Titah KDYMM Sempena Sambutan Nuzul Al-Qur’an bagi Tahun 1443H/2022M

TITAH
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN, SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM.

SEMPENA SAMBUTAN
NUZUL AL-QUR’AN
BAGI TAHUN 1443H / 2022M

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillaahir Rahmaanir Raheem

Alhamdulillah  Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Alhamdulillah, bersyukur kita ke hadhrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana dengan limpah rahmat dan izin-Nya jua, dapatlah kita meraikan lagi Sambutan Nuzul Al-Qur’an yang kita sambut pada setiap tahun.

Ada dua motif sambutan ini diadakan, pertama sebagai memperingati detik bersejarah turunnya Al-Qur’an itu sendiri kepada Nabi dan Rasul akhir zaman, Sayyidina Muhammad Shallallahu ‘Alaihi Wasallam, dan kedua untuk mengulang-ulang pengenalan dan pemahaman kita terhadap Kitab Suci Al-Qur’an sebagai ianya suluh atau pedoman untuk kita di dunia ini.

Kita jangan sekali-kali lupa, bahawa Al-Quran adalah penunjuk jalan yang paling lurus untuk diikuti, dan bahkan sebagai penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman.

Kerana itu Al-Qur’an mustahak dibaca dan difahami segala pengajarannya. Bagi kita yang melakukan ini, tidak diragukan lagi akan beroleh petunjuk dan keberkatan daripadanya.

Keberkatan bukanlah remeh, tetapi sesuatu yang agung lagi istimewa. Oleh itu adalah rugi jika kita terlepas peluang untuk merebutnya. Cara merebut keberkatan itu tidak lain ialah dengan membaca dan memanfa’atkan segala isi pengajaran Al-Qur’an itu.

Sebab itulah, Beta tanpa jemu-jemu menggalakkan supaya Al-Qur’an dipelajari, meliputi belajar membaca, menghafaz mahupun menggali pengajaran daripadanya.

Al-Qur’an adalah aset kekal untuk dimanfa’atkan ketika di atas dunia, bahkan berkatnya pula akan menyusul  kita sehingga ke akhirat.

Inilah hebatnya Al-Qur’an itu selaku “Perlembagaan Lengkap” untuk kita umat Islam. Ia bukan digubal oleh siapa-siapa, melainkan datangnya daripada Allah  Subhanahu Wata’ala sendiri.

Kita orang-orang beriman wajib meyakini, bahawa dengan berpegang kepada Al-Qur’an itu, melalui pembacaan, pemahaman, penghayatan dan pengamalan, akan dapat menghuraikan segala perkara yang kusut dan menyuluh segala kegelapan, berdasarkan firman Allah sendiri dalam Surah An-Nisa Ayat 174 yang tafsirnya: “Kami telah menurunkan kepada kamu cahaya (Al-Qur’an) yang menerangi (segalanya)”.

Ini telah memberi isyarat, bahawa apa jua yang bersifat kusut atau gelap akan dapat dihurai dan disuluh oleh Al-Qur’an, termasuk jika bencana wabak kita anggap sebagai satu musibah yang menyeret kita kepada kegelapan hidup, maka Al-Qur’an adalah mampu untuk mengeluarkan kita daripada kegelapan tersebut dengan membacanya banyak-banyak secara berterusan.

Maka bersukut dengan bulan Ramadhan yang mulia ini, iaitu bulan yang diturunkan Al-Qur’an, marilah kita sama-sama menjadikan amalan membaca Al-Qur’an itu sebagai rutin harian kita, sama ada dalam bulan Ramadhan sendiri mahupun diluar Ramadhan.

Insya Allah, dengan berbuat demikian itu, kita akan memperolehi banyak kebaikan berupa ketenangan jiwa, kesihatan, kegembiraan, kebijaksanaan, petunjuk dan ‘inayah Allah serta perlindungan-Nya. Sementara di akhirat pula, Al-Qur’an yang kita baca di dunia ini akan tampil memberikan syafa’at kepada kita, sebagaimana gambaran dari sebuah Hadith riwayat Muslim, bahawa Nabi Shallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda, maksudnya:

“Bacalah Al-Qur’an, kerana ia akan datang pada Hari Kiamat untuk memberikan syafa’at kepada pembacanya”.

Mudah-mudahan Hadis ini menjadi motivasi yang berkesan kepada kita bagi menjadikan Al-Qur’an itu sebagai teman rapat sehingga ke akhir hayat.

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah,  Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Titah KDYMM sempena Majlis Konvokesyen Kali Ke-33 Universiti Brunei Darussalam (UBD)

TITAH
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN, SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
 
SEMPENA
MAJLIS KONVOKESYEN KALI KE-33
UNIVERSITI BRUNEI DARUSSALAM 
(UBD)
PADA HARI SABTU
25HB JAMADILAKHIR 1443
29HB JANUARI 2022
BERTEMPAT 
DEWAN CANSELOR
UNIVERSITI BRUNEI DARUSSALAM
NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillaahir Rahmaanir Raheem
Alhamdulillah Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.
Beta bersyukur kehadhrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana dengan izinNya jua, dapatlah kita hadhir di Majlis Konvokesyen Kali Ke-33 Universiti Brunei Darussalam pada hari ini.
Beta terlebih dahulu mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada para graduan kerana berjaya menamatkan pengajian dalam bidang masing-masing. Ucapan tahniah ini juga ditujukan kepada para ibu bapa dan penjaga atas dorongan dan sokongan mereka di sepanjang tempoh pengajian para graduan.
Walaupun dunia masih bergelut dengan pandemik coronavirus, namun alhamdulillah, situasi pandemik di Negara Brunei Darussalam adalah terkawal, sehingga membolehkan aktiviti-aktiviti seperti majlis konvokesyen pada hari ini dapat dijalankan.
Menyebut mengenai strategi, Beta difahamkan, bahawa UBD telahpun sampai keputaran Pelan Strategik lima tahunnya pada hujung tahun 2020. Di antara pencapaian signifikan dalam pelan strategik tersebut ialah kemasukan UBD buat julung kalinya ke dalam dua world university rankings yang terkemuka, iaitu QS dan Times Higher Education. Selain dari itu, UBD juga telah memperkembangkan kampusnya berupa kampus luar negara pertama di Da Nang, Vietnam.
Beta juga difahamkan bahawa UBD telah memulakan inisiatif-inisiatif pelan strategiknya dari 2021 ke 2025 dengan visi National Relevance, Global Impact. Sehubungan itu, Beta mengharapkan supaya UBD lebih memfokus kepada keperluan nasional yang berimpak tinggi, seperti teknologi digital dan kesejahteraan sosial. Penyelidikan juga patut diberi tumpuan, sejajar dengan keadaan masa kini yang mementingkan kesihatan dan perubatan, pendidikan, alam sekitar dan pembangunan lestari. Secara langsung, diperlukan juga untuk terlibat memberikan input akademik dalam agenda pembangunan dan perkembangan sosio-ekonomi negara.
Mengenai sosio-ekonomi negara, adalah sangat diperlukan pengetahuan, kemahiran dan kecekapan. Oleh itu Beta gembira, bahawa UBD akan terus memperkembangkan serta menekankan lagi pembelajaran sepanjang hayat, sebagai inisiatif meningkatkan kemahiran dan kecekapan masyarakat, terutama sekali dalam konteks ekonomi global dan teknologi yang pesat berkembang.
Disamping itu, Beta turut melihat, bahawa institusi pengajian tinggi di negara ini, mungkin sudah masanya untuk meneroka kelayakan mikro ataupun micro credentials yang kini mengubah landskap pendidikan, akibat pendigitalan sektor pendidikan tinggi dan transformasi digital di kalangan industri. Micro credentials menawarkan bentuk pembelajaran yang sangat fleksibel dan inklusif yang membolehkan kemahiran dan kecekapan diperolehi. Ini amat sesuai dalam keadaan kita sedang memerlukan pekerja dan pencari kerja yang mahir serta berdaya-saing. Tidak diragukan lagi, penyelidikan dan inovasi adalah pemangkin utama ekonomi digital.
Mengenai pencapaian inovasi, Beta mengucapkan tahniah kepada seluruh warga UBD atas penganugerahan Clarivate South and South East Asia Innovation Award 2020 dalam kategori institusi pendidikan. Beta difahamkan bahawa anugerah ini adalah berdasarkan invention atau penemuan, jumlah dan kejayaan paten serta tahap globalisasi berdasarkan pelaburan paten. Beta juga difahamkan bahawa UBD adalah antara 6 universiti di rantau ini yang mendapat anugerah sebagai ‘innovator’ teratas tersebut. 
Beta yakin, jika aspek pengajaran dan penyelidikan dimantapkan, maka UBD boleh akan lebih melonjak selaku sebuah universiti ternama di dunia.
Akhirnya, Beta sekali lagi mengucapkan tahniah kepada para graduan yang diraikan. Beta menyeru supaya semua graduan gigih berdikari dan berdaya tahan serta pandai menyesuaikan diri untuk sentiasa relevan. Selain dari itu, Beta juga mengingatkan para graduan untuk mengekalkan integriti berdasarkan ajaran Islam supaya sentiasa mendapat berkat dan rahmat daripada Allah Subhanahu Wata’ala. 
Beta juga mengambil kesempatan untuk merakamkan ucapan terima kasih kepada semua warga UBD, yang merangkumi Ahli-Ahli Majlis dan Senat Universiti, Naib Canselor, Pegawai-Pegawai Utama, Ahli Akademik, pegawai dan kakitangan universiti atas segala sumbangan dan perkhidmatan mereka. Semoga Allah Subhanahu Wata’ala jua yang akan membalas mereka dengan ganjaranNya yang berlipat ganda.
Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Titah KDYMM sempena Upacara Sovereign’s Parade Pengambilan Ke Dua Puluh Sekolah Pegawai Kadet, Akademi Pertahanan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei

TITAH
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN, SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
SEMPENA
UPACARA SOVEREIGN’S PARADE
PENGAMBILAN KE DUA PULUH
SEKOLAH PEGAWAI KADET,
AKADEMI PERTAHANAN
ANGKATAN BERSENJATA DIRAJA BRUNEI
PADA HARI KHAMIS
10 JAMADILAKHIR 1443 / 13 JANUARI 2022
BERTEMPAT
PADANG KAWAD AKADEMI PERTAHANAN
ANGKATAN BERSENJATA DIRAJA BRUNEI
KAMPUNG TANAH JAMBU
Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillaahir Rahmaanir Raheem
Alhamdulillah  Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.
Alhamdulillah kita syukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana mengizinkan kita dapat sama-sama hadhir untuk menyaksikan Upacara Sovereign’s Parade Pengambilan Ke Dua Puluh (20), Sekolah Pegawai Kadet Akademi Pertahanan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei.
Tahniah dan Syabas kepada Lapan Puluh Satu (81) orang Pegawai Kadet yang telah berjaya menamatkan latihan mereka serta sekaligus mempamerkan penampilan yang kemas dan bersemangat di perbarisan sebentar tadi, setelah menamatkan latihan selama setahun, dan kini bersedia pula untuk memikul tanggungjawab sebagai pegawai atau pemimpin muda di Angkatan Bersenjata Diraja Brunei.
Penghargaan dan ucapan tahniah juga Beta tujukan kepada para ibu bapa, penjaga dan ahli keluarga atas sokongan dan do’a untuk kejayaan anak-anak mereka mengikuti latihan Pegawai-Pegawai Kadet Ke Dua Puluh (20) ini.
Sekolah Pegawai Kadet Akademi Pertahanan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei adalah merupakan wadah penting dalam membentuk syakhsiah Pegawai Tentera dalam Angkatan Bersenjata Diraja Brunei. Oleh itu, bagi Sekolah Pegawai Kadet ini, mustahaklah ia sentiasa relevan untuk melahirkan barisan pemimpin Angkatan Bersenjata Diraja Brunei yang berkualiti.
Disamping menitikberatkan latihan ketenteraan dan kepimpinan, Sekolah Pegawai Kadet juga perlu menekankan penerapan kerohanian supaya Pegawai-Pegawai Tentera mempunyai disiplin yang teguh, bercirikan nilai-nilai teras Angkatan Bersenjata Diraja Brunei dan falsafah Melayu Islam Beraja.
Dengan kelahiran terbaru 81 orang pegawai pada hari ini, alhamdulillah, Sekolah Pegawai Kadet telah berjaya menghasilkan seramai 606 orang para Pegawai Tentera dari dua puluh (20) pengambilan. 
Beta melihat, Sekolah Pegawai Kadet Akademi Pertahanan kini, sudahpun mampu untuk menerima kemasukan Pegawai-Pegawai Kadet dari negara-negara sahabat, khususnya di rantau ini, bagi mengikuti latihan Pegawai Kadet di Negara Brunei Darussalam.
Membuka peluang ini bukan sahaja akan meningkatkan lagi hubungan diplomasi pertahanan yang sedia ada, malah juga mampu untuk menaikkan profil dan pengiktirafan Sekolah Pegawai Kadet Akademi Pertahanan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei khasnya, dan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei amnya di peringkat serantau dan antarabangsa. 
Dalam sudut yang berkaitan, Beta sangat menghargai sumbangan dan komitmen Angkatan Bersenjata Diraja Brunei selaku sebuah institusi pertahanan negara yang sentiasa siap siaga menunaikan amanah menjaga keselamatan dan keamanan negara. Ini terbukti, bilamana Angkatan Bersenjata Diraja Brunei bersama-sama dengan agensi-agensi Kerajaan dan bukan Kerajaan telah memainkan peranan utama dalam menangani penularan COVID-19. Beta berharap usaha-usaha yang terpuji seperti ini akan dapat disumbangkan secara berterusan. 
Akhirnya, Beta sekali lagi mengucapkan tahniah kepada pegawai-pegawai kadet yang baru saja menamatkan latihan mereka. Beta juga tidak lupa merakamkan ucapan penghargaan kepada Komandan, Pegawai Pemerintah, Ketua Pengambilan, Pegawai-Pegawai, Colour Sergeant, Jurulatih dan Staf Sekolah Pegawai Kadet atas kegigihan dan pengorbanan mereka menjayakan latihan dan Upacara Sovereign’s Parade pada pagi ini. Beta berdo’a, semoga kita semua dapat taufeq dan ‘inayah Allah Subhanahu Wata’ala serta Sekolah Pegawai Kadet Akademi Pertahanan akan bergerak terus ke hadapan, memacu kejayaan dan kecemerlangan. 
Dengan lafaz Bismillahir Rahmanir Rahim, selawat dan salam ke atas junjungan besar kita, Nabi Muhammad Shallallahu ‘Alaihi Wassalam, maka Beta kurniakan tauliah Sebagai Pegawai Angkatan Bersenjata Diraja Brunei kepada Lapan Puluh Satu (81) Pegawai Pengambilan Ke Dua Puluh (20). 
Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah,  Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh. 

Titah Perutusan KDYMM Sempena Menyambut Awal Tahun Baru Masihi 2022

TITAH PERUTUSAN
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN, SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM

SEMPENA MENYAMBUT
AWAL TAHUN BARU MASIHI 2022
 

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillaahir Rahmaanir Raheem

Alhamdulillah Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Alhamdulillah, tidak ada yang lebih bererti, dari merafakkan syukur ke hadhrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana dapat berada dalam tahun baru Masihi 2022.

Inilah antara nikmat yang tidak dapat dinilai dengan apapun, seperti juga nikmat umur, nikmat kesihatan, nikmat kemakmuran dan pelbagai lagi bentuk nikmat, yang semua itu adalah merupakan kurnia Allah Subhanahu Wata’ala semata-mata.

Menyebut lagi tentang wabak koronavirus, baru-baru ini dunia dikejutkan pula oleh kemunculan varian baru (Omicron). Menurut sumber mutakhir, Omicron setakat ini telah tersebar hampir ke seluruh dunia, yang menambahkan lagi kebimbangan global. Namun kita selaku umat yang beriman, tetap melihat perkara itu sebagai ketentuan Allah jua.

Sebagai usaha menghadapi wabak, Brunei telah melaksanakan program vaksinasi kebangsaannya dengan lancar dan berjaya, sehingga mampu membawa Negara ini memasuki fasa endemik.

Dengan memasuki fasa ini, beberapa aktiviti yang dahulunya disekat sudah boleh dibuat, tetapi masih saja dikehendaki untuk mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP). Beta juga ingin terus mengingatkan supaya kita semua jangan leka atau lupa apabila diberi kelonggaran, kerana sedikit sahaja lupa, boleh mengundang padah.

Walaupun kita sama-sama bergelut dengan wabak pandemik, namun pada tahun 2021, Negara alhamdulillah, telah ditakdirkan berjaya mempengerusikan ASEAN. Warga ASEAN dilihat gembira, kerana dapat meningkatkan usaha-usaha pembangunan Komuniti ASEAN.

ASEAN juga sedang berusaha supaya warga belia dapat mewarisi rantau ini dengan pembangunan-pembangunan mampan, di mana untuk itu ASEAN telahpun menubuhkan ASEAN Junior Fellowship Programme.

Berbalik mengenai pencapaian negara, alhamdulillah Negara kita telah dinobat mendapat kedudukan ke-21 daripada 214 buah negara dalam Government Effectiveness Index yang berpandukan kepada laporan Worldwide Governance indicators 2021 keluaran World Bank. Sudah setentunya pencapaian ini memerlukan kerja keras yang lebih di kalangan semua pihak di Negara ini.

Dalam usaha memberikan peluang-peluang pekerjaan kepada anak-anak tempatan, penyediaan sumber tenaga manusia yang marketable dan employable adalah sangat penting untuk diberi perhatian. Di sini, program-program pembelajaran sepanjang hayat adalah berkaitan.

Mengenai pembelajaran ini, Kementerian Pendidikan dengan kerjasama Kementerian-Kementerian yang berkenaan, telahpun membuat perancangan menyeluruh untuk meneruskan program persekolahan dalam fasa peralihan atau fasa endemik. Beta berharap, ia akan dapat berjalan dengan baik sebagaimana yang dirancang.

Secara umumnya, di bawah Rancangan Kemajuan Negara Ke Sebelas, agenda-agenda pembangunan adalah berjalan dengan baik. Di bawah rancangan ini, banyak projek telah dan sedang dalam perlaksanaan. Namun agak dikesali apabila mengetahui, bahawa banyak bangunan kepunyaan Kerajaan yang terbiar dan tidak digunakan lagi. Mengapa? Beta melihat, perkara ini perlu ditangani secara holistik oleh pihak berkepentingan, supaya aset-aset berkenaan dapat dimanfaatkan dan sekaligus untuk mengelak pembaziran. Disamping itu, semua kementerian adalah digalakkan untuk melaksanakan kaedah shared facilities agar perbelanjaan dapat difokuskan kepada mencapai Wawasan Negara 2035.

Kita juga sedang melaksanakan Sistem Kebajikan Negara (SKN). Dengan sistem ini, permohonan bantuan kebajikan akan dapat dipercepatkan, serta bantuan pula dapat ditentukan hanya untuk mereka yang benar-benar berhak sahaja.

Akhirnya, Beta ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua peringkat warga perkhidmatan awam, Angkatan Bersenjata Diraja Brunei, Pasukan Polis Diraja Brunei, pasukan-pasukan beruniform yang lain, termasuk mereka yang berkhidmat di sektor swasta, para sukarelawan, para barisan hadapan, di atas komitmen dan usaha gigih mereka melaksanakan tugas dan tanggungjawab masing-masing sepanjang tahun 2021.

Beta juga mengucapkan penghargaan dan terima kasih yang sama kepada semua lapisan masyarakat yang sentiasa bekerjasama dalam memberikan sokongan kepada Kerajaan Beta, sama ada dalam menangani wabak mahupun dalam mendokong agenda pembangunan negara.

Demikian juga di kesempatan ini, Beta sukacita merakamkan penghargaan kepada negara-negara sahabat dan pertubuhan-pertubuhan antarabangsa di atas kerjasama dan bantuan yang dihulurkan, khusus ketika Negara mengalami gelombang kedua pandemik.

Selamat Tahun Baru Masihi 2022 kepada seluruh rakyat dan penduduk di negara ini, termasuk mereka yang berada di luar negara. Semoga Allah Subhanahu Wata’ala akan melimpahkan rahmat-Nya berupa keteguhan iman, kesihatan, keamanan dan kemakmuran untuk semua. Amin.

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah,  Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Titah Perutusan Khas KDYMM – Tahun 1443H/2021M

TITAH PERUTUSAN KHAS
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN,
 SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
 
TAHUN 1443H/2021M
 
 

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillaahir Rahmaanir Raheem

Alhamdulillah Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyrafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Sebagai negara yang berpegang teguh kepada ajaran agama Islam, kita menyempurnakan tanggungjawab dengan ikhtiar dan tawakal. Inilah dua bentuk usaha yang menjadi kunci kejayaan kita mencapai apa yang dihasratkan.

Dari masa ke semasa, kita terus mengikuti perkembangan jangkitan COVID-19 di negara ini. Kita dapat menyaksikan jumlah jangkitan yang kadang kala memberi sedikit harapan, apabila jumlah kes harian kelihatan menurun. Namun ternyata, jumlah kes-kes ini tidak menentu dan amat sukar untuk diramal.

Keadaan seperti ini kita tangani secara berterusan. Beta memahami bahawa penularan jangkitan dan kesannya kepada kesihatan, masih sahaja membimbangkan. Ia tidak boleh diambil ringan selama mana virus ini masih wujud di permukaan bumi.

Seiring itu, Beta bersyukur dan juga terharu melihatkan kerjasama serta kesungguhan rakyat dan penduduk dalam sama-sama menangani musibah ini. Strategi negara untuk terus bertahan sehingga wabak ini benar-benar berundur, adalah harapan tertinggi kita.

Sejak beberapa bulan lalu, kesan penularan tetap dirasakan. Sekatan­sekatan yang terpaksa dilalui semakin lama semakin berat untuk dihadapi. Misalnya kerana sekatan, kita sampai terputus hubungan dengan masjid, surau dan balai ibadat. Begitu juga kerana sekatan, sekolah-sekolah dan pusat-pusat pengajian sampai menangguhkan operasi masing-masing.

Demikian juga produktiviti ekonomi, perniagaan dan perkhidmatan awam tidak terkecuali turut terkesan oleh sekatan-sekatan yang dijalankan. Pendeknya, tidak ada yang terlepas daripada sama-sama menerima kesan.

Sekatan-sekatan ini bukanlah dilakukan secara sewenang-wenang. Tetapi ia adalah merupakan langkah-langkah kritikal, selaras dengan keupayaan dan kesediaan negara.

Perlu difahami, berdasarkan trend dan statistik negara dan global, wabak ini dilihat tidak akan hapus sepenuhnya dalam masa terdekat. Namun ini hanyalah ‘jangkaan’ jua, dimana setiap jangkaan itu tidaklah semestinya tepat.

Yang betulnya, semua perkara adalah terpulang kepada Allah belaka. Jika Allah mahu, apapun perkara, boleh saja berlaku. Nabi Allah Ayyub ‘Alaihissalam, dalam sekian lamanya telah diuji olleh Allah dengan penyakit luar biasa, yang pada zahirnya, dapat dianggap sebagai tidak ada harapan lagi untuk sembuh, sehingga masyarakat dan bahkan keluarga Baginda sendiri juga sampai lari meninggalkan Baginda. Tetapi setelah Nabi ini mengadu dan berdo’a kepada Allah, maka Baginda telah dikurniakan kesembuhan, dan malah mendapat ‘kelebihan’ setelah sembuh itu.

Inilah antara ‘petunjuk’ mengenai kuasa Allah, dan sekali gus kita boleh menjadikannya sebagai sandaran, mengapa kita mesti terus berusaha dan berdo’a kepada Allah Subhanahu Wata’ala.

Dengan mengambil kira situasi yang ada sambil menerima hakikat kehidupan cara baru, maka sudah tiba masanya untuk kita melangkah setapak kehadapan untuk mengurangkan gangguan kualiti hidup yang ada, iaitu dengan memilih jalan lurus kepada Allah Subhanahu Wata’ala. Maka dalam hubungan ini, Beta bertawakal kepadaNya mengisytiharkan permulaan Fasa Endemik Negara pada Hari Rabu, 10hb. Jamadilawal, 1443 bersamaan dengan 15hb. Disember, 2021.

Dalam fasa ini, tidak dijanjikan jumlah kes menurun atau naik, dan tidak juga bermakna kita sudah berjaya atau tidak. Tetapi sebaliknya, kita masih sahaja dituntut untuk menitikberatkan kerjasama dan kepekaan di kalangan masyarakat dalam masa menjalani kehidupan norma baru. Beta berharap, rakyat dan penduduk akan terus meningkatkan tanggungjawab sosial dalam mendukung dan mematuhi usaha-usaha Kerajaan.

Walaupun fasa ini membolehkan orang ramai menjalani aktiviti-aktiviti harian seperti biasa, namun langkah berjaga-jaga masih sahaja diperlukan tanpa mengabaikan Standard Operating Procedures (SOPs) yang ditetapkan.

Tidak dapat dinafikan, perasaan bimbang atau khuatir terhadap penularan, masih saja ada. Oleh itu kita janganlah lalai dari terus berhati-hati atau beringat-ingat. Keputusan untuk meneruskan kehidupan norma baru adalah berasaskan kepada kajian dan analisa saintifik serta data-data yang berkaitan. Namun pemantauan terhadap jangkitan akan tetap dilaksanakan, terutama kes-kes kritikal yang memerlukan pemantauan rapi dan bantuan alat tertentu.

Dalam masa yang sama, kita juga perlu kekal dan konsisten dengan amalan-amalan yang selama ini kita laksanakan, iaitu sembahyang hajat, membaca al-Qur’an, berselawat, berdo’a dan berzikir memohonkan rahmat Allah untuk membebaskan Brunei Darussalam dari wabak koronavirus.

Dalam kita bakal meneruskan kelangsungan hidup dalam norma baru, kita janganlah lupa terhadap mereka yang telah pergi buat selama-lamanya disebabkan kerana jangkitan. Beta sendiri turut bersimpati dan merasakan kesedihan yang amat mendalam di atas pemergian mereka itu. Beta juga terharu dengan kesabaran ahli keluarga yang tidak dapat mengkebumikan atau membuat penghormatan terakhir kepada insan-insan tersayang akibat terhalang oleh pandemik.

Sebelum mengakhiri perutusan ini, Beta merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada petugas kesihatan, penjawat awam, Pasukan Polis Diraja Brunei dan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei serta para sukarelawan yang telah menyumbangkan khidmat masing-masing. Dan Beta juga turut memberikan penghargaan kepada semua lapisan masyarakat di negara ini yang sentiasa berganding bahu melaksanakan tanggungjawab sosial masing-masing dalam menangani wabak koronavirus.

Marilah kita berdo’a memohon kepada Allah Subhanahu Wata’ala semoga keputusan untuk beralih kepada Fasa Endemik ini mendapat keberkatan serta segala perancangan dipermudahkan dan berjaya. Amin Ya Rabbal ‘Alameen.

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Titah KDYMM Sempena Maulud Nabi Muhammad S.A.W. Bagi Tahun 1443H/2021M

TITAH PERUTUSAN
 
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN, SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM

SEMPENA SAMBUTAN
 MAULUD NABI MUHAMMAD
SHALLALLAHU ‘ALAIHI WASALLAM
BAGI TAHUN 1443H / 2021M
 
 

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillaahir Rahmaanir Raheem

Alhamdulillah Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Beta bersyukur kehadhrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana dengan izin-Nya jua telah menyampaikan kita ke bulan yang bersukut istimewa, Rabiul Awwal, bulan diputerakan Junjungan Besar kita, Sayyidina Muhammad Shallallahu ‘Alaihi Wasallam.

Dengan kehendak Allah Subhanahu Wata’ala jua, kita buat pertama kalinya tidak akan meraikan Sambutan Maulidur Rasul Shallallahu ‘Alaihi Wasallam secara berhimpun             beramai-ramai kerana penularan wabak koronavirus. Namun kita masih saja dapat menyambutnya dengan cara yang bersesuaian dengan keadaan.

Ini tidak syak lagi adalah satu ujian berat yang belum pernah belaku. Namun kita selaku umat yang berakidah, wajiblah melihatnya sebagai ada hikmah disebalik itu. Tetapi kita sesungguhnya tidaklah tahu hakikat hikmah. Kerana itulah Allah berfirman dalam Surah Al-Baqarah Ayat 216 bagi memberitahu kita akan kedudukan hikmah itu, tafsirnya:

         “… Boleh jadi sesuatu yang kamu benci (tidak sukai), padahal ia adalah baik bagi kamu, dan (begitu juga) boleh jadi sesuatu yang kamu suka, padahal ia buruk (tidak baik) bagi kamu. (Ingatlah), hanya Allah jua yang mengetahui (semua itu), sedang kamu tidak mengetahuinya”.

Inilah pegangan yang betul untuk dipegang. Kita tidak dapat lari dari apa jua yang ditentukan oleh Allah, dan setiap ketentuan-Nya itu pastinya ada mengandungi hikmah.

Kita wajib mempunyai “sangkaan baik” terhadap Allah. Apa-apa jua yang ditentukan oleh-Nya adalah semua itu baik untuk kita. Kerana sesungguhnya Allah itu tidak pernah menzalimi sesiapa. Jika Dia mendatangkan satu-satu ujian, adalah ujian itu bukannya satu penzaliman, tetapi mungkin satu pengajaran atau sebagai cara untuk Dia (Allah) menambahkan lagi darjat seseorang, sekiranya seseorang yang diuji itu sanggup bersabar menerima ujian tersebut.

Demikianlah yang patut kita fahami mengenai satu-satu situasi yang berlaku. Namun untuk menghadapinya, kita tidak dikehendaki diam, tetapi disuruh untuk berikhtiar bagi memperolehi sesuatu yang terbaik.

Apakah jenis ikhtiar yang afdhal untuk kita lakukan? Jika merujuk kepada Al-Qur’an dan Al-Hadits, ikhtiar yang afdhal itu ialah “do’a”. Kita disuruh berdo’a, samada dalam senang atau dalam susah. Kita berdo’a dalam senang, supaya dikekalkan kesenangan dan berdo’a dalam susah, supaya dihapuskan kesusahan.

Salah satu jenis do’a atau jenis zikir yang sangat tajam untuk menyampaikan hajat kita ialah “Selawat” ke atas Nabi kita, Sayyidina Muhammad Shallallahu ‘Alaihi Wasallam.

Maka bersempena dengan kita menyambut Maulid Ar-Rasul ini, sangatlah wajar untuk kita membanyakkan selawat ke atas Baginda, sebagai do’a dan zikir untuk melepaskan atau membebaskan kita daripada musibah koronavirus.

Beta berharap, di samping meneruskan rancangan berupa bacaan-bacaan ayat suci al-Qur’an, do’a dan zikir yang sedang berjalan pada masa ini, maka khusus untuk sepanjang Bulan Rabiul Awwal ini, rancangan “Selawat” eloklah dibanyakkan dan lebih dikerapkan kemunculannya. Sementara orang ramai pula secara bersendirian janganlah ketinggalan untuk sama-sama mengamalkannya. Insya Allah, dengan berkat dan syafaat Nabi Shallallahu ‘Alaihi Wasallam, Brunei Darussalam akan bebas dan bersih daripada wabak koronavirus. Amin. Allahumma Amin.

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.