Titah KDYMM Sempena Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Rancangan Kemajuan Negara Kali Pertama bagi tahun 2020 ​

TITAH
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN,
SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
 
SEMPENA
MESYUARAT JAWATANKUASA TERTINGGI 
RANCANGAN KEMAJUAN NEGARA KALI PERTAMA 
BAGI TAHUN 2020
TEMPAT:
ISTANA NURUL IMAN
PADA: 
HARI ISNIN
3 SAFAR 1442
21 SEPTEMBER 2020
Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillaahir Rahmaanir Raheem
Alhamdulillah Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.
Beta bersyukur kehadrat Allah Subhanahu Wat’ala kerana dengan izinNya jua dapatlah kita berkumpul di Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Rancangan Kemajuan Negara Kali Pertama bagi tahun 2020 pada hari ini.
Beta terlebih dahulu merakamkan penghargaan kepada Paduka Anakanda, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri diatas pimpinan, khidmat bakti, tenaga dan buah fikiran yang telah disumbangkan selama menjadi Pengerusi Jawatankuasa Tertinggi Rancangan Kemajuan Negara.
Pada kesempatan ini juga, Beta ingin mengucapkan tahniah kepada semua Ahli diatas pelantikan semula dan pelantikan baru dalam Jawatankuasa Tertinggi Rancangan Kemajuan Negara di dalam Rancangan Kemajuan Negara.  
Begitu juga, Beta merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada mantan Ahli-Ahli Jawatankuasa Tertinggi Rancangan Kemajuan Negara diatas sumbangan-sumbangan mereka yang lalu.
Perubahan jawatan Pengerusi dan Ahli-Ahli Jawatankuasa Tertinggi Rancangan Kemajuan Negara ini adalah merupakan wadah strategik satu perubahan biasa. Ia diharapkan akan terus memikul tanggungjawab untuk mencetuskan pemikiran-pemikiran atau idea-idea besar bagi faedah kemajuan negara.  
Semua mesyuarat hendaknya berasaskan kepada penelitian-penelitian yang rapi yang didukung oleh fakta-fakta yang betul dengan perbincangan pula lebih terbuka memfokus isu-isu yang relevan untuk pertumbuhan sosial ekonomi terutama selain sektor minyak dan gas.
Sehubungan itu, Beta melihat apa jua perancangan di bawah projek Rancangan Kemajuan Negara yang akan datang khasnya Rancangan Kemajuan Negara Ke-12 tidak hanya akan memberikan tumpuan kepada penyediaan atau pembinaan infrastruktur sahaja, bahkan turut lebih perlu ialah menjurus kepada projek-projek yang boleh menyumbang kepada efisiensi dan produktiviti.
Dalam melaksanakan satu-satu rancangan, beberapa faktor perlu diambil kira seperti kedayatahanan projek, sumbangannya kepada perkembangan industri dan ekonomi serta kemampuannya merangsang kedayatahanan fiskal negara. 
Di samping itu juga, termasuk dalam perancangan ialah memberikan peluang pekerjaan kepada anak-anak tempatan dengan menekankan in-country value serta peningkatan kemahiran.  
Sebagai bangsa merdeka dan progresif, kita tidaklah perlu terlalu banyak bergantung kepada tenaga kerja asing. Cara ini bukan suatu solusi dalam mencapai Sustainable Development Goal, malah anak-anak tempatan perlu untuk diberikan pendedahan kepada semua environment termasuk pembinaan dan sebagainya.  
Kaedah gunasama share facilities juga jangan diabaikan. Setiap Kementerian perlu memastikan bahawa mana-mana facility yang ada eloklah digunasama.  
Sangat mustahak diingat bahawa pembangunan bukanlah bererti banyaknya bangunan yang dimiliki oleh setiap kementerian, tetapi lebih penting ialah kesepaduan untuk mencapai objektif pendekatan Whole of Government Approach. Perancangan juga biarlah untuk jangka panjang bagi mengelakkan pembaziran dan duplikasi dalam penggunaan sumber-sumber Kerajaan.
Dalam pada itu, turut juga diingatkan bahawa rekabentuk dan tawaran bagi projek-projek Rancangan Kemajuan Negara Ke-11 yang masih lagi dalam proses perancangan hendaklah diteliti semula bagi memastikan projek-projek berkenaan itu masih relevan untuk dilaksanakan.
Seterusnya, seiring dengan peredaran zaman, Beta juga melihat agensi-agensi Kerajaan adalah perlu memantapkan potensi Economy Digital melalui penerapan Fourth Industrial Revolution dan pendekatan Whole of Nation Approach yang telahpun mula diaplikasi di negara ini. Dengan pembangunan beberapa aplikasi seperti Bruhealth, MOHcares, Pengguna Bijak, Transport BN dan sebagainya. Ini adalah penting untuk kita dapat menangani cabaran-cabaran mendatang termasuk sebagai usaha mengekalkan keamanan, kesejahteraan dan kemakmuran.
Tidak diragukan lagi melalui Rancangan Kemajuan Negara, beberapa pencapaian telahpun dinikmati, namun Beta melihat telah tiba masanya untuk kita melangkah lebih ke hadapan bagi melakukan pembaharuan-pembaharuan sebagai kesinambungan di antara proses perancangan dan pemilihan projek.  Ini juga kita anggap sebagai perancangan strategik yang disejajarkan sebagai guiding principle bagi memudahkan setiap agensi merancang dan menyediakan projek dengan lebih teratur.  
Dengan cara ini akan mengukuhkan lagi kerjasama di antara setiap agensi yang berkepentingan sama ada di kalangan sektor Kerajaan mahupun sektor swasta termasuk Government Link Company (GLCs), Public Private Partnership (PPP) dan juga Pelabur Langsung Asing.
Beta juga turut mengambil maklum bahawa Economic Blueprint bagi Matlamat Ke-3 dalam Wawasan Brunei 2035 telahpun disediakan.  Sehubungan itu, Beta berharap akan dapat melihat wujudnya Manpower Blueprint bagi Matlamat Pertama dalam Wawasan yang akan diterajui oleh Kementerian Pendidikan dan Manpower Planning and Employment Council, dan Social Blueprint bagi Matlamat Ke-2 pula, akan diterajui oleh Jabatan Perdana Menteri dan Majlis Kebangsaan Isu Sosial (MKIS).
Setakat ini sahaja, Beta berharap Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Rancangan Kemajuan Negara akan dapat lebih memberikan tumpuan kepada perkara-perkara strategik untuk pembangunan. Ahli-Ahli yang dilantik diharapkan lebih terbuka memberikan pandangan-pandangan mereka tanpa ragu-ragu. Ini peranan utama masing-masing bagi mempastikan kejayaan Rancangan Kemajuan Negara menjadi kenyataan, Inshaa-Allah. 
Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh. 

Titah KDYMM Sempena Tahun Baru Hijrah 1442

TITAH PERUTUSAN
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN,
SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
SEMPENA 
TAHUN BARU HIJRAH 1442
 
Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillaahir Rahmaanir Raheem
Alhamdulillahi  Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.
Syukur ke hadhrat Allah Subhanahu Wata’ala yang telah mengurniakan nikmat-Nya berupa peluang untuk kita dapat pula menyambut kedatangan Tahun Baru Hijrah 1442.
Menyambut Tahun Baru Hijrah, bererti kita menyingkap balik lembaran sejarah Hijrah, dan bertolak dari sinilah, umat Nabi Muhammad Shallallahu ‘Alaihi Wassalam telah bangkit membina tamadunnya yang gilang-gemilang.
Tamadun yang hebat, tidaklah ia mesti dibina dari matabenda, tetapi asasnya adalah ‘kemuliaan’ dalam kehidupan. Kerana itu, akhlak atau keperibadian yang baik adalah menjadi keutamaan, sebagaimana Nabi Shallallahu ‘Alaihi Wassalam sendiri menjelaskan akan tujuan Baginda diutus, dengan sabda Baginda, bermaksud: “Sesungguhnya aku diutus ialah untuk menyempurnakan akhlak yang mulia.”
Di antara ciri-ciri akhlak mulia itu sangat ketara menjadi pakaian Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wassalam dan juga para sahabat ketika hijrah. Pada diri Baginda Rasulullah, terserlah akhlak yang mulia lagi terpuji, seperti berani, sabar dan tidak berganjak dari melaksanakan perintah Allah. Sementara sahabat-sahabat yang terlibat dalam misi Hijrah juga turut menampakkan akhlak yang luhur menjadi pendokong dan penyokong kuat kepada Nabi Shallallahu ‘Alaihi Wassalam.
Tidak syak lagi, peristiwa hijrah adalah mengandungi banyak pengajaran untuk dicontohi, seperti mencontohi akhlak Nabi Shallallahu ‘Alaihi Wassalam dalam menanai perintah Allah, dengan Baginda itu sedikitpun tidak ragu atau takut, sekalipun jalan yang ditempuh sangat sukar dan merbahaya.
Dalam dunia yang penuh dengan pancaroba ini, sangat mustahak bagi umat Islam untuk berpegang kuat kepada nilai-nilai akhlak yang dimiliki oleh Nabi Shallallahu ‘Alaihi Wassalam dan para sahabat Baginda. Adapun akhlak teragung Nabi Muhammad Shallallahu ‘Alaihi Wassalam ialah Al-Qur’an, dalam makna, semua ajaran Al-Qur’an itu adalah cara hidup Baginda yang wajib dicontohi dan diikut oleh seluruh umat.
Tidak diragui lagi, sejarah hijrah adalah ‘guru’ bagi kehidupan. Kita boleh belajar daripadanya tentang apa jua, seperti tentang kepimpinan, pengorbanan, kesetiaan, kesabaran dan lain-lain.
Inilah hebatnya hijrah itu, makanya, kitapun perlu menperingatinya.
Di Brunei Darussalam, kita memperingati hijrah dengan berkumpul di masjid-masjid, surau-surau dan balai-balai ibadat, dengan acara antara lain: Membaca Do’a Akhir Tahun, Sembahyang Maghrib Berjama’ah, Membaca Do’a Awal Tahun dan lain-lain.
Kita juga menggalakkan supaya diadakan ceramah-ceramah, menerusi radio dan televisyen, sebagai cara, untuk memperkaya pengetahuan mengenai hijrah atau apa jua yang dapat diambil pengajaran daripadanya.
Seyogia mengenai ceramah ini, ia diharapkan akan dapat disampaikan dengan cara yang baik dan menarik serta mudah untuk difahami. Jika semua ini dapat dicapai, maka barulah usaha kita yang demikian itu dapat dianggap berbaloi. Beta yakin, perkara ini dapat diusahakan.
Mengakhiri kalam, Beta dan sekalian ahli kerabat dengan tulus ikhlas mengucapkan Selamat Menyambut Tahun Baru Hijrah 1442 kepada seluruh lapisan rakyat dan penduduk di negara ini.
Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalaamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Titah KDYMM Sempena Hari Raya Aidiladha 1441 Hijrah / 2020 Masihi

TITAH PERUTUSAN
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN,
SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
SEMPENA 
HARI RAYA ‘IDIL ADHA
TAHUN 1441H/2020M
 
Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillaahir Rahmaanir Raheem

Alhamdulillahi  Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.
Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, Walillahil Hamd.
‘Idil Adha, yang dinamakan juga sebagai Hari Raya Korban, adalah disunatkan untuk kita menyembelih binatang korban di dalamnya.
Peristiwa korban adalah berasal dari perintah Allah Subhanahu Wata’ala kepada Nabi Ibrahim untuk menyembelih Putera Baginda Nabi Ismail ‘Alaihi Massalam. Peristiwa ini adalah benar-benar untuk menguji keimanan dan kesabaran dua beranak ini. Namun akhirnya mereka berjaya melalui ujian tersebut.
Adapun kita umat yang datang kemudian adalah wajar untuk membina azam bagi memiliki keimanan dan kesabaran yang sama, khasnya ketika kita menghadapi satu-satu ujian berat lagi mencabar.
Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, Walillahil Hamd.
Dunia pada masa ini, termasuk kita umat Islam, masih saja diuji dengan pandemik coronavirus. Setiap negara mempunyai pasukan petugasnya masing-masing. Mereka ini tidak syak lagi memiliki semangat rela berkorban yang tinggi, sehingga sanggup berhadapan dengan risiko bahaya tanpa mengira masa dan keadaan.
Kesanggupan ini menandakan sikap sabar yang tebal dikalangan para petugas itu. Sesungguhnya ia bukanlah sia-sia, tetapi bagi kita orang Islam telah dijanjikan dengan ganjaran istimewa, sebagaimana Allah berfirman dalam surah Az-Zumar ayat 10, tafsirnya:
“Sesungguhnya hanya orang­orang yang sabar jua yang akan disempurnakan untuk mereka itu ganjaran pahala tanpa terkira.”
Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, Walillahil Hamd.
Pada tahun ini dengan perasaan yang amat berat, kita telah menangguhkan ibadat haji ke Baitullah. Ini juga adalah satu jenis ujian untuk menguji kesabaran kita, kerana pada zahirnya, penangguhan ini adalah seperti satu kerugian, tetapi apabila kita menerimanya dengan sabar, maka tidak mustahil Allah akan menukar kerugian itu dengan keuntungan, berdasarkan niat kita dari awal-awal lagi ialah untuk melakukan keta’atan kepada Allah, tetapi dengan takdir-Nya jua niat yang baik itu terhalang oleh keadaan.
Allah Yang Maha Pemurah, akan menulis ganjaran pahala bagi hamba-Nya yang berniat untuk melakukan amal salih, walaupun dia belum melaksanakan niatnya itu. Sebaliknya hamba yang berniat untuk melakukan kejahatan tidak akan ditulis kejahatannya kecuali setelah dia melaksanakan niat jahatnya itu.
Inilah tanda kepemurahan Allah, Dia mengurniakan ganjaran upah kerana niat yang baik, walaupun belum berlaku lagi sebarang amal melaksanakan niat baik itu. Begitu juga tanda keadilan dan belas kasihan Allah, Dia tidak atau belum menghukum sesiapa yang berniat jahat, selama mana niat jahat itu belum dilaksanakan menjadi kenyataan.
Jadi, penangguhan untuk menunaikan ibadat haji bagi mereka yang telah tersenarai pada tahun ini janganlah merasa kecewa atau berdukacita, berdasarkan niat baik mereka telahpun terpahat di sisi Allah untuk diberikan ganjaran pahala menurut kehendak-Nya. Penangguhan berlaku adalah kerana perkara ‘keselamatan’.
Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, Walillahil Hamd.
Keselamatan adalah perkara yang tidak boleh diabaikan. Ia mesti dijaga atau dipelihara. Apa-apa jua perkara yang tidak selamat mestilah dielakkan.
Akhirnya, Beta dan keluarga Beta, ingin mengambil peluang mengucapkan Selamat Hari Raya ‘Idil Adha kepada semua lapisan rakyat dan penduduk yang berugama Islam. Semoga sekalian kita akan mendapat perlindungan dan pemeliharaan Allah Subhanahu Wata’ala berkat Hari Raya yang mulia ini. Amin.
Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalaamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Titah KDYMM Sempena Menyambut Hari Keputeraan Baginda Ke-74 Tahun

TITAH
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN,
SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
SEMPENA HARI KEPUTERAAN
BAGINDA YANG KE-74 TAHUN
TAHUN 1441H/2020M
PADA 15 JULAI 2020
Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillaahir Rahmaanir Raheem
Alhamdulillah  Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.
Alhamdulillah, Beta bersyukur ke hadhrat Allah Subhanahu Wata’ala, di atas limpah rahmatNya mengizinkan kita sama-sama menyambut Hari Keputeraan Beta yang ke-74 dalam suasana aman dan selamat.
Terlebih dahulu, Beta dengan tulus ikhlas ingin merakamkan ucapan terima kasih dan penghargaan kepada semua pihak yang telah menghantar perutusan ucap selamat mereka kepada Beta dan keluarga bersempena dengan sambutan ini.
Pada tahun ini, sambutan terpaksa berbeza, kerana dunia masih saja diancam oleh pandemik koronavirus. Namun kita bersyukur, kerana dengan izin Allah jua, negara kita telah dapat mengawal penularan wabak tersebut.
Beta sekali lagi mengucapkan syabas kepada seluruh lapisan masyarakat, khasnya para petugas di barisan hadapan yang bertungkus lumus menghadapi situasi ini.
Alhamdulillah, pada masa ini, sekolah-sekolah, gedung-gedung perniagaan, tempat-tempat riadah dan lain-lain telahpun mula dibuka secara berfasa. Walau begitu, semua kita, masih saja dikehendaki untuk terus mematuhi atau mengikut apa jua arahan dan peraturan dari pihak berkuasa, khasnya Kementerian Kesihatan sebagai langkah kita berjaga-jaga.
Di mana-mana saja orang sibuk mengenai kesan wabak koronavirus terhadap ekonomi, khasnya kesan terhadap harga minyak global, yang berada di tahap terjejas dan tidak menentu.
Sehubungan itu, Kerajaan Beta insya Allah, akan sentiasa memastikan kesan ini tidak memberi impak negatif kepada daya tahan negara dalam usahanya mewujudkan persekitaran yang kondusif bagi menarik pelabur langsung asing, dan sekaligus mengukuhkan lagi status fiskal negara. Beta berpendapat, Lembaga Kemajuan Ekonomi di bawah Kementerian Kewangan Ekonomi adalah tidak wajar bersendirian, tetapi perlu bekerjasama dengan Menteri-Menteri yang berkenaan dalam usaha menjana ekonomi negara.
Alhamdulillah, loji penapisan minyak dan petrokimia di Pulau Muara Besar telahpun mula mengekspot minyak yang dihasilkan di fasiliti berkenaan. Projek yang berskala besar ini diharap, akan dapat menyumbang kepada peningkatan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), dan sekaligus meningkatkan peluang-peluang pekerjaan bagi anak-anak tempatan. Dalam suku kedua tahun hadapan insya Allah, loji ammonia dan urea bertaraf antarabangsa pula dijangka akan mula beroperasi. Loji ini bertempat di Sungai Liang Industrial Park yang dikendalikan oleh Brunei Fertilizer Industries Sendirian Berhad. Sehubungan itu, Beta telahpun memperkenankan penubuhan Autoriti Petroleum Negara Brunei Darussalam sebagai badan teknikal kepada Kementerian Tenaga untuk memantau operasi minyak dan gas, termasuk mengawalselia sektor huluan dan hiliran.
Selaras dengan perkembangan dan kemajuan zaman, penggunaan online platform, termasuk penggunaan Artificial Intelligence dan aplikasi Big Data Analytic telah banyak membantu meningkatkan inovasi dan produktiviti seperti aplikasi BruHealth. Maka Beta berpendapat, teknologi digital memang berpotensi tinggi untuk mendorong kemajuan ekonomi negara. Oleh itu pada hemat Beta, adalah tepat pada masanya untuk Negara Brunei Darussalam mempunyai Pelan Induk Ekonomi Digitalnya sendiri. Apatah lagi sejak akhir-akhir ini kita memang memerlukan perkhidmatan digital, yang merangkumi pembelajaran, perniagaan dan urustadbir yang mampu menjadikan Bandar Seri Begawan sebagai Smart City, dimana untuk itu, Beta telah memperkenankan Pelan Induk Digital Ekonomi 2025 di bawah Kementerian Pengangkutan dan Info-Komunikasi.
Alhamdulillah, berkat kerjasama di semua peringkat Kementerian dan Sektor swasta, kadar pengangguran pada tahun lepas adalah menurun. Melalui Labour Force Survey tahun 2018, kadar pengangguran diketahui 8.7 peratus, manakala pada tahun 2019 kadar tersebut ialah 6.8 peratus.
Beta yakin, Manpower Planning and Employment Council yang telah ditubuhkan pada bulan November tahun lepas, akan terus berusaha dalam sama-sama membantu bagi anak-anak tempatan mendapatkan pekerjaan.
Menyentuh pula bidang sumber-sumber utama, sumber  Alhamdulillah, Kerajaan Beta, melalui agensi berkenaan, akan terus berusaha ke arah memastikan bekalan makanan dalam negara adalah mencukupi dan terjamin. Maka untuk itu, Beta berharap pengusaha, petani, peladang dan nelayan akan mengambil peluang meningkatkan produktiviti masing-masing sebagai langkah mencukupkan keperluan dan keselamatan makanan.
Sebagai satu cara untuk memenuhi keperluan dan keselamatan ialah dengan membina Jambatan Penghubung Daerah Brunei Muara dan Daerah Temburong. Sekarang Jambatan ini telahpun digunakan sebagai kemudahan yang dinanti-nanti. Ia tidak syak lagi merupakan ‘lambang kemodenan’ terunggul bagi Negara Brunei Darussalam. Menyebut mengenai ‘lambang kemodenan’ ini, mengingatkan Beta kepada siapa yang telah kita nobatkan sebagai ‘Arkitek Brunei Moden’. Lalu dengan ingatan ini telah memberi inspirasi kepada Beta untuk menamakan Jambatan ini dengan nama: “Jambatan Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien.” Semoga dengan menyebut nama ini akan membawa rahmat kepada baginda. 
Bersukut dengan hari Keputeraan Beta ini, Sistem Kebajikan Negara (SKN) akan mula dapat digunakan oleh mereka yang berhajat untuk mendapatkan bantuan kebajikan, sama ada melalui Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan atau dari Majlis Ugama Islam Brunei. Dengan terlaksananya sistem ini, maklumat tentang rakyat dan penduduk yang benar-benar memerlukan bantuan akan dapat disimpan, sehingga tidak ada lagi mereka yang tercicir, serta sekaligus mengelakkan dari ketirisan bantuan yang dihulurkan. Sistem ini juga akan dijadikan asas untuk membuat perancangan, berupa latihan, bagi kebaikan mereka. 
Di peringkat serantau dan antarabangsa, Negara Brunei Darussalam akan mengekalkan hubungan rapat dengan negara­negara sahabat melalui ruang dan peluang memanfa’atkan hubungan dua hala dan juga pelbagai hala, khasnya dalam aspek diplomasi dan ekonomi. Kestabilan di rantau ASEAN, Asia-Pasifik, bahkan di peringkat global adalah tujuan yang utama.
Akhirnya, Beta dengan tulus ikhlas merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada seluruh lapisan rakyat dan penduduk, warga Perkhidmatan Awam, Pasukan-Pasukan Keselamatan serta mereka yang berkhidmat di sektor swasta, termasuk mereka yang bertugas di luar negara di atas sumbangan dan sokongan mereka kepada Kerajaan Beta. Semoga Allah jua yang akan memberkati kita dan negara. Amin.
Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalaamu ‘Alaikum Warahmatullaahi Wabarakaatuh.

Titah KDYMM Sempena Hari Raya ‘Idil Fitri 1441H/2020M

TITAH
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN,
SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
SEMPENA
HARI RAYA ‘IDIL FITRI
BAGI TAHUN 1441H / 2020M
Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillaahir Rahmaanir Raheem
Alhamdulillah  Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.
 
Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, Walillahil Hamd. 
Hari Raya yang mulia menjelang lagi, seluruh umat Islam merayakannya, tidak terkecuali juga kita di Negara Brunei Darussalam. 
Biasanya, perayaan akan bermula dengan perhimpunan di masjid-masjid atau balai-balai ibadat atau surau-surau untuk kita melakukan Sembahyang Sunat ‘Idil Fitri. 
Tetapi pada tahun ini, untuk julung kalinya, kebiasaan itu tidak dapat diteruskan bersabit dengan pandemik koronavirus masih saja jadi ancaman. 
Demikian itu juga tradisi rumah terbuka untuk semua orang, dengan sendirinya turut tidak berlaku, demi mematuhi arahan untuk keselamatan. 
Namun ini bukan bermakna, Hari Raya tidak dapat dihayati langsung. Penghayatannya masih saja boleh dilakukan, iaitu dengan melakukan Takbir Hari Raya dan bahkan juga melakukan Sembahyang Sunat Hari Raya. Cuma, kita akan melakukannya tidaklah seperti yang lazim di tempat-tempat ibadat, namun ia masih saja boleh dilakukan secara terhad bersama-sama dengan keluarga di rumah masing-masing. 
Selebihnya, kita juga boleh meneruskan amal-amal saleh atau amal ta’at, berupa membaca Kitab Suci Al-Qur’an dan melakukan Puasa Sunat Enam Syawal yang sangat besar pahalanya. 
Ini juga masih berkaitan dengan hari raya, iaitu apabila kita berjaya melalui setiap hari dengan amal-amal kebajikan, maka semua itu adalah merupakan ‘hari raya tertinggi’, kerana ia adalah perkara yang diredhai. 
Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, Walillahil Hamd.
Walaupun tangan tidak dihulurkan untuk bersalaman, namun kemudahan komunikasi masih sahaja ada, yang membolehkan kita dapat berhubung di antara satu dengan yang lain. 
Tidakkah ini juga masih merupakan satu peluang untuk kita dapat terus bersilaturrahim, bercakap-cakap dengan keluarga, dengan sahabat handai bagi bertanya-tanyakan khabar dan mengucapkan Selamat Hari Raya, maaf zahir dan batin. Bahkan bukan suara sahaja dapat didengar, malah kita juga boleh menggunakan kaedah video conference atau video chat untuk menggantikan perjumpaan fizikal. 
Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, Walillahil Hamd.
Walau bagaimanapun, mengikut garis panduan yang disediakan oleh Kementerian Kesihatan, sambutan Hari Raya masih dapat dibuat dikalangan ahli keluarga terdekat, seperti anak-anak atau adik beradik menziarahi ibu bapa. Jika keluarga agak besar, maka mereka hanya dikehendaki untuk mematuhi panduan perkumpulan, iaitu setakat 20-30 orang sahaja pada satu-satu masa. 
Atau jika keluarga itu lebih besar lagi, maka kehadiran mereka bolehlah dibuat secara berjadual dan bergilir-gilir bagi mengelakkan jumlah perkumpulan yang ditegah berlaku. 
Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, Walillahil Hamd.
Memang kita masing-masing merasa terjejas oleh keadaan. Istana sendiri tidak dapat dibuka seperti lazimnya, namun rakyat dan penduduk adalah tetap di hati Beta dan keluarga. 
Beta dan keluarga Beta dengan perasaan amat mendalam, mengucapkan Selamat Hari Raya ‘Idil Fitri kepada semua kalangan rakyat dan penduduk di negara ini, semoga sekaliannya berada dalam sihat ‘afiat dan sejahtera dan di bawah ‘inayah dan perlindungan Allah Yang Maha Kaya. 
Dalam keadaan sekarang, tidak ada yang lebih bermakna dari memupuk sifat sabar, kerana sabar itu adalah ‘istana iman’. Orang yang sabar dikasihi oleh Allah, sebagaimana firman-Nya dalam Surah Ali ‘Imran ayat 146, tafsirnya: “Dan (ingatlah), Allah itu sentiasa mengasihi orang-orang yang sabar.”
Di antara tanda-tanda sabar itu, kita sentiasa bersedia untuk mengikut atau mematuhi apa jua peraturan, tidak seperti di setengah tempat, orang melawan peraturan. 
Beta amat berbangga mempunyai rakyat yang sentiasa menghormati undang-undang dan peraturan, kerana  dengan cara ini insya Allah, bangsa dan negara kita akan tetap beroleh keselamatan dan keamanan. 
Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, Walillahil Hamd.
Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah,  Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Titah KDYMM Sempena Sambutan Nuzul Al-Qur’an Bagi Tahun 1441H / 2020M

TITAH 
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA SULTAN
HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI 
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN,
SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM.
SEMPENA
SAMBUTAN 
NUZUL AL-QUR’AN
BAGI TAHUN 1441H / 2020M
TEMPAT:
ISTANA NURUL IMAN, 
NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillaahir Rahmaanir Raheem
Alhamdulillah  Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.
Alhamdulillah, dengan rahmat-Nya jua, kita telahpun melimpasi separuh Ramadhan. Kita sekarang memperingati Nuzul Al-Qur’an yang berlaku pada 17 Ramadhan. 
Tidak syak lagi, tarikh 17 Ramadhan adalah detik yang bersejarah yang tidak boleh diabaikan, kerana pada detik inilah dunia mula menerima cahaya Al-Qur’an, kitab suci yang menjadi penyelamat dunia.
Sebelum itu dunia kita berada dalam kegelapan. Manusia hidup terumbang ambing tanpa undang-undang dan peraturan. 
Tetapi apabila Al-Qur’an turun, maka tirai kegelapan itu perlahan-lahan terbuka, dengan angin keadilan juga mulai bertiup, memadam segala tradisi jahiliyah yang teruk, seperti mengubur hidup-hidup kanak-kanak perempuan dan lain-lain. 
Inilah jasa Al-Qur’an. Dengannya tamadun dapat berdiri tegak dan peradaban berkembang mewarnai alam jagat. 
Kita di Brunei, insya Allah, tidak akan mengabaikan Al-Qur’an, sebagai sumber berkat dan rahmat bagi kehidupan. Rumah-rumah hendaknya jangan sunyi dari bacaan-bacaan Al-Qur’an, serta sekolah-sekolah dan pusat-pusat pengajian pula dikehendaki untuk lebih menyemarakkan pendidikan Al-Qur’an itu. 
Kita tidak mahu ada generasi yang tercicir Al-Qur’an yang tidak pandai membaca Al-Qur’an. 
Pada hemat Beta, apa-apa yang mewarnai Brunei selama ini adalah turut ditentukan oleh keberkatan Al-Qur’an, kerana kita tidak pernah berenggang darinya, malah terus memelihara dan membacanya. 
Wabak koronavirus alhamdulillah, sudah nampak dapat dikawal di Brunei. Ini juga Beta yakin, ada hubungan dengan cara kita mengawalnya, iaitu di samping mengikut cara-cara biasa, kita juga dari awal-awal lagi menanganinya dengan do’a-do’a dan bacaan ayat-ayat suci Al-Qur’an. 
Beta sekali-kali tidak ragu, bahawa do’a dan Al-Qur’an itu adalah penawar, dan bahkan senjata untuk menolak segala keburukan, termasuk tidak terkecuali wabak koronavirus. 
Kelaziman pada setiap tahun, kita ada mengadakan Sambutan Nuzul Al-Qur’an dengan salah satu acara kemuncaknya ialah penyampaian hadiah-hadiah kepada pemenang-pemenang dan peserta Musabaqah Menghafaz Al-Qur’an Peringkat Akhir Kebangsaan. 
Tetapi oleh kerana pada tahun ini majlis tidak dapat diadakan, maka hadiah-hadiah itu hanya akan disampaikan oleh pihak yang berkenaan secara di luar majlis sahaja. 
Namun Beta, tetap tidak lupa untuk merakamkan ucapan syabas dan tahniah kepada semua peserta, khasnya mereka yang berjaya di dalam musabaqah tersebut. 
Kita berharap insya Allah, Nuzul Al-Qur’an akan dapat kita sambut seperti biasa pada tahun-tahun yang akan datang. 
Merujuk kepada tema Sambutan Nuzul Al-Qur’an pada tahun ini, berbunyi: “Menjana Keberkatan Rezki Dengan Al-Qur’an”, adalah apa yang sedang berlaku di negara ini berupa keamanan, perpaduan dan wabak koronavirus dapat dikawal, tidak syak lagi adalah satu nikmat rezki yang sangat bermakna yang bersumber dari keberkatan Al-Qur’an. 
Mengapa tidak, bukanlah ayat-ayat Al-Qur’an itu penawar dan rahmat, di mana kita tidak pernah berhenti dari menghiasi negara ini dengan cahaya Al-Qur’an, yang kita baca di rumah-rumah Allah, di rumah-rumah kita sendiri dan malah di sekolah-sekolah dan pusat-pusat pengajian, sehingga kesan keberkatan itu dapat kita dan negara nikmati. 
Seyogia kita, janganlah melupakan semua ini. 
Untuk akhirnya, marilah kita sama-sama konsisten menghayati do’a dan membaca Al-Qur’an, bukan sahaja kerana wabak, tetapi juga untuk Brunei mendapat lebih keberkatan, berupa keamanan, kemakmuran dan keselamatan. 
Beta di sini, sukacita mengajak, supaya kita juga sama-sama mendo’akan mereka yang masih dirawat kerana positif koronavirus, supaya lekas-lekas sembuh dan dapat bertemu semula dengan keluarga masing-masing dalam keadaan selamat dan gembira. 
Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah,  Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.