Peribadi Beta di setiap upacara perbarisan akan melambangkan kesetiaan yang tidak berbelah bahagi Pasukan Polis kepada Raja, Negara dan Agama. Setiap pegawai dan anggota Pasukan Polis bertanggungjawab untuk menanai dan mempertahankan nilai panji-panji yang melambangkan Keberanian, Disiplin dan juga Kecekapan dalam memikul tugas dan menjalankan tanggungjawab yang diamanahkan.

Pada 28hb., Oktober, 2024 yang lalu, Beta telah memperkenankan bagi pelancaran Buku Pelan Strategik Pasukan Polis Diraja Brunei yang bertema “PASUKAN UNTUK MASA DEPAN” bersempena penubuhan Pasukan Polis yang ke-100 tahun. Buku pelan strategik tersebut juga menjelaskan Strategi Teras Pasukan yang tertumpu kepada lima (5) aspek penting iaitu; Struktur Prestasi, Pengurusan Sumber, Penggunaan Teknologi, Latihan dan Kerjasama Pasukan Polis dan orang awam.

Buku Pelan Strategik ini memberikan panduan secara holistik dalam menghadapi cabaran semasa dan masa hadapan. Dengan penekanan kepada peningkatan keupayaan siasatan siber dan pengukuhan hubungan dengan masyarakat, pasukan Polis berada di landasan yang kukuh untuk terus memainkan peranan penting dalam memastikan keselamatan, keamanan, dan kesejahteraan negara.

Beta berharap buku pelan strategik Pasukan Polis ini akan dijadikan sebagai satu manifesto untuk Pasukan Polis terus berkembang maju dengan lebih terarah. Ianya meliputi semua aspek termasuk kepimpinan, meningkatkan profesionalisme, memantapkan urustadbir pasukan dan terus membina keupayaan pasukan bersama rakan-rakan strategik di dalam dan di luar negara dalam membanteras sebarang bentuk kegiatan jenayah yang boleh mengancam keselamatan negara.

Dalam kesempatan ini, Beta ingin melihat competency framework yang Beta perkenankan digunakan bagi semua peringkat Pasukan Polis untuk mendapatkan kemahiran-kemahiran dan kepakaran-kepakaran dalam bidang kepolisian.

Competency framework ini juga akan dapat membantu dalam menyusun atur dan melancarkan succession planning serta penstrukturan semula Pasukan Polis sebagai sebuah organisasi.

Tahun ini, genaplah usia Pasukan Polis menjangkau 104 tahun. Beta ingin melihat Pasukan Polis menujukan kematangan dari segi perlaksanaan amanah dan tugasnya serta bermuhasabah diri dan bertekad untuk terus meningkatkan profesionalisme dalam Pasukan Polis.

Sebagai sebuah agensi penguatkuasaan yang utama di negara ini, Beta ingin mengulangi lagi seruan sebelum ini agar semua pegawai dan anggota Pasukan Polis untuk sentiasa menunjukkan etika kerja yang baik, berdisiplin, berintegriti dan Professional dalam menjalankan tugas dan tanggungjawab yang diamanatkan.

Tindakan yang berlandaskan kejujuran, ketelusan dan tanggungjawab akan memastikan kepercayaan masyarakat negara ini terhadap pasukan Polis  terus utuh. Disiplin yang kukuh bukan sahaja membentuk keperibadian pegawai dan anggota Pasukan Polis yang cemerlang, tetapi juga menjadi benteng pertahanan kepada cabaran moral dan etika.

Akhirnya, Beta ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan terima kasih kepada semua pegawai dan anggota Pasukan Polis yang telah menyumbangkan tenaga dan buah fikiran dalam menjayakan Upacara Istiadat Penganugerahan Panji-Panji Peribadi Beta.

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

***

Titah KDYMM Sempena Awal Tahun Masihi 2026

TITAH

KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN, SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
 
SEMPENA
AWAL TAHUN MASIHI 2026​

 

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillaahir Rahmaanir Raheem

Alhamdulillah Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Alhamdulillah, Beta bersyukur ke hadhrat Allah Subhanahu Wata’ala, di atas limpah rahmat-Nya mengizinkan kita dapat memasuki Tahun Masihi 2026.

Ketika berada di ambang Tahun Baharu Masihi 2026, Beta ingin mengajak semua pihak untuk sama-sama merenung pencapaian kita dan hala tuju yang telah dilalui.

Keadaan tahun lalu masih sahaja menguji kita dengan cabaran-cabaran ekonomi, kesan dari pergolakan global termasuk krisis perubahan iklim yang semakin menghimpit. Namun, rakyat negara ini masih sahaja tetap tenang dan waspada.

Inilah yang kita mahukan untuk menjadi bangsa yang gigih yang sentiasa berani mengharungi cabaran.

Sehubungan itu, Beta berbangga mengetahui kebangkitan golongan muda seperti Brunei Youth Council dan Brunei Young Entrepreneurs, yang tampil membawa perubahan. Sementara dari sudut lain pula, kita juga melihat para petani dan penternak bangkit meningkatkan hasil pengeluaran mereka. Ini adalah petanda baik, selaras dengan hasrat Kerajaan sendiri untuk mencapai sara diri dalam hal ehwal permakanan.

Dalam melangkah ke tahun baharu ini, Kerajaan Beta akan kekal komited untuk meletakkan keutamaan kemajuan ekonomi dan kesejahteraan rakyat melalui peningkatan dan pembaharuan dasar.

Walaupun ekonomi negara mengalami penurunan 1.1 peratus pada enam bulan pertama tahun 2025 berbanding tempoh yang sama tahun 2024, namun asas makroekonomi kita masih sahaja berdayatahan melalui lebihan imbangan perdagangan berjumlah BND4.0 bilion sehingga bulan September, disamping penurunan kadar inflasi sebanyak 0.3 peratus setakat bulan Oktober 2025. Ini jelas menunjukkan betapa kita masih perlu untuk melipat-gandakan lagi usaha merentasi sektor utama dengan lebih berdayasaing.

Insya Allah, kita akan terus meneroka peluang pelaburan, selaras dengan Economic Blueprint melalui sektor-sektor utama. Matlamat kita adalah jelas, iaitu bagi menjana peluang pekerjaan berkualiti tinggi dan memastikan negara kekal relevan serta berdaya saing di pentas serantau dan global.

Ke arah itu, Kerajaan juga akan terus komited menyediakan persekitaran perniagaan yang kondusif, mengukuhkan lagi jaringan dengan rakan-rakan strategik antarabangsa, memperkasa jenama Halal, serta melonjakkan eksport produk industri tempatan yang kini dilihat setanding dengan piawaian antarabangsa.

Dari sudut memperkasa transformasi digital negara pula, selaras dengan aspirasi Wawasan Brunei 2035, Beta telah memperkenankan pelaksanaan projek identiti digital kebangsaan, iaitu Brunei-ID dibawah naungan Pelan Induk Ekonomi Digital 2025, bermula 3 Januari 2026. Ini akan memudahkan lagi proses pengesahan identiti bagi mengakses pelbagai perkhidmatan dalam talian Kerajaan, yang akan memperkukuhkan lagi tadbir urus digital dan menjadi pemangkin kepada pembangunan perkhidmatan awam yang lebih cekap dan selamat, untuk kemudahan rakyat.

Seiring dengan hasrat untuk memacu transformasi negara ke arah penyampaian Perkhidmatan yang lebih dinamik, maka Beta telah memperkenankan pengkorporatan Jabatan Perkhidmatan Pos kepada Syarikat PosBru Sendirian Berhad bermula 01 Januari 2026. Langkah ini adalah khusus untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan kepada Orang awam.

Melalui inisiatif pengkorporatan ini, Beta berharap pihak Kerajaan akan dapat melipat-gandakan lagi usaha transformasi dalam sektor-sektor lain yang memerlukan perkhidmatan Kerajaan yang lebih responsif serta Customer-centric bagi memenuhi keperluan rakyat dan produktiviti sektor perniagaan di negara ini.

Marilah kita mensyukuri keadaan negara yang istimewa, warisan ugama dan budaya yang kukuh serta semangat perpaduan mempertahankan kedaulatan negara tercinta.

Akhirnya, Beta ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua peringkat warga perkhidmatan awam, Angkatan Bersenjata Diraja Brunei, Pasukan Polis Diraja Brunei, pasukan-pasukan beruniform yang lain, termasuk mereka yang berkhidmat di sektor swasta dan badan-badan bukan Kerajaan (NGOs), serta golongan belia, di atas komitmen dan usaha gigih mereka melaksanakan tugas dan tanggungjawab masing-masing sepanjang tahun 2025.

Selamat Tahun Baharu Masihi 2026 kepada seluruh rakyat dan penduduk di negara ini, termasuk mereka yang berada di luar negara.

Semoga Allah Subhanahu Wata’ala memberkati kita semua dan mengurniakan kepada Negara Brunei Darussalam keamanan, kesejahteraan, kemakmuran dan keselamatan yang berpanjangan. Amin.

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.A

***​​

Titah KDYMM Di Majlis Bersama Penuntut-Penuntut Berserta Rakyat dan Penduduk Negara Brunei Darussalam Di Malaysia

Titah KDYMM Di Majlis Bersama Penuntut-Penuntut Berserta Rakyat dan Penduduk Negara Brunei Darussalam Di Malaysia

TITAH

KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN, SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
 
DI MAJLIS
BERSAMA PENUNTUT-PENUNTUT
BERSERTA RAKYAT DAN PENDUDUK
NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
DI MALAYSIA
 
PADA:
03 JAMADILAWAL 1447 / 25 OKTOBER 2025​

BERTEMPAT:
HYATT REGENCY HOTEL AT KL MIDTOWN
KUALA LUMPUR, MALAYSIA

 

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillaahir Rahmaanir Raheem

Alhamdulillah Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Alhamdulillah, Beta bersyukur ke hadhrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana dengan izin-Nya jua, dapatlah Beta hadir bersama-sama Rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam yang sedang berada di Malaysia, termasuk para pelajar, pegawai Kerajaan yang bertugas di sini, dan mereka yang sedang bercuti bersama keluarga.

Melalui majlis ini, Beta berpeluang mendekati dan berinteraksi dengan rakyat Beta, lebih-lebih lagi para pelajar yang sedang menuntut di sini. Para pelajar yang melanjutkan pengajian di luar negara seperti Malaysia, adalah berpeluang untuk memperolehi pendedahan dan persekitaran berbeza. Ini sangat baik untuk mengasah “bakat berdikari” dalam masa berjauhan dengan ibu bapa.

Bagaimanapun, Beta yakin para ibu bapa tetap sahaja memberi sokongan berupa do’a yang tidak putus-putus untuk keselamatan dan kejayaan anak-anak mereka.

Ini adalah wajar, berdasarkan beberapa kejadian buruk telah berlaku dalam kalangan pelajar-pelajar sekolah. Kejadian-kejadian ini tentu sahaja merisaukan pihak kerajaan dan ibu bapa. Oleh itu, berhati-hati dalam perkara pergaulan dan memilih kawan adalah sangat penting untuk diambil ingatan, sebagaimana ugama kita sendiri menggalakkan untuk memilih kawan yang baik yang berakhlak mulia.

Tugas para pelajar ialah untuk meraih kejayaan. Namun apabila sudah berjaya, janganlah lekas selesa dengan kejayaan itu. Maksud Beta, kejayaan mendapat skor yang baik di atas kertas belum mencukupi, melainkan kejayaan yang sebenar-benarnya ialah kita berupaya mengembangkan potensi diri, meliputi segi-segi intelek, rohani, emosi dan jasmani.

Beta gembira mengetahui bahawa, para pelajar terus mengambil peluang menyertai aktiviti-aktiviti yang bermanfa’at yang berupaya untuk menambahkan kemahiran yang diperlukan oleh negara.

Menyentuh mengenai inovasi, para pelajar hari ini sedang melalui proses pembelajaran yang semakin mencabar, dimana penggunaan Kecerdasan Buatan atau AI telah memberikan impak besar terhadap cara pengurusan dalam ekosistem pendidikan. Penggunaan Generatif AI menawarkan pelbagai kelebihan pembelajaran yang lebih efektif dan berimpak tinggi. Namun, hendaklah perkara itu digunakan secara berhemah dan berintegriti. Kebergantungan kepada AI secara berlebihan, tentu sahaja boleh mengancam pembangunan kemahiran lain seperti pemikiran kritis dan kreativiti. Kita boleh gunakan AI sebagai alat bantu, tetapi bukan untuk menggantikan usaha dan kebijaksanaan.

Selain perubahan dalam ekosistem pendidikan, beta juga ingin menzahirkan kebimbangan terhadap pengaruh negatif yang semakin meluas yang mencakupi pelbagai aspek. Gejala penyalahgunaan dadah, rokok elektronik atau vape bukan sahaja boleh merosakkan kesihatan tetapi juga mampu untuk melumpuhkan prestasi akademik dan reputasi pelajar. Gejala buli juga, dalam apa jua bentuknya perlu dicegah kerana aktiviti buli bukan sahaja memberi kesan kepada mangsa buli tapi juga pembuli sendiri.

Akhirnya, Beta dengan tulus ikhlas mendo’akan supaya para pelajar dan pegawai yang sedang berada di sini akan sentiasa berada dalam perlindungan dan pemeliharaan Allah Subhanahu Wata’ala. Semoga Allah memberkati kita semua dan negara dengan keamanan, kesejahteraan, kemakmuran dan keselamatan yang berpanjangan. Amin Ya Rabbal ‘Alamin.
 
Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

***