Titah Perutusan KDYMM Sempena Menyambut Bulan Ramadhan 1441H/2020M

TITAH PERUTUSAN
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA SULTAN
HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN,
SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
SEMPENA
MENYAMBUT BULAN RAMADHAN
TAHUN 1441H / 2020M
Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillaahir Rahmaanir Raheem
Alhamdulillah  Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.
Kita bersyukur, kerana dapat pula memasuki bulan Ramadhan yang mulia untuk melakukan ibadat puasa didalamnya.
Pada Ramadhan kali ini, tentu saja berbeza dengan Ramadhan-Ramadhan yang lalu. Perbezaan itu ialah dari segi suasana menghadapinya. Beberapa bulan sebelum Ramadhan, kita telah dikejutkan oleh wabak COVID-19, yang membawa kepada ketidakselesaan dan bahkan ketakutan.
Ini, bukan saja dirasakan oleh Brunei, malah dimana-mana sahaja di seluruh dunia, sama-sama merasakannya. Sehingga untuk beberapa ketika, kita terpaksa menangguhkan kehadhiran ke Masjid, Surau dan Balai Ibadat bagi melakukan Sembahyang Jumaat dan sembahyang berjemaah biasa. Ini kita lakukan adalah sebagai usaha untuk mengelakkan risiko jangkitan COVID-19.
Namun alhamdulillah, dengan izin Allah jua, wabak, nampak-nampaknya dapat kita kawal dengan berkesan. Ini Beta percaya, adalah kerana usaha-usaha pencegahan secara bersepadu, dan juga faktor do`a yang kita amalkan adalah segala-galanya.
Dalam Bulan Ramadhan, biasanya kita orang-orang Islam akan memeriahkan Masjid, Surau dan Balai Ibadat dengan Sembahyang Sunat Terawih berjemaah. Tetapi pada kali ini, sekiranya keadaan belum mengizinkan untuk berkumpul beramai-ramai, maka kita masih saja ada cara lain untuk membuat Terawih itu bersama-sama dengan keluarga di rumah. Begitu juga bertadarus Al-Qur’an, kita masih saja dapat membuatnya dirumah kita sendiri dengan keluarga dan anak-anak.
Pendeknya, kita tidak kehabisan cara untuk melakukannya bagi meraih pahala dibulan Ramadhan.
Sangat perlu diingat, bahawa COVID-19 tidak seharusnya menggangu Umat Islam untuk melakukan ibadat puasa. COVID-19 adalah satu perkara, sedang ibadat puasa pula satu perkara lain. Jika kita dalam keadaan sihat ‘afiat, maka tidak ada sebab untuk menjadikan COVID-19 sebagai penghalang kita berpuasa.
Perlu disedari, bahawa Ramadhan cuma sekali sahaja dalam setahun. Dalam bulan ini terdapat satu malam yang dinamakan Malam Al-Qadar yang lebih baik dari seribu bulan, dalam makna, beribadat didalamnya boleh meraih pahala lebih dari seribu bulan. Kerana itu, eloklah bagi kita semua untuk berazam merebutnya.
Selepas Ramadhan, kita akan memasuki Bulan Syawal pula, untuk menyambut Hari Raya. Biasanya Hari Raya kita sambut dengan penuh kemeriahan. Tetapi ketentuan Allah telah menjadikannya berbeza pada tahun ini. Sembahyang Hari Raya akan terpaksa ditiadakan, dan begitu juga tradisi kunjung mengunjungi turut ditegah untuk mengelakkan sebarang risiko COVID-19.
Kita wajar bersabar menghadapi situasi ini, dengan menganggap, bahawa apa yang berlaku itu mempunyai hikmah disisi Allah.
Walau bagaimanapun, disamping bersabar, kita juga dituntut untuk berusaha dengan apa jua cara, seperti mengambil langkah-langkah pencegahan dan seumpamanya.
Namun selaku orang Islam, kita juga mempunyai kelebihan tersendiri, iaitu digalakkan untuk menghadapi apa saja bencana, dengan do’a. Maka marilah kita lakukan ia, lebih-lebih lagi, kebetulan pula dalam bulan Ramadhan yang penuh berkat ini, dimana do’a orang-orang berpuasa adalah sangat ampuh dan mustajab.
Menyebut tentang kelebihan do’a ini, Beta teringat kepada do`a dalam Qunut Nazilah yang dibaca pada Hari Jumaat dalam Sembahyang Jumaat. Hingga sekarang, sudah beberapa Jumaat kita tidak dapat menunaikan Fardhu Jumaat, dalam makna, dengan sendirinya Qunut Nazilah tidak dapat dibaca.
Pada hemat Beta, Qunut Nazilah masih saja perlu diteruskan, terutama dalam situasi kita menghadapi wabak COVID-19. Beta difahamkan, Qunut Nazilah tidak semestinya hanya dilakukan di Masjid secara berjemaah pada Hari Jumaat, malah ia juga boleh dibuat di rumah, sama ada secara berjemaah dengan keluarga atau bersendirian didalam sembahyang-sembahyang fardhu lima waktu. Tetapi masih juga boleh dipilih mana waktu yang kita mampu atau sesuai melakukannya, seperti dalam Sembahyang Subuh atau Maghrib, tanpa memestikan ia dibuat dalam kesemua lima-lima waktu. Yang penting, Qunut ini terus dibaca, sementara menunggu Masjid, Surau dan Balai Ibadat beroperasi semula.
Bagi kemudahan orang ramai melakukan semua ini, maka kenalah pihak yang berkenaan, Kementerian Hal Ehwal Ugama, mengambil inisiatif menyediakan panduan dan do`a qunut yang bersesuaian. Seeloknya ringkas dan mudah tetapi padat menepati tujuan.
Sehubungan ini pula, Beta berpendapat, bukan sahaja kita di Brunei, malah umat Islam diseluruh dunia adalah sangat wajar untuk sama-sama mengambil kesempatan dibulan yang bersukut istimewa ini untuk merafakkan do’a banyak-banyak supaya dunia kita cepat bebas daripada bahaya wabak COVID-19.
Akhirnya, Beta dan keluarga Beta, dengan hati suci, mengucapkan selamat berpuasa. Semoga kita sama-sama dikurniakan oleh Allah kesihatan dan kesabaran disepanjang menjalani ibadat puasa. Ramadhan Karim.
Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Titah Perutusan Khas KDYMM berkenaan COVID-19 pada 13 April 2020

TITAH 
PERUTUSAN KHAS
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA SULTAN
HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN,
SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
BERKENAAN JANGKITAN WABAK COVID-19
Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
Bismillaahir Rahmaanir Raheem.
Alhamdulillahi Rabbil ‘Alameen, Wabihie Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Waddeen, Wassalatu Wassalamu ‘Ala Asyrafil Mursaleen, Sayyidina Muhammadin, Wa’ala Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.
Rakyat Beta yang dikasihi!
Dalam perutusan khas Beta baru-baru ini, Beta telah menyebut beberapa usaha Kerajaan Beta dalam membendung penularan COVID-19.
Sehingga kini, negara masih saja terus menangani wabak COVID-19 sejak ianya disahkan wujud dan positif pada 9hb Mac yang lalu. Namun Alhamdulillah, kita dapat menghadapinya dengan penuh sabar dan bersepadu.
Walau begitu, dengan amat dukacita, seorang pesakit telah berpulang ke Rahmatullah, semoga rohnya di tempatkan bersama-sama dengan orang-orang yang beriman.
Untuk keperluan, kita telahpun membina Makmal Virologi Kebangsaan. Makmal ini banyak membantu, khasnya bagi Kementerian Kesihatan mempertingkatkan lagi keupayaan penganalisaan dan mampu untuk mengeluarkan cepat keputusan ujian.
Kerajaan Beta juga telah membuat pelaburan dalam penggunaan Artificial Intelligence, supaya orang ramai dapat membantu Kementerian Kesihatan bagi melaksanakan penjagaan kesihatan secara sistematik.
Dalam situasi sekarang, Beta turut memahami bahawa banyak peniaga, termasuk Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) atau mereka yang berniaga sendiri telah turut terkesan oleh COVID-19. Kerana itu Kerajaan Beta melalui Kementerian Kewangan dan Ekonomi dan dengan kerjasama institusi-institusi yang berkaitan, termasuk Autoriti Monetari Brunei Darussalam (AMBD) telah memperkenalkan beberapa Pakej Stimulus Ekonomi membantu mereka ini, supaya dapat meneruskan perniagaan masing-masing.
Bagi tujuan kebajikan juga, Beta telahpun menitahkan Kementerian-Kementerian yang berkenaan untuk bekerjasama dalam membangun Sistem Kebajikan Negara (SKN) yang akan dilancarkan dalam bulan Julai, insya Allah.  Beta sedia memahami, baik sebelum mahupun sesudah tularnya wabak COVID-19, terdapat ramai di kalangan masyarakat yang masih memerlukan bantuan dari pihak Kerajaan.  Maka insya Allah, sistem ini nanti akan memudahkan pemohon-pemohon untuk membuat permohonan kepada Kerajaan.
Sebagai sebuah komuniti, orang-orang Brunei telah menunjukkan sikap pemedulian yang terpuji dengan menghulurkan sumbangan-sumbangan berupa apa saja untuk membantu Kementerian Kesihatan menangani wabak COVID-19.  Dalam hubungan ini, bagi kemudahan orang ramai menyalurkan sumbangan-sumbangan mereka, maka Beta telah memperkenankan bagi diwujudkan satu dana, yang diberi nama COVID-19 Relief Fund. Sumbangan-sumbangan akan digunakan untuk keperluan perubatan menangani wabak.
Beta dengan tulus ikhlas merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih diatas sumbangan tenaga dan buah fikiran yang dihulurkan oleh semua pihak, termasuk orang-orang persendirian dalam membantu Kerajaan Beta menghadap detik-detik yang mencabar ini.  Terutama kepada para barisan hadapan, termasuk sukarelawan (volunteers) yang telah bekerja siang dan malam untuk membantu merawat para pesakit COVID-19 dan mereka yang menjalani kuarantin. Sumbangan mereka ini amat Beta hargai.
Beta turut memahami, betapa beratnya bebanan para petugas barisan hadapan.  Kalau orang lain merasa bosan duduk di rumah, tetapi mereka sering-sering melihat jam, bilakah boleh balik ke rumah.  Di rumah, ada anak-anak sedang menunggu dan rindu.
Itu baru dari segi emosi, belum lagi risiko selaku petugas barisan hadapan.  Mereka ini cuma dibekalkan dengan Personal Protective Equipment (PPE) dan prosedur arahan standard (SOP) sebagai perisai, di mana selainnya, hanya do’a saja yang mampu dirafa’kan.  
Bagi menghargai jasa dan bakti mereka ini, Beta melihat, mereka sangatlah wajar untuk disangkuti dengan ‘elaun khas’ sebanyak $400 (Empat ratus ringgit) sebulan, khusus kepada para doktor, jururawat, parademik, pemandu, ambulan, sukarelawan, pembersih, penjaga keselamatan dan kesemua mereka yang bertugas dengan Kementerian Kesihatan khususnya di Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha, Pusat Pengasingan Kebangsaan Tutong dan di pusat-pusat kuarantin yang dikhaskan oleh Kerajaan Beta.  Pemberian elaun khas ini akan berjalan bermula bulan Mac 2020 dan akan dilanjutkan sehingga berakhirnya wabak COVID-19 di negara ini.
Juga tidak lupa dirakamkan setinggi-tinggi ucapan terima kasih kepada Pasukan Polis Diraja Brunei, Angkatan Bersenjata Diraja Brunei, Pusat Bencana Kebangsaan, Krew dan Juruterbang Royal Brunei, pihak pengurusan dan kakitangan dari Syarikat-Syarikat Brunei Shell Joint Venture (BSJV), Syarikat-Syarikat Yang Berkaitan Dengan Kerajaan (GLCs), Syarikat-Syarikat Pelaburan Langsung Asing atau Foreign Direct Investments (FDI), Syarikat-Syarikat Telekomunikasi, Syarikat-Syarikat Swasta dan Agensi-Agensi Kerajaan yang lain mengikut bidang dan kepakaran masing-masing dalam sama-sama membantu Kerajaan Beta menangani cabaran  pada masa ini. Jasa yang mereka curahkan kepada keluarga pesakit dan kepada negara khususnya tidaklah dapat digambarkan.  Beta berdo’a semoga Allah memberkati mereka dengan kebahagian di dunia dan di akhirat.
Sementara itu akan turut dibantu, ialah golongan yang terjejas pendapatan akibat COVID-19 dari kalangan penamu, penjual di pasar, pemandu teksi dan pemandu motor tambang. Bantuan ini akan diuruskan oleh Majlis Ugama Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama.
Sebagai tanda ihsan dan belas kasihan, dalam keadaan sekarang, elok juga rasanya kalau para pemilik premis-premis sewa, seperti kedai-kedai seumpamanya, menimbangkan untuk turut meringankan beban penyewa-penyewa yang terjejas perniagaan mereka, dengan membebaskan atau mengurangkan kadar sewa untuk beberapa waktu sehingga wabak ini berakhir. Kalau ini dapat dibuat, maka tidak syak lagi, ia adalah satu sedekah yang imbalannya adalah pahala.
Beta di sini ingin menekankan, supaya semua orang janganlah lari dari tanggungjawab, termasuk tanggungjawab mematuhi arahan dan undang-undang. Baru-baru ini, ada berlaku kejadian, sekumpulan orang mengadakan pesta hiburan bertempat di sebuah hotel yang menjadi lokasi pengasingan diri.
Mengapa ini boleh berlaku? Bagaimana orang-orang ini melihat COVID-19?  Dalam masa kita banyak berdo’a, tetapi mereka, melanggar arahan dengan berkumpul dan berpesta.
Beta berharap, pihak berwajib akan menangani kes ini dengan setegas-tegasnya.  Kita jadikan ia pengajaran untuk semua.
Melalui kesempatan ini, Beta ingin menganjurkan supaya kita sama-sama melazimkan diri membaca Surah Yaseen selain surah-surah yang lain dalam al-Qur’an, kerana Yaseen fadhilatnya sangat banyak untuk keselamatan kita di dunia dan di akhirat.  Insya Allah, dengan berkat Yaseen juga, COVID-19 akan berundur meninggalkan kita dan negara.
Untuk akhirnya, Beta mengajak, supaya kita sama-sama berdoa’a:                            
Ya Allah, hanya Engkau jua tempat kami berlindung, maka lindungilah kami, dari bahaya COVID-19, dari serangan dan jangkitannya.  Jika wabak ini bersebab dari dosa-dosa manusia, maka Engkau ampunkanlah.  Sesungguhnya, hanya Engkau jua Yang Maha berhak untuk memberikan pengampunan.  Ameen Ya Rabbal ‘Alameen.
Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Titah Perutusan Khas KDYMM Berkenaan Jangkitan Wabak COVID-19

TITAH PERUTUSAN KHAS 
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA SULTAN
HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN,
SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
 
BERKENAAN 
JANGKITAN WABAK COVID-19
PADA: 
HARI SABTU
21HB MAC 2020
Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillaahir Rahmaanir Raheem
Alhamdulillah Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.
Rakyat Beta yang dikasihi!
Kita pada sa’at ini sedang diuji, dengan COVID-19. Tetapi kita bukanlah bersendirian, malah seluruh dunia. Wabak ini telah menular dengan pantasnya melanda 180 buah negara, dengan melebihi 260,000 kes, yang menyebabkan lebih 11,000 kematian. 
Selama tiga (3) bulan dari wabak bermula, Brunei Darussalam masih saja bebas dari COVID-19, sedang banyak negara di dunia sudahpun mengalaminya. Namun dengan takdir Allah, Brunei kini, juga telah turut dilanda.
 
Punca wabak menjejaki Brunei telah dikenal pasti, iaitu apabila sekumpulan orang Brunei menyertai perhimpunan tabligh di Kuala Lumpur, Malaysia. Kes pertama dikesan ialah pada 3 Mac 2020 dari seorang lelaki warga tempatan berumur 53 tahun. Sehingga kini, jumlah jangkitan telahpun meningkat. 
Kita berharap, akan dapat membendung jangkitan-jangkitan baru dengan izin Allah.
 
Sesungguhnya kita tidaklah boleh leka untuk menangani kes ini. 
Dari perkembangan yang berlaku di seluruh dunia, semua orang boleh menjangkakan, bahawa wabak ini mungkin menjadi ancaman bagi jangka masa yang panjang.
 
Kerana itu, Brunei mesti bersedia secara bersepadu untuk membentengi diri daripada wabak ini. Secara fizikal, kita didorong untuk mengutamakan kebersihan, menggunakan topeng muka dan hand sanitizer. Tetapi ini saja belum memadai, melainkan mesti juga komited dengan faktor psikologi, iaitu bersabar dan bertenang serta yakin kepada pertolongan Allah. 
Perlu diingat, ancaman sekarang bukan datang daripada angin ribut atau api atau banjir besar. Kalau ancaman itu datangnya daripada anasir-anasir ini, maka kita masih saja boleh mengarah unit-unit keselamatan untuk membantu. Tetapi ini COVID-19, seperti juga wabak-wabak yang lain misalnya SARS, kita sesungguhnya tidak dapat  bergantung sepenuhnya kepada unit-unit tersebut untuk membantu.
 
Tetapi apa yang sebenar-benarnya diperlukan ialah, rawatan dan pencegahan melalui pelbagai cara, seperti menghindari perkumpulan ramai, memakai penutup muka, menggunakan cecair pembunuh kuman, mengadakan sekatan-sekatan keluar dan masuk apabila diperlukan dan membanyakkan do’a. 
Ini semua menjadi tanggungjawab kita bersama. Jangan siapa yang lari dari tanggungjawab ini. Contoh orang lari dari tanggungjawab ialah, seperti tidak mengikuti peraturan atau enggan untuk mematuhi arahan. 
Semua orang tidak wajar mengambil sikap yang bercanggah dengan etika dan ugama, seperti enggan untuk menjalani ujian atau rawatan, dengan alasan-alasan yang mengelirukan, seperti semata-mata ingin bertawakal. Setahu Beta, tawakal itu paksinya ialah ikhtiar atau usaha, bukannya dengan melulu begitu sahaja.
Kerajaan, melalui Kementerian Kesihatan telah mengambil langkah meningkatkan kapasiti tenaga kerja, bukan sahaja bilangan doktor dan jururawat, malahan juga keupayaan-keupayaan klinikal sekaligus akan dipertingkatkan. 
Bagi meningkatkan keupayaan penganalisaan makmal, Beta telah memperkenankan pembinaan makmal virologi tambahan, yang akan ditempatkan di Makmal Rujukan Virologi Kebangsaan. Makmal tambahan ini dijangka mampu untuk meningkatkan keupayaan penganalisaan sehingga sepuluh kali ganda, dan dapat mengeluarkan keputusan ujian dengan lebih cepat. 
Hukum syara’, telahpun menggariskan panduan berasaskan Al-Qur’an, untuk kita tidak mencampakkan diri kepada kebinasaan. Sementara hadith-hadith Nabi Shallallahu ‘Alaihi Wassallam pula dengan tegasnya melarang, dari memasuki mana-mana tempat atau bumi yang berlaku di dalamnya ta’un (penyakit berjangkit) dan tidak boleh meninggalkan tempat itu setelah memasukinya, dan bahkan, hadith juga mengingatkan, supaya lari daripada penyakit itu. 
Beta menyedari, semua kita mengalami kejutan. Tetapi hendaknya, tidak sampai ke tahap panik, kerana panik itu berisiko untuk menggugat ketenteraman. 
Bagaimanapun, telah kedengaran, terdapat segelintir masyarakat yang membuat pembelian panik barang-barang asasi, sehingga menyebabkan berkurangnya secara drastik bekalan beras di kedai-kedai dalam negara ini.
Untuk perhatian semua rakyat dan penduduk, bahawa Kementerian Kewangan dan Ekonomi telah mengesahkan bahawa stok beras dan gula adalah mencukupi bagi keperluan seharian dan jadual waktu penjualannya kepada syarikat-syarikat di Stor Negara juga adalah dipanjangkan, dibuka pada setiap hari, termasuk hari-hari Jumaat, Ahad dan Kelepasan Awam. 
Diingatkan kepada para peniaga supaya jangan sekali-kali mengambil kesempatan untuk menaikkan harga barangan, dan jika didapati berlaku, Kerajaan Beta tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang. 
Selaku bangsa yang berakidah, disamping meneruskan usaha-usaha bersifat jasmani (fizikal), kita juga dituntut untuk menggandakan usaha-usaha bersifat kerohanian(spiritual) dengan membanyakkan do’a dan zikir kepada Allah serta melakukan Amar Ma’ruf dan Nahyi Munkar. 
Disinilah budaya kita berbeza. Kita tahu, wabak ini bukan wujud dengan sendirinya, tetapi datang daripada, siapa yang bernama ‘Maha Pencipta’. Tiada siapa dikalangan kita yang tahu mengapa ia didatangkan. Tetapi bercermin kepada peristiwa-peristiwa yang dirakam dalam Al-Qur’an, maka dapatlah difahami, bahawa setiap bala atau musibah atau wabak itu adalah ia satu peringatan atau hukuman atau intiqam daripada Allah.
Cuma satu sahaja harapan yang tinggal, iaitu kita sama-sama datang kepada Allah dengan merendah diri, mengaku berdosa sambil memohonkan belas kasihan-Nya. Ya Allah, pelihara dan selamatkanlah kami dari wabak yang dahsyat ini. Hanya Engkau jua sebaik-baik pemeliharaan itu.
Kepada Kementerian Hal Ehwal Ugama, pandu dan bimbinglah rakyat untuk berdo’a dan berzikir. Sediakan teks do’a dan zikir itu untuk kemudahan. Utamakan yang mudah-mudah tetapi warid, supaya senang bagi orang ramai melakukannya. Insya Allah, melalui usaha yang sangat berkebajikan ini, semoga Allah menerimanya.
Bagi mengakhiri perutusan ini, Beta dengan rendah hati mengucapkan penghargaan dan terima kasih, terutama kepada para petugas kesihatan dan jururawat, para penjawat awam sekaliannya, khasnya askar dan polis yang sama-sama bertungkus lumus menyumbangkan tugas masing-masing tanpa mengira masa, dan bahkan tidak dilupakan juga semua pihak, termasuk para sukarelawan yang turut menyumbangkan khidmat secara langsung mahupun tidak langsung bagi menangani wabak COVID-19 ini. Semoga Allah memberkati usaha kita semua.
Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Titah KDYMM Sempena Upacara Perbarisan Tamat Latihan 2020

TITAH
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA SULTAN 
HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI 
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN, 
SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM 
BERSEMPENA 
UPACARA PERBARISAN TAMAT LATIHAN PROGRAM KHIDMAT BAKTI NEGARA PENGAMBILAN KE-SEMBILAN
TEMPAT:
KEM LATIHAN
PROGRAM KHIDMAT BAKTI NEGARA,
KAMPONG BATU APOI, DAERAH TEMBURONG
PADA:
HARI KHAMIS
17HB REJAB 1441
12HB MAC 2020
 
Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh Bismillaahir Rahmaanir Raheem
Alhamdulillah Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.
Alhamdulillah, kita merafa’kan syukur ke hadhrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana dapat pula menyaksikan Upacara Perbarisan Tamat Latihan Program Khidmat Bakti Negara Pengambilan Ke-9 pada pagi ini.
Terlebih dahulu Beta sukacita merakamkan ucapan tahniah dan syabas kepada kesemua 393 Pelatih PKBN Pengambilan Ke-9 di atas kejayaan mereka mengikuti latihan selama 3 bulan dengan penuh kesungguhan.
Setakat ini Beta difahamkan, bahawa lebih 65 peratus lepasan PKBN telah berjaya mendapat pekerjaan atau melanjutkan pelajaran. Ini menunjukkan PKBN adalah mampu untuk mencorakkan para belia menjadi modal insan yang berguna malah berkualiti.
Namun usaha masih saja perlu ditingkatkan bagi para lepasan membuktikan kebolehan mereka selepas latihan. Kebolehan itu meliputi, cekap melaksanakan pekerjaan dan berjaya di bidang pengajian.
Sehubungan ini, Beta melihat, Jawatankuasa Lembaga dan Jawatankuasa Kerja Khidmat Bakti Negara, sewajarnya patut turut memastikan, yang para alumni PKBN sentiasa terlibat dengan khidmat bakti terhadap masyarakat. Kerana matlamat latihan bukan hanya setakat ‘membangun’ belia, tetapi belia dibangun itu adalah juga ‘wira’ yang sanggup turun ke gelanggang bersama masyarakat.
Turun ke gelanggang ini bukanlah menunggu musim, tetapi bila-bila masa sahaja selaku kewajipan. Sifat masyarakat adalah suka kepada perubahan, di mana para belia merupakan agen kepada perubahan itu. Oleh itu, para belia perlulah menyedari perkara ini.
10 tahun melangkah, sejak projek rintis pertama, PKBN sudahpun boleh dianggap matang untuk membangun sebuah masyarakat belia yang progresif, yang mampu untuk menyumbang kepada pertumbuhan dan pembangunan sosio-ekonomi negara serta membantu memperkukuh ketahanan nasional, selaras dengan matlamatnya.
Kita berharap, ini bukanlah igauan, tetapi satu perkara yang boleh menjadi kenyataan, dengan syarat, para belia tidaklah boleh patah semangat untuk meraih kecemerlangan.
Untuk akhirnya, Beta sekali lagi sukacita mengambil kesempatan untuk mengucapkan setinggi-tinggi tahniah dan syabas kepada pelatih-pelatih PKBN Pengambilan Ke-9 yang akan menamatkan latihan mereka pada pagi ini. Kejayaan mereka ini tidak syak lagi adalah hasil dari titik peluh masing-masing, serta kerjasama padu daripada pelbagai pihak, khususnya para jurulatih, lebih-lebih lagi berkat doa ibu bapa dan penjaga selaku pendorong dan penyuntik semangat yang sangat berjasa.
Insya Allah segala sumbangan bakti yang diberikan akan mendapat balasan baik serta keberkatan daripada Allah Subhanahu Wata’ala jua. Amin.
Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Titah KDYMM Sempena Majlis Pembukaan Persidangan Musim Permesyuaratan Ke-16 Majlis Mesyuarat Negara (MMN) 2020

TITAH
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA SULTAN
HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN,
SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
DI MAJLIS 
PEMBUKAAN PERSIDANGAN MUSIM 
PERMESYUARATAN KE-ENAM BELAS (16)
 MAJLIS MESYUARAT NEGARA (MMN)
2020
PADA 
HARI ISNIN
14HB. REJAB 1440
09HB MAC 2020
BERTEMPAT
DI DEWAN PERSIDANGAN, 
MAJLIS MESYUARAT NEGARA
Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
Bismillaahir Rahmaanir Raheem
Alhamdulillahi Rabbil ‘Alameen, Wabihie Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Waddeen, Wassalatu Wassalamu ‘Ala Asyrafil Mursaleen, Sayyidina Muhammadin, Wa’ala Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.
Alhamdulillah, kita merafa’kan syukur ke hadhrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana dengan izinNya jua, dapatlah kita berkumpul pula di Majlis Persidangan Bagi Mesyuarat Pertama dari Musim Permesyuaratan Ke-enam Belas (16) Majlis Mesyuarat Negara.
Harapan kita sangatlah tinggi untuk melihat Majlis Mesyuarat Negara menjadi wadah strategik bagi memikir dan membahas perkara-perkara yang diperlukan oleh rakyat dan negara.
Apa jua usul dan hujjah yang dikemukakan dalam persidangan, hendaklah berasaskan kepada pemikiran dan penelitian yang rapi, disokong oleh fakta-fakta yang betul dan tepat dan memfokus, hanya kepada isu-isu yang relevan.
Pada pengamatan Beta, persidangan Majlis Mesyuarat Negara tahun demi tahun masih saja memerlukan pemerkasaan. Kerana kedapatan, setengah ahli yang dilantik cuma lebih banyak bertanya dari memberi buah fikiran. Ini, menjadikan perbahasan kurang menarik.
Situasi ekonomi dunia pada hari ini didapati sebagai tidak menentu. Namun alhamdulillah, negara kita masih saja mampu untuk mencatatkan kadar pertumbuhan yang menggalakkan, disamping juga dapat menikmati beberapa pembaharuan di segi infrastruktur mahupun yang berbentuk dasar.
Ketidaktentuan itu digawatkan lagi oleh pergolakan geo-politik dunia yang tidak berkesudahan. Kemudian secara mendadak, pasaran kewangan dunia pula, terutama di rantau Asia, mengalami masalah teruk akibat penularan wabak COVID-19. Kesan daripada wabak ini telah menjejaskan perkembangan dan pertumbuhan ekonomi di kebanyakan negara di dunia, termasuk menjadi sebab kurangnya permintaan minyak dan gas dunia, yang secara automatik, menjadikan harga kedua-dua komoditi ini jatuh. 
Ini, boleh menyebabkan negara mengalami defisit setelah mencatat lebihan baki fiskal pada Tahun Kewangan 2018-2019.
Namun kita tetap bersyukur, kerana negara ditakdirkan bebas dari wabak yang menggerunkan ini. Kita berharap, Negara Brunei Darussalam akan terus mendapat perlindungan Allah daripada serangan virus COVID-19. 
Pada hemat Beta, ini adalah, kerana berkat Brunei sentiasa menghayati do’a, di masjid-masjid kita berdo’a, di rumah-rumah kita berdo’a dan di majlis-majlis kita berdo’a. Pendeknya, Brunei Darussalam adalah cukup makmur dengan do’a, maka Beta berharap, supaya kita meneruskan amalan berdo’a sebagai budaya bangsa.
Turut juga disyukuri, kerana sepanjang tahun 2019, Kerajaan Beta masih dapat meraih beberapa pencapaian yang signifikan, antaranya transformasi sektor telekomunikasi yang mampu bertindak meningkatkan inovasi untuk mengubah landskap ekonomi Negara ke arah Digital dan Fourth Industrial Revolution (4th IR) melalui penubuhan Syarikat Unified National Networks Sdn Bhd (Syarikat UNN) yang 100 peratus dipunyai oleh kerajaan Beta. 
Berkaitan dengan Sumber Tenaga Manusia pula, Beta telah memperkenankan bagi Manpower Planning and Employment Council (MPEC) ditempatkan di Jabatan Perdana Menteri, bagi memikirkan langkah-langkah berkesan ke arah meningkatkan peluang-peluang pekerjaan dan menangani isu pengangguran.
 Dasar-dasar yang ada juga mustahak diteliti, misalnya, yang berkaitan dengan kemasukan pekerja-pekerja asing; halangan atau proses yang boleh menyekat komuniti business dari berkembang; mengadakan latihan-latihan bagi membantu pencari-pencari pekerjaan; mereview syllabus-syllabus yang berkaitan dengan program latihan; mereview proses mempercepatkan pengisian jawatan-jawatan kosong dalam perkhidmatan awam dan lain-lain.
Beta juga telah memperkenankan penubuhan Autoriti Kemajuan Daerah Temburong (AKDT) bagi tujuan menjana aktiviti perekonomian serta meningkatkan kualiti kehidupan rakyat dan penduduk di daerah ini.
Mengenai dengan perbelanjaan kerajaan, kita menyedari, bahawa perbelanjaan itu terus saja meningkat tahun demi tahun. Oleh itu, setiap agensi kerajaan dikehendaki supaya berhati-hati dalam menggunakan peruntukan yang telah disediakan.
 Perlu diingat, hasil pendapatan yang banyak tidaklah semestinya mampu untuk menjamin kestabilan dan kekukuhan kewangan, andainya hasil itu tidak diurus dengan betul dan cekap. Tetapi dengan adanya amalan berhemah dan usaha-usaha mempelbagaikan ekonomi, maka insya Allah kita akan dapat mengukuhkan kestabilan makroekonomi dan kedudukan kewangan negara.
Dalam pada itu, sangatlah penting diingat mengenai cara penggunaan wang kerajaan. Cara ini mesti benar-benar telus dan amanah. Jangan mentang-mentang wang kerajaan, kitapun secara sewenang-wenang membuat projek, walaupun projek itu kurang penting. Atau memang ada kecenderungan berbelanja besar, sebab peruntukan dari kerajaan. Atau mungkin juga di sebalik peruntukan besar itu berlaku sandiwara ‘pintu belakang’ dengan pihak-pihak tertentu di luar kerajaan. 
Dan lebih malang lagi, kalau hanya pandai membuat projek, sedang pengawasan terhadap kerja-kerja projek sangat lemah, sehingga apabila siap projek itu, didapati banyak kerosakan atau kekurangan berlaku.
Mengapa ini terjadi? Pertama kerana pengawasan lemah, dan kedua, apabila pengawasan lemah, maka mudahlah berlakunya penyelewengan seperti penyelewengan menggunakan bahan-bahan yang murah atau rendah kualiti.
Di sini, Beta ingin menyeru, khasnya kepada Ahli-Ahli Yang Berhormat yang dilantik, supaya menyuarakan pandangan-pandangan mereka tanpa ragu-ragu. Suara mereka adalah diperlukan untuk kebaikan.
Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

 

Titah KDYMM Sempena Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam Ke-36 bagi Tahun 2020

TITAH

KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA SULTAN
HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI

AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN,
SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM

 

BERSEMPENA

SAMBUTAN HARI KEBANGSAAN

NEGARA BRUNEI DARUSSALAM

KALI KE-36 BAGI TAHUN 2020

 

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillaahir Rahmaanir Raheem

Alhamdulillah Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Sudah sewajarnya kita merafa’akan syukur ke hadhrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana dengan izinNya jua, dapatlah pula kita meraikan Hari Kebangsaan pada tahun ini. Semoga dengan perayaan ini akan mengingatkan kita kepada rahmat Allah berupa kemerdekaan, keamanan dan kemakmuran.

Rahmat Allah turun, kerana negara ini berstatus ‘Negara Zikir’, dengan umat di dalamnya menjalani kehidupan bertakwa. Apabila sesebuah negara dihuni oleh manusia-manusia ahli takwa, maka janji Allah pasti berlaku menurunkan berkat daripada langit dan mengeluarkannya daripada bumi.

Pada tahun ini kita menjulang tema sambutan, berbunyi: “Menjayakan Wawasan Negara”. Menyebut wawasan sahaja tidak memadai. Tetapi yang penting, kita mesti menentukan ‘dasar’, selaku penunjuk arah kepada satu-satu matlamat atau tujuan yang hendak dicapai.

Pada Beta, dasar terbaik ialah ‘takwa’. Takwalah landasan satu-satunya yang mampu untuk menyampaikan kita kepada kejayaan. Hanya dengan takwa jua segala perjalanan hidup terjamin lurus dan adil, termasuk langkah kita menjana Wawasan Negara.

Di bawah dasar ini, kebajikan rakyat dan penduduk adalah diutamakan.

Siasah takwa dapat memperkukuh perpaduan umat dan menjamin keharmonian antara kaum. Sementara terhadap mereka yang di luar lingkungan pula, akan kekal menikmati hubungan berbaik-baik, atas dasar hormat-menghormati dan tidak mencampuri urusan masing-masing.

Dalam ekonomi, dasar takwa juga menjamin kesucian, iaitu menjana rezki dari sumber yang halal, bukan dari sumber yang haram. Dasar ini melarang keras menipu atau memberi dan menerima rasuah dan lain-lain. Pendeknya, dasar ekonomi takwa, sama sekali tidak menganiaya mana-mana pihak.

Kita sekarang dalam rangka memperkasa masyarakat dan institusi kekeluargaan. Di sini, dasar takwa adalah mampu untuk menjamin golongan tertentu supaya mendapat pembelaan dan perlindungan. Maka melalui Program Pelan Membasmi Kemiskinan Di bawah Majlis Kebangsaan Isu Sosial (MKIS), kita telahpun merangka inisiatif-inisiatif pemerkasaan sara diri bagi golongan sasaran.

Langkah ini akan membuka peluang yang lebih luas untuk golongan tertentu untuk mendapatkan pekerjaan ataupun bergiat di dalam bidang keusahawanan, yang sekaligus akan mengurangkan kebergantungan kepada bantuan kerajaan.

Ini juga mendukung konsep takwa, yang menggalakkan umat Islam supaya berdikari dengan titik peluh sendiri.

Walau bagaimanapun, negara tetap mengambil tanggungjawab untuk mengusahakan pelbagai kemudahan bagi kebajikan rakyat, seperti misalnya, sedikit masa lagi insya Allah, kerajaan akan melaksanakan Sistem Kebajikan Negara (SKN) yang akan membolehkan pemohon bantuan untuk membuat permohonan secara di atas talian (online).

Apapun rancangan dan perubahan, banyak bergantung kepada sumber tenaga manusia. Sumber ini tidak syak lagi adalah aset terpenting negara, kerana merekalah yang akan berusaha untuk mencorakkan kehidupan, selaras dengan keperluan.

Sumber tenaga yang berpendidikan dan berkemahiran tinggi amatlah dihajati bagi tujuan membawa perubahan.

Sekarang, satu projek raksaksa, Jambatan Penghubung di antara Daerah Brunei  dan Muara dan Daerah Temburong sedang menunggu masa untuk dibuka. Dari sini, kita boleh belajar, bahawa tanpa sumber tenaga berkemahiran, projek ini tidak mungkin menjadi kenyataan.

Demikian itulah pentingnya untuk kita melakar pendidikan tinggi untuk melahirkan sumber tenaga yang berkemahiran.

Untuk akhirnya, Beta sukacita merakamkan ucapan terima kasih kepada semua peserta dan petugas serta ahli-ahli Jawatankuasa-jawatankuasa yang sama-sama berusaha dalam menjayakan Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam Ke-36 pada tahun ini.

Beta juga merakamkan ucapan yang sama kepada semua lapisan rakyat, meliputi semua peringkat warga Perkhidmatan Awam, termasuk mereka yang bertugas di luar negara,           Pasukan-Pasukan Keselamatan serta mereka yang berkhidmat di sektor swasta dengan iringan doa semoga kita dan negara akan sentiasa berada di dalam pemeliharaan dan perlindungan Allah jua, Amin. 

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.